Memaparkan catatan dengan label Personal Famili. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Personal Famili. Papar semua catatan

28 April, 2015

Rehlah Ilmiah 2015 dan Santai Famili

AbuAqil aka AbuSakeena


Teruk berhabuk blog ini. Malas betul nak update blog sekarang ini kerana banyak komitmen lain. Post ini pun paksa diri juga.

Pada tahun ini saya telah beberapa kali bermusafir untuk berkongsi ilmu dengan anak-anak pelajar tingkatan 3 dan 5.

Tahun ini banyak menghadiri ceramah teknik di bumi semenanjung sahaja dan mungkin terpaksa menolak sekiranya ada jemputan dari Sabah dan Sarawak kerana kekangan masa dan ingin berehat.

Semua rehlah ilmiah tahun ini saya bermusafir bersama famili. umpama peribahasa 'Menyelam sambil minum air'. Berkongsi ilmu dan bercuti sambil santai dengan famili.

Alhamdulillah dengan kemudahan nikmat kenderaan baru yang Allah kurniakan, kami bermusafir ke Terengganu dan Pahang dengan lancar dan selesa. Saya kuat kerana bermusafir dengan famili. Sangan teruja bila dapat bermusafir bersama dan sangat senang hati melihat anak-anak ceria dan gembira. Hilang rasa letih dan penat walaupun tiada cuti pada setiap hujung minggu.

SMK Seksyen 18 Shah Alam Selangor [ 27 dan 28 Februari 2015]

Berbanyak terima kasih kepada ustazah Hafizah yang sudi menjemput saya. ustazah hafizah merupakan guru yang banyak memberi sokongan kepada saya semasa awal-awal membina ebook dan buku b arab. Syukran kathiran ustazah. dapat juga bertemu dengan ustazah yang merupakan ketua bidang di SMK Seksyen 18, Shah Alam. 

Ini merupakan Rehlah ilmiah pertama tahun ini. Ceramah kali ini untuk anak-anak pelajar PT3 dan SPM mengambil masa selama  dua hari. Terima kasih juga kepada Abang Mir dan Kak Nah kerana sudi beri kemudahan menginap selama dua malam di Bukit Jelutong serta jadi driver ke sana ke sini :)
calon-calon PT3 2015


bersama pelajar SPM
SMK Lembah Bidong Merang Terengganu [ 28 Mac 2015]

Bersama famili termasuk ibu dan adik perempuan menginap di Sutra Beach Resort. Gembira betul anak-anak bila dapat mandi kolam. Yang dewasa pun turut tumpang sekaki ). Setinggi-tinggi penghargaan kepada ustazah Azlin, jadi juga tahun ini hadir ceramah setelah tertangguh sejak tahun 2014.



Mandi kolam di Sutra Beach Resort
SMKA  Durian Guling di Prinzpark Hotel [ 11 April 2015]

Minggu berikutnya saya bergerak pula ke Kuala Terengganu untuk memenuhi jemputan cermah teknik PT3 dan kemahiran mengarang Insyak jemputan dari SMKA Durian Guling yang diadakan di Prinzpark Hotel. Ini kali kedua hadir ke hotel ini. Terima kasih kepada ustazah Fatmawati atas jemputan.

Bersama pelajar SMKA Durian Guling 

Mandi kolam lagi


SMAP Bentong (SUPERB) [18 APRIL 2015]

Musafir kali ini bersama keluarga termasuk bonda tersayang kerana destinasi berikutnya akan ke Cukai Kemaman untuk pendaftaran anak sulung Haziq Amsyar menyambung pengajian di Ranaco Education Training Institute dan menziarahi ahli keluarga di sana. Ceramah di sini untuk teknik SPM. Pelajar SUPERB memang super : hebat dan komited. Terima kasih kepada ustazah Kamilah dan ustazah Rozielah. 

Menginap di Zack Homestay di Mempaga selama semalaman. Homestay bertaraf 4 bintang. Halaman yang cantik dan rumah yang selesa.

Berhenti seketika di RNR Gua Musang

Homestay yang indah di Felda Mempaga

Selfie dengan bonda tercinta di halaman homestay yang penuh dengan bunga-bunga

Pelajar SUPERB menghayati video
SMK Clifford Kuala Lipis [24 April 2015]

Ceramah teknik PT3 untuk lima buah sekolah SRK dan SABK di Daerah Kuala Lipis. Terima kasih kepada sepasang guru bahasa Arab ustaz Salahuddin dan ustazah Solah Makkiyah atas jemputan serta semua ustaz dan ustazah yang bersama saya. Dapat juga hadir setelah dua kali tertangguh sejak tahun lepas.



Menerima cenderamata dari Pegawai PPD K. Lipis, Ustaz Husin [pernah bersama di maktab Batu Rakit pada 2003]

Foto kenang kenangan bersama guru dan pelajar daerah K. Lipis

Destinasi berikutnya selepas selesai tugasan ialah sesi santai dan merasai hawa dingin di Cameron Highlands. Anak-anak teruja kerana pertama kali datang ke tempat sejuk. sudah lama saya tidak datang ke sini. Saya pernah berkhidmat di Tanah Rata iaitu di SMK Sultan Ahmad Shah selama setahun setengah sebelum dapat masuk ke Kota Bharu.

Jalan-jalan cari makan di pasar malam di Brinchang

muka-muka teruja dapat tengok ladang teh

Semoga Allah sentiasa merahmati kami
Hanya tidur semalaman dan bertolak pulang keesokannya. Saya sangat bersyukur kerana dikurniakan kesihatan yang sempurna dan famili yang sempurna yang sentiasa sanggup menemani ke mana sahaja. Semoga terus dikurniakan nikmat sihat dan masa terluang untuk famili dan perkongsian ilmu.

Bulan April yang memenatkan namun kepenatan hilang bila lihat ahli keluarga gembira dan ceria.

اللهم بارك حياتنا وارحم اهلنا

24 Ogos, 2014

Menagih Kesihatan Yang Sempurna & Keberkatan Masa

AbuAqil aka AbuSakeena

Sejak akhir-akhir ini amat berat  + malas untuk update blog kerana masa yang terluang saya lebih gemar bersama anak-anak. Jadual selepas Raya Aidil Fitri yang lepas agak padat. Bermula dengan ceramah teknik kertas 2 SPM untuk anak-anak pelajar SMK Agama Kuala Abang, Dungun yang diadakan sebuah resort di Besut. Ruang masa selama 2 jam diamnfaatkan sebaik mungkin untuk menjawab soalan insyak dan soalan pemahaman, insyak pendek dan kata hikmah. Pelajar memberi respon yang sangat baik dan bersemangat. Terima kasih keapda al-fadhil ustaz firdaus di atas jemputan. ini merupakan ceramah pertama setelah berehat sepanjang Ramadan.


Para pelajar SMKA Kuala Abang sedang berbincang menjawab soalan pemahaman

Kembara ilmu berikutnya ialah bermusafir kali ketiga ke negeri di bawah bayu dan kali kedua ke SMK Agama Tun Said, Kota Belud, Sabah pada 7 Ogos 2014 atas jemputan sahabat baik rakan sekolah di Maahad Muhammadi Lelaki satu masa dulu, al-Fadhil ustaz Abdul Aziz Ghaffar.
Bersama Ustaz Aziz

Perkongsian ilmu di sini agak padat dengan 5 slot khas untuk calon SPM. Kebetulan pada waktu itu kesihatan terjejas dengan selsema yang berlarutan dan batuk. Namun segala puji bagi Allah yang memberi kekuatan  ‘Bermarathon’ lebih kurang 10 jam berceramah dan berbengkel. Memenatkan tapi memuaskan hati bila dapat berkongsi ilmu dengan anak-anak pelajar.

Minggu berikutnya iaitu pada 14 Ogos 2014 ‘terbang’ pula ke Putrajaya untuk bersama anak-anak Putrajaya dari 5 buah sekolah KAA di JPN Putrajaya untuk sesi ceramah teknik menjawab dan bengkel PT3 yang berlangsung di SMK Presint 8 (1).  Program sepanjang 4 jam terus menerus berjalan dengan lancar dan baik. Kerja saya menjadi mudah kerana semua pelajar telah mempunyai modul PT3 di mana semua slide Power point berpandukan modul tersebut.

Anak-anak SMKA Tun Said, Kota Belud  yang sentiasa ceria berbengkel
Setinggi-tinggi penghargaan kepada ustazah Suryani bt Mohamad yang sudi menjemput saya dari jauh untuk berkongsi ilmu. Dapat juga bertemu dengan sahabat lama al-fadhil ustaz Zulkifli bin Nawawi yang sekarang berkhidmat di SMKA Putrajaya. Beliaulah insan yang bertanggung jawab menjemput saya ke Sabah pada tahun 2012.
Urusan saya di Putrajaya menjadi mudah kerana kebetulan adik saya menetap di putrajaya dan tidak menyusahkan orang lain untuk mengambil dan menghantar saya dari lapangan terbang. 

Para pelajar SMKA dan  KAA Putrajaya 
Di samping itu kembara ini juga saya dapat berjumpa dengan dengan abang yang tinggal di Bukit Jelutong, Shah Alam. Beliau sanggup datang untuk bersarapan bersama pada keesokkannya.

Menerima cenderahati daripada wakil JPN Putrajaya

Ketika berada di Putrajaya saya menerima WhatsApp daripada ustazah Solah makkiyah (kak Solah) menjemput saya berceramah PT3 di sekolahnya SMK Clifford, Kuala Lipis pada hujung minggu berikutnya dengan tawaran musafir dengan keretapi ekspress wau. Ini pengalaman baru walaupun akan meletihkan kerana perjalanan mengambil masa 4 jam setengah.  Saya menerima sahaja kerana  tidak sanggup untuk berkata ‘tidak boleh’ untuk berkongsi ilmu Allah yang sedikit di dada.

Pekena Nasi kerabu di Presint 9 bersama adik (kiri) dan abang.
Namun rancangan ini terpaksa dibatalkan kerana keretapi pulang pada tengahari Jumaat ke Wakaf Bharu tidak disediakan buat sementara waktu. Allah belum izinkan saya untuk berkongsi ilmu di sana. In Sya Allah satu hari nanti saya akan ke sana juga. Semoga Allah permudahkan.

Ekoran itu hujung minggu ini baru dapat saya berehat dan dapat manfaatkan masa bersama keluarga tercinta. Hujung minggu ini iaitu pada 23 Ogos 2014 dimanfaatkan bersama dengan anak-anak didik SMKA Tok Bachok selama 2 jam berceramah teknik menjawab PT3 yang diadakan di dewan Abu bakar as-Siddiq, SMKA Tok Bachok. Terima kasih kepada guru kanan al-fadhil Che Ayuk, ustaz Faizol, ustazah Zurainah dan ustazah Mahfuzah  di atas jemputan padahal mereka ini jauh lebih berilmu dan berpengalaman daripada diri ini.


Para pelajar SMKA Tok Bachok sedang menikmati video 

Pada minggu hadapan iaitu pada 29 Ogos 2014 akan bersama pula anak-anak pelajar SMKA Melor untuk ceramah teknik PT3 juga yang akan diadakan di D’Muara Tok Bali. Peluang ini akan diambil peluang bercuti dan santai bersama keluarga di Sweet Beach Resort, Tok Bali. Program 2 dalam 1. Semoga Allah permudahkan semua perancangan.

Namun saya terkilan juga kerana tidak dapat memenuhi  jemputan al-fadhil ustaz Hisyam dari SMKA Melor untuk bersama pelajar 40 orang lebih untuk ceramah teknik SPM. Ini kerana saya ketika itu masih berada di Sabah dan berlaku sedikit masalah komunikasi. Semoga Allah mengampunkan dosa saya kerana gagal berkongsi ilmu di sana.

Beraktiviti pada setiap hujung minggu memang memenatkan kerana bekerja 7 hari seminggu dengan bermusafir jauh namun saya berasa puas dan berbaloi kerana dapat memberi sumbangan ilmu kepada anak-anak didik muslim yang berminat belajar Bahas Arab. ganjaran Ilahi dan redaNya jua yang diharapkan sebagai balasan.
Saya sangat mengharapkan agar  Allah mengurniakan kesihatan yang sempurna kepada diri ini ekoran pertambahan usia yang tidak lagi segagah waktu muda. 

Keberkatan masa juga diharapkan agar kembara ilmu saya tidk mengganggu ‘hardcore business’ saya sebagai pendidik. Mohon sahabat dan saudara sekalian mendoakan saya juga. Doa kalian lebih baqbul daripada hamba yang kerdil ini.

Di dalam kesibukan berkongsi ilmu dengan berceramah sana sini namun penjualan buku tetap berjalan dengan baik. Hasil bantuan adik perempuan Amalia Aisya yang bertanggung jawab membungkus dan mengepos ke seluruh negara. Tanpa bantuannya sangat sukar. Tanpa disedari sehingga hari ini (24 Ogos 2014) buku modul PT3 telah dijual lebih 4400 naskhah. Baki buku lebih kurang 600 buah daripada 5000 cetakan pertama. In Sya Allah cetakan kedua akan menyusul untuk memenuhi permintaan pembeli pada masa akan datang in Sya Allah.


Semoga Allah terus mempermudahkan semua urusan kembara ilmu keseterusnya…aamiin ya Musta’an.

26 April, 2014

Sedia Berkhidmat Walau Sedar Bukan Yang Terbaik

AbuAqil aka AbuSakeena

“Abah ada kelas ke malam ni?”

Soalan ini silih berganti ditanya oleh putera dan puteri kesayangan Aqil dan Sakeena hampir setiap hari selepas solat maghrib berjamaah. Kerana kalau tiada kelas malam mereka tahu abah akan lepak bersama dan bergurau senda di dalam bilik sambil menonton berita. Sayangnya jarang dapat  bersama mereka seperti itu. Sebab itu saya nekad membawa  keluarga bersama kalau bermusafir untuk berceramah di kawasan berdekatan seperti di Terengganu. Famili diutamakan di samping ilmu dikongsikan.

Anak-anak tetap diutamakan
Sejak akhir-akhir ini agak sibuk sikit kerana banyak menerima jemputan mengajar dan berceramah teknik menjawab walaupun baru bulan April. Saya akan menerima sahaja jemputan untuk berkongsi ilmu. Sangat malu dan tidak tergamak untuk mengatakan ‘tidak boleh ‘ atau memberi alasan selain mengiyakan sahaja sebarang jemputan.

Saya sedar saya bukan yang terbaik dan tidak layak sebenarnya untuk menjadi penceramah dan mengajar sana sini. Namun sikit ilmu dan pengalaman yang ada akan dimanfaatkan. Saya sentiasa berpegang dan ingin letakkan diri saya di dalam doa dua Malaikat :
اللهم أعط منفقا خلفا اللهم أعط ممسكا تلفا
Ya Allah, berikanlah ganti kepada orang yang memberi. Ya Allah berikanlah kerosakan kepada orang yang kedekut.[Imam al-Bukhari dan Muslim]

Jemputan berceramah, kelas tuisyen peribadi, mengajar tuisyen malam di sekolah sendiri dan sekolah lain serta di pusat tuisyen semuanya saya terima. Tuisyen sendiri pada setiap hujung minggu masih diteruskan walaupun kadang-kadang ada dan kadang-kadang tiada kerana kekangan masa. Asalkan dapat berkongsi ilmu, In Sya Allah saya sanggup. Program terdekat ialah menerima kunjungan rombongan lawatan sambil belajar dari SMK Ahmad, Pekan, Pahang untuk program ceramah teknik menjawab B. Arab kertas 2 pada 30 Aril ini.

Sehingga hari ini saya telah berceramah di MRSM UlulAlbab Kota Putra, Besut. Minggu lepas di SMAASZA, Kuala Terengganu dan masa terdekat di SMA Maarif Besut kalau tiada aral. Telah ada jemputan ke Sabah, Sarawak dan pertanyaan dari Sahabat di Perak. Semuanya saya terima dengan hati yang terbuka.

Saya mengharapkan rahmat Allah dan kasih sayangNya agar diberkati masa agar tiada pertembungan dengan program lain di sekolah sendiri. Itu yang saya takut. Khuatir prestasi kerja terjejas dan dinilai negatif bila sibuk dengan urusan luar.

Satu perkara yang agak membimbangkan saya juga ialah masalah kesihatan. Bila sibuk melanda otomatik badan akan sentiasa letih kerana kekurangan rehat. Lebih-lebih lagi akhir-akhir ini amat jarang beriadah. Tidak seperti dulu, setiap hujung minggu akan joging masa ada di Taman Tengku Anis atau di Pantai Irama, Bachok. Dulu ada juga bermain futsal dan badminton sekali seminggu. Ditambah pula tabiat pemakanan yang tidak terjaga seperti awal-awal selepas angiogram. Harap masalah jantung tidak berulang. Bukan tidak ingin bersenam namun masalah masa yang sangat terhad.

Saya mengharapkan rahmat Allah agar diberikan kesihatan yang sempurna, masa yang diberkati serta kekuatan untuk terus berbakti melalui berkongsi ilmu yang ada. Saya juga sebagai hamba yang sangat daif dan kerdil mengharapkan Allah memberi hakikat ikhlas kepada hati ini agar segala penat lelah tidak sia-sia.

Jangan lupa doakan saya sahabat-sahabat, ihkwah dan akhawat!

21 April, 2014

Kembara Ilmu 2014 : SMAASZA & Santai Famili

AbuAqil aka AbuSakeena

Pagi Jumaat lepas, 18 April 2014 saya bertolak menuju ke bandar Kuala Terengganu bersama famili tercinta. Musafir kali ini mempunyai dua tujuan. Tujuan utama ialah perkongsian ilmu ceramah teknik kertas 1 dan 2 B Arab SPM dengan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin [SMAASZA] dan yang kedua ialah edisi santai-santai bersama keluarga. ‘Menyelam sambil minum air’ memandangkan destinasi tidak terlalu jauh.

Prinzpark yang terletak berhampiran dengan Masjid terapung di Kuala Ibai

Perjalanan lebih kurang 2 jam setengah sahaja, anak-anak pun tidak sempat ‘boring’. Menginap di  Prinzpark Resort yang telah ditempah seminggu yang lalu. Hotel ini dipilih kerana berdekatan dengan SMAASZA dan ia menyediakan potongan 20% untuk kakitangan kerajaan.

Kompleks sukan TER yang terletak betul-betul di depan prinzpark
Anak-anak berpuashati berada di sini kerana dapat mandi kolam di Komplek Sukan Terengganu Equestrian Resort (TER) yang terletak di depan hotel. Kolam renang ini bukan di bawah pengurusan Prinzpark sebab itu kemasukan ke kompleks dicas RM5  bagi kanak-kanak dan RM8 bagi dewasa [yang nak mandi sahaja dikenakan bayaran]. Terdapat juga di sini Dewan Badminton, Bowling, Squash, Gymnsium untuk kemudahan beriadah.
Sampai je terus terjun kolam tiga beradik ni

Selesai bersarapan dengan famili di hotel, saya bersegera ke SMAASZA pada pagi sabtu 19 April 2014. Hanya 10 minit sahaja perjalanan. Sesi ceramah teknik yang diatur selama 4 jam dengan 2 slot untuk kertas 1 dan 2 diadakan di asrama ASPURI. Saya berdepan dengan pelajar-pelajar hebat di sekolah hebat dan dibantu oleh ustaz dan ustazah yang hebat juga. Saya dimaklumkan sekolah ini adalah sekolah kluster kecemerlangan. Pasti pelajar-pelajar juga cemerlang.

Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar dan mendapat perhatian yang terbaik daripada semua pelajar walaupun mereka hanya duduk di atas lantai kerana berada di musalla. Masa selama 4 jam dirasakan terlalu pantas walaupun berdiri sepanjang ceramah namun tidak meletihkan saya kerana respon positif para pelajar. Barakallahu fikum. Anda layak mendapat A Bahasa Arab dalam SPM kelak kerana komtimen dan ketekunan anda yang luar biasa.
 
Wajah-wajah ceria pelajar selepas ceramah
Ceramah teknik diselang-seli dengan perbincangan pelajar dalam perbengkelan untuk mengelakkan pelajar rasa mengantuk. Ternyata umumnya mereka cemerlang dalam menjawab soalan. Tahniah kepada seorang pelajar perempuan yang mendapat hadiah 1 set modul B Arab SPM kerana mampu menjawab soalan aras tinggi [I’rab]. Lupa nak tanya nama.
 
Menerima cenderamata daripada Ustaz Syed
Setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak SMAASZA dan ustaz Syeikh Syed, ustazah Wan Mailan dan ustazah Azizah kerana sudi bersama saya sepanjang perbengkelan. Juga kerana sudi menerima modul saya untuk digunakan oleh semua pelajar di sana. Jazakumullah khairal jaza’.

In sya Allah kalau berkelapangan dan diberi peluang saya berazam akan hadir lagi ke sekolah hebat ini pada masa akan datang. Saya juga tidak akan lupakan pelajar-pelajar dan guru-guru di SMAASZA dan berusaha  membantu mereka dalam ilmu Bahasa Arab selagi diperlukan.

07 Oktober, 2013

Larian Terbuka Kelantan 2013 : Menimba Pengalaman Baru

AbuAqil aka  AbuSakeena

Hidup ini akan lebih bermakna, seronok dan bermotivasi bila kita sentiasa mencuba dan menngecapi perkara baru. Sekiranya kita hanya melalui perkara yang sama sejak 20 tahun akan datang, kita akan berasa ‘boring’ dan tidak bermaya. Itulah realiti kehidupan dan fitrah manusia. Ingin kepada perkara yang baru.


Tarikh 5 Oktober 2013 lepas tercatat sejarah baru dalam diari kehidupan peribadi saya. Saya sendiri pun tidak sangka akan menjadi salah seorang peserta bagi kejohanan ‘Larian Terbuka Kelantan 2013’. Acara ini merupakan anjuran Program Sains Senaman Dan Sukan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (USM) dan Kelab Kesihatan dan Kesejahteraan Masyarakat Kelantan serta mendapat  sokongan Sinar Harian dan Bank Rakyat.

Saya mengetahui acara ini melalui page kota Bharu Bandaraya Islam di Facebook lebih kurang dua bulan sebelum kejohanan. Tanpa bertangguh saya terus mendaftar diri memandangkan setiap kategori hanya terhad untuk 200 orang peserta sahaja. Saya mengambil bahagian kategori veteran dengan bayaran yuran penyertaan sebanyak RM30.00. Pada dua hari sebelum acara bermula, semua peserta dikehendaki mengambil nombor dan t-shirt yang akan dipakai pada hari larian nanti.

posing Sebelum larian

Tujuan saya menyertai larian tersebut bukan untuk muncul sebagai pemenang. Sebab memang tak akan menang pun. Tapi sekadar untuk memotivasi diri sendiri agar sentiasa berusaha beriadah agar dikurniakan kesihatan yang lebih baik.

Hari Larian

Bangkit seawal 5.00 pagi, bersarapan dengan nasi berlaukkan telur masak separuh yang disediakan oleh zaujah. Terima kasih kepada zaujah yang turut sama memberi sokongan. 6.15 pagi bertolak ke HUSM. Sampai awal di Kompleks Sukan 2,HUSM. Peserta-peserta pelbagai kategori telah memenuhi padang. Ramai juga yang berminat untuk menyertai larian ini termasuk kelihatan seperti pelari profesional berdasarkan penampilan mereka. Tiada harapan nak menang.

Kategori lelaki veteran dilepaskan pada pukul 7.30 pagi dan jarak trek sejauh 6 km sahaja. Saya berada dalam kelompok tengah semasa di garis permulaan.  Pada awal larian, saya terpengaruh dengan kelompok di depan yang profesional yang terus memecut menyebabkan rasa kepenatan walaupun belum keluar pintu pagar HUSM. Terasa semacam nak tarik diri awal-awal namun selepas memperlahankan larian keadaan kembali normal.

alhamdulillah kerana sempat juga berlari tanpa henti sejauh 2 km. setelah itu baru berhenti berjalan sekejap-sekejap dan meneruskan larian. Tiba di garisan penamat setelah berlari selama 38 minit. Entah dapat nombor yang ke berapa. Tidak dilayan pun oleh urusetia di garisan penamat menandakan telah ramai yang tiba sebelum saya.

Saya sendiri pun tidak percaya saya dapat menghabiskan larian sejauh 6 km. kerana sebelum ini jenis riadah yang tidak digemari ialah berlari. Mula aktif berlari ialah sejak tahun lepas setelah ditimpa masalah arteri tersumbat. Mula aktif bersenam dan ‘joging’ sama ada di Taman Perbandaran Tengku Anis, Kompleks Sukan Panji atau di tali air di kampung sendiri. Pernah beberapa kali berlari di pantai Irama. Masih juga aktif dan mula bermain futsal sekali seminggu. Tiada pilihan lain kerana sejak akhir-akhir ini kurang pantang dalam mengambil makanan.


Insya Allah saya berazam pada masa akan datang akan terus menyertai acara  larian agar mendapat jasad yg lebih sihat seterusnya mampu beribadat dengan lebih sempurna.

28 September, 2013

Ya Rabb, Sempurnakanlah Kesihatan dan Afiatku

AbuAqil aka AbuSakeena

Zahirnya nampak sihat, luaran tampak bertenaga namun realitinya hanya Allah yang maha mengetahui keadaan kesihatan yang sebenar. Harap-harap dalaman sesihat mata zahir.

Alhamdulillah, zahir nampak sihat

Alhamdulillah, saya sentiasa bersyukur dengan kesihatan yang diperolehi terutama selepas setahun lebih dilakukan  angiogram. Akhir-akhir ini pemakanan kurang pantang tidak seperti awal-awal dikesan mempunyai saluran darah tersumbat dengan kolesterol. Masih lagi berhati-hati dalam pemakanan tapi agak sukar bila berada di luar. Hanya tahu rembat apa yang adadi depan mata. Dengan harapan ubat yang dibekalkan mampu mengatasinya.

Saya berharap kesihatan saya tidak terjejas untuk terus berbakti dan beramal soleh sebanyak mungkin. Dua tiga minggu ini jadual agak sibuk dengan permintaan untuk ceramah teknik B Arab SPM dan kelas tambahan di sekolah lain. Saya tidak tergamak untuk menolak mana-mana pelawaan untuk berkongsi ilmu walaupun terpaksa ke Sabah atau Sarawak. Saya  sedar, saya bukanlah yang terbaik namun peluang perkongsian ilmu tidak akan disia-siakan. Mudah-mudahan ia akan menjadi bekalan  jariah terbaik.

Bimbang juga sibuk terkejar ke sana ke sini, ceramah sana sini tiba-tiba tumbang. Nauzubillah. Alhamdulillah setakat ini kesihatan masih memuaskan. Cuma ada juga rasa sangat letih dan lesu. Perkara biasa bagi sesiapa  yang umurnya telah melangkaui 40 tahun.

Bersama pelajar SMKA Wataniah, Machang
Kesihatan tetap menjadi keutamaan. Masih aktif bersukan. Sekali seminggu akan bermain badminton atau joging bila akan kesempatan masa pada hujung minggu. Bermula minggu lepas setiap petang rabu akan berfutsal pula dengan rakan-rakan pendidik yang lain. Alhamdulillah. Ikhtiar agar peroleh kesihatan yang lebih baik.

Bersama pelajar SMKA Tok bachok di Aura Training Centre, Tok Bali

Saban hari ada sahaja berita kematian sesiapa sahaja disebabkan masalah jantung. Masih muda dan aktif bersosial. Gerun bila mendengarnya sebab diri sendiri pernah menghadapinya. Cuma ia ‘amaran’ Allah dan masih diberi peluang memperbaiki kesilapan lampau dalam menjaga kesihatan.


Bersama ahli-ahli al-Quran Maahad Tahfiz Sains, Tanah Merah

Kita semua mampu mengambil ubat, berupaya untuk bersenam namun sukar untuk menjaga pemakanan. Ini adalah fakta. Perkara paling sukar ialah menjaga pemakanan sedangkan segala penyakit berpunca daripadanya. Apa yang dimasukkan ke dalam perut itulah penentu sama ada kita akan sihat atau ditimpa penyakit.

Para pelajar SMKA Melor
Pilihan di tangan kita sendiri. Menjaga kesihatan adalah amanah yang perlu diambil berat. Tewas dengan nafsu makan menyebabkan kita tidak sedar mudarat dan sengsara  bakal dihadapi. Faktor utama untuk sihat ialah pemakanan (diet). Pengambilan ubat atau makanan tambahan serta bersukan hanyalah faktor sampingan semata-mata.

Pesanan kepada sesiapa yang belum terkena penyakit kronik atau kritikal agar lebih sensitif dan peka dengan amalan pemakanan agar tidak menyesal satu masa nanti. Terutama kepada mereka yang berketurunan mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis dan seumpamanya. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna.

Semoga Allah memberi kesedaran kepada kita agar lebih prihatin dalam menjaga kesihatan. Hidup dengan lebih sihat akan menjamin ibadat lebih sempurna serta bermotivasi untuk berusaha lebih tekun mencari bekalan selesa sebelum dijemput Malakul Maut.

06 April, 2013

6 April 2013 Yang Berbeza…

Akan menumpukan lebih perhatian kepada zuriat

AbuAqil aka AbuSakeena

ketibaan 6 April 2013 dirasakan sangat lain walaupun macam biasa menerima bertimbun-timbun ucapan terutama daripada anak didik dan bekas anak didik seawal jam 12 tengah malam semalam. Jazakumullah khairan semua.

Bangkit pagi ini dengan sedikit nikmat sihat ditarik oleh Pemilik diri ini. Terkejar-kejar ke tandas kerana sakit perut dan cirit-birit. Balasan kerana makan mengikut hawa nafsu. Entah makanan mana yang menjadi punca. Air nira, bihun, ayam bakar, Air sirap, Air jagung, the tarik di kem?wallahu a’lam. Pasrah. Semoga Allah ampunkan dosa dengan asbab kepayahan ini.

Ketibaan 6 April pagi ini menggenapkan usia saya 40 tahun. Usia keinsafan dan usia kembali ke pangkal jalan.  Sungguh syahdu berasa pada awal pagi dan air mata mudah mengalir. Allah telah memberi isyarat dengan mengubankan janggut, merabunkan pandangan dan tubun badan yang cepat letih dan tidak selasak masa dulu. Sakit sana dan lenguh sini.

Macam-macam perasaan timbul. Berasa kesal dan malu dengan diri sendiri. Sudah 40 tahun Allah memberi modal untuk mencari bekalan akhirat. Namun bekalan yang dikumpul tidak seberapa. Malah saya rasakan sangat bersalah kepadaNya kerana gagal menjadi hambaNya yang taat. Tanpa segan silu berbuat dosa dan mensia-siakan masa yang diberikan. Semoga Allah mengampunkan semua dosa dan menggantikannya dengan hasanah.

Perasaan bersyukur kepadaNya juga hadir kerana sama sekali tidak sangka akan mencecah usia 40 tahun memandangkan telah ‘berselisih’ dengan maut pada tahun lepas. Entah berapa banyak lagi rezeki saya yang masih berbaki sebelum berdepan malakul maut. Namun tetap dirasakan usia diri ini takkan panjang. Wallahu A’lam.

Perasaan takut juga menyelubungi kerana pada usia Rasulullah saw dibangkitkan menjadi Nabi ini, bimbang kalau-kalau diri ini tidak berubah masih tidak berubah. Sedangkan Allah memberi panduan agar bertaubat kepadaNya pada usia ini dan mengajar doa berikut :

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَن أَشكُرَ نِعمَتَكَ الَتِي أَنعَمتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَن أَعْمَلَ صَالحِاً تَرضَاه وَأَصْلِح لِي فِي ذُرِّيَتِي إِنّيِ تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنّيَ مِنَ الُمسْلِمِين
"Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu Yang Engkau kurniakan kepadaKu dan kepada ibu bapaku, dan supaya Aku tetap mengerjakan amal soleh Yang Engkau redai; dan Jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke Dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya Aku bertaubat kepadaMu, dan Sesungguhnya Aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadaMu)".

Saya sangat mengharapkan rahmat dan kasih sayang Rabb agar memimpin diri yang lemah ini ke jalan yang diredaiNya setiap detik dan ketika. Memberi kekuatan untuk menjadi hamba yang bertakwa, soleh, berusaha menjauhi sifat sombong, riya’ dan sentiasa bertaubat kepadaNya. Mesti berubah kerana zaman lagha dan alpa sepatutnya sudah berakhir. Pada usia 40 tahun ini mesti fokus kepada kehidupan yang sebenar di akhirat sana.

Insya Allah bermula hari pertama pada usia 40 tahun ini, berazam akan berusaha sedaya upaya untuk memperbaiki diri, berusaha mendalami ilmu-ilmu agama, lebih berani untuk menegakkan hak, membuang sifat mazmumah dalam diri, menghiasi diri dengan sifat terpuji, menghayati dan mengamalkan sunnah Nabi saw sebanyak mungkin serta berusaha meningkatkan kualiti diri sebagai da’ei dan murabbi kepada anak-anak didik tersayang.

Antara fokus utama juga ialah menumpukan perhatian kepada zuriat yang lima orang agar menjadi hamba Allah yang bertakwa dan soleh.

Ya Rabb bantulah dan permudahkanlah urusanku setiap masa. Hanya kepadaMU aku bertawakkal. Jangan biarkan diriku bersendirian mengurus diri sendiri walaupun sekelip mata. Allah al-Musta’aan.


22 Januari, 2013

Diriku & Bahasa Arab


AbuAqil aka AbuSakeena


Amirul Mukminin Saidina Umar bin al-Khattab r.a berkata : "Pelajarilah bahasa arab kerana bahasa arab adalah bahagian penting daripada agamamu".


Sungguh indah huraian Ibn Kathir ketika beliau mentafsir ayat : "Dan kami telah menurunkan al-Quran berbahasa arab agar kalian memahaminya". [Surah Yusuf, ayat 2]


Beliau menyebut : "Oleh yang demikian itu, ini disebabkan bahasa arab adalah bahasa yang paling fasih, jelas, luas dan makna lebih mengena jiwa manusia. oleh kerana itu, kitab yang paling mulia(al-Quran), diturunkan kepada rasul yang paling mulia( Rasulullah saw), dengan bahasa yang paling mulia, melalui perantaraan malaikat yang paling mulia (Jibril), di bumi yang paling mulia ( Mekah) serta permulaan turunnya pun pada bulan yang paling mulia( Ramadan) sehinggalah al-Quran menjadi sempurna segala isi kandungannya".

Kita mengaku kita bermazhab imam yang mulia al-Syafi'e r.a. Apa komentar beliau mengenai mempelajari ilmu Bahasa Arab. Beliau berkata :  "Allah telah pilih bahasa arab sebagai untuk kitabNya dan menjadikan bahasa penutup para Nabi. oleh itu kami katakan sebaiknya setiap orang yang mampu belajar bahasa arab untuk mempelajarinya dan mencintainya tanpa harus melarang orang berbicara dengan bahasa lain".

Imam Ahmad berkata : "Tanda keimanan orang 'ajam ( bukan arab) adalah kecintaan mereka terhadap bahasa arab" [ iqtida' Sirat al-Mustaqil, Ibn Taymiyyah]


Alahmdulillah, Segala puji bagi Allah yang telah memilih hambaNya yang sangat lemah ini tahu dan faham bahasa arab walaupun hanya sedikit. Allah telah permudahkan diri ini ke arah mempelajari bahasa kalamNya. Diri ini sendiri yang  memilih untuk belajar di sekolah Arab berdekatan iaitu sekarang dikenali dengan Maahad Yaakubiah, Nipah, Bachok. Adik-beradik yang lain semuanya mendapat pendidikan di sekolah menengah harian melainkan adik bongsu yang saya usahakan agar ikut jejak saya namun  setakat pertengahan jalan.

Semasa bersekolah di peringkat menengah masih terkapai-kapai ilmu Bahasa Arab seperti pelajar-pelajar lain. Keputusan peperiksaan sekadar cukup makan hasil tekun menghafal. Tamat SRP saya menyambung pengajian di Maahad Muhammadi Lelaki, Jalan Pengkalan Chepa sehingga SPM.


Minat terhadap Bahasa Arab semakin subur bila menyambung pengajian di Akademi Islam Universiti Malaya, Nilam Puri selama 2 tahun. Kehebatan ilmu Bahasa Arab dan karisma yang ada pada al-Fadhil Ustaz Muhamad Mustafa (gambar) mengubah diri ini kepada minat, komited dan tekun mendalami Bahasa Arab. Sekarang beliau merupakan ahli dewan rakyat DUN Demit. Cara pengajaran, sebutan kalimah arabnya yang fasih dan jelas menarik perhatian menyebabkan saya mencintai bahasa pilihan Allah ini.

Bermula di situlah ilmu bahasa Arab semakin diminati hingga melanjutkan pengajian di Universiti Malaya KL jurusan Usuluddin selama 4 tahun yang menggunakan silibus bahasa arab. Menuntut pula dengan al-fadhil Ustaz Munif. Seorang ustaz yang segak, cool dan mantap ilmu bahasanya. Beberapa orang lagi guru yang telah lupa nama dan tidak dilupakan insan yang bernama Dr Rosdi Ismail. Sempat berkhidmat dengan beliau sebagai fasilitator di sebuah syarikat konsultan bahasa Arab miliknya iaitu ALC yang berpusat di Nilam Puri. Banyak ilmu Bahasa Arab yang dikutip di sana hasil bimbingan Dr Rosdi Ismail yang memperoleh Phd dalam bidang bahasa arab. Beliau masih aktif mengembangkan ilmu bahasa arab kepada orang awam.

Tidak lama menjadi fasilitator di ALC kerana mendapat tawaran KPLI pada tahun 2003 di MP Batu Rakit, KT opsyen Pendidikan Islam & Bahasa Arab.

Bidang pendidikan yang dipilih telah memberi ruang kepada saya untuk memperkembangkan ilmu yang ada kepada anak-anak bangsa. Posting pertama di SMK Taman Johor Jaya, JB saya mengajar Pendidikan Islam  sehingga berhijrah ke SMK Sultan Ahmad Shah, Cameron Highlands sebelum dapat masuk ke negeri kelahiran di SMK Penambang pun masih mengajar subjek yang sama.

Pertukaran ke SMK Putri Saadong pada januari 2008 telah memberi peluang kepada saya untuk mengajar subjek Bahasa Arab. Saya sendiri yang meminta izin dengan pengetua untuk mengajar subjek itu kerana cinta saya kepada Bahasa Arab tidak pernah terpadam. Ilmu yang dikongsikan di sana bersama 2 generasi PMR 2009-2010 membuahkan hasil yang mengejutkan. Majoriti anak didik mendapat keputusan cemerlang.

Saya membuat keputusan untuk berhijrah lagi ke sekolah sekarang iaitu SMK Dato' Perdana untuk mencari dan menimba ilmu baru bahasa arab peringkat SPM. Tambahan pula sekolah tersebut lebih dekat dengan kediaman saya di Kg Seneng, Jelawat.

Tidaklah mahir sangat dengan bahasa ini tapi sangat penting bagi saya. Saya tidak dapat bayangkan diri saya yang muslim, berpegang dengan al-Quran yang berbahasa arab dan merujuk hadis Nabi saw dalam bahasa arab, bersolat pun dengan menggunakan bahasa arab tetapi tidak mampu berbahasa arab. Sungguh tidak dapat dibayangkan. saya sangat bersyukur diberi nikmat ini. Bahasa ini dipelajari di bumi kelahiran bukan di Timur tengah atau bumi anbiya'. Tiada alasan untuk gagal mengertinya. nak seribu daya, tak nak seribu dalih.

Bukan pandai mana pun, bertutur tidak fasih mana pun , sekadar tahu serba sedikit, merangkak-rangkak dalam memahami kitab arab dan bertemankan kamus. Masih belajar, akan terus belajar dan menuntut ilmu agama yang sumber asalnya adalah bahasa arab.

Ilmu yang bermanfaat ini akan terus dikongsikan bersama untuk anak-anak didik sama ada di sekolah sendiri atau dijemput untuk mengajar di sekolah lain. Semoga usaha yang sedikit ini akan memperoleh reda Allah di akhirat sana.

Ya Rabb, Ampunkanlah dosa semua guruku dan rahmatilah mereka setiap masa serta kurniakanlah sebaik-baik ganjaran kepada mereka.
Related Posts with Thumbnails
 
Share