Memaparkan catatan dengan label Facebook. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Facebook. Papar semua catatan

01 Disember, 2011

6 Cara Membuat Pahala Melalui Facebook


 ABU uMAIR

Di mana ada laptop dan internet, di situ ada Facebook. Begitulah hebatnya fenomena Facebook yang melanda dunia hari ini.

 Saya masih ingat ada satu ketika, terdapat cubaan dari sesetengah orang Islam ingin memulaukan laman sosial Facebook kerana selain ia adalah ciptaan seorang bukan Islam, ia banyak membawa kelalaian kepada umat. Beberapa laman sosial yang agak Islamik diwujudkan. Namun mungkin kerana kurang daya tarikan, ia kurang mendapat sambutan dan akhirnya berkubur begitu sahaja. Facebook juga yang menjadi pujaan hati orang-orang Islam. Yang jelasnya, buat masa sekarang Facebook sudah menjadi kegilaan ramai orang termasuk umat Islam.

Tidak kisahlah ia ciptaan siapa, alangkah baik dan beruntungnya jika seseorang Muslim dapat menjana PAHALA mudah dengan kemudahan laman sosial ini. Sekurang-kurangnya daripada 3-4 jam seseorang menghadap Facebook dalam satu hari, ada juga pahala yang tercatit di buku amalan, yang diharapkan dapat meneutralkan balik dosa-dosa yang terhasil disebabkan Facebook.

Beberapa amalan MUDAH dan MAMPU dibuat oleh sesiapa sahaja untuk menjana 
kebaikan dan pahala melalui Facebook adalah seperti berikut:

1. Update status anda dengan pengisian yang bermanfaat. Contohnya, menulis di status anda beberapa potong maksud ayat al-Quran, hadith, kata-kata salaf, yang anda rasakan ia akan memberi kesan kepada orang yang membacanya. Jika anda mempunyai 1000 friends, andaikata hanya 10% yang membacanya, ada sudah dikira menyebarkan kebaikan kepada 100 orang dengan cara yang cukup mudah. Jika daripada 100 orang yang membacanya, hanya 10% yang terkesan dan mengamalkan kandungan status anda, anda sudah dikira menjadi PENYEBAB kebaikan kepada 10 orang, dengan cara yang tidak disangka-sangka.

TAPI AWAS, jangan terlalu boros dalam membuat pengisian, nanti friends anda akan boring membaca status anda, kerana sudah menjadi tabiat manusia cepat boring dan jemu dengan perkara yang berterusan dan sekata. Pilihlah pengisian yang betul-betul berkualiti dan berkesan. Dan variasikan ia samada dengan tulisan, gambar, video, dan lain-lain.

2. Jika anda terbaca status orang lain yang sangat bermanfaat dan boleh memberi kesan kepada orang lain, apa salahnya anda sebarkan status tersebut. Gunakan kemudahan SHARE untuk tujuan perkongsian, atau COPY PASTE sahaja apa yang anda ingin kongsikan dengan friends anda. Lebih-lebih lagi, bagi pemegang akaun Facebook yang mempunyai list friends yang ramai, boleh membantu menyebarkan kebaikan yang ada pada status seseorang yang mempunyai bilangan friends yang ciput. Mudah-mudahan termasuk dalam bekerjasama dalam dakwah.

3. Anda yang mempunyai maklumat tentang program-program ilmu (yang real punya), bolehlah mengiklankan program tersebut di laman Facebook masing-masing dengan memberikan tajuk, nama penceramah, dan jadual pengajian. Manalah tahu, ada kalangan friends kita yang tinggal berhampiran dengan lokasi dan mempunyai kelapangan, boleh mengambil faedah dari majlis-majlis yang berkat.

4. Atas semangat silaturrahim dan atas kesedaran betapa besarnya kewajipan mengeratkan silaturrahim, alangkah baiknya jika setiap kelurga mempunyai group tersendiri yang boleh menghimpunkan segala suku-sakatnya. Dalam group seperti ini, banyak kebaikan dapat dibuat, contohnya bertanya khabar antara ahli keluarga, mengupdate berita-berita keluarga, menyelesaikan permasalahan ahli keluarga secara tertutup dan macam-macam. Walaupun perkara kecil, namun siapa sangka dengan semangat silaturrahim, Allah Taala akan memberkati hidup seseorang.

5. Jika anda mempunyai komen bernas dan bernilai terhadap sesuatu kandungan status orang lain, lakukanlah dengan penuh adab dan sopan seolah-olah anda sedang bercakap dengannya. Mungkin anda yang berpengetahuan tinggi boleh membuat penambahan maklumat, pembetulan kesilapan, pencerahan terhadap kekeliruan, dan lain-lain. Malahan, mungkin komen-komen untuk tujuan tersebut boleh sampai ke tahap fardhu kifayah jika di sana terdapat keperluan mendesak dari sudut Syarak, dan tiada yang boleh melakukannya kecuali anda.

6. Jika mereka yang mempunyai kemusykilan agama, boleh juga menggunakaan laman Facebook sebagai tempat perbincangan. Tulislah soalan anda, dan tag kan ustaz-ustaz Facebook yang dipercayai dan mempunyai masa untuk melayan soalan anda. Mudah-mudahan, ini sebagai satu cara melaksanakan arahan Tuhan supaya bertanya kepada ahli ilmu dalam perkara-perkara yang tidak diketahui.

Semoga dengan melakukan perkara-perkara kecil di atas ketika melayari Facebook, akan ada insan-insan yang beroleh kebaikan dari dakwah kita, akan ada pahala-pahala tercatat di buku amalan baik kita, akan ada dosa-dosa dihapuskan dari buku amalan jahat kita. Mudah-mudahan Facebook yang dicipta oleh seorang bukan Muslim menjadi satu sebab kebaikan kepada seseorang Muslim.

Sumber dengan suntingan


09 April, 2011

Jaga batas bergaul dalam Facebook


SOALAN 

KEBELAKANGAN ini ramai yang melayari facebook (FB). Apa hukumnya wanita yang telah berumahtangga mempamerkan gambar termasuk yang tidak menutup aurat untuk dikenali dalam profilnya tanpa pengetahuan suami.

JAWAPAN

Perbuatan wanita mempamerkan gambar peribadi yang tidak menutup aurat adalah haram dalam Islam.
Bagi seorang isteri kecantikan dan kejelitaannya hanya berhak ditatap oleh si suami sahaja. Mendedahkan aurat kepada orang bukan mahram adalah ditegah oleh Allah SWT. Lebih-lebih lagi melalui laman sosial yang mungkin ditonton oleh jutaan manusia.

Malahan gambar-gambar ini juga boleh dicetak dan boleh disalahguna oleh pihak tertentu. Maksudnya, janganlah hendaknya orang wanita mendedahkan diri mereka kepada sebarang kemudaratan melalui FB.

Mempamerkan gambar peribadi dalam FB dengan pelbagai gaya dan watak dalam keadaan tidak menutup aurat sangat tidak bermoral. Biarpun dengan izin suami mahupun ahli keluarganya, ia tetap haram.

02 April, 2011

Risau 'dibogelkan' Dalam Facebook


MANGSA (kiri) menunjukkan gambar lelaki yang didakwa mengugut untuk menyebarkan gambar bogelnya kepada Michael Chong di Kuala Lumpur semalam

Kepada pemilik akaun facebook yang gemar upload gambar-gambar peribadi terutama muslimah sila hati-hati. Dibimbangi gambar anda dimanipulasi seperti kes ini.....AbuAqilAdnan
--------------------------------
KUALA LUMPUR – Seorang pelajar Fakulti Perubatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) di Kubang Kerian, Kelantan kini hidup dalam keadaan tertekan selepas menerima ugutan daripada seorang penggodam internet yang mahu menyebarkan gambar lucah menerusi teknik pertindihan (superimpose) dirinya.
Pelajar tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Devi, 20, menerima ugutan itu daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Rao dan mendakwa bekerja sebagai pereka laman web.
Devi memberitahu, dia menerima ugutan tersebut selepas mengesahkan permintaan lelaki berkenaan untuk menjadi rakan di laman sosial Facebook pada 24 Mac lepas.
Dia mendakwa, selepas itu lelaki berkenaan bertindak mengambil gambarnya yang ada di dalam album di laman sosial itu serta mencuri alamat akaun miliknya.
“Lelaki berkenaan juga menukar kata laluan akaun alamat laman carian Yahoo! milik saya hingga membolehkan dia mengakses dan menukar maklumat peribadi saya sesuka hati,” katanya ketika ditemui di Pejabat Pengaduan Awam MCA di sini semalam.
Sumber KOSMO

10 Januari, 2011

Facebook akan ditutup 15 Mac ?

PALO ALTO, California - Khabar angin dalam kalangan pengguna Internet mengenai penutupan laman sosial popular Facebook kini tersebar luas terutamanya menerusi laman sosial Twitter, lapor sebuah akhbar semalam.
Antara mesej yang disampaikan oleh pengguna Twitter adalah seperti: "Facebook bakal ditutup pada Mac 2011? Saya harap tidak."
"Khabar angin adalah Facebook akan ditutup. Tolong jangan beralih kepada Twitter dan jangan rosakkan pengalaman jaringan sosial saya," kata @jjelksboss melalui Twitternya.
Terdapat juga kumpulan yang dibentuk di laman Facebook yang meminta agar laman sosial itu tidak ditutup dengan mesej: "Facebook akan ditutup pada 15 Mac 2011. Adakah terdapat cara lain untuk menghalangnya?"

21 Disember, 2010

Internet punca jenayah meningkat 7,000 peratus di Britain

Bahaya betul internet bila disalahguna untuk melakukan jenayah. Laman sosial Facebook merupakan spilihan utama penjenayah untuk mendapat maklumat mangsanya. Hati-hatilah…AbuAqil
---------------------

LONDON: Siasatan sebuah akhbar tabloid Britain mendapati, kadar jenayah berkaitan rangkaian laman sesawang meningkat sehingga 7,000 peratus di sesetengah kawasan berbanding tiga tahun lalu.

Antara kes yang menunjukkan peningkatan ketara adalah bunuh, rogol, pedofilia, buli dan rompak.

Kata kajian itu, kemahiran pengguna komputer tidak banyak meningkat berbanding apa yang diketahui penjenayah.
Facebook terus menjadi antara punca utama pelbagai jenayah berlaku apabila penggunanya sering mengemas kini status masing-masing di situ tanpa menyedari maklumat berkenaan boleh dimanipulasi penjenayah. - Agensi

02 Disember, 2010

Rumah Tangga Runtuh Kerana facebook?

LOS ANGELES: Jika dulu perceraian sering berlaku akibat kesan gincu di baju suami atau pesanan ringkas dalam telefon bimbit, kajian terbaru menunjukkan masalah itu kini disumbangkan oleh laman sesawang sosial seperti Facebook.

Berdasarkan kajian Akademi Peguam Perkahwinan Amerika itu, satu daripada lima perceraian di negara berkenaan membabitkan laman sesawang sosial.

Kira-kira 80 peratus peguam juga melaporkan jumlah ketara individu menggunakan media sosial sebagai bukti kecurangan pasangan masing-masing.

20 November, 2010

Lelaki kena asma lihat foto kekasih di facebook


LONDON: Sekumpulan doktor Itali memberi amaran rangkaian web sosial, Facebook juga boleh memberi kesan buruk kepada penghidap asma.

Gennaro D’Amato dan rakannya merawat seorang remaja berusia 18 tahun yang diserang asma ketika memasuki akaun Facebook dan terkejut apabila melihat ramai lelaki yang menjadi rakan bekas teman wanitanya.

Lelaki terbabit mengambil dua jenis ubat sedut steroid beberapa kali sehari untuk mengawal asmanya. Tetapi apabila teman wanitanya meninggalkan beliau dan enggan menerimanya sebagai rakan dalam Facebook, keadaan beliau semakin teruk.

Dengan menggunakan nama samaran, lelaki terbabit diterima semula dalam senarai rakan bekas teman wanitanya melalui halaman rangkaian sosial terbabit. Tetapi, beliau tambah tertekan apabila melihat akaun Facebook teman wanitanya yang mempunyai terlalu ramai rakan lelaki baru.

“Melihat keadaan itu menyebabkan beliau mengalami sesak nafas sebaik saja membaca profil bekas teman wanitanya,” tulis D’ Amato dan rakannya dari Hospital Pakar Tinggi A Cardarelli di Naples, Itali.

Ibu remaja terbabit bimbangkan kesihatan anaknya mengukur kadar pernafasan anaknya sebelum dan selepas aktiviti Facebook yang menunjukkan 20 peratus perbezaan. 

Selepas menemui seorang doktor remaja terbabit memutuskan untuk tidak lagi memasuki Facebook. Ia menghentikan serangan asma yang dialaminya.

D’Amato dan rakannya menyifatkan rangkaian sosial berkenaan boleh mencetuskan tekanan psikologi dan serangan bagi kes pesakit asma yang tertekan apabila melihat perkara tidak disukai mereka di rangkaian sosial itu. – AP

10 Oktober, 2010

Pelajar 13 tahun digantung sekolah gara-gara Facebook

CONNECTICUT - Dua pelajar berumur 13 tahun didakwa atas tuduhan jenayah disebabkan perbincangan mereka di laman rangkaian sosial Facebook, di Connecticut, Amerika Syarikat. 

Pelajar lelaki dari Sekolah Pertengahan Schaghticoke itu mengugut pentadbir sekolah di laman Facebook miliknya dan disokong oleh seorang pelajar perempuan yang mencadangkan supaya mereka mengebom sekolah itu. 

Remaja lelaki itu didakwa atas tuduhan mengugut manakala pelajar perempuan tersebut dituduh melakukan pencabulan keamanan peringkat kedua dan mengugut. 

Kedua-dua mereka digantung persekolahan selepas perbincangan mereka itu disedari oleh ibu bapa pelajar lain yang kemudian melaporkan kepada pihak pentadbiran sekolah. 

Remaja itu mungkin berhadapan dengan hukuman dibuang sekolah, namun tidak jelas sama ada mereka akan didakwa atas kesalahan jenayah.


sumber

09 Oktober, 2010

Facebook alat jerat seks


Satu lagi jenayah cyber yang menggunakan facebook sebagai medium. Hati-hatilah menggunakannya. Jangan ada pula yang menjadi mangsa berikutnya….Abuaqil

---------------------------------

MANILA: Polis Filipina semalam berkata, Facebook dan laman sesawang sosial lain kini digunakan penjenayah seksual untuk menjerat mangsa, sekali gus menyumbang kepada peningkatan jenayah.
Jurucakap polis Filipina, Agrimero Cruz, berkata ketika ini pihak berkuasa menyiasat bagaimana penjenayah seks menggunakan Facebook atau mesej teks dari telefon bimbit untuk mempengaruhi orang ramai, terutama remaja, untuk dijadikan mangsa.

“Mereka mempunyai rangkaian, pengikut dan mempelawa remaja untuk menyertainya.

“Kemudian mereka mempengaruhi mangsa supaya terbabit dalam aktiviti seksual,” katanya.

04 Oktober, 2010

Belasah Rakan angkara facebook


LENGGONG: “Hanya kerana salah faham selepas dituduh menceroboh laman sosial facebook milik kawannya, anak saya dibelasah teruk hingga cedera di mata dan dahi,” kata seorang bapa, Hazizi Abdul Aziz, 46.

Dia berkata, difahamkan anaknya berkawan rapat dengan rakan sekelasnya itu sehingga mengetahui kata laluan untuk membuka akaun facebook kawannya itu dan sebelum kejadian mereka tidak bermasalah.

Bagaimanapun, katanya, difahamkan baru-baru ini, ada pihak menceroboh akuan berkenaan menyebabkan rakannya menuduh mangsa yang mencerobohnya kerana beranggapan hanya dia seorang yang mempunyai kata laluan ke laman berkenaan.

28 September, 2010

Ditangkap selepas mengaku rompak bank dalam Facebook

RYAN HOMSLEY mengaku di akaun Facebook miliknya bahawa dia merompak sebuah bank di Oregon, Amerika Syarikat.

Kebodohan seorang pemilik akaun facebook menyebabkan memakan diri...Abuaqil Adnan
-----------------------------
PORTLAND, Oregon - Seorang perompak bank, Ryan Homsley yang menggelarkan dirinya sebagai 'Where's Waldo' ditangkap dua hari selepas dia mengaku melakukan jenayah itu dalam laman sosial Facebook miliknya, lapor sebuah akhbar semalam.
Nama 'Where's Waldo' diberikan kepadanya yang diambil sempena watak ciptaan pelukis British, Martin Handford itu kerana dia sebelum ini sukar ditangkap.
Pihak Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menahan Homsley berusia 29 tahun selepas dia menulis: "Saya kini seorang perompak bank" di laman Facebook pada 22 September lalu.
Pengakuan itu ditulis hanya selepas beberapa jam dia merompak sebuah bank di Tualatin, dekat Portland, Oregon Amerika Syarikat (AS).
Homsley turut menjadikan gambarnya yang dirakamkan kamera pengawasan bank dan yang telah disiarkan media sebagai gambar profilnya di Facebook.
Satu klip video dari kamera litar tertutup (CCTV) bank tersebut menunjukkan Homsley berdiri di hadapan sebuah kaunter dengan memakai baju belang dan cermin mata tebal. Dia memberitahu kakitangan bank bahawa dia membawa sebutir bom.
Namun, satu beg dan kotak kecil yang ditinggalkannya selepas melarikan wang itu sebenarnya tidak berbahaya.
Rakan-rakan Homsley memberitahu dia menghidap diabetes dan terdesak untuk mendapatkan wang bagi membiayai kos rawatannya. Homsley di tangkap semasa dia mendapat rawatan di sebuah hospital. - Agensi

16 September, 2010

10 tips melayari facebook dengan selamat

Facebook merupakan laman sosial yang semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat Malaysia. Fenomena Facebook telah membawa kepada pelbagai kebaikan dan keburukan kepada penggunanya. Jika digunakan untuk membuat kerja yang berfaedah adalah amat-amat dialukan. Tetapi ada juga yang mengambil kesempatan di atas kemudahan teknologi terkini dengan membuat kerja-kerja yang tidak bermoral.

Saya sediakan 10 tips melayari Facebook dengan selamat bagi anda berfikir tentang bahayanya Facebook jika tidak digunakan dengan cara yang betul.

1. Fikir dulu mengenai siapa yang anda nak add ataupun approved kerana anda mungkin akan mendedahkan identiti kepada orang yang tidak dikenali.

2. Check privacy settings. Facebook menyediakan setting untuk anda privatekan sesuatu yang anda tak mahu orang lain tahu mengenai anda.

04 September, 2010

Lapor polis Facebook hina Islam


PUTRAJAYA 3 Sept. - Gerakan Pemuda Prihatin Putrajaya (Gempur) hari ini membuat laporan polis berhubung satu akaun laman sosial Facebook yang dikesan menghina Islam dan Allah menggunakan kata-kata kesat.

Presidennya, Mohd. Hisamudin Yahya berkata, polis perlu menjalankan siasatan segera ke atas akaun Facebook yang didaftarkan dengan nama Katy Lim Li Lian kerana pemilik akaun itu telah memaparkan komen yang menimbulkan kemarahan umat Islam.

"Walaupun laman web ini telah ditutup dan tidak boleh dibuka, tetapi terdapat blog lain yang memuatkan keratan komen daripada Facebook Katy Lim Li Lian.

"Komen-komen ini tidak bertanggungjawab, bersifat provokatif dan nampaknya berniat untuk menghasut bagi menimbulkan kemarahan orang Islam dan orang Melayu.

"Gempur mengesan kemunculan komen-komen ini sejak semalam dan mengadakan mesyuarat dengan serta-merta, kami membuat keputusan untuk membuat laporan polis dengan segera," katanya.

Beliau ditemui selepas membuat laporan polis diiringi 30 ahli Gempur di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini hari ini.

Kes ini merupakan insiden terbaru membabitkan sensitiviti kaum selepas Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor membuat satu laporan polis pada 1 September lalu berhubung kewujudan satu akaun Facebook menggunakan nama 'Melayu Babi'.

Baru-baru ini pula, seorang pemuda dari Muar, Wee Meng Chee atau dikenali sebagai Namewee turut mencetuskan kontroversi kerana menghasilkan klip video berbaur perkauman.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.

Beliau berkata, kes itu kini disiasat mengikut Akta Hasutan 1948.

sumber

31 Ogos, 2010

Facebook : Pro dan kontra


BOLEH MENJADI HARAM

Keasyikan pengguna-pengguna Facebook melayan kuiz dan permainan, di samping sembang bual yang pada masa ini jumlah warga jaringan Malaysia mencecah lebih 800,000 orang, boleh menghasilkan suatu ketagihan seperti apa yang pernah menimpa pengguna perkhidmatan chatting MiRC suatu ketika dahulu. Tambahan lagi, dengan kemudahan akses Facebook melalui telefon bimbit, tahap ketagihan itu bisa jadi melampau dan merosakkan.
Dalam keadaan seperti ini, keharusan menggunakan Facebook boleh bertukar menjadi HARAM ke atas individu yang menyalahgunakan Facebook hingga berlaku kelalaian di tahap yang ekstrim.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:
 “Telah nyatalah kejayaan para Mukmin. Iaitu mereka yang di dalam solat mereka, khusyu’ mendirikannya. Dan mereka itu terhadap perkara-perkara yang melalaikan, mereka menghindarkannya” [al-Mu'minun 23: 1-3]

07 Ogos, 2010

Jenayah Siber : Terpedaya dengan Romeo ‘warak’

Kepada pengguna internet yang gemat chatting melalui laman social, semoga berhati-hati dengan penipu-penipu yang sentiasa mencari mangsa di internet. Jangan mudah terpedaya dengan ayat al-Quran atau hadis yang dilontarkan. Semua itu hanyalah umpan semata-mata.....abuaqil Adnan
--------------------
KUALA LUMPUR: Seorang gadis yang dilamar untuk berkahwin akhirnya menjadi mangsa tipu seorang lelaki ‘warak’ yang menggunakan himpunan kata pedoman serta doa ayat suci di Internet untuk memikat mangsa supaya menyerahkan wang.

Lelaki itu yang kerap tampil berserban selain tidak lekang bibirnya mengungkap himpunan hadis menyebabkan ramai gadis mudah jatuh cinta kerana menyangka dia benar-benar alim dan boleh dipercayai. Namun, mangsa yang dijerat melalui laman sosial Facebook atau Tagged hanya menyedari niat sebenar suspek ‘romeo Internet’ itu selepas wang dalam akaun mereka ‘disedut’ sedikit demi sedikit.

01 Ogos, 2010

Guna Facebook buru mangsa

“SAYA baru saja membunuh semalam. Saya perlu beritahu polis di mana mayatnya (mangsa).” Itulah pengakuan Peter Chapman, 33, yang turut digelar ‘Pembunuh Facebook’ (Facebook Killer) ketika menyerah diri dan membuat laporan polis mengenai jenayah dilakukannya di Balai Polis Middlesbrough, England, sekitar Oktober lalu.
Tanpa berselindung, Chapman, sambil menangis teresak-esak, mengakui menculik gadis berkenaan, kemudian merogol dan membunuhnya di sebuah kawasan ladang di luar bandar Middlesbrough.

Keterangan Chapman mengejutkan polis Middles-brough kerana dia bukan saja suka rela mengaku melakukan jenayah itu, malah sanggup memberi kerjasama sepenuhnya untuk menyelesaikan kes terbabit.

“Saya tidak akan menyusahkan kamu (polis),” kata Chapman.

Lanjutan kes ini, Chapman menghubungi Hall menerusi Facebook hampir satu bulan dan cuba memikat gadis berkenaan dengan menggunakan identiti palsu.

22 Julai, 2010

Twitter, Facebook bantu pencuri

LONDON: Rangkaian laman web sosial seperti Twitter dan Facebook kini menjadi alat bantu kepada pencuri untukmengesan kediaman yang kosong dan berpotensi untuk dipecah masuk.
Berdasarkan kajian, ramai pengguna laman web sosial itu menyiarkan alamat masing-masing bersama perincian lain, termasuk bila dan ke mana mereka akan bercuti.

Melalui kajian 50 bekas pencuri dikendali syarikat insurans More Than, kebanyakan penjenayah meluangkan masa secukupnya menyelidik sasaran mereka sebelum bertindak.

Bekas pencuri yang kini menjadi paderi, Richard Taylor, berkata pada ketika dulu penjenayah memperoleh maklumat daripada posmen atau penjual susu.

20 Julai, 2010

Jerat di Facebook : Akibat Menurut Nafsu


KEPALA BATAS: Seorang gadis yang menamakan dirinya ‘Nurul Gersang’, dikesan menggunakan Facebook bagi menawarkan diri untuk menjadi teman tidur sebagai helah untuk menjerat mangsa. 

Gadis berusia 20-an itu memuatkan nombor telefon dalam laman sosial terbabit serta mempamerkan gambar seksi bagi menawan mangsa.
Apabila ada individu menghubunginya, dia akan bertanya ‘nak booking ke’ sebelum meminta ‘bakal’ pelanggan memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun miliknya sebagai syarat bertemu.

Bagaimanapun, gadis berkenaan memberi pelbagai helah apabila tempoh temu janji ditetapkan tiba, walaupun wang sudah dimasukkan ke dalam akaunnya. 

Seorang peniaga yang cuba ‘menjerat’ gadis itu, Azahar Omar, 32, mendakwa dia melihat maklumat peribadi gadis itu dalam Facebook pada 10 Julai lalu yang menggunakan nama ‘Nurul Gersang’. 

“Saya menghubungi gadis berkenaan pada 16 Julai lalu dan dia menawarkan diri menjadi teman tidur sebelum kami berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS). 

“Dia mendakwa berada di Alor Setar, Kedah dan sedia berjumpa saya dengan syarat memasukkan RM150 ke dalam akaun bank ,” katanya di sini, semalam. 
Azhar berkata, keesokannya, gadis berkenaan menghubunginya tetapi meminta dimasukkan RM100 ke akaun bank sebagai syarat untuk bertemunya di Bandar Perda, Bukit Mertajam. 

Berikutan itu, lelaki terbabit pergi ke Bandar Perda tetapi gadis berkenaan memaklumkan perlu memasukkan RM100 lagi ke akaunnya. 

Bagaimanapun, gadis terbabit tetap tidak muncul selepas dia memasukkan lagi wang. 

“Saya kemudian membuat laporan di Balai Polis Teluk Air Tawar,” katanya. 
selepas kehabisan RM450 untuk memerangkapnya," katanya. 

Difahamkan, beberapa lelaki yang teruja dengan tawaran gadis terbabit menjadi 'mangsa' dan kerugian beratus ringgit tetapi enggan membuat laporan polis kerana malu. 

Jurucakap polis mengesahkan menerima laporan itu dan berkata taktik gadis berkenaan ialah satu bentuk penipuan bagi menjalankan kegiatan pelacuran menggunakan laman sosial. 


19 Jun, 2010

Awas! Jangan Sampai Kumpul Dosa Tanpa Sedar

Setiap mukmin hendaklah berhati-hati dalam melakukan sesuatu agar tidak terjerumus ke lembah dosa dan kemurkaan Allah. Dosa mengakibatkan hidup kita tiada keberkatan, rezeki disempitkan, jiwa kelu kesah dan yang lebih menakutkan akan diazab di dalam kubur dan dihumban ke dalam neraka di akhirat.

Amalan yang menyebabkan kita mendapat dosa hendaklah dihindari sama sekali. Bila terlanjur melakukannya cepat-cepatlah bertaubat kepada Allah. Jangan dibiarkan dosa begitu sahaja kerana ia akan menyebabkan iman menjadi lemah dan memudahkan syaitan untuk menguasai diri kita untuk melakukan dosa yang lebih besar.

Antara perkara yang perlu diambil perhatian ialah jangan melakukan perkara yang menyebabkan dosa berkembang biak dan mendapat dosa berlipat kali ganda. Macamana perkara ini boleh berlaku? Bila kita memaparkan sesuatu perkara yang mengundang dosa sama ada mempamerkan gambar mendedahkan aurat, video lucah, filem Barat, klip video yang mendedahkan aurat atau mempromosikan artis-artis dan seumpamanya.
Related Posts with Thumbnails
 
Share