Sesi Soal Jawab Soalan |
13 April, 2014
Kembara Ilmu 2014 : MRSM Ulul Albab Kota Putra Destinasi Pertama
AbuAqil aka AbuSakeena
Dua minggu yang lepas saya menerima sms dari seseorang (Ustaz
Hisyam) menjemput saya berceramah teknik di MRSM Kota Putra, Besut. MRSM ini
sangat istimewa kerana ia merupakan salah satu daripada MRSM Ulul Albab di
Malaysia di mana sistem pendidikannya menggabungkan pendidikan akademik dan
tahfiz al-Quran.
Saya berasa sungguh bertuah kerana berpeluang berkongsi ilmu
dengan ahli-ahli al-Quran yang hebat
walaupun saya bukanlah yang paling layak untuk mereka. Peluang keemasan
ini tidak disia-siakan. Ini kali kedua bersama para huffaz,tahun lepas bersama Pelajar Tahfiz Sains Tanah Merah.
Tarikh 12 April 2014 dipilih dan segala puji bagi Allah
yang telah memudahkan urusan saya. Tarikh tersebut asalnya akan berceramah di
Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin ( SMAZA) Kuala Terengganu tapi
ditunda pada minggu berikutnya kerana pelajar asrama pulang pada minggu
tersebut.
Peluang yang ada memberi ruang kepada saya untuk
bersama pelajar-pelajar MRSM Kota Putra.
Pada minggu lepas saya dihubungi pula oleh ustaz Abdul Hanan untuk
mengesahkan kehadiran saya. Saya bersetuju tanpa alasan kerana sukar untuk
menolak peluang bersama pelajar hebat.
Kehadiran saya disambut oleh ustaz Abdul Hanan setelah
memandu lebih kurang 45 minit dari kediaman saya di Bachok. Nasib baik tidak
jauh. Ceramah diadakan di dewan kuliah. Berasa macam pensyarah di universiti
pula. Jumlah pelajar lebih 160 orang memenuhi dewan.
Ceramah sepanjang dua jam mengupas secara terperinci
teknik menjawab Bahasa Arab kertas 2 SPM diselang seli dengan perbengkelan
menjawab soalan sebenar SPM 2013. Memang tepat jangkaan saya, saya berdepan
dengan pelajar yang hebat dan pintar. Cuma mereka perlu pendedahan dan latih
tubi untuk meningkatkan penguasaan seterusnya mencapai A+.
Ceramah menjadi lebih mudah kerana pelajar telah dibekalkan modul Abu Sakeena Khas kertas 2 [gambar kiri]. Semua bahan slide dan teknik telah ada di dalam buku tersebut. terima kasih kepada ustaz-ustaz kerana sudi menggunakan buku tersebut untuk semua pelajar.
In Sya Allah modul tersebut akan banyak membantu pelajar dalam menjawab soalan kertas 2.
Mereka beruntung kerana al-Quran berada di dalam
kepala masing-masing. Tidak timbul sangat masalah kurang kosa kata sekiranya
mereka menghafal al-Quran bersama maksudnya. Saya memanfaatkan teknologi moden
iaitu menggunakan Sony Vaio Tap 11 sepanjang pembentangan yang dapat memaparkan
slide powerpoint serta lakaran, contengan untuk memudahkan pelajar faham. Cuma berasa
kesal juga tertinggal pen khas dan pada akhir-akhir Tap agak ‘kepeningan'. Namun semuanya berjalan lancar.
Alhamdulillah, respon pelajar sangat positif, bersemangat
dan beradab dengan guru. Masa dirasakan sangat pantas berlalu kerana tumpuan sepenuhnya
pelajar serta respon yang baik sepanjang sesi soal jawab.
Saya yakin barisan pelajar yang hebat ini akan
mencipta kejayaan cemerlang dalam kertas Bahasa Arab nanti. Saya doakan anda akan mendapat A+.
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih
kepada pihak MRSM Kota Putra kerana sudi menjemput saya untuk berkongsi ilmu. Tidak
dilupakan juga berbanyak terima kasih kepada al-Fadhil Ustaz Abdul Hanan, ustaz
Hisyam dan dua orang ustazah yang sudi bersama saya sepanjang ceramah tersebut.
komitmen anda semua sangat mengkagumkan.
Dengan izin Allah saya akan kembali lagi selepas ini
sekiranya diberi peluang untuk terus berkongsi ilmu dalam sesi berikutnya.
# Minggu depan akan ke SMAZA, Kuala Terengganu. Doakan saya agar dipermudahkan semua urusan, dirahmati dan diberkati masa.
0 comments:
Catat Ulasan