18 Mei, 2013

Makanan-makanan Penyebab Kanser


Makanan penyebab kanser biasanya tinggi kandungan gula, karbohidrat yang diproses, pengawet dan hasil sampingan dari menggoreng dan memanggang. Makanan sebegini juga boleh menyumbang kepada obesiti, kencing manis dan penyakit jantung. 

Minuman Manis

Makanan yang tinggi kandungan gula halus seperti minuman manis, soda dan jus meningkatkan risiko kanser. Individu yang mengambil minuman manis dengan kerap mempunyai risiko mendapat kanser pankreas dan kolon. Walaupun gula tidak menukar sel-sel yang sihat menjadi kanser, ia adalah sumber makanan utama untuk sel-sel kanser dan membantu pertumbuhan tumor. 

Kentang Goreng

Makanan bergoreng meningkatkan risiko seseorang mendapat kanser terutama jika ia mengandungi minyak hidrogenasi (hydrogenated oil), lemak trans dan hasil sampingan dari proses menggoreng dipanggil acrylamide. Acrylamide adalah neurotoksin dan ejen penyebab tumor. Makanan yang tinggi karbohidrat seperti kentang mudah menghasilkan acrylamide semasa proses menggoreng. Ia meletakkan banyak porduk kentang seperti french fries, potato chip dan hash brown di senarai tertinggi makanan penyebab kanser.

Donut

Donut adalah salah sejenis makanan utama penyebab kanser. Ia sepatutnya dalam senarai teratas makanan penyumbang kepada penyakit kanser. Ia digoreng secara deep fried, mengandungi tahap gula yang tinggi berdasarkan karbohidrat diproses (refined). Gabungan tepung yang diluntur, karbohidrat diproses dan proses menggoreng adalah gabungan terbaik untuk meningkatkan risiko kanser. 

Hot Dog

Daging yang diawet adalah faktor yang diketahui penyebab kanser perut dan masalah sistem penghadaman. Daging lebih merbahaya apabila bahan pengawet utama seperti sodium nitrite ditambah ke dalam campuran. Hot dog sepatutnya dielakkan dengan apa cara sekalipun terutama kepada mereka yang mempunyai risiko yang tinggi mengidap kanser perut. 

Daging Bakar Hangus/Satay

Apabila daging haiwan dibakar, beberapa toksik terbentuk. Ia sama seperti toksin yang dihasilkan semasa proses pembakaran tembakau dari rokok. Proses memanggang juga menghasilkan acrylamide. Menurut National Cancer Institute (Amerika), kanser kolon, perut dan lain-lain berkaitan dengan pengambilan yang tinggi makanan daging hangus atau yang dipanggang terlalu lama.

sumber

01 Mei, 2013

Cuka Epal Organik : Masam Tapi Menyihatkan

AbuAqil aka AbuSakeena

Adakah anda tahu cuka epal sangat baik untuk kesihatan?. Mungkin anda pernah dengar kawan-kawan mengesorkannya atau anda pernah mengambilnya tapi tidak tahan kerana rasanya yang masam.

Sememangnya banyak penawar penyakit yang Allah jadikan rasanya sangat tidak sedap, pahit atau masam. Namun bagi sesiapa yang mementingkan kesihatan secara semulajadi semua itu tidak menjadi alasan untuknya demi memperoleh kesihatan yang baik.

Saya telah mula mengambil cuka epal ini sejak seminggu yang lalu memandangkan saya mempunyai masalah tahap kolesterol yang tinggi dan telah meninggalkan ubat anti-kolesterol 'statin' yang disyorkan oleh pihak hospital kerana bimbangkan kesan sampingan 'statin'. Saya memilih untuk mengatasi masalah ini dengan cara penyembuhan semulajadi.

Cuka epal yang berwarna kuning pucat merupakan ejen mencegah bakteria yang sangat berkesan kerana mengandungi beberapa mineral penting seperti potassium, kalsium, magnesium, posporus, klorin, sodium, sulpur, besi, silikon dan florin yang semuanya sangat penting untuk kesihatan tubuh badan.

Epal diketahui mempunyai pelbagai faedah kesihatan kepada kita. Ia mengandungi semua nutrien penting, termasuk pektin, vitamin, serat dan mineral. Maka ungkapan yang mengatakan 'sehari makan sebiji epal menjauhkan diri anda dari doktor' memang tepat sekali. Ramai yang menganggap ACV adalah penyediaan terbaik dari buah epal. 

ACV organik mengandungi ibu cuka (enzim berlendir yang terapung dalam cuka epal yang tidak dipastur) yang membuatkan cuka kelihatan seperti membeku. Ia adalah hasil pertumbuhan bakteria asetik yang menukarkan alkohol kepada cuka. Kebanyakan ACV yang anda dapati di kedai-kedai dan pasaraya telah dipastur dan ditapis. Ini memusnahkan ibu cuka dan lain-lain nutrien yang membuatkan ia tidak memberi apa-apa khasiat kecuali sebagai penambah perisa masakan. Kebanyakan daripada cuka ini dibuat daripada epal yang ditanam secara komersial menggunakan baja kimia dan racun perosak merbahaya. 

Jika terdapat ibu cuka (biasanya pada botol ACV dilabelkan dengan perkataan 'with the Mother') ia menandakan kehadiran faedah kesihatan yang tidak terkira. Ia menguatkan sistem pertahanan tubuh. Secara khususnya, ia membantu peredaran darah dengan penipisan sel darah dan memerangi kolesterol jahat, menghapuskan deposit mineral yang bertanggungjawab terhadap pembentukan asid urik yang menyebabkan penyakit arthritis.

Apabila diambil setiap pagi, ACV bertindak sebagai anti-bakteria dan anti-kulat. Ia juga boleh digunakan untuk membersihkan luka. Apabila disapu pada kulit, ia boleh melegakan gatal-gatal dan ruam.

ACV juga boleh membantu menurunkan berat badan. Ia membantu mengurangkan lemak berlebihan di dalam sel-sel dan mengurangkan selulit. Adalah sangat baik jika mengamalkan kira-kira dua sudu teh ACV setiap pagi dicampurkan dengan segelas air dan sedikit madu lebah untuk mengurangkan rasa masam cuka. 

Begitulah sebahagian dari manfaat yang didapati dari ACV. Tetapi untuk mendapat khasiat yang sebenar, selain memastikan ia organik, anda mestilah memilih ACV yang mengandungi 'Mother' atau ibu cuka. Kehadiran bahan berlendir atau ketulan-ketulan yang kelihatan di dalam botol memberitahu pengguna bahawa ia mengandungi ibu cuka. Ia mungkin kelihatan meloyakan tetapi ia tidak memudaratkan jika dimakan
.

Diantara kebaikan cuka epal organik ialah :
  • Menyembuhkan sakit tekak
  • Kencing manis dan tekanan darah tinggi
  • selsema
  • Mengimbangkan kadar kolesterol
  • Mengatasi  masalah kulit seperti jerawat
  • Mengatasi masalah keracunan makanan
  • Melawan allegik terhadap makanan atau haiwan
  • Mengembalikan tenaga selepas melakukan aktiviti berat seperti bersukan
  • Meningkatkan sistem pertahanan tubuh
  • Meningkatkan stamina
  • Meningkatkan tahap metabolisme seterusnya mengurangkan berat badan
  • Memperbaiki sistem pencernaan dan masalah sembelit
  • Mengurangkan masalah arthritis and gout
  • Mencegah batu karang dan jangkitan saluran kencing
Sesiapa yang mengutamakan kesihatan ahli keluarganya maka hendaklah memastikan  cuka epal organik ada di rumah. Sekiranya ingin membeli cuka epal organik disyorkan membeli yang tertulis ‘with mother’ yang bermaksud ibu cuka yang belum ditapis dan sangat bermanfaat untuk badan kita dan jangan beli yang telah ditapis atau dipastur yang tiada manfaat kalau meminumnya.

Jenama yang baru saya beli dan menepati ciri-ciri di atas ialah jenama ‘Bragg’[seperti gambar di atas]. Saya membelinya 3 botol di pasaraya Giants Kota Bharu ditakuti akan habis stok. Harganya ialah RM11.99 sebotol. Anda boleh mendapatinya di pasaraya besar di seluruh negara. Elakkan membeli dari syarikat MLM dan yang seerti dengannya kerana terlalu mahal dan dibimbangi bukan yang organik.

Mungkin anda akan mengeluh dan tidak tahan rasa masam cuka epal ini, maka anda disyorkan mencampurkannya dengan madu untuk mengurangkan kemasamannya. Disyorkan meminumnya tiga kali sehari sewaktu perut kosong terutama pada awal pagi sebelum memakan apa-apa. Semoga bermanfaat untuk semua.

Wallahu Ta'ala A'lam

Info tambahan :

Hadis nabi saw  mengenai cuka :

Daripada Jabir r.a :

"Bahawa Nabi s.a.w pernah menanyakan lauk kepada keluarganya, lalu mereka menjawab: 'Kami tidak memiliki apa-apa, selain cuka'. Baginda pun lalu minta diambilkan, lalu makan dengan berlauk cuka. Baginda bersabda: 'Sebaik-baik lauk adalah cuka, sebaik-baik lauk adalah cuka! " (Riwayat Muslim no.2052)

Rujukan

19 April, 2013

Tips Memakan Buah-buahan

AbuAqil aka AbuSakeena

Umumnya mengetahui bahawa buah-buahan sangat kaya dengan pelbagai vitamin dan serat. Namun ramai yang tidak mengetahui waktu terbaik untuk mengambilnya.

Banyak kebaikan yang akan diperolehi oleh badan kita sekiranya mengambil buah-buahan sebagai rutin harian ekoran kandungannya yang kaya dengan serat, vitamin, mineral terutama buah-buahan berwarna gelap (seperti anggur hitam, manggis) yang bertindak sebagai anti-oksida.

Buah-buahan juga merupakan alat semulajadi untuk nyah-toksik dalam badan dan pembekal gula semulajadi kepada badan. Buahan-buahan yang dimakan dengan cara yang betul akan menghasilkan kebaikan maksima untuk sistem tubuh. Pengambilan buah-buahan sebanyak 3 kali sehari akan mencuci tubuh anda daripada toksin dan membantu sistem pencernaan.

Persoalannya bilakah waktu terbaik untuk mengambil buah-buahan? Kebiasaannya kita mengambil buah-buahan selepas mengambil makan berat seperti nasi dan sebagainya. Adakah cara tersebut cara terbaik untuk mengambil buah-buahan.

Sekiranya anda tidak mempunyai masalah usus, mengambil buah-buahan sebelum memakan makanan lain adalah yang terbaik. Ini akan menjadikan segala nutrisi yang terdapat dalam buah akan lebih diserap oleh badan.

Kepada sesiapa yang ingin menurunkan berat badan, buah-buahan hendaklah dimakan sebelum mengambil hidangan makanan kerana perut akan berasa cepat kenyang. Tetapi kepada yang mempunyai masalah usus seperti gastrik atau ulcer boleh mengambil buah selepas memakan hidangan lain agar tiada pertambahan asid dalam perut.

Berikut disenaraikan beberapa tips pengambilan buah-buahan yang betul untuk mendapat kebaikan maksima :

1. Makan buah ketika perut kosong untuk meningkatkan kadar penyerapan nutrisi buah-buahan dalam tubuh.

2 Selepas memakan buah pastikan anda menunggu 30 minit sebelum mengambil hidangan berikutnya.

3. sekiranya anda ingin memakan buah selepas mengambil hidangan pastikan anda mengambilnya selepas 3 jam. Ini untuk memastikan makanan sebelumnya dicerna oleh badan sebelum buah-buahan dimakan.

4.  Cuba mengambil buah pada waktu pagi. Ini akan membantu meningkatkan kandungan gula secara beransur-ansur dan bukan secara mendadak. Kerana sistem pencernaan berehat sepanjang malam dan memakan buah merupakan cara terbaik untuk memulakan pagi anda.

5. jangan memakan buah bersama makanan lain.

6. Memakan buah sebagai ‘dessert’ tidak memberi hasil yang baik untuk badan.

7. makanlah buah-buahan organik untuk mengelakkan racun perosak yang masih terdapat dalam buah tersebut.

8. Hindari buah-buahan yang ditinkan, buah yang dibekukan atau buah yang telah diproses. Buah-buahan yang diproses biasanya mengandungi gula berlebihan, bahan pengawet dan pelbagai bahan kimia yang tidaka diperlukan.

SPM: Ism Lima (الأسماء الخمسة )

AbuAqil aka AbuSakeena

Berikut nota qawaid SPM tajuk Isim Lima (الأسماء الخمسة ) Fokus kepada I'rab kerana tajuk ini lebih menekankan soalan I'rab berbanding kenal pasti kerana keluarkan ism lima sangat senang. semoga bermanfaat untuk semua

Klik kanan pada gambar kemudian simpan.




13 April, 2013

Buah-Buahan Yang Membantu Mengurangkan Kolesterol

Sesiapa yang didapati mempunyai paras kolesterol yang tinggi biasanya akan mengambil ubat-ubat yang dibekalkan oleh pihak hospital tanpa membuat kajian kesan ubat tersebut terutama ubat yang paling berkesan untuk menurunkan kadar kolesterol iaitu statin.

Padahal terdapat alternatif lain yang boleh diambil iaitu sumber semulajadi yang dikurniakan oleh Allah. Di antaranya ialah buah-buahan tempatan yang mudah dan murah di pasaran. Antara buah-buahan yang didapati berkesan untuk menurunkan kadar kolesterol ialah :

1) Jambu batu

Jambu batu tergolong dalam kumpulan makanan berfungsi yang banyak mendatangkan manfaat kepada kesihatan manusia.

Bagaimanapun, pengambilan buah jambu batu perlu dibuat dalam jumlah yang mencukupi bagi memastikan khasiatnya berupaya memberi tindak balas kepada tubuh secara berkesan.

Ketua Unit Sains Pemakanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Rokiah Yusof berkata, orang ramai dinasihatkan supaya mengambil jambu batu sebanyak 400 gram sehari iaitu sebiji setengah selama empat minggu.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Simposium Makanan Berfungsi Asia Pasifik di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut beliau, buah itu perlu dimakan bersama kulit-kulitnya sekali kerana ia mengandungi khasiat yang tinggi.

Selain dimakan begitu sahaja buah jambu batu juga boleh dibuat jus tetapi cara penyediaannya perlu asli iaitu tidak ada gula di dalamnya.

Dr. Rokiah memberitahu, jambu batu sesuai diambil untuk amalan diet seimbang terutama bagi mereka yang mengalami masalah berat badan.

Beliau menasihatkan supaya buah jambu batu dijadikan sebagai amalan tetap dalam gaya pemakanan.

Katanya, bagi mereka yang menghadapi masalah paras kolesterol tinggi dalam darah, jambu batu boleh mengurangkan kolesterol iaitu 18.8 peratus dalam masa seminggu.

"Tetapi pesakit mestilah mengambil buah jambu batu setiap hari bagi memastikan keberkesanannya,'' ujar beliau.

2) Betik

Selain jambu batu, buah betik juga boleh menurunkan paras kolesterol sebanyak 19.2 peratus sekiranya diambil secara rutin dalam jangka waktu empat minggu.

Buah betik yang sudah dibuang biji dan kulitnya perlu diambil sebanyak 400 gram sehari.

3) Nanas

Nanas turut tergolong dalam kumpulan buah yang mengandungi vitamin yang tinggi dan ia boleh diambil dalam jumlah yang sama iaitu 400 gram.

Dr. Rokiah menjelaskan, asid yang ada dalam nanas membantu tubuh dan ia tidak memudaratkan mereka yang mengambilnya.

"Dalam nanas ada tambahan vitamin C dan nanas turut berfungsi sebagai antioksida.
"Malah nanas juga berupaya menurunkan paras kolesterol sebanyak 8.38 peratus dalam masa tiga minggu sahaja,'' katanya lagi.

4) Pisang emas

Bagi penggemar pisang emas pula mungkin ini merupakan berita gembira untuk anda kerana buah tersebut juga berfungsi mengurangkan paras kolesterol dalam darah.

Pisang emas boleh diambil sebanyak empat hingga lima biji sehari dalam tempoh empat minggu.

Bagaimanapun, pisang emas masih tidak dapat menandingi jambu batu yang disifatkan sebagai buah yang paling bagus diikuti dengan nanas, tembikai, belimbing dan betik.

Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil lima jenis hidangan buah-buahan sehari kerana ia membekalkan vitamin, mineral dan serat kepada tubuh.

Dalam pada itu, Dr. Rokiah juga menolak dakwaan segelintir masyarakat yang menyifatkan sesetengah buah seperti nanas dan betik sebagai ``tajam serta mendatangkan angin dalam tubuh.''

Menurut beliau, tidak terdapat bukti saintifik yang menunjukkan buah-buahan berkenaan memudaratkan kesihatan manusia.

"Ini hanya kepercayaan masyarakat. Tidak ada bukti saintifik yang membuktikan kenyataan mereka itu benar,'' terangnya.

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM telah menjalankan kajian terhadap khasiat buah-buahan tempatan sejak tiga tahun lalu.

"Kami memilih buah kerana semua orang suka makan buah. Ia berbeza dengan sayur-sayuran kerana tidak semua orang gemarkan sayur,'' jelas beliau.

Satu kajian UPM ke atas penduduk luar bandar pada tahun lalu menunjukkan buah-buahan tempatan seperti jambu batu, nanas dan betik berupaya membantu mengurangkan paras kolesterol dalam darah.

Dr. Rokiah berkata, walaupun orang kampung tidak terdedah kepada makanan ringan tetapi menerusi pemeriksaan kesihatan yang dilakukan, para penyelidik mendapati paras kolesterol dalam darah mereka tinggi.

UPM telah melakukan kaji selidik dengan memberi pesakit terbabit buah-buahan tempatan iaitu jambu batu, nanas, betik, tembikai dan belimbing mengikut sukatan yang ditetapkan.

Selepas tempoh tertentu, paras kolesterol dalam darah pesakit-pesakit terbabit diuji dan didapati telah berkurangan berbanding sebelumnya.

Dr. Rokiah kesal kerana orang ramai masih tidak mengambil buah-buahan dalam jumlah yang mencukupi.

"Masyarakat sekarang lebih gemar mengambil makanan tambahan dalam bentuk pil sedangkan ada segelintir daripada produk berkenaan diragui keberkesanannya,'' katanya.


Diedit dari sumber Utusan Online
Related Posts with Thumbnails
 
Share