10 April, 2012

Kesedaran Selepas ‘Teguran’ Rabb





AbuAqil aka AbuSakeena

Setelah tiga minggu menjalankan operasi angiogram,  keadaan saya sekarang berasa semakin sihat namun masih berhati-hati dan mengelak melakukan aktiviti berat. Berpegang dengan pesanan dan nasihat doktor.

Semalam saya menghadiri sesi fisioterapi kali kedua. Aktiviti berjalan kaki, berkayuh dan mengangkat dumbell dapat dilakukan dengan baik dan mencatatkan denyutan nadi yang stabil dan normal. Alhamdulillah.

Selepas itu saya pergi ke pusat beli-belah Nirwana untuk membeli beberapa keperluan kesihatan. Saya membeli buah epal dan madu. Alhamdulillah, selepas ‘ditegur’  baru ini saya dapat kekuatan untuk mengubah tabiat pemakanan. Begitu juga dengan ahli keluarga yang lain termasuk isteri, mak, adik-beradik dan rakan-rakan yang rapat. Semua berhati-hati dan tidak mengambil sembarangan makanan. Itulah salah satu hikmah.

Ketika menziarahi anak-anak didik di asrama Rabu lepas, saya dimaklumkan tubuh saya kelihatan kurus. Bila saya menimbang berat badan ternyata benar. Berat badan asal ialah 70 kg telah susut sebanyak 4 kg dalam masa 3 minggu menjadi 66 kg dengan ketinggian 164 cm. Setelah dikira untuk berat badan ideal,badan saya termasuk dalam kategori  normal namun hampir dengan ‘overweight’. Saya berazam untuk menurunkan berat badan agar berada dalam lingkungan 55-60 kg. Semoga Allah mempermudahkan. Makan untuk sihat dan makan untuk menghindari penyakit.


Adik-beradik saya majoritinya telah menderita sakit kencing manis yang diwarisi daripada bapa. Arwah bapa dan kakak sulung  telah diambil nyawa berasbabkan penyakit tersebut. Alhamdulillah setakat ini saya dan tiga orang adik-beradik tiada penyakit kencing manis. Harap-harap berkekalan.  

Namun tidak mustahil saya juga akan mendapat penyakit kencing manis sekiranya saya tidak diuji baru ini kerana tabiat pemakanan yang tidak berhemah. Kerana saya seperti majoriti orang kita yang lain, hanya tahu makan. Tahu makanan yang memudaratkan namun tidak mampu menahan nafsu makan. Kenapa? Kerana berasa sihat dan tidak berlaku apa-apa pun.

Insya Allah saya akan kongsikan semua nasihat, informasi kesihatan, pemakanan untuk kesihatan di blog saya untuk dimanfaatkan oleh semua pembaca.

Sesiapa sahaja mesti berubah ke arah kebaikan. Tiada kebaikan yang  diidamkan melainkan dapat mengecapi kehidupan dengan keadaan sihat dan afiat untuk mengabdikan diri kepada Rabb. Namun budaya pemakanan orang kita lebih menjurus ke arah mendapat penyakit. Ini adalah realiti. Ramai yang tahu jenis makanan yang boleh memudaratkan namun tidak mampu untuk menyekat nafsu makannya.

Tahu tapi tidak mampu. Apa puncanya? Kerana rasa tidak ada apa-apa yang buruk berlaku. Berasa sihat. Ya betul, rasa sihat sebelum anda jatuh tumbang. Dibimbangi tumbang yang tidak mampu untuk bangkit, jatuh dengan denyutan jantung berhenti. Ramai yang telah ‘menemuinya’. Adakah anda ingin menjadi seperti mereka?

Allah memberikan kita jasad yang sempurna dan sihat dan menjadi amanah untuk kita menjaganya. Namun kita merosakkan jasad kita dengan memakan pelbagai makanan walaupun halal. Berdosakah kita atau tidak? Semoga  berfikir sejenak sebelum kita jatuh tumbang.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share