Memaparkan catatan dengan label Ancaman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ancaman. Papar semua catatan

27 Julai, 2012

Awas kesan buruk merokok sebaik berbuka


Al Ain: Berbuka puasa dengan menghisap rokok boleh membawa maut, kata seorang pakar yang menggesa orang Islam membuang tabiat merokok ketika Ramadan. 

Perbuatan merokok boleh memberi bahaya kepada seseorang yang berpuasa kerana anggota badan mereka cuba untuk pulih selepas tidak minum atau makan dalam tempoh yang lama, katanya. 
Pakar itu juga menekankan, perokok dikira bernasib baik sekiranya mereka tidak mempunyai masalah jantung berpunca daripada tabiat berkenaan. 

Merokok adalah perkara buruk yang dilakukan seseorang terhadap badan mereka terutama selepas berbuka puasa di bulan Ramadan, kata seorang pakar perubatan dalaman di Pusat Perubatan dan Klinik Emirates di Al Ain, Dr Riaz Ahmad Minhas.
 

Disebabkan berpuasa, badan amat memerlukan air, glukos dan oksigen. Sebaliknya, merokok boleh menyekat saluran darah, menghalang aliran oksigen yang diperlukan. Merokok pada waktu kritikal juga boleh menyebabkan darah menjadi beku.
 

Ini boleh menyebabkan pembuluh darah tersekat sekali gus meningkatkan tekanan darah, spasms (kesesakan arteri) mengganggu degupan jantung dan meningkatkan kolesterol.
 

Ia boleh menyebabkan perokok maut. Sebab itu, perokok perlu berhati-hati dalam perkara ini, kata Dr Minhas.
 

16 Jun, 2012

EURO 2012 : Jangan Sampai Mengabaikan Amanah


AbuAqil aka AbuSakeena

Kini tiba lagi musim orang ramai terutama kaki bola berjaga malam kerana menyaksikan perlawanan bola sepak secara langsung dari poland-Ukraine. Maka ramailah yang mengantuk pada keesokan harinya menyebabkan kewajipan dan amanah terabai. Ada pelajar yang tersenguk-senguk semasa guru mengajar, guru yang tidur di bilik guru kerana mengantuk, kakitangan pejabat yang kurang produktif dan sebagainya. Semuanya kerana berjaga malam.

Diingatkan hobi jangan sampai menyebabkan kita mengabaikan ‘hardcore business’. Tidak salah untuk berjaga malam namun pastikan tugas harian kita tidak terabai. Satu lagi amanah yang terganggu diakibatkan tidak cukup tidur ialah tubuh badan kita. Menjaga kesihatan adalah wajib.

Berikut adalah kajian yang menunjukkan bahaya dan mudarat tidak memberikan rehat yang cukup kepada badan.

1 kajian dijalankan dan dipamerkan di bawah tajuk Cell Metabolism menggunakan 2 kumpulan tikus. Satu kumpulan diberi makan sebanyak yang ia mahu sepanjang hari dan satu lagi kumpulan diberi jumlah yang sama tetapi pada waktu malam sahaja. Tikus berbeza masa aktifnya berbanding manusia yang mana  bebanyakan aktif pada waktu siang. Kumpulan mana yang tambah berat?


Kajian menunjukkan kumpulan yang makan sepanjang hari berakhir dengan irama circadianyang lemah dan menjadi gemuk walaupun mereka makan jumlah kalori yang sama dengan satu kumpulan lagi yang hanya makan untuk satu jangka masa dan berpuasa untuk satu jangka masa. Bukan itu sahaja, mereka juga mengalami kesan buruk lain seperti intoleransi glukosa, masalah koordinasi motor dan sebagainya.

Badan kita direka untuk berpuasa semalaman. Otak kita perlu berehat di waktu malam. Perut dan sistem penghadaman badan perlu berehat dari memproses makanan. Jika ia berterusan bekerja, organ-organ kita akan berada dalam keadaan keletihan metabolik.
Cuba bandingkan dengan kehidupan dan budaya kita sekarang. seseorang yang balik berehat di rumah dengan seorang yang melepak di kedai mamak tonton bola sehingga lewat malam. Kecenderungan untuk menambah kalori itu sentiasa ada ketika lepak di kedai mamak. Lebih baik kalori tambahan itu dimasukkan di waktu siang dan beri badan rehat di malam hari, atau bergantung pada syif kerja anda.

11 April, 2012

Adakah Berat Badan Anda Unggul, Kurus Atau Gemuk?

AbuAqil aka AbuSakeena

Tubuh badan yang gemuk terdedah kepada pelbagai penyakit yang berbahaya seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, gout, serangan jantung dan macam-macam penyakit lagi. Berapakah berat badan unggul  yang disifatkan sebagai normal dan sihat? Ia bergantung kepada ketinggian anda.

Untuk mengukur berat badan yang ideal,  anda perlu tahu berat badan dan tinggi semasa. “Alah, saya tak tahu la berat badan dan tinggi saya berapa?”. Ini alasan yang tidak boleh diterima. Di pusat belah sekarang banyak diletakkan alat penimbang 2 dalam 1. Masukkan 2 keping syiling 20 sen maka ia akan terus memaparkan berat dan tinggi anda. Mudah bukan?

Cara mengira berat badan ideal  atau  Body Mass Index [BMI] ialah :

10 April, 2012

Awasi Kolesterol Dalam Tubuh Anda!


kolesterol…istilah yang biasa kita dengar. Namun adakah kita benar-benar mengenalinya? Adakah kita benar-benar berusaha untuk menghindarinya dalam pola pemakanan seharian kita. Kalau tidak, lebih baik anda berhati-hati kerana benda ini merupakan penyebab seseorang  di serang stroke atau serangan jantung… AbuAqil aka AbuSakeena
-----------------------------------------------------------
APABILA bercerita mengenai kolesterol, biasanya hanya mereka yang berbadan gemuk atau berisi dikatakan akan berdepan dengan masalah ini.
Bagaimanapun tanggapan itu sebenarnya memang salah. Kandungan kolesterol yang tinggi dalam darah tidak bergantung kepada saiz badan seseorang.
Jadi tidak pelik jika seorang yang kurus mempunyai paras kolesterol yang tinggi.
Pakar Diet Hospital Pusrawi, Mazuin Kamarulzaman berkata, kolesterol tidak boleh dilihat dengan mata kasar kerana ia berada dalam saluran darah.
”Hanya melalui profil lipid yang menerusi ujian darah yang merangkumi jumlah kolesterol lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL), Kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) dan trigliserida dapat mendapatkan jumlah sebenar kolesterol dalam tubuh,” katanya.
Katanya, sebaik-baiknya kandungan kolesterol dalam badan seseorang dewasa itu perlu di bawah 5.2 mmol/L.

Kesedaran Selepas ‘Teguran’ Rabb



AbuAqil aka AbuSakeena

Setelah tiga minggu menjalankan operasi angiogram,  keadaan saya sekarang berasa semakin sihat namun masih berhati-hati dan mengelak melakukan aktiviti berat. Berpegang dengan pesanan dan nasihat doktor.

Semalam saya menghadiri sesi fisioterapi kali kedua. Aktiviti berjalan kaki, berkayuh dan mengangkat dumbell dapat dilakukan dengan baik dan mencatatkan denyutan nadi yang stabil dan normal. Alhamdulillah.

Selepas itu saya pergi ke pusat beli-belah Nirwana untuk membeli beberapa keperluan kesihatan. Saya membeli buah epal dan madu. Alhamdulillah, selepas ‘ditegur’  baru ini saya dapat kekuatan untuk mengubah tabiat pemakanan. Begitu juga dengan ahli keluarga yang lain termasuk isteri, mak, adik-beradik dan rakan-rakan yang rapat. Semua berhati-hati dan tidak mengambil sembarangan makanan. Itulah salah satu hikmah.

Ketika menziarahi anak-anak didik di asrama Rabu lepas, saya dimaklumkan tubuh saya kelihatan kurus. Bila saya menimbang berat badan ternyata benar. Berat badan asal ialah 70 kg telah susut sebanyak 4 kg dalam masa 3 minggu menjadi 66 kg dengan ketinggian 164 cm. Setelah dikira untuk berat badan ideal,badan saya termasuk dalam kategori  normal namun hampir dengan ‘overweight’. Saya berazam untuk menurunkan berat badan agar berada dalam lingkungan 55-60 kg. Semoga Allah mempermudahkan. Makan untuk sihat dan makan untuk menghindari penyakit.


Adik-beradik saya majoritinya telah menderita sakit kencing manis yang diwarisi daripada bapa. Arwah bapa dan kakak sulung  telah diambil nyawa berasbabkan penyakit tersebut. Alhamdulillah setakat ini saya dan tiga orang adik-beradik tiada penyakit kencing manis. Harap-harap berkekalan.  

Namun tidak mustahil saya juga akan mendapat penyakit kencing manis sekiranya saya tidak diuji baru ini kerana tabiat pemakanan yang tidak berhemah. Kerana saya seperti majoriti orang kita yang lain, hanya tahu makan. Tahu makanan yang memudaratkan namun tidak mampu menahan nafsu makan. Kenapa? Kerana berasa sihat dan tidak berlaku apa-apa pun.

Insya Allah saya akan kongsikan semua nasihat, informasi kesihatan, pemakanan untuk kesihatan di blog saya untuk dimanfaatkan oleh semua pembaca.

Sesiapa sahaja mesti berubah ke arah kebaikan. Tiada kebaikan yang  diidamkan melainkan dapat mengecapi kehidupan dengan keadaan sihat dan afiat untuk mengabdikan diri kepada Rabb. Namun budaya pemakanan orang kita lebih menjurus ke arah mendapat penyakit. Ini adalah realiti. Ramai yang tahu jenis makanan yang boleh memudaratkan namun tidak mampu untuk menyekat nafsu makannya.

Tahu tapi tidak mampu. Apa puncanya? Kerana rasa tidak ada apa-apa yang buruk berlaku. Berasa sihat. Ya betul, rasa sihat sebelum anda jatuh tumbang. Dibimbangi tumbang yang tidak mampu untuk bangkit, jatuh dengan denyutan jantung berhenti. Ramai yang telah ‘menemuinya’. Adakah anda ingin menjadi seperti mereka?

Allah memberikan kita jasad yang sempurna dan sihat dan menjadi amanah untuk kita menjaganya. Namun kita merosakkan jasad kita dengan memakan pelbagai makanan walaupun halal. Berdosakah kita atau tidak? Semoga  berfikir sejenak sebelum kita jatuh tumbang.

07 April, 2012

Hakikat Maut : Berehat Atau Direhatkan


Oleh : Abu Saif

“Kalaulah Tsunami itu berpunca daripada murka Allah, kenapa Tsunami tidak melanda negara orang-orang jahat? Mengapa Acheh?” soal seorang lelaki.
“Kasihan anak kecil itu. Mati tersedak susu!” keluh seorang penonton berita.
“Lu punya perangai, pigi mampos lagi baik maa!” marah seorang warga kota.

Ada pelbagai ungkapan tentang kematian. Ada yang lega. Ada yang mempersoalkan. Ada yang kehairanan. Ada yang seperti tidak berbaloi. Ada yang semacam mempersoalkan nilai keadilan. Persoalan-persoalan yang sukar dijawab kerana si mati sudah tidak boleh bercerita tentang kehidupannya selepas mati.
Urusan alam ghaib.
Kecuali datang penjelasan seorang insan, yang juga manusia seperti kita, tetapi insan mulia itu dipilih Allah menjadi jambatan pada menyampaikan urusan ghaib daripada ‘Aalem al-Ghaib wa al-Syahadah kepada makhluq penghuni alam nyata. Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Sekujur jenazah dibawa melintasi Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Lalu Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda: KEREHATAN atau DIREHATKAN DARIPADANYA. Baginda ditanya, apakah maksud kerehatan dan direhatkan daripadanya itu? Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam menjawab: Seorang hamba yang beriman, (dengan kematian itu) dia direhatkan daripada kesusahan dunia dan dibawa kepada rahmat Allah. Ada pun hamba yang jahat, kematian itu telah menyebabkan hamba-hamba Allah, tanah air, pohon-pohon dan haiwan-haiwan direhatkan daripadanya! [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Dalam Tsunami, orang baik-baik yang mati, direhatkan daripada keletihan dan penderitaan dunia. Orang-orang jahat pula, kematiannya merehatkan alam semesta.
Anak-anak yang meninggal dunia kerana kemalangan yang disabitkan oleh ibu bapa cuai yang tiadacommon sense, diselamatkan daripada terus hidup bersama dua manusia dewasa yang cacat cara berfikir. Anak-anak yang berisiko ketika bersama ibubapanya sendiri, yang sepatutnya menjadi pelindung kepada diri.

Berapa ramai manusia yang kematiannya adalah sebuah kurniaan kepada diri?
Berapa ramai manusia yang kematiannya adalah sebuah kurniaan kepada semua yang ditinggalkannya?
Muhasabahlah sementara hidup, apakah matimu sebuah kerehatan, atau kejinya kamu hingga manusia hanya dapat berehat daripada kecelaan dirimu tatkala engkau mati? Mati bukan di tangan kita. Hidup, kita diberikan kebebasan membuat pilihan.
Pilihlah sesuatu yang berbaloi, untuk kehidupan yang satu ini.
Sumber : saifulislam

03 April, 2012

Hadith Palsu Tentang Adab Potong Kuku


AbuAqil aka Abu Sakeena

Telah lama tersebar hadis palsu sama ada melalui mulut penceramah atau melalui alam maya seperti di facebook dan seumpamanya. Golongan yang suka menyebarkan perkara ini disebabkan jahil dan tidak tahu apa akibat berdusta atas nama Rasulullah saw. 
Ini merupakan satu jenayah yang sangat besar bila kita menyebarkan hadis palsu dan menyandarkan sesuatu ucapan kepada Nabi saw. Lebih baik berhati-hati daripada anda menempah tempat tinggal di neraka sebagaimana hadis bertaraf mutawatir yang menjelaskan akibat berdusta atas nama Nabi saw.
Hukum memotong kuku sememangnya sunnah Nabi saw. Cuma yang menjadi masalah ialah bila disandarkan cara-cara memotong kuku tersebut kepada Nabi saw padahal baginda tidak menyebutnya. Tidak menjadi masalah kalau kita hendak memotong kuku mengikut cara yang diterangkan. Menjadi kesalahan besar bila kita mengatakan ' cara memotong kuku mengikut sunnah'.
Saya menukilkan jawapan daripada al-akh Abdul kadir bin Sahak mengenai status hadis tersebut.

31 Mac, 2012

Jangan Ada Hasad Dengki di Hati


AbuAqil akan AbuSakeena

Hasad bermaksud perasaan inginkan agar nikmat atau kelebihan atau kebolehan atau keistimewaan yang ada pada insan lain terhapus. 

Penyakit hasad ini sangat sinonim dengan orang Melayu. Mereka yang berasa tidak senang, benci dan tidak puashati bila seseorang mendapat kebaikan atau kelebihan dijangkiti virus hasad. Penyakit ini menyerang sesiapa sahaja sama ada orang alim, ahli ibadat, orang kaya,orang miskin, terpelajar atau si jahil.

Seseorang yang hasad selalu gelisah dan tidak tenang melihat apa yang dimiliki oleh pihak yang dihasadnya. Mereka tidak akan duduk diam malah akan bertindak jahat sama ada mengeji, mencela, mengumpat atau menyebar fitnah untuk memburuk-burukkan orang tersebut.

Nabi saw telah memberi amaran bahawa penyakit ini akan menimpa umatnya dan akan merosakkan agamanya. Rasulullah saw Nabi s.a.w bersabda: 

“Akan menjalar kepada kamu penyakit umat-umat yang terdahulu; hasad dan benci membenci. Itu sebenarnya pencukur. Aku tidak menyatakan pencukur rambut, tetapi ia mencukur agama” (Riwayat

 Allah juga mengingatkan kita dengan firmannya: (maksudnya) apakah patut mereka itu dengki kepada manusia disebabkan kelebihan yang Allah berikan kepada mereka? (Surah Ali ‘Imran: 54)

Bagi si pendengki atau kaki hasad ini, berita gembira untuknya bukan ajaran al-Quran atau sunnah, tapi kisah keburukan lawannya. Jika ada isu buruk orang dihasadnya, ceria dan tersenyum wajahnya. Jika ada kebaikan orang yang dihasadnya pula maka bermasam mukalah dia. Amat berbeza watak seperti ini dari ajaran Allah dan RasulNya yang menyuruh kita bergembira dengan berita baik dan berdukacita dengan berita jahat yang menimpa saudara muslim.


Justeru itu Nabi s.a.w bersabda:

Manusia ini terus berada dalam kebaikan selagi mereka tidak dengki-mendengki (Riwayat al-Tabarani, disahihkan oleh al-Albani).

Sabdanya juga:

“Tidak akan terhimpun dalam jiwa hamba Allah iman bersama dengan hasad” (Riwayat Ibn Hibban dihasankan oleh Al-Albani).

Semoga Allah memelihara hati kita daripada penyakit hasad dengki ini.

06 Februari, 2012

Maulid : Musim Memfitnah Saidina Umar al-Khattab

AbuAqil aka AbuSakeena

1. Semalam sekolah saya mengadakan majlis sambutan maulidul Rasul peringkat asrama. maka dijemput penceramah untuk menyampaikan ceramah. Antara isi kandungan yang sempat didengar ialah kisah Saidina Umar yang membunuh anak perempuannya.

2. ketika mendengar radio saluran IKIM penceramah secara detail menghuraikan kisah saidina Umar membunuh anak perempuannya hidup-hidup dengan nada yang sedih menagih simpati pendengar-pendengar agar berasa kasihan kepada si anak yang berdepan dengan bapanya saidina Umar yang sangat kejam.

Mungkin ramai lagi penceramah-penceramah yang menyebarkan kisah batil sedemikian sepanjang musim maulid ini.

Perasaan geram, marah pun ada dan perasaan kasihan pun ada kepada pemfitnah-pemfintah saidina Umar.
Geram dan marah kerana sungguh lancang mulut mereka melontar kisah mengarut mengenai saidina Umar, salah seorang sahabat sepuluh yang dijamin syurga. Bersedialah kamu untuk menyediakan pahala untuk Saidina Umar di akhirat nanti.

Kasihan kerana mereka termakan umpan musuh Islam untuk memburuk-burukkan Amirul Mukminin yang adil dan zuhud. Budaya menelan dan menerima semua cerita tanpa usul periksa dan membuat kajian merupakan satu budaya yang sangat jijik dan jelik di kalangan penceramah agama. Padahal masa masa kini sumber hanyalah dihujung jari di alam maya. Petik sahaja papan kekunci, akan keluar pelbagai sumber dan rujukan untuk mengesahkan sesuatu berita. namun sayangnya cerita bohong dan dusta yang dipilih untuk  menyedapkan halwa telinga dan sebagai modal ceramah.

Adakah benar Saidina Umar membunuh anak perempuannya?

Bacalah dan hayati huraian mantap maulana Mohd Asri Yusoff di link berikut :

Benarkah Sayyidina Umar Pernah Membunuh Anak Perempuannya?

26 Januari, 2012

Muhasabah : Bagaimanakah Keadaan Aku di Padang Mahsyar Nanti?


AbuAqil aka AbuSakeena
 Kesibukan dengan kehidupan dunia menyebabkan kita lalai untuk bermuhasabah dan merenung keadaan diri kita dalam kehidupan hakiki iaitu kehidupan selepas dijemput maut. Bermula dengan dengan alam persinggahan di alam barzakh, dibangkitkan semula, perhimpunan di mahsyar, penerimaan buku catatan amalan, hisab amalan, timbangan amal, melintas titian sirat dan penentuan syurga atau neraka.
Muhasabah sangat penting kerana kita sentiasa akan berhati-hati dalam menjalani kehidupan agar sentiasa mematuhi arahan Allah dan berusaha mengelak melakukan laranganNya.
Bagaimanakah keadaan aku ketika dibangkitkan dari kubur nanti?
Semoga aku peroleh perlindungan Allah ketika itu. Sabda Rasulullah saw :
“Manusia akan dikumpulkan pada hari Kiamat dalam keadaan berkaki ayam (tidak beralas), bertelanjang dan belum dikhitan.” [ Imam Muslim]
Semoga aku mendapat persalinan dari Allah sebagaimana Nabi Ibrahim a.s perolehi. Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya orang pertama yang diberi pakaian pada hari Kiamat adalah Nabi Ibrahim.” [Imam al-Bukhari]
Aku juga berharap agar beroleh rahmat Allah ketika manusia berkumpul di Mahsyar nanti dan tidak termasuk golongan yang diseret di atas muka mereka.
 Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya kamu akan dikumpulkan (ke Padang Mahsyar) dalam keadaan berjalan, dan (ada juga yang) berkendaraan, serta (ada juga yang) diseret di atas wajah-wajah kamu.” [al-Tirmizi, dan beliau mengatakan, “Hadits hasan]
Aku sangat berharap agar peroleh tidak termasuk dalam golongan yang didekatkan matahari sehingga manusia tenggelam dalam peluh mereka sendiri.
Rasulullah saw bersabda:
“Pada hari kiamat, matahari didekatkan jaraknya terhadap makhluk hingga tinggal sejauh satu mil.” –Sulaim bin Amir (perawi hadits ini) berkata: “Demi Allah, aku tidak tahu apa yang dimaksud dengan mil. Apakah ukuran jarak perjalanan, atau alat yang dipakai untuk bercelak mata?” Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Sehingga manusia tersiksa dalam keringatnya sesuai dengan kadar amal-amalnya (yakni dosa-dosanya). Di antara mereka ada yang peluhnya sampai kedua buku lalinya. Ada yang sampai kedua lututnya, dan ada yang sampai pinggangnya, serta ada yang tenggelam dalam peluhnya.”Rasulullah saw memberikan isyarat dengan meletakkan tangan ke mulut beliau.” [Imam Muslim]
Aku berdoa ya Rabb agar aku termasuk dalam tujuh golongan memperoleh naungan Allah nanti. Mafhum hadis sahih yang bermaksud : 
“Ada tujuh golongan yang akan dinaungi oleh Allah dengan naungan ‘Arsy-Nya pada hari dimana tidak ada naungan kecuali hanya naungan-Nya semata.
1.    Imam (pemimpin) yang adil.
2.    Pemuda yang membesar dalam beribadah kepada Rabbnya.
3.    Seseorang yang hatinya senantiasa terpaut pada masjid.
4.    Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, dimana keduanya berjumpa dan berpisah kerana Allah.
5.    Dan seorang laki-laki yang diajak (berzina) oleh seorang wanita yang berkedudukan lagi cantik rupawan, lalu ia mengatakan: “Sungguh aku takut kepada Allah.”
6.    Seseorang yang bersedekah lalu merahsiakannya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya.
7.   Dan orang yang berzikir kepada Allah di waktu sunyi, lalu berlinanglah air matanya.” [ Imam al-Bukhari dan Muslim]
Ya Rabb rahmatilah aku agar termasuk dalam golongan yang Engkau memuliakan mereka di padang mahsyar nanti. Hanya kepadaMu aku mengabdikan diri dan hanya kepadaMu aku memohon pertolongan.

23 Januari, 2012

Jangan Jadi manusia Paling Lemah dan Paling Bakhil


AbuAqil aka AbuSakeena
Tahukah anda siapakah manusia paling lemah dan manusia paling kedekut?. Orang paling lemah bukan seorang yang tiada kekuatan tenaga fizikil, tubuh lemah longlai dan orang yang paling kedekut bukan kedekut duit atau harta benda. Jawapannya terkandung dalam sabdaan Nabi saw yang bermaksud :
Ų£َŲ¹ْŲ¬َŲ²ُ النَّŲ§Ų³ِ Ł…َنْ Ų¹َŲ¬ِŲ²َ فِي الدُّŲ¹َŲ§Ų”ِ، وَŲ£َŲØْŲ®َŁ„ُ النَّŲ§Ų³ِ Ł…َنْ ŲØَŲ®ِŁ„َ ŲØِالسَّلاَŁ…ِ 
“Selemah-lemah manusia adalah orang yang lemah (malas) berdo’a kepada Allah. Dan sebakhil-bakhil manusia adalah orang yang bakhil mengucapkan salam.” [al-Tabarani, disahihkan oleh al-Albani]

Orang yang malas untuk berdoa memang layak dipanggil manusia paling naif. Kerana ibadat yang paling mudah dilaksanakan ialah berdoa. Tidak perlu berwuduk, tidak perlu berada di atas sajdah. Tadah sahaja tangan dan memohon hajat kepda Allah.

Orang yang berdoa tidak pernah rugi kerana pasti orang tersebut akan mendapat kebaikan sama ada ada doanya diterima oleh Allah atau dia diselamatkan daripada musibah atau akan mendapat balasan pahala di akhirat. Sebagaimana sabda Nabi saw :

“Tiada seorang muslim pun yang memohon (kepada Allah Ta’ala) dengan doa yang tidak mengandung dosa (permintaan yang haram), atau pemutusan hubungan (baik) dengan keluarga/kerabat, kecuali Allah akan memberikan baginya dengan (sebab) doa itu salah satu dari tiga perkara: [1] boleh jadi akan disegerakan pengabulan doanya, [2] atau Allah akan menyimpannya untuk kebaikan (pahala) baginya di akhirat, [3] atau akan dihindarkannya dari keburukan (bencana) yang sesuai dengannya”. Para sahabat radhiyallahu ‘anhum berkata: Kalau begitu, kami akan memperbanyak (doa kepada Allah). Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa salalm bersabda, “Allah lebih luas (rahmat dan kurniaanNya)”. ( Imam Ahmad disahihkan oleh al-hakim, Ibn Hajar dan al-Albaniy)

Begitu juga dengan amalan memberi salam. Amalan yang sangat mudah namun amat berat untuk melafazkannya sedangkan amalan ini sangat besar ganjarannya iaitu syurga. Sabda Nabi saw :

“Kamu tidak akan masuk syurga hingga kamu beriman, dan kamu tidak akan beriman (dengan iman yang sempurna) hingga kamu saling mencintai. Mahukah aku tunjukkan kepada salah satu amalan yang apabila kamu laksanakan, maka kamu akan saling mencintai? (iaitu), sebarkanlah salam di antara kamu.” [Imam Muslim]

Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita untuk mengamalkan dua sunnah rasulullah saw besar ini.

21 Januari, 2012

Carilah Ungkapan Yang Lebih ‘Molek’


Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin 

Antara perkara yang indah yang diajar oleh Islam ialah muslim diperintahkan menggunakan perkataan-perkataan
yang baik atau sekurangnya tidak keji dalam ungkapannya.

Muslim bukan seorang pencarut, atau pemaki hamun orang atau pencerca dengan kalimat-kalimat yang jelik dan keji. Lidah muslim indah, atau selamat dari kalimat-kalimat yang tidak senonoh. Dia mungkin tegas, keras amarannya, tinggi nadanya dan tajam kritikannya, tapi kalimat-kalimatnya itu terpilih; tidak lucah, tidak juga makian dan hamunan. Inilah yang Anas bin Malik ceritakan:

“Bukanlah Nabi s.a.w itu seorang pemaki orang, tidak juga seorang pengucap kekejian dan bukan seorang pelaknat orang lain”. (riwayat al-Bukhari).

Mencerca atau memaki hamun orang lain dalam sesuatu majlis adalah perkara yang tidak baik. Dalam riwayat al-Tabarani dari al-Mu’jam al-Kabir:

bahawa Nabi s.a.w pernah hadir dalam suatu majlis orang Ansar. Padanya ada seorang lelaki yang terkenal dengan suka memaki hamun. Nabi s.a.w pun bersabda: “Memaki orang muslim itu perbuatan fasik dan memeranginya perbuatan kufur”.

13 Disember, 2011

Pesanan : Jangan Berhenti Berdoa!

AbuAqil aka AbuSakeena

Hari ini merupakan hari terakhir anak-anak didik 5 Ibnu Sina menduduki peperiksaan SPM 2011 iaitu kertas Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah. Petang ini mereka akan ‘merdeka’. Istilah yang digunakan oleh pelajar yang tamat peperiksaan. Hari inilah sesetengah pelajar akan menconteng baju, seluar dan tudung mereka dengan macam-macam contengan.

Bukan itu sahaja malah terdapat segelintir pelajar melakukan perkara yang sangat bodoh seperti memusnahkan harta-benda sekolah dan asrama, menconteng dinding dengan kata-kata lucah dan sumpah seranah dan seumpamanya. Sungguh singkat dan dangkal akal golongan ini. Mereka ingat perbuatan mereka itu akan terlepas. mungkin terlepas tindakan oleh pihak sekolah tapi tidak akan terlepas pembalasan oleh Allah SWT.

Saya berpesan kepada semua pelajar  bahawa tamat menjawab peperiksaan bukan bermakna anda telah selamat dan bebas melakukan semua perkara. Semua jadi halal. Tidak sama sekali. Teruskan berdoa, mengharapkan rahmat Allah agar kertas jawapan anda akan selamat tiba ke destinasi, ditanda dengan cermat dan telus oleh pemeriksa, tidak leka semasa menanda, tidak tersilap memberi dan mengira markah, tidak tersalah memindahkan markah dan seumpamanya. Kerana mereka hanyalah insan biasa yang terdedah kepada salah dan silap. Semoga semua itu tidak berlaku kepada anda.

Jangan melakukan perkara yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT. Setiap dosa dan kesalahan akan mengakibatkan kita di’kaffarah’  sama ada di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Firman Allah yang bermaksud :

“ Dan apa-apa musibah yang menimpa kamu maka semua itu disebabkan oleh tangan-tangan kamu dan Allah memaafkan (kebanyakan) kesalahan kamu. ( Surah al-Syura ayat 30)

Ini adalah satu peringatan yang jelas daripada Allah. Ingat! Setiap dosa yang kita lakukan akan  dibalas dengan perkara yang kita tidak ingini.

Jangan ‘over-confident’ dengan apa yang telah anda jawab walaupun yakin. Semua pelajar berkata soalan Bahasa Arab Tinggi yang lalu mudah. Alhamdulillah. Namun saya nasihatkan jangan terlalu yakin. Berdoalah setiap masa agar anda akan mendapat keputusan sebagaimana yang anda impikan. Keputusan yang akan menceriakan anda, membanggakan ibubapa dan guru-guru anda.

Teruskan hubungan baik dan pergantungan sepenuhnya kepada Allah sebagaimana keadaan anda sepanjang peperiksaan. Begitulah keadaan anda selepas peperiksaan atau setipa masa. Sentiasa bergantung harap kepadaNya dan tidak mengingkari perintahNya. Sesungguhnya orang mukmin sentiasa mentaati perintah Allah dan berusaha sedaya-upaya menjauhi laranganNya. Sekiranya terlanjur melakukan dosa maka cepat-cepat bertaubat dengan bersungguh-sungguh.

Semoga Allah SWT merahmati kita semua dan membimbing kita ke jalan yang diredaiNya.

08 Disember, 2011

Masuk Neraka kerana Perbuatan Baik, Masuk Syurga kerana Perbuatan Jahat?


AbuAqil aka AbuSakeena

Masuk Neraka kerana Perbuatan Baik, Masuk Syurga kerana Perbuatan Jahat…

Agak ganjil dan pelik bila kita membaca ungkapan ini. Macam mana kebaikan boleh menyebabkan masuk neraka dan sebaliknya.

Ungkapan ini sebenarnya ialah kata-kata Said bin Jubair (95H) seorang Tabi’in yang alim, perawi hadis dan beliau merupakan anak murid Ibn Abbas.

Ucapan lengkap Said bagi ungkapan tersebut ialah :

Said bin Jabir berkata : "Sesungguhnya seorang hamba melakukan perbuatan kebaikan lalu perbuatan baiknya itu menyebabkan ia masuk neraka, dan sesungguhnya seorang hamba melakukan perbuatan buruk lalu perbuatan buruknya itu menyebabkan dia masuk syurga. Ini kerana perbuatan baiknya itu menjadikan ia bangga dengan dirinya sendiri sementara perbuatan buruknya menjadikan ia memohon ampun serta bertaubat kepada Allah disebabkan perbuatan buruknya itu". [Majmu 'Al-Fatawa]

Memang benar perasaan ujub iaitu banggi diri merupakan sifat tercela dan boleh membinasakan diri. Di tambah pula dengan sifat riya’, beramal agar ingin memperlihatkan amalan kepada orang ramai. Semua sifat ini ini merupakan penyakit hati yang mesti dihindari oleh setiap muslim. Entah berapa ramai manusia pada hari ini kita mendengar ucapan-ucapan yang menggambarkan kesombongan, bangga diri dan ingin dipuji.

Sifat ujub dan riya’ ini berkumpul dalam diri golongan yang sombong. Golongan yang diharamkan memasuki syurga Allah. Sabda Nabi saw :

Tidaklah masuk surga  sesiapa yang di dalam hatinya terdapat kesombongan yang sebesar biji zarah (atom) sekalipun". [Imam Muslim]

Penawar kepada penyakit hati ini ialah ikhlas mengabdikan diri kepada Allah dan sentiasa bertawakkal kepadaNya dengan sepenuh hati.

Imam Ibn Qayyim berkata : "Sesungguhnya hati manusia menghadapi dua macam penyakit yang amat bahaya jika orang itu tidak menyedari adanya kedua penyakit itu akan melemparkan dirinya kedalam kehancuran dan itu adalah pasti, kedua penyakit itu adalah riya dan takabur. Maka ubat dari pada riya adalah : ؄ياك نعبد  ( Hanya kepadaMu kami mengabdikan diri) dan ubat dari penyakit takabur adalah : ؄ياك Ł†Ų³ŲŖŲ¹ŁŠŁ† (Hanya kepadaMu kami memohon pertolongan)". [Madarijus Salikin 1/54]. inilah penawarnya iaitu ucapan yang sering kita lafazkan dalam Surah al-Fatihah setiap masa.

Semoga Allah membimbing kita dan membuang penyakit hati ini dalam diri kita.


18 November, 2011

Jangan Sia-siakan Cuti Anda !


 AbuAqil Adnan

Cuti panjang akhir tahun selama sebulan setengah tiba lagi. Pelbagai perkara yang terlintas di fikiran masing-masing untuk dilakukan dalam cuti tersebut.

Ada yang berangan untuk bercuti bersama keluarga atau pulang ke kampung melawat datuk dan nenek. Ada individu yang merancang untuk menghabiskan masa depan komputer melayan laman sosial seperti facebook, twitter dan sebagainya.

Sebenarnya banyak aktiviti yang boleh dilakukan sepanjang cuti ini. Terdapat ibubapa yang prihatin menghantar anak mereka mengikuti kursus-kursus kerohanian seperti kem solat, kelas al-Quran dan tajwid, kursus  kemahiran komputer, kursus B. Inggeris dan lain-lain.

04 November, 2011

Akal pintar Tapi Tiada Harga Diri

AbuAqil aka AbuSakeena

“Sungguh tidak sangka , pandai rupanya pelajar ini. Tapi semasa P&P biasa je, tidak menonjol sangat”.
Begitulah dialog seorang guru yang kagum dengan markah anak didiknya yang mendapat markah yang cemerlang dalam peperiksaan.

Perasaan bangga dan gembira pasti terdetik di hati guru tersebut kerana itu membuktikan pengajarannya difahami oleh pelajar. Namun apakah  perasaan guru tersebut bila dia mendapat tahu pelajar ini mendapat markah tinggi disebabkan meniru semasa peperiksaan?
Pasti si guru akan kecewa yang amat. Dirinya telah ditipu.

Memang ramai pelajar yang pintar.  Tapi tidak ramai pelajar pintar yang jujur atau yang mempunyai integriti. Sikap jujur semakin pupus dalam diri pelajar masa kini.

Mereka memilih untuk menipu diri sendiri, menipu rakan-rakan, menipu guru, menipu pihak sekolah dan lebih teruk mereka menipu ibubapa mereka sendiri.

Implikasi lebih besar di dunia ini ialah hilang harga diri. Malah implikasi di akhirat pula seolah-olah menempah neraka. Sebagaimana sabda Nabi saw yang bermaksud :

Hendaklah kamu sentiasa berlaku jujur, kerana sesungguhnya kejujuran itu  membawa pada kebaikan dan sesungguhnya kebaikan akan membawa kepada syurga. Jika seseorang sentiasa berlaku jujur dan berusaha untuk jujur, maka dia akan dicatat di sisi Allah sebagai orang yang jujur. Hati-hatilah kamu dari berbohong, kerana sesungguhnya pembohongan akan membawa  kepada kejahatan dan kejahatan akan membawa kepada neraka. Jika seseorang suka berbohong  dan berupaya untuk berdusta, maka ia akan dicatat di sisi Allah sebagai seorang pembohong.” [Imam  Muslim]

Atau terkeluar dari umat Nabi Muhammad saw “ :

“ Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari golongan kami”.[ imam al-Bukhari]

Kenapa terdapat pelajar sanggup gadaikan harga diri dan menempah neraka semata-mata untuk mendapat markah tinggi?

Kenapa mereka tidak mahu berusaha untuk cemerlang? Kenapa tidak gunakan kepintaran yang ada untuk mendapat kecemerlangan hasil usaha sendiri?. Jalan pintas pilihan syaitan yang dipilih. Mungkin mereka berasa bangga selepas berjaya meniru tanpa diketahui oleh sesiapapun. Walhal Allah, malaikat dan syaitan dalam dirinya mengetahui. Di manakah harga diri golongan ini?

Pening kepala dan buntu bila memikirkan perkara ini. Sungguh pelik. Apakah mereka tidak yakin Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui? Mereka sebenarnya menghina diri sendiri.

Kalimah ‘jujur’ memang senang dilafaz  namun amat sukar untuk dipraktikkan dalam kehidupan sebenar. Berusahalah untuk bersikap jujur kerana itulah kita akan memperoleh reda Rabb kelak.
Jadilah pelajar yang jujur. Biar tidak pandai tapi berintegriti daripada berotak pintar tapi tiada harga diri dan menghina diri sendiri.

“Sesungguhnya kejujuran itu menenangkan jiwa, sedangkan penipuan  akan menggelisahkan jiwa.[ Hadis riwayat al-Tirmizi dan Imam Ahmad]
Related Posts with Thumbnails
 
Share