02 April, 2012
Benarkah Sebaik-baik Jin Adalah Sejahat-jahat Manusia?
Beberapa hari lepas saya terbaca status di facebook yang mengatakan ' Sejahat-jahat manusia adalah sebaik-baik jin'. Adakah ini fakta atau kenyataan tanpa sandaran?. Artikel ini menjelaskannya.
-----------------------------------------------
Oleh : ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ
Seringkali
dicanang dan dimomokkan di dalam cerita seram yang ditayangkan di television
bahawa sebaik-baik jin adalah
sejahat-jahat manusia. Kenyataan ini meragukan kerana tidak pernah dinyatakan
asas sandarannya daripada Al-Quran dan hadis. Bagaimanapun, ia seolah-olah
sudah menjadi fakta yang diterima ramai sehingga penerbit filem seram berani
menggunakan kenyataan di atas sebagai dialog yang digunakan di dalam filem
mereka.
Asas pertama yang perlu dipegang
apabila membicarakan perihal jin dan malaikat ialah keimanan kepada perkara
ghaib. Oleh kerana alam jin adalah alam ghaib yang terhalang daripada alam
nyata. Manusia tidak boleh berbicara tentang jin kecuali mengikut neraca
Al-Quran dan Al-Sunnah.
janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia
telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari syurga, sambil ia menyebabkan
terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat
mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat
kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya kami
telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak
beriman.
(Al-Araf :27)
Hanya kedua-dua sumber itu mampu
menelah dan menembusi alam jin. Sesiapa sahaja yang ingin mengutarakan buah
fikiran mengenai alam jin perlu terlebih dahulu merujuk Al-Quran dan Al-Sunnah
supaya umat Islam tidak berpegang kepada asas yang rapuh, tidak berasas atau
disuap dengan fakta karut dan khurafat yang tidak banyak membina iman dan
minda.
Kenyataan
yang terlalu umum "sebaik-baik jin
adalah sejahat-jahat manusia" ini secara tidak langsung akan
menzalimi sebahagian jin Islam yang dipuji Allah SWT dan disebut kisah mereka
di dalam Al-Quran. Mereka ialah generasi awal jin Islam yang bertanggungjawab
menyebarkan Islam kepada makhluk jin kerana jin dan manusia mempunyai
tanggungjawab agama dan akan dihisab di akhirat kelak (Al-Rahman [55:31-36]).
Generasi awal jin Islam yang disebut
kisah mereka dalam Al-Quran ini selayaknya digelar sahabat nabi kerana memenuhi
ciri serta takrifan para ulama hadis iaitu sesiapa sahaja yang bertemu dan
beriman dengan Nabi Muhammad SAW.
Sekiranya
kenyataan "sebaik-baik jin adalah
sejahat-jahat manusia" ini terus dipegang, kita secara tidak
langsung akan menghukum para sahabat Nabi Muhammad SAW jauh lebih jahat
daripada manusia, sedangkan para ulama sepakat mengatakan para sahabat adalah
adil dan baik.
Generasi awal jin ini juga diiktiraf
sebagai rasul atau utusan pendakwah dalam kalangan mereka.
Firman Allah:
"Wahai sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang
kepada kamu rasul-rasul daripada kalangan kamu sendiri, yang menyampaikan
kepada kamu ayat-ayatKu (perintah-perintahKu), dan yang memberikan amaran
kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari (kiamat) ini?")
(Al-An'am : 130)
Hakikatnya,
para rasul hanya diutus dalam kalangan manusia. Namun begitu, rasul dari
kalangan jin dalam ayat ini adalah wakil kepada rasul atau pendakwah dari
kalangan jin yang mendengar bacaan Al-Quran yang dibaca oleh Nabi Muhammad SAW(Tafsir
al-Razi).
Kisah mereka ini boleh didapati di dalam Al-Quran.
Sebuah
hadis turut merekodkan baginda Rasulullah SAW pernah memuji para sahabatnya
dari golongan jin yang begitu sensitif terhadap Al-Quran. Baginda pernah
membacakan surah Al-Rahman dari awal sehingga akhir kepada para sahabat. Selain
itu, para ulama hadis seperti Imam Ibn Hajar Al-Asqalani tidak ketinggalan
menyenaraikan nama golongan awal jin bersama nama para sahabat nabi yang lain.
Antara nama yang disebut adalah Zawba'ah, Al-Adras, Hasir,
Khasir dan
sebagainya (Al-Isabah fi Ma'rifat
aAl-Sahabah).
Mungkin ada segelintir pihak cuba
mempertahankan kenyataan meragukan tersebut dengan mengatakan bukti harian jelas
menunjukkan jin banyak melakukan kerosakan dan kebiadapan terhadap manusia.
Banyak sekali hasutan dan rasukan berlaku yang memporak perandakan hidup
manusia. Sebenarnya kejahatan serta kebiadapan itu tidak hanya berpunca
daripada jin, bahkan ia juga berpunca daripada kejahatan manusia.
Firman Allah SWT:
"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di
darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia,
(timbulnya yang demikian) kerana Allah SWT hendak merasakan mereka sebahagian
daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya
mereka kembali (insaf dan bertaubat)." Katakanlah: "Mengembaralah
kamu di muka bumi ini, kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang
telah lalu (yang telah dibinasakan). Kebanyakan mereka adalah orang-orang
musyrik."(Al-Rum : 41-42)
Oleh itu, pihak yang selalu menggunakan
kenyataan tersebut perlu terlebih dahulu merujuk kepada sumber Islam bagi
mengelakkan kejadian sebegini terus berlaku.
0 comments:
Catat Ulasan