Memaparkan catatan dengan label Umum. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Umum. Papar semua catatan

31 Ogos, 2013

Ingin Cemerlang Tapi...


AbuAqil aka AbuSakeena

Setiap pelajar ingin mencipta kecemerlangan dalam peperiksaan namun mereka tidak menepati asbab-asbab untuk Allah kurniaan kecemerlangan tersebut. Berikut ciri-ciri sikap negatif belajar yang boleh jadi penghalang kepada mereka untuk mencapai kejayaan.

Mereka ingin cemerlang namun tidak menguasai semua sukatan pelajaran yang ditetapkan

Mereka ingin cemerlang namun malas untuk menghafal apa yang disuruh

Mereka ingin cemerlang namun tidak berusaha untuk menguasai tajuk yang lemah

Mereka ingin cemerlang namun bersungut bila disuruh membuat pembetulan banyak kali untuk mengatasi kelemahan yang ada

Mereka ingin cemerlang namun sentiasa leka dalam membaca arahan dan kehendak soalan

Mereka ingin cemerlang namun tidak aktif untuk bertanya rakan yang pandai

Mereka ingin cemerlang namun bersikap malu untuk merujuk guru apa yang tidak difahami

Mereka ingin cemerlang namun tidak berusaha untuk menjawab soalan dengan keupayaan sendiri malah meniru dana bergantung kepada rakan

Mereka ingin cemerlang namun banyak mensia-siakan masa yang terluang dengan perkara tidak bermanfaat

Mereka ingin cemerlang namun liat untuk sujud dan menadah tangan memohon pertolongan Allah pada satu pertiga akhir malam


Semoga anda tidak bersikap seperti  di atas. Manfaatkan masa berbaki yang ada untuk perbaiki kelemahan dan atasi kekurangan yang ada. "Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna". Semoga kalian peroleh cita-cita yang diidamkan.

16 Mac, 2013

Keputusan SPM 2012 Diumum Khamis ini

AbuAqil aka AbuSakeena

Saat yang ditunggu-tunggu oleh calon-calon SPM 2012 bakal menjelma juga apda Khamis ini. Mereka semua pasti berdebar menanti hari tersebut. Begitu juga dengan guru-guru yang mengajar subjek SPM. PAsti semua ingin mencapai target yang telah ditetapkan. Bersama kita nantikan 21 Mac 2013 nanti

----------------------------

KUALA LUMPUR 15 Mac - Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 akan diumumkan pada 21 Mac ini.

Kementerian Pelajaran dalam kenyataan di sini hari ini berkata, calon-calon SPM boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing selepas pukul 10 pagi pada hari tersebut.

"Calon persendirian akan dimaklumkan melalui pos atau mereka boleh menghubungi Jabatan Pelajaran negeri iaitu tempat mereka mendaftar," demikian menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan, calon SPM juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan melalui mySMS dengan menaip SPM diikuti nombor kad pengenalan dan nombor angka giliran dengan setiap nombor itu dijarakkan dan dihantar ke 15888.

Jelasnya, perkhidmatan itu akan diaktifkan bermula pukul 10 pagi pada hari tersebut dan akan ditamatkan pukul 12 tengah malam 27 Mac ini.

Sumber Utusan Malaysia

19 Disember, 2012

PMR : Menangis Gembira Atau Kecewa?

Abu Aqil A.K.A Abu Sakeena

Artikel 2 tahun lepas ini mungkin bermanfaat kepada semu calon PMR yang mendapat keputusan pada hari ini [ 19 Dis 2012]. Diulang siar untuk manfaat bersama...Wallahu A'lam.
--------------------------------------------

Hari ini merupakan hari penentuan bagi calon-calon PMR  pada tahun ini. Detik ini ditunggu-tunggu dengan penuh debaran sama ada kejayaan yang diimpikan akan menjadi kenyataan atau kegagalan yang dicatatkan.

Senario biasa pada hari ini akan kelihatan ramai pelajar yang menangis teresak-esak. Sama ada menangis gembira kerana mendapat keputusan cemerlang atau menangis kecewa kerana target tersasar. Fenomena yang biasa dilihat pada hari keputusan peperiksaan diumumkan.

Bagi pelajar yang tiada komitmen dalam pelajaran mungkin tidak merasai debaran atau kebimbangan sedikit pun dihatinya. Namun bagi pelajar yang bertungkus-lumus dan berusaha dengan segala keupayaan pastinya tidak dapat tidur lena pada malam ini. Inilah masa untuk menuai hasil setelah pengorbanan yang memang memenatkan dengan masa yang banyak  dihabiskan dan  tenaga yang digunakan bertujuan untuk mencatat kegemilangan dalam akademik seterusnya untuk mengembirakan kedua orang tua, saudara-mara serta guru-guru.

02 April, 2012

Benarkah Sebaik-baik Jin Adalah Sejahat-jahat Manusia?


Beberapa hari lepas saya terbaca status di facebook yang mengatakan ' Sejahat-jahat manusia adalah sebaik-baik jin'. Adakah ini fakta atau kenyataan tanpa sandaran?. Artikel ini menjelaskannya.

-----------------------------------------------

Oleh : ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ
  
Seringkali dicanang dan dimomokkan di dalam cerita seram yang ditayangkan di television bahawa sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia. Kenyataan ini meragukan kerana tidak pernah dinyatakan asas sandarannya daripada Al-Quran dan hadis. Bagaimanapun, ia seolah-olah sudah menjadi fakta yang diterima ramai sehingga penerbit filem seram berani menggunakan kenyataan di atas sebagai dialog yang digunakan di dalam filem mereka.
Asas pertama yang perlu dipegang apabila membicarakan perihal jin dan malaikat ialah keimanan kepada perkara ghaib. Oleh kerana alam jin adalah alam ghaib yang terhalang daripada alam nyata. Manusia tidak boleh berbicara tentang jin kecuali mengikut neraca Al-Quran dan Al-Sunnah.

01 April, 2012

Ke Pesta Buku:Masih Belum Pulih Sepenuhnya

Dewan Jubli Perak yang penuh dengan pengunjung
Abuaqil aka AbuSakeena

" Dah pergi ke pameran buku?", saya terima sms apda awal pagi dari Asri, sahabat baik yang pulang bercuti hujung minggu dari Cameron Highands.

"Belum,kalau nak pergi tolong mari ambil kawe",Jawab saya.

Saya berasa sangat gembira kerana berpeluang untuk keluar berjalan-jalan di luar setelah dua minggu terkurung di rumah. Hari ini berpeluang ke Pesta Buku Kelantan yang diadakan di Dewan Jubli Perak, KB.

Asri datang ambil lebih kurang pukul 10.00 pagi. Suasana di sana agak sesak dengan pengunjung-pengunjung terutama rombongan sekolah. Penuh dengan para pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah. Ramai juga pengunjung yang datang berkeluarga untuk membeli buku-buku sama ada untuk diri sendiri atau anak-anak.

Setelah berjalan satu pusingan mencari buku agama yang berkenan, saya berasa tidak selesa dan pening. Mungkin disebabkan sesak sangat dengan orang-ramai. Saya mengambil keputusan berehat dan duduk di tangga untuk melegakan keadaan. Alhamdulillah nasib baik tidak ada apa-apa.

Orang-ramai sesak untuk melihat 'Upin dan Ipin'
Kebetulan hari tersebut menerima kunjungan 'Upin dan Ipin'. Saya sempat merakam aksi mereka untuk tatapan Sakeena, Aqil dan Syameel. Mereka peminat setia siri kartun ini.

Saya juga terpaksa membatalkan niat untuk membeli buku mewarna untuk anak-anak kerana tidak sanggup beratur panjang di kaunter bayaran. Saya hanya duduk di pintu masuk menunggu sahabat saya membayar buku yang dibelinya.

Moralnya walaupun saya tidak lagi berasa sakit di dada namun masih belum sembuh seperti sediakala. Dari segi luaran nampak sihat. Memang patut doktor memberi cuti rehat selama 42 hari agar dapat rehat dengan secukupnya.

Semoga Allah mengembalikan keupayaan diri ini seperti biasa malah lebih sihat dan afiat.


28 Mac, 2012

Terima Kasih di Atas Keprihatinan

AbuAqil aka AbuSakeena


Sejak saya dimasukkan ke dalam wad hinggalah tengahari tadi saya dikunjungi pelawat tidak putus-putus yang datang bertanya khabar. Alhamdulillah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengunjung sama ada sanak saudara, rakan guru, anak didik, ibubapa pelajar dan sahabat-handai. Semoga Allah merahmati kalian semua.
Rombongan guru SMK Putri Saadong


Lebih kurang pukul 2.45 petang tadi sebuah MPV Toyota Alphard masuk ke halaman rumah. Ingat siapa, rupa-rupanya rombongan pelawat paling ramai iaitu 9 orang yang terdiri daripada guru-guru perempuan SMK Putri Saadong. Sungguh mengharukan. 


Walaupun saya tidak lagi berkhidmat di sana namun keprihatinan mereka sangat mengkagumkan. Sikap mereka yang sangat mesra dan cakna membuatkan diri ini berasa sangat dihargai. Bangga kerana sempat mengenali dan bekerja bersama mereka walaupun hanya tiga tahun.


Ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pn Siti Norhaslida, Pn Tg Norsidah, Pn Atiah, Pn Rohana, Pn Hasmah, Pn Nurul Khairiah, Pn Norainawati, Pn Azizah dan Pn Ismiyati. Tidak dilupakan juga guru-guru yang tidak dapat hadir yang hanya memberi sumbangan dan berkirim salam.


Staf perempuan SMK Dato' Perdana
Tidak berapa lama kemudian tiba pula rombongan staf perempuan SMK Dato' Perdana yang terdiri daripada kerani, penyelia asrama dan pembantu makmal.


Guru-guru SMK Dato' Perdana


Lebih kurang pukul lima petang tiba pula rombongan guru perempuan SMK Dato' Perdana seramai empat orang iaitu cikgu Suzaina, Saliza, Nor Asyikin dan Nor Azila. Mereka datang sejurus lepas kelas tambahan petang. 


Merekalah rombongan perempuan pertama SMKDP dari kalangan guru yang datang melawat saya. Terima kasih banyak-banyak.




Bagi seorang pesakit, kehadiran pelawat akan menceriakannya kerana kebosanan dan mengharapkan doa mustajab daripadanya. Itulah kekuatan bagi seorang pesakit.


Semoga Allah membalas jasa baik anda dengan sebaik-baik balasan di dunia dan di akhirat dan semoga anda memperoleh selawat 70,000 para malaikat sebagaimana maksud hadis Nabi saw :
“Tidaklah seorang muslim menjenguk muslim yang lainnya pada pagi hari, kecuali 70000 malaikat akan berselawat untuknya hingga ke petang. Jika dia menjenguknya pada waktu petang, maka 70000 malaikat akan berselawat untuknya hingga pagi. Dan dia akan mendapatkan kebun yang penuh berisi buah-buahan di surga kelak.”[Imam Al-Tirmizi]

27 Mac, 2012

Adakah Pengalaman Pahit Akan Berulang?

AbuAqil aka AbuSakeena

Semalam ketika sedang melayan ibubapa pelajar yang datang menziarahi saya tiba-tiba menerima satu panggilan daripada SU SPM yang menyampaikan satu khabar yang sangat menganggu.

Nampak gayanya pengalaman sedih dan perit tahun lepas bila 10 orang pelajar 'drop' subjek Bahasa Arab semasa pendaftaran SPM akan berulang sekali lagi. Setakat ini dua orang pelajar dikatakan akan melakukannya. Tidak mustahil akan berjangkit kepada pelajar main.

saya yang masih dalam 'mood' rehat dan proses pemulihan jantung malas nak melayan tekanan emosi seperti masalah ini. Nasihat.. dah nasihat, motivasi..dah motivasi. Kalau mereka dah nekad untuk meneruskan niat negatif tersebut saya malas nak halang untuk mengelakkan tekanan dalam diri dan mengganggu proses pemulihan.

Yang mampu saya katakan...Insya Allah ustaz akan membantu sedaya upaya untuk semua anak didik memperoleh A nanti. Cuma kena bersabar. Buat masa ini saya perlu berehat seketika. Ini bukan pilihan saya, tapi ketentuan Allah dan ujian untuk diri ini dan semua pelajar. Sesungguhnya sabar itu sangat pahit dan sukar untuk dilakukan.

Doakan semoga Allah mengurniakan ketenangan jiwa kepada saya dan semoga sembuh secepat mungkin.

01 Mac, 2012

Keputusan STPM diumumkan Rabu depan


KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 akan diumumkan Rabu depan. 


Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam satu kenyataan di sini, hari ini berkata, calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai jam 12 tengah hari, manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos.
Calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM ResultNo.Kad Pengenalan dan hantar ke 15888.
Menurut MPM, keputusan juga boleh diperolehi dengan melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my mulai jam 12 tengah hari pada tarikh tersebut. 

Satu sidang media mengenai analisis keputusan peperiksaan akan diadakan pada tarikh yang sama pada jam 12 tengah hari di Dewan Besar, MPM, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor. 

Tahun lalu 50,602 calon menduduki peperiksaan STPM. Daripada jumlah itu, 46,817 orang adalah calon sekolah kerajaan, 1,266 calon sekolah swasta dan 2,519 calon persendirian. - BERNAMA



Berita Harian

21 Januari, 2012

5 Ibnu Sina 2012 ; Permulaan yang Baik

Barisan sasaran kecemerlangan SPM tahun 2012

AbuAqil aka AbuSakeena

Alhamdulillah setelah hampir tiga minggu P&P berjalan di kelas 5 Ibnu Sina kelihatan para pelajar amat fokus dan prihatin dengan topik yang dipelajari, tugasan yang diamanahkan untuk dihafal. Semoga semangat ini berterusan hingga ke akhir tahun.

Masih banyak kelemahan yang mesti diatasi  terutama kemahiran menulis. Disebabkan kurang pebendaharaan kata dan belum mahir asal perkataan sama ada masdar(kata terbitan, ism(kata nama) atau fe'el(kata kerja). Ditambah dengan wazan-wazan masdar masih belum dikuasai dengan baik.

Tahun ini kelas ini ditambah dengan dua orang ahli baru yang baru datang dari SMKA. Semoga kehadiran mereka akan lebih menceriakan kelas 5 Ibnu Sina.

Para pelajar 5 ibnu Sina yang majoritinya adalah pimipin pelajar di asrama diharap lebih komited, berdisiplin dan proaktif daripada abang dan kakak tahun lepas. Mereka bersaing dengan pelajar-pelajar dari kelas lain yang pasti akan lebih tekun untuk memperolehi kecemerlangan dalam akademik.

Insya Allah azam saya tahun ini untuk kelas ini ialah ingin memastikan mereka bersedia menghadapi B arab SPM dengan sebaik mungkin terutama penguasaan kemahiran mengarang insyak sendiri.

Semoga Allah mempermudahkan semua urusan kami untuk memperkasakan bahasa al-Quran.

13 Januari, 2012

2012 : Pengunjung Semakin Bertambah


AbuAqil aka AbuSakeena

Alhamdulillah masuk tahun baru 2012 yang lepas jumlah pengunjung ke Laman ilmu & tips belajar semakin bertambah hampir 100%. kalau dulu jumlah mengunjung sekitar 100-150 pengunjung sehari namun sekarang mencecah 300 dan kadang-kadang 400 pengunjung sehari.

Saya pun tidak tahu apa puncanya padahal blog ini tidak mampu untuk diupdate setiap hari kerana faktor kesibukan dengan tugas-tugas sebagai pendidik dan tiada idea untuk dipost.

Semoga peningkatan ini akan menaikkan semangat saya untuk terus mengemaskini isi blog ini dari semasa ke semasa.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada saya untuk terus berkongsi ilmu dan maklumat dari semasa ke semasa. Hanya dengan bantuan dan bimbingan Allah sahaja saya dapat mengemaskini blog ini. 

03 Januari, 2012

Pelajar Bersemangat Pada Hari Pertama

AbuAqil aka AbuSakeena

Ketika tiba di sekolah pada pukul 6.55 pagi, kelihatan telah ramai pelajar berjalan menuju ke kelas masing-masing.  Satu situasi yang tidak berlaku sebelum ini. Alhamdulillah semua pelajar penuh semangat pada hari pertama persekolahan. kata saya di dalam hati.

Hari ini 3 Januari 2012 merupakan hari pertama persekolahan sesi 2012 di seluruh negara. Hari ini juga semua guru agak kekalutan kerana dikunjungi oleh wakil dari JPN kelantan iaitu Tn Hj Abdul Aziz Abdullah Ketua Sektor bahagian sekolah. Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar dan memuaskan.

P&P berjalan seperti biasa sejak masa pertama 7.40 pagi. Hari ini juga saya memasuki kelas 5 Ibnu Sina dan memberi taklimat mengenai kertas Bahasa Arab. Mereka merupakan generasi pertama yang akan menduduki Bahasa Arab SPM yang menggantikan bahasa Arab Tinggi. Semoga anak-anak didik seramai 14 orang ini akan mencipta sejarah baru bahasa Arab nanti Insya Allah.

Pada pukul 9.00 pagi saya bergegas pula ke dewan peperiksaan untuk menyampaikan taklimat disiplin bagi pelajar tingkatan 4, pelajar yang mencipta keputusan PMR 2011 yang luar biasa. Sempat mengucapkan ucapan tahniah yang memberi sedikit garis panduan untuk menyambung pelajaran di sekolah baru nanti kalau mendapat tawaran. Banyak pesanan yang diberikan kepada pelajar berkaitan dengan hal-ehwal disiplin. Semoga mereka akan mematuhinya nanti.

Hari ini juga saya telah memasuki kelas tingkatan 2 Aked dan 2 Crystal. Mereka diberi taklimat mengenai subjek Bahasa Arab dan diberi penerangan mengenai cara belajar dengan ustaz Adnan. Semua pelajar kelihatan bersemangat dan bermotivasi pada hari pertama.

Semoga semua pelajar SMKDP akan berbudaya cemerlang dalam bidang akademik, ko-kurikulum dan sahsiah diri.

01 Januari, 2012

2012 : Azam dan Harapan

AbuAqil aka AbuSakeena

Hari ini menjejakkan kaki ke tahun baru dengan penuh semangat dan keazaman yang padu. Pengalaman yang dilalui pada tahun 2011 telah menjadi lembaran sejarah hidup. Pahit manis, suka duka dan pengalaman lalu akan dijadikan panduan untuk tahun 2012 ini yang pastinya semakin mencabar.

Azam saya tahun baru ini ialah untuk lebih fokus kepada keluarga tercinta dan anak-anak yang semakin membesar terutama anak sulung Muhammad Haziq Amsyar yang akan menduduki PMR diikuti Nur Aqilah Ahla akan belajar di tingkatan dua. Cabaran mendidik anak ternyata lebih sukar dari mendidik anak orang lain. Macam-macam ujian dan dugaan yang mencabar iman dan kesabaran.

Semoga mereka berdua akan mencapai kejayaan yang cemerlang dalam sahsiah diri dan akademik dan mampu menjadi perintis kecemerlangan kepada adik-adik.

Tahun 2011 agak mengabaikan anak-anak disebabkan tugas sebagai pendidik dan warden di sekolah SMKDP yang mengutamakan kecemerlangan. Peletakan jawatan sebagai warden diharap berjalan lancar sebagai salah satu usaha untuk memberi perhatian kepada keluarga. Semoga Allah mempermudahkan semua urusan.

Azam saya juga untuk lebih menguasai kemahiran dalam ilmu Bahasa Arab SPM memandangkan tahun ini akan membimbing anak-anak didik seramai 14 orang yang memilih untuk meneruskan kecemerlangan B Arab peringkat SPM dengan format baru. Masih menanti keputusan anak didik sulung B Arab SPM 2011 yang akan diumumkan Mac nanti. Semoga keputusan nanti akan mengembirakan semua pihak.

Sekiranya berkelapangan saya juga berazam untuk meluaskan sumbangan ilmu kepada semua pelajar yang ingin menguasai ilmu B. Arab sama ada akan mengajar di sekolah lain sekiranya dijemput atau akan mengadakan kelas tuisyen B arab di Pusat Bimbingan Qiraati Jelawat. Semoga ilmu yang sedikit di dada akan dapat dimanfaatkan kepada pelajar-pelajar yang berminat dengan bahasa al-Quran.

Tugas-tugas di sekolah pasti akan lebih padat memandangkan sekolah SMKDP telah mencapai keputusan PMR yang luar biasa pada akhir Disember lepas. Pihak sekolah pasti akan mengadakan pelbagai program kecemerlangan untuk meningkatkan kecemerlangan. Saya yang memikul tugas sebagai SU disiplin juga pasti akan sibuk untuk mendisiplinkan pelajar. Kerana kecemerlangan tidak akan dicapai tanpa memiliki tahap disiplin yang tinggi.

Tahun 2012 ini juga diharap akan dapat meningkatkan ketakwaan, keimanan dan amal soleh memandangkan usia yang semakin bertambah dan ajal kematian yang bakal tiba bila-bila masa sahaja. Semoga kesibukan dengan kehidupan di dunia tidak melalaikan diri ini dengan kehidupan yang hakiki kelak.

Harapan agar diri ini akan menjadi lebih baik, lebih cemerlang, lebih aktif dan lebih berdedikasi daripada sebelumnya dalam usaha untuk memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara. Semoga Allah merahmati dan membimbing kita semua ke jalan yang diredaiNya. 

30 Disember, 2011

Keindahan Pantai Irama Terjejas Teruk


AbuAqil aka AbuSakeena

Pagi semalam sempat pergi ke Pantai Irama bersama seorang teman untuk meninjau keadaan persisiran pantai yang rosak teruk akibat dihempas ombak besar beberapa hari yang lalu.


Pantai Irama merupakan pantai yang cantik, indah dan menjadi tarikan utama pelancong dan pengunjung ke Bachok  kini terjejas teruk. Beberapa wakaf yang dibina runtuh dan beberapa pokok ru tumbang akibat fenomena ombak besar yang melanda seluruh kawasan pantai di semenanjung.


Pantai inilah yang menjadi pilihan saya membawa anak-anak untuk bersantai pada hujung minggu sambil menikmati keropok goreng, ABC atau air kelapa. Keadaan air laut yang semakin hampir dengan jalan juga menyebabkan tiada lagi tempat untuk pengunjung lepak-lepak di atas pasir pantai bersama keluarga.

Semoga pihak berkuasa tempatan dapat memperbaiki kawasan yang rosak agar Pantai Irama terus cantik dan menjadi destinasi pilihan orang-ramai untuk berkelah dan bersantai lebih-lebih lagi tahun 2012 diistihar sebagai Tahun Melawat kelantan ( TMK )

28 Disember, 2011

Kepulangan Penuh Berliku

AbuAqil aka AbuSakeena

Semalam bersama tiga orang sahabat ustaz Yuazhar, ustaz pahruddin dan ustaz Che Kob bertolak pulang dengan kereta Mercedez lebih kurang 11.30 pagi selepas selesai semua urusan. Masing-masing tidak sabar untuk pulang setelah 2 minggu meninggalkan ahli keluarga.

Ketika sedang rancak berbual tiba-tiba terdengar gegaran pada tayar belakang selepas masuk tol Gombak. Setelah diperiksa rupa-rupanya tayar menjadi gelembung.

Kami terpaksa tukar tayar ganti. Setelah itu bunyi lagi kuat mungkin sebab menggunakan skru bukan untuk tayar ganti. Namun terpaksa bergerak juga dengan perlahan menuju ke bandar Bentong untuk menukar tayar baru di sana. Entah berapa kali berhenti. Akhirnya terpaksa tukar tayar asal yang gelembung tadi bila berbunyi teruk sangat. Terpaksa bergerak dengan sangat perlahan.

Setelah sampai di Bandar Bentong ustaz Yuazhar, tuan kereta terus tukar dua biji tayar. Kemudian terus mencari kedai makan kerana jam menunjukkan 3.00 petang dengan perut kosong.

Ingatkan bila tukar tayar masalah selesai rupa-rupanya masih berterusan sehingga masuk ke Gua Musang namun tidak kuat dan hanya berlaku kadang-kadang. Perjalanan diteruskan dan berhenti di Masjid Keroh Kuala Krai untuk solat Isyak dan maghrib. Ketika itu lebih kurang pukul 9.30 malam.

Singgah pula di kedai Mee Kg Pek untuk makan malam. Saya tiba di rumah 12.00 tengah malam setelah menghantar dua orang lagi rakan yang menumpang. Sungguh penat dan letih  terasa tubuh. Namun alhamdulillah selamat tiba walaupun mengambil masa lebih 12 jam. 

27 Disember, 2011

Kembali ke Kehidupan Seperti Biasa

AbuAqil aka AbuSakeena

Setelah 'bertapa' hampir dua minggu di sebuah hotel di Sepang, pagi ini saya akan kembali ke kehidupan seperti biasa. Sangat merindui penyejuk hatiku, anak-anak terutama Sakeena, Aqil dan Syameel. Allah saja yang tahu. Kelmarin pergi bersiar-siar di Nilai 3,pasar borong terkemuka. Sempat membeli pakaian untuk anak-anak sebagai buah tangan.

Alhamdulillah walaupun berada di perantauan namun masih sempat 'update' beberapa posting. Selepas ini Insya Allah akan diupdate seperti biasa sebelum tiba waktu sibuk bila persekolahan sesi 2012 bermula nanti.

Saya akan bertolak pada pagi ini dan dijangka tiba pada lewat petang. Semoga Allah mempermudahkan urusan dan semoga kami tiba dengan selamat. 

25 Disember, 2011

SMKDP kedua Terbaik Kelantan PMR 2011

AbuAqil aka Abu Sakeena

Ketika merayau-rayau di alam maya saya melawati blog akademik2. blogspot iaitu  blog sektor pendidikan akademik JPN Kelantan. Saya terbaca post terbarunya iaitu senarai 10 sekolah terbaik PMR 2011 peringkat negeri Kelantan yang baru diumumkan.

SMKDP berada di tempat kedua di belakang SM (Sains) TG. Muhd. Faris Petra yang juga muncul kedua terbaik keseluruhan SBP de belakang SM Sains Hulu Selangor yang mencatat GPS 1.00. SMKDP mencatat GPS 1.04 mengatasi seluruh sekolah Sains dan SMKA di Kelantan. Satu pencapaian yang sangat luar biasa. Kejayaan yang membanggakan semua warga SMKDP.

Berikut senarai lengkap sekolah yang mendapat pencapaian terbaik dalam PMR 2011 peringkat negeri Kelantan.

SM (Sains) TG. Muhd. Faris Petra ( 1.01)
SMK Dato Perdana Bachok (1.04)

SM (Sains)Machang (1.04)
SM (Sains) Pasir Puteh (1.05)
SMK Kubang Bemban, Pasir Mas (1.11)
SMK Naim Lil-Banat, Kota Bharu (1.12)
SMK Ahmad Maher, Kota Bharu (1.12)
SMK(A) Tok Bachok (1.15)
SMK Bachok (1.17)
Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu (1.18)


24 Disember, 2011

Nasihat Kepada Pelajar Cemerlang PMR 2011

AbuAqil aka AbuSakeena

Posting ini dituju khas kepada semua pelajar yang telah mencapai kecemerlangan dalam PMR. Sekalung tahniah kepada anda kerana membanggakan ibubapa dan semua guru anda.

Pasti pada masa kini anda dalam dilema dan fikiran melayang berkhayal akan belajar di sekolah baru yang lebih cemerlang. Kebiasaannya pelajar akan teruja untuk pindah ke sekolah lain untuk bertukar angin dan ingin mencuba suasana baru. Kebiasaannya pelajar yang cemerlang akan mendapat tawaran sama ada SBP, MRSM, SMKA atau sekolah kawalan Jabatan pendidikan. Ingat, pilihan yang salah akan menggugat kecemerlangan SPM dan masa depan anda.

Di sini saya ingin memberi beberapa nasihat sebagai panduan kepada para pelajar supaya keputusan anda nanti adalah yang terbaik untuk kecemerlangan anda pada masa depan.

1.  Kepada pelajar yang belajar di sekolah harian dan belum pernah tinggal di asrama, tanya diri anda adakah anda bersedia untuk menginap di asrama. Sekiranya anda mempunyai masalah kesihatan, budaya belajar anda secara bersendirian, tidak boleh beramai-ramai atau bising, pemakanan yang cerewet, tidak dapat berenggang dengan keluarga dan seumpamanya anda dinasihatkan agar tidak memilih untuk belajar di sekolah yang mewajibkan tinggal di asrama.

Berdasarkan pengalaman anak-anak didik saya sendiri terdapat ramai juga pelajar berpindah ke sekolah asrama akhirnya pulang ke sekolah asal kerana sebab-sebab di atas. bukan senang untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru, kawan baru, guru baru, cara belajar baru dan pendekatan P&P yang berbeza dan seumpamanya.

2. Pastikan sekolah pilihan anda lebih baik dari sekolah asal anda dari segi semua sudut sama kurikulum, ko-kurikulum dan sahsiah diri pelajar. Atau sekurang-kurangnya bandingkan pencapaian akademik sekolah tersebut dengan sekolah anda. Kalaulah pencapaian sekolah asal anda lebih baik dari sekolah yang ditawarkan lebih baik lupakan sahaja kerana anda telah berada di tempat yang betul. Bertukar ke sekolah baru bukan jaminan anda akan lebih cemerlang. Semuanya bergantung kepada diri anda sendiri. Pelajar yang membudayakan cara belajar yang cemerlang akan memperoleh kejayaan walau di mana saja dia berada.

3. Sekiranya anda mengambil subjek B Arab PMR dan berminat menyambungnya ke peringkat SPM, maka anda digalakkan memohon ke sekolah SMKA atau mana-mana sekolah yang menawarkan subjek B. Arab SPM. Perbetulkan niat belajar B. Arab untuk memahami al-Quran dan hadis Nabi saw. Jangan dibiarkan ilmu bahasa arab anda hilang begitu sahaja sedangkan ia amat penting untuk kehidupn dunia dan akhirat.

4. Setelah anda berpindah dan belajar di sekolah baru kemudian anda rasakan tidak sesuai dan menghadapi pelbagai masalah dan tekanan maka jangan malu untuk kembali ke sekolah asal, Jangan membuang masa kerana masa untuk persiapan SPM sangat singkat iaitu bermula ketika tingkatan 4 lagi.  ketepikan perasaan malu dan segan. Fikirkan masa depan anda yang sangat penting iaitu SPM.

Itulah beberapa nasihat yang boleh dijadikan panduan untuk pelajar semua. Semua nasihat di atas berdasarkan pengalaman anak-anak didik saya sendiri dan pemerhatian saya dalam alam pendidikan.

Buatlah pilihan sebaik-baiknya. Tanyalah orang yang pernah melaluinya dan buat research serta jangan lupa memohon pimpinan Ilahi dengan melaksanakan solat istikharah. Jangan sampai anda menjadi mangsa pepatah ' indah khabar dari rupa' bila berada di sekolah baru dan menyesal tidak sudah.

Pelajar OKU Cemerlang PMR Minat Mendalami B. Arab

Hadi yang dijulang oleh rakan-rakannya
AbuAqil aka AbuSakeena

Setahun yang lalu merupakan detik yang saat paling manis sebagai seorang pendidik iaitu bila 18 orang pelajar mendapat A dalam peperiksaan B. Arab PMR 2010 SMKPS. Tahun ini saya menumpang gembira juga sekolah SMKDP dan pelajar juga mencipta keputusa luar biasa. Alhamdulillah.

Ketika meneliti keputusan PMR 2011 seluruh negara saya tersentuh dengan semangat, komitmen dan ketabahan seorang pelajar OKU yang memperoleh 9A.

Pelajar tersebut bernama Muhammad Hadi Darus dari SMK Sungai Tiang Kedah. Beliau menulis dengan menggunakan kaki kerana tangannya cacat sejak kecil.

Cita-citanya untuk melanjutkan pelajaran di SMKA Kedah kerana ingin mendalami Bahasa Arab yang merupakan subjek kegemarannya.  

Subhanallah... satu semangat yang jarang ditemui dalam diri  pelajar pada masa kini. Umumnya takut bila mendengar subjek B. Arab dan menganggapnya ' killer subject' dan seumpamanya. Semoga semangat Hadi ini dapat dijadikan penyuntik dan motivasi kepada pelajar-pelajar lain yang juga mengambil subjek B Arab sama ada PMR atau SPM.

Semoga Allah mempermudahkan urusan Muhammad Hadi untuk mendalami bahasa al-Quran dan akan diberkati setiap masa.

23 Disember, 2011

PMR SMK Dato' Perdana di Utusan Malaysia

AbuAqil aka AbuSakeena

Awal pagi ini saya menerima sms ' jangan lupa beli akhbar utusan Malaysia hari ini'. Saya tertanya-tanya juga kenapa?. Lepas subuh terus online dan membelek akhbar tersebut dan rupa-rupanya berita keputusan PMR SMK Dato' Perdana terdapat di dalamnya. Cuma berita tersebut kurang sempurna kerana tiada foto. 

85 pelajar SMK Dato' Perdana dapat 8A, 9A

BACHOK 22 Dis. - Seramai 110 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Perdana dekat sini, bersyukur selepas sekolah berkenaan mencatat kelulusan seratus peratus dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 yang diumumkan hari ini.

Pengetua sekolah berkenaan, Khatimas Mohamood berkata, keputusan cemerlang itu turut mengembirakan pelajar terbabit apabila 85 daripada mereka mendapat 8A dan 9A sekali gus membantu meningkatkan Gred Purata Sekolah (GPS) kepada 1.04 berbanding 1.21 tahun lalu

Menurutnya, pada tahun lalu hanya 36 daripada 107 calon yang menduduki peperiksaan itu memperoleh keputusan cemerlang 8A.

"Ini menunjukkan satu lonjakan yang drastik hasil kesungguhan guru mengajar tanpa mengira waktu dan kegigihan pelajar memusatkan tumpuan terhadap pembelajaran berfokuskan peperiksaan," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian slip peperiksaan PMR 2011 kepada pelajar sekolah itu hari ini.

Khatimas berkata, program seperti motivasi pelajar, membangunkan sahsiah, kem solat, amalan membaca surah Yasin dan pembelajaran di bilik darjah merupakan pendorong kepada kecemerlangan yang dicapai pada tahun ini. 

sumber

22 Disember, 2011

Alhamdulillah Semua Dapat A

AbuAqil aka AbuSakeena

Alhamdulillah..semua pelajar 26 orang tingkatan 3 Aked memperoleh A kertas Bahasa Arab PMR. Namun agak kecewa kerana saya tidak dapat berkongsi kegembiraan dengan anak-anak didik kerana tugas yang tidak dapat dielakkan.

Tahniah kepada guru yang bertanggungjawab ustazah Asiah. Penat lelah selama ini telah diperolehi hasilnya. Saya hanyalah menumpang tuah kerana terlibat dengan kelas tambahan tingkatan 3 Aked. Tahniah juga kepada semua pelajar yang memperoleh 'Straight A" iaitu seramai 85 orang. Keputusan sangat luar biasa. Difahamkan SMKDP menduduki tempat kedua di peringkat negeri.

Alhamdulillah juga baru terima mesej daripada Ustazah Nurul Khairiah, memaklumkan seramai 18 orang anak didik SMK Putri saadong mendapat A. Kekal bilangan A tahun lepas. Hebat walaupun masa kelas tambahan nampak para pelajar macam banyak main-main.

Semoga keputusan BAT SPM akan menjejaki keputusan b. Arab PMR .. Insya Allah... doakan!
Related Posts with Thumbnails
 
Share