Memaparkan catatan dengan label Ceramah Teknik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ceramah Teknik. Papar semua catatan

21 April, 2014

Kembara Ilmu 2014 : SMAASZA & Santai Famili

AbuAqil aka AbuSakeena

Pagi Jumaat lepas, 18 April 2014 saya bertolak menuju ke bandar Kuala Terengganu bersama famili tercinta. Musafir kali ini mempunyai dua tujuan. Tujuan utama ialah perkongsian ilmu ceramah teknik kertas 1 dan 2 B Arab SPM dengan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin [SMAASZA] dan yang kedua ialah edisi santai-santai bersama keluarga. ‘Menyelam sambil minum air’ memandangkan destinasi tidak terlalu jauh.

Prinzpark yang terletak berhampiran dengan Masjid terapung di Kuala Ibai

Perjalanan lebih kurang 2 jam setengah sahaja, anak-anak pun tidak sempat ‘boring’. Menginap di  Prinzpark Resort yang telah ditempah seminggu yang lalu. Hotel ini dipilih kerana berdekatan dengan SMAASZA dan ia menyediakan potongan 20% untuk kakitangan kerajaan.

Kompleks sukan TER yang terletak betul-betul di depan prinzpark
Anak-anak berpuashati berada di sini kerana dapat mandi kolam di Komplek Sukan Terengganu Equestrian Resort (TER) yang terletak di depan hotel. Kolam renang ini bukan di bawah pengurusan Prinzpark sebab itu kemasukan ke kompleks dicas RM5  bagi kanak-kanak dan RM8 bagi dewasa [yang nak mandi sahaja dikenakan bayaran]. Terdapat juga di sini Dewan Badminton, Bowling, Squash, Gymnsium untuk kemudahan beriadah.
Sampai je terus terjun kolam tiga beradik ni

Selesai bersarapan dengan famili di hotel, saya bersegera ke SMAASZA pada pagi sabtu 19 April 2014. Hanya 10 minit sahaja perjalanan. Sesi ceramah teknik yang diatur selama 4 jam dengan 2 slot untuk kertas 1 dan 2 diadakan di asrama ASPURI. Saya berdepan dengan pelajar-pelajar hebat di sekolah hebat dan dibantu oleh ustaz dan ustazah yang hebat juga. Saya dimaklumkan sekolah ini adalah sekolah kluster kecemerlangan. Pasti pelajar-pelajar juga cemerlang.

Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar dan mendapat perhatian yang terbaik daripada semua pelajar walaupun mereka hanya duduk di atas lantai kerana berada di musalla. Masa selama 4 jam dirasakan terlalu pantas walaupun berdiri sepanjang ceramah namun tidak meletihkan saya kerana respon positif para pelajar. Barakallahu fikum. Anda layak mendapat A Bahasa Arab dalam SPM kelak kerana komtimen dan ketekunan anda yang luar biasa.
 
Wajah-wajah ceria pelajar selepas ceramah
Ceramah teknik diselang-seli dengan perbincangan pelajar dalam perbengkelan untuk mengelakkan pelajar rasa mengantuk. Ternyata umumnya mereka cemerlang dalam menjawab soalan. Tahniah kepada seorang pelajar perempuan yang mendapat hadiah 1 set modul B Arab SPM kerana mampu menjawab soalan aras tinggi [I’rab]. Lupa nak tanya nama.
 
Menerima cenderamata daripada Ustaz Syed
Setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak SMAASZA dan ustaz Syeikh Syed, ustazah Wan Mailan dan ustazah Azizah kerana sudi bersama saya sepanjang perbengkelan. Juga kerana sudi menerima modul saya untuk digunakan oleh semua pelajar di sana. Jazakumullah khairal jaza’.

In sya Allah kalau berkelapangan dan diberi peluang saya berazam akan hadir lagi ke sekolah hebat ini pada masa akan datang. Saya juga tidak akan lupakan pelajar-pelajar dan guru-guru di SMAASZA dan berusaha  membantu mereka dalam ilmu Bahasa Arab selagi diperlukan.

13 April, 2014

Kembara Ilmu 2014 : MRSM Ulul Albab Kota Putra Destinasi Pertama

AbuAqil aka AbuSakeena

Dua minggu yang lepas saya menerima sms dari seseorang (Ustaz Hisyam) menjemput saya berceramah teknik di MRSM Kota Putra, Besut. MRSM ini sangat istimewa kerana ia merupakan salah satu daripada MRSM Ulul Albab di Malaysia di mana sistem pendidikannya menggabungkan pendidikan akademik dan tahfiz al-Quran.



Saya berasa sungguh bertuah kerana berpeluang berkongsi ilmu dengan ahli-ahli al-Quran yang hebat  walaupun saya bukanlah yang paling layak untuk mereka. Peluang keemasan ini tidak disia-siakan. Ini kali kedua bersama para huffaz,tahun lepas bersama Pelajar Tahfiz Sains Tanah Merah.

Tarikh 12 April 2014 dipilih dan segala puji bagi Allah yang telah memudahkan urusan saya. Tarikh tersebut asalnya akan berceramah di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin ( SMAZA) Kuala Terengganu tapi ditunda pada minggu berikutnya kerana pelajar asrama pulang pada minggu tersebut.

Sesi Soal Jawab Soalan

Peluang yang ada memberi ruang kepada saya untuk bersama pelajar-pelajar MRSM Kota Putra.  Pada minggu lepas saya dihubungi pula oleh ustaz Abdul Hanan untuk mengesahkan kehadiran saya. Saya bersetuju tanpa alasan kerana sukar untuk menolak peluang bersama pelajar hebat.

Kehadiran saya disambut oleh ustaz Abdul Hanan setelah memandu lebih kurang 45 minit dari kediaman saya di Bachok. Nasib baik tidak jauh. Ceramah diadakan di dewan kuliah. Berasa macam pensyarah di universiti pula. Jumlah pelajar lebih 160 orang memenuhi dewan.

Ceramah sepanjang dua jam mengupas secara terperinci teknik menjawab Bahasa Arab kertas 2 SPM diselang seli dengan perbengkelan menjawab soalan sebenar SPM 2013. Memang tepat jangkaan saya, saya berdepan dengan pelajar yang hebat dan pintar. Cuma mereka perlu pendedahan dan latih tubi untuk meningkatkan penguasaan seterusnya mencapai A+.


Ceramah menjadi lebih mudah kerana pelajar telah dibekalkan modul Abu Sakeena Khas kertas 2 [gambar kiri]. Semua bahan slide dan teknik telah ada di dalam buku tersebut. terima kasih kepada ustaz-ustaz kerana sudi menggunakan buku tersebut untuk semua pelajar.
In Sya Allah modul tersebut akan banyak membantu pelajar dalam menjawab soalan kertas 2.

Mereka beruntung kerana al-Quran berada di dalam kepala masing-masing. Tidak timbul sangat masalah kurang kosa kata sekiranya mereka menghafal al-Quran bersama maksudnya. Saya memanfaatkan teknologi moden iaitu menggunakan Sony Vaio Tap 11 sepanjang pembentangan yang dapat memaparkan slide powerpoint serta lakaran, contengan untuk memudahkan pelajar faham. Cuma berasa kesal juga tertinggal pen khas dan pada akhir-akhir Tap agak ‘kepeningan'. Namun semuanya berjalan lancar.


Alhamdulillah, respon pelajar sangat positif, bersemangat dan beradab dengan guru. Masa dirasakan sangat pantas berlalu kerana tumpuan sepenuhnya pelajar serta respon yang baik sepanjang sesi soal jawab.

Saya yakin barisan pelajar yang hebat ini akan mencipta kejayaan cemerlang dalam kertas Bahasa Arab nanti.  Saya doakan anda akan mendapat A+.

Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak MRSM Kota Putra kerana sudi menjemput saya untuk berkongsi ilmu. Tidak dilupakan juga berbanyak terima kasih kepada al-Fadhil Ustaz Abdul Hanan, ustaz Hisyam dan dua orang ustazah yang sudi bersama saya sepanjang ceramah tersebut. komitmen anda semua sangat mengkagumkan.

Dengan izin Allah saya akan kembali lagi selepas ini sekiranya diberi peluang untuk terus berkongsi ilmu dalam sesi berikutnya.


# Minggu depan akan ke SMAZA, Kuala Terengganu. Doakan saya agar dipermudahkan semua urusan, dirahmati dan diberkati masa.
Related Posts with Thumbnails
 
Share