Memaparkan catatan dengan label Hidayah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hidayah. Papar semua catatan

28 Jun, 2013

Peluk Islam Kerana Keindahan Bahasa Arab


AbuAqil aka AbuSakeena

Kali ini saya ingin berkongsi satu hadis Nabi saw yang menceritakan kisah pengislaman seorang sahabat yang tertarik dengan keindahan ayat yang dilafazkan oleh Nabi saw iaitu ucapan khutbatul hajah yang biasa kita dengar dibaca oleh khatib-khatib atau penceramah pada awal ucapan mereka.

Ibn Abbas r.a meriwayatkan bahawa sesungguhnya Dhimad telah datang ke Mekah dan dia berasal dari kaum kabilah Azd Syanu’ah. Beliau sering menjampi untuk mengubat penyakit gila.

Maka dia mendengar khabar daripada golongan bodoh di kalangan penduduk Mekah menyatakan sesungguhnya Muhammad seorang yang gila. Maka Dhimad berkata : kalau aku berjumpa dengan lelaki ini [Muhammad] semoga Allah menyembuhkannya dengan sebab usaha aku. Kemudian beliau berjumpa dengan Muhammad lalu dia berkata : Wahai Muhammad, sesungguhnya aku sering menjampi daripada penyakit ini dan sesungguhnya Allah menyembuhkannya dengan usaha aku. Bolehkah aku menjampimu?

Maka Rasulullah saw mengucapkan ucapan berikut :

((إن الحمد لله نحمده ، ونستعينه ، [ ونستغفره ] ، [ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ] ، [ومن سيئات 

أعمالنا ] ، من يهده الله فلا مضل له ، ومن يضلل فلا هادي له ، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا 

شريك له ، وأن محمدا عبده ورسوله . أما بعد

[ sesungguhnya segala puji hanya untuk Allah. kami memujiNya dan kami memohon pertolongan denganNya dan kami memohon keampunan dariNya dan kami berlindung denganNya daripada keburukan-keburukan diri kami dan daripada keburukan-keburukan amalan kami. Sesiapa yang memperoleh petunjukNya maka tiada sesiapa yang dapat menyesatkannya dan sesiapa yang disesatkan olehNya maka tiada sesiapa yang dapat memberi petunjuk kepadaNya.. dan aku bersaksi sesungguhnya tiada ilah yang layak disembah selain Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya dan sesungguhnya Muhammad hambaNya dan pesuruhNya. Adapun selepas itu]

Dhimad berkata : tolong kamu ulang ucapan kamu tadi.kemudian baginda Nabi saw mengulanginya sebanyak tiga kali.

Dhimad berkata : sesungguhnya aku telah mendengar ucapan golongan tukang tenung, tukang sihir, ahli-ahli syair namun aku tidak pernah mendengar ucapan yang engkau lafazkan.

Dhimad berkata : hulurkan tanganmu, aku berbaiah dengan kamu di atas Islam. Maka dia pun berbaiah dengan Nabi saw.

Nabi saw bersabda : dan juga ke atas kaummu. Dhimad berkata : begitu juga kaumku.
[ Riwayat Imam Muslim, Imam Ahmad, Ibn Majah]

Demikianlah kisah salah seorang sahabat yang memeluk Islam kerana terpegun dengan ucapan Rasulullah. Ucapan ini dikenali dengan ucapan khutbah al-hajah kerana Nabi saw sentiasa membacanya sebelum menyampaikan ucapan atau khutbah.


Keindahan bahasa arab yang merupakan bahasa pilihan Allah untuk kalamNya yang mulia sangat menusuk jiwa bagi mereka yang memahami dan menghayati sastera bahasa arab. Semoga kisah ini dapat memberi manfaat dan memberi motivasi kepada penuntut-penuntut bahasa arab untuk terus mempelajari bahasa arab walau di mana sahaja berada.

12 Mac, 2012

Tinggalkan dunia glamor demi Islam




Jason Hamza Perez berusaha membantu mereka yang hidup di jalanan kembali kepada jalan kebenaran.


ISLAM telah membuka mata anak muda kelahiran Brooklyn, New York, Amerika Syarikat ini yang suatu masa dahulu terlibat dengan penjualan dadah di jalanan sebelum beralih ke dunia hiburan hip hop.

Dua mimpi yang menjadi igauan sepanjang hidup bergelumang dengan dosa itu akui Jason Perez ialah dia pasti akan meringkuk dalam penjara ketika usianya mencecah 21 tahun.

Manakala mimpi keduanya pula ialah walau bagaimanapun dia cuba mengelak semua itu daripada berlaku, dia tetap akan berkesudahan dengan kematian.

Rupa-rupanya, kedua-dua mimpi ngeri Jason itu ternyata benar. Uniknya, Jason kini bernafas semula dengan nama Islamnya, Jason Hamza Perez.

"Saya tidak tahu tentang nafsu. Islam menyedarkan saya bahawa di jalanan anda selalu mencari musuh. Namun, dalam Islam ia mengajar saya bahawa dalam rangka untuk menemukan musuh saya, saya harus melihat diri di cermin terlebih dahulu. Hakikatnya, musuh saya adalah diri saya sendiri iaitu nafsu saya," akui Hamza.

Tayangan dokumentari bertajuk, The New Muslim Cool yang pernah menjadi isu hangat rakyat Amerika Syarikat suatu ketika dahulu, sedikit sebanyak mengandungi pengalaman hijrah akidah dan kerohanian Hamza sebaik bergelar Muslim. Dokumentari itu turut menyelitkan pandangannya yang berketurunan Puerto Rico tentang agama.

12 Januari, 2012

Allah Mudahkan Pemuda Inggeris Jadi Muslim


Kisah Yusuf Derbeshyre, 43, dari Leicester England yang akhirnya menjadi seorang Muslim boleh dianggap agak unik. Ini apabila beliau secara tidak sengaja menemui sebuah buku biografi mengenai Nabi Muhammad SAW, terus tertarik membaca buku tersebut yang membuatkan Yusuf terus memeluk Islam.Ya, semudah itu!

Sebelum menjadi seorang Muslim itu, beliau sebagaimana kebanyakan pemuda-pemuda Inggeris yang lainnya.Antara kemestian mereka menghabiskan malam minggu dengan minum minuman keras sampai mabuk dan lain-lain gaya hidup yang tidak bermoral.

Namun kehidupan Yusuf berubah 180 darjah kira-kira lima tahun lalu apabila beliau menghabiskan masa bercuti di Pulau Greek.

Oleh kerana tidak mahu membawa beg yang berat, Yusuf tidak membawa buku-buku untuk dibaca kerana beliau bercadang membelinya di Greek sahaja.

"Sambil baring di kerusi malas di tepi kolam renang, berjemur di bawah cahaya matahari sambil membaca buku, bagi saya itulah antara makna terbaik sebuah percutian," katanya.

Lalu, sejurus tiba di Greek Yusuf terus mencari kedai buku bagi mendapatkan buku-buku yang menarik untuk dibaca.
Seingat Yusuf, beliau akhirnya menemui sebuah kedai buku bernama WHSmith. Beliau menghabiskan masa berjam-jam lamanya di kedai buku itu untuk mencari dan membeli buku-buku untuk dibaca sepanjang percutian itu.

Bagaimanapun, Yusuf agak hampa kerana beliau tidak menemui satu pun buku yang menarik perhatiannya untuk dibaca sehinggalah beliau hendak angkat kaki sambil menyandang kembali sebuah beg sandang ke bahu.

Ketika hendak menyandangkan ke bahu, begnya terkena sebahagian buku di rak yang menyebabkan banyak buku jatuh bertaburan ke lantai.

Ketika beliau mengutip buku-buku itulah, matanya terpaku pada salah sebuah buku yang jatuh itu.
Bagaikan jatuh cinta pandangan pertama, Yusuf terus mengambil buku yang bertajuk The Prophet Muhammad: A Biography yang ditulis oleh penulis Barat terkenal, Barnaby Rogerson.

"Pada muka surat pertama saya membaca buku tersebut, sepertinya agak menarik. Saya menyambung pada halaman kedua dan tidak boleh berhenti membacanya lalu segera saya beli dan baca sepanjang percutian di Greek itu," jelasnya.

Selesai membaca buku tersebut, perasaan Yusuf begitu membuak-buak untuk ingin tahu mengenai Islam. Beliau ingin mempelajari lebih jauh dari apa yang telah baca dari buku tersebut.

Lalu apabila pulang dari melancong itu, Yusuf terus mengunjungi sebuah masjid di Leicester dan menyatakan hasrat kepada pengurus masjid untuk mengetahui lebih mendalam tentang Islam.

Beliau kemudiannya dibawa menemui imam masjid itu untuk membantunya mempelajari Islam.

Namun imam tersebut memberitahu Yusuf: "Baiklah saya boleh membantu saudara tetapi biarlah saya berkata jujur dan berterus terang dengan anda bahawa bagi saya cara terbaik untuk memahami Islam adalah dengan menjadi seorang Muslim itu sendiri."

Tanpa berfikir panjang, Yusuf terus bersetuju, tanpa sebarang keraguan lagi dengan cadangan imam itu.
Beliau kemudiannya diislamkan secara rasmi dengan mengucap dua kalimah syahadah di masjid itu dan menambahkan nama Yusuf sebagai bukti dan identiti beliau kini seorang Muslim.

15 Disember, 2011

Kerana Tiada Muslim Disekelilingnya, Aysha Belajar Sembahyang Melalui Internet

Bersyukur Dapat Belajar Islam

Bagi Aysha, Islam bukanlah sesuatu yang asing. Wanita yang berasal dari Hungary Utara ini, biasa mendengar perkataan Islam itu sejak di bangku sekolah  menengah rendah lagi. Apa tidaknya, negara tempat tinggalnya merupakan salah satu bekas 'jajahan' Turki selama 150 tahun.

Pengetahuannya tentang Islam banyak diperolehinya melalui subjek sejarah. Islam cukup memberi kesan di dalam benaknya. Lulus sekolah menengah atas, dia mengambil jurusan biologi molekuler.

Di kampus pengajiannya, dia berkenalan dengan ramai mahasiswa Islam. Dia banyak bergaul dengan mereka, sehingga menjadikannya semakin lama semakin ingin tahu tentang Islam. "Saya hairan bagaimana mereka sangat berbangga menjadi seorang muslim," ujarnya.

Sebelum memeluk Islam, Aysha merupakan seorang penganut Kristian Katolik. Walaupun dia mengaku dia seorang yang taat kepada agamanya, namun ada bahagian tertentu yang tidak dapat diterima oleh jiwa sanubarinya. Dia tidak yakin bagaimana Tuhan boleh memiliki seorang anak lelaki sebagaimana konsep triniti yang dianutinya.

Masalah keraguannya tentang agama, dia menceritakannya kepada seorang kawannya yang muslim. Suatu hari, dia dan kawannya makan bersama. Dia mulai terpesona dengan Islam sejak pertama kali mendengar laungan azan.

Selanjutnya, perjalannya menuju cahaya Islam seperti sesuatu yang mengalir begitu sahaja. Dia juga tidak tahu atas alasan apa, tiba-tiba suatu hari di musim panas, dia memuat turun program al-Quran.

"Saya mendengarkan al-Quran dalam bahasa Arab dan membaca terjemahannya dalam bahasa Inggeris. Lalu, saya banyak berfikir tentang Islam dan membaca pelbagai buku tentang agama ini", katanya.

12 Disember, 2011

Solat jadikan Amanda tenang


Susunan SITI AINIZA KAMSARI

Di suatu pagi sebelum matahari menampakkan cahaya yang warnanya keperak-perakkan itu, Amanda Gormley berdiri di ruang tamu rumahnya. Pagi itu, untuk pertama kalinya, perempuan muda ini melaksanakan solat seperti yang dilakukan oleh seluruh kaum Muslimin.

"Saya mengucap dua kalimah syahadat setelah melalui satu perjalanan spiritual yang panjang. Jalan yang membawa saya kepada Islam. Untuk saya menerima agama ini dan menghormati ajarannya," kata Amanda.

Beliau berkongsi kisah, sejujurnya pertama kali mencuba sendiri solat itu, Amanda canggung kerana tidak tahu bagaimana hendak solat dengan betul terutama dalam aspek bacaan.

Lalu cara penyelesaiannya Amanda menggunakan bantuan kad flash mengenai cara-cara bersolat dan bacaannya.
"Saya berdiri ke arah yang saya yakin adalah arah kiblat ke kota Mekah. Lalu saya meletakkan tangan kanan di dada. 

Sedangkan tangan kiri memegang kad yang mengandungi petunjuk solat dan surah al-Fatihah itu," ujarnya menceritakan pengalaman pertamanya bersolat.

Suku-suku kata (bahasa Arab) dirasakan begitu asing dan aneh menyekat saluran tenggorok Amanda. namun seperti tangisan yang tertahan, beliau tetap berjuang untuk mengucapkan bunyi dari suku-suku kata yang asing itu.

15 Oktober, 2011

Dari Seorang sami Kepada Muslim

SAYA menerima anugerah gelaran yang sangat mulia, iaitu Bhagwan (tuhan) daripada pengikut-pengikut saya. Tetapi saat itulah sebenarnya saya berada dalam kesesatan dan kegelapan dan saya tercari-cari cahaya untuk keluar daripada kegelapan itu," katanya.

Dr. Maharaj atau nama sebenarnya Achariya Mahant Dr. Shri Shakti Saroopji Maharaj Adasin Dharmachariya Odai Shakti bukan sahaja penganut Hindu sebelum memeluk Islam tetapi beliau sebenarnya tokoh Hindu terkemuka di India.

Sami atau pendeta besar yang bertahun-tahun lamanya berkhidmat di kuil-kuil besar termasuk di Kuil Ban Khand Ashram Brindaban di Mathura, Uttar Pradesh di utara India untuk menyebarkan agama Hindu. Tugasnya melatih pendeta-pendeta untuk menyebarkan agama itu.

Begitu pun tidak sahaja tugas tersebut sebagai meneruskan tradisi warisan keluarga dan keturunan (dilahirkan dalam keluarga Guru Nanak Vedi Wanash). Bahkan beliau amat berilmu kerana mempunyai pelbagai kelulusan akademik dalam pengajian agama.

Ini termasuk pemegang sarjana dalam pengajian Orientalism dari Universiti Allahabad India, sehinggalah Doctor Of Divinity dari Universiti Oxford, United Kingdom.

04 Ogos, 2011

Cabaran Ramadan bagi pemain bola sepak Islam di Liga Jerman



BERLIN 3 Ogos - Pemain bola sepak liga Jerman beragama Islam kini dalam dilema untuk meneruskan ibadat puasa mereka menjelang pembukaan musim baru Bundesliga, Jumaat ini.

Pemain sayap Perancis, Franck Ribery yang memeluk agama Islam sejak 2002 dilaporkan tetap akan berpuasa tetapi tidak ketika beliau beraksi bersama kelabnya, Bayern Munich.

Pemain kelab SV Hamburg, Anis Ben Hatira sebaliknya merancang untuk terus berpuasa walaupun terpaksa beraksi dalam perlawanan.

Ibadah puasa bukanlah satu persedian yang ideal untuk atlet dan Majlis Pusat Islam di Jerman (ZMD) telah menerbitkan panduan untuk membantu pemain bola sepak membuat keputusan.

Ketua ZMD, Aimen Mazyek memberitahu Agensi berita Jerman dpa bahawa pemain bola boleh berpuasa selepas musim perlawanan bola tamat.

"Kami percaya mengerjakan puasa tanpa mengambil kira aktiviti fizikal dalam kerja tidak digalakkan dalam Islam," katanya.

Mazyek turut menyifatkan isu ini sukar kerana pemain perlu menyoal diri mereka sendiri sama ada sukan lebih penting daripada agama dan sama ada dia mahu beraksi dengan tenaga orang yang berpuasa tanpa mempedulikan kepentingan pasukannya.

Kelab divisyen kedua, SSV Frankfuert sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila tiga pemain Islam menerima amaran kerana berpuasa di bulan Ramadan tanpa meminta kebenaran kelab.

Kelab itu kemudiannya menerima kecaman awam dan isu itu menyebabkan kelab-kelab lain lebih berhati-hati.
Sementara itu, pemain kelab Bayer Leverkusen, Omer Toprak memberitahu dia sebelum ini patuh mengerjakan ibadah puasa, tetapi kini menyifatkannya tidak lagi sesuai dengan prinsip persembahan tinggi bola sepak.

Rakan sepasukannya pula, Karim Bellarabi mahu berpuasa selepas musim tamat, berlainan dengan pemain kelab Hertha Berlin, Tuney Torum yang tidak mahu lagi berpuasa selepas hampir pengsan ketika cuba berpuasa selama sebulan.

"Sebab itulah saya memutuskan untuk tidak lagi berpuasa, tetapi saya sangat kagum kepada pemain yang melakukannya," kata Torum. - dpa

24 Jun, 2011

Keindahan Alam Semula jadi Asbab Peroleh Hidayah

Ibrahim Karlsson 

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

SEBELUM mengenal Islam, Ulf Karlsson adalah seorang lelaki biasa yang langsung tidak punya pegangan agama. Dia mengaku sebagai seorang yang lebih mengejar kebendaan atau materialistik. Tidak pernah sedikit pun terlintas dalam 
fikirannya mengenai kewujudan Tuhan.

"Saya menjalani kehidupan selama 25 tahun tanpa pernah benar-benar memikirkan mengenai kewujudan Tuhan atau hal-hal yang berkaitan dengan kerohanian," ujar lelaki yang berasal dari Sweden itu.

Bagaimanapun, dia masih ingat kenangan semasa kecil, iaitu ketika di kelas tujuh, Karlsson pernah menulis mengenai soal masa depan dan apa yang beliau inginkan ketika itu.

Dia menggambarkan dirinya sebagai seorang pengaturcara komputer yang sangat berjaya (padahal saat itu, dia sendiri tidak pernah menyentuh komputer).

Apa yang lebih menariknya, dia akan berkahwin dan ingin hidup bersama dengan seorang isteri yang beragama Islam.
"Waktu itu, perkataan Muslimah bagi saya adalah perempuan yang mengenakan baju panjang, longgar dan memakai jilbab. Tetapi saya tidak tahu daripada mana datangnya fikiran yang seperti itu dan melintas di kepala saya," ujarnya mengenang impian masa kecilnya itu.

30 Mei, 2011

Kesalahan Al-Quran Yang Dicari, Petunjuk Yang Ditemui


Dr. Gary Miller

Susunan ZUARIDA MOHYIN

Dr. Miller atau nama Islamnya, Abdul-Ahad Omar mengakui kekagumannya dengan ayat-ayat al-Quran itu yang dianggap sebagai satu keajaiban.

Selain ia membicarakan persoalan duniawi dan ukhrawi manusia dalam segala aspek kehidupan, Dr. Miller turut terkesima waima dirinya seorang yang suka mencari bukti secara saintifik dan logik, disebabkan latar belakangnya.
Ditambah pula, ada antara ayat suci dalam al-Quran itu mencabar masa depan dengan hal-hal yang manusia sendiri tidak dapat meramal atau menjangkakannya.

"Semuanya bermula sebaik saya menerima hadiah senaskah al-Quran pada 1978. Niat awalnya saya mengkaji dan ingin membaca al-Quran untuk menarik orang Islam masuk ke agama Kristian.

"Sebenarnya, saya mahu mencari kesalahan dalam al-Quran, agar dengan cara itu senang untuk saya menggoyahkan akidah umat Islam.

"Anggapan awal saya, kitab al-Quran adalah sebuah kitab kuno dan mengandungi cerita tentang padang pasir sahaja. Akhirnya, setelah mendalami satu demi satu helaian al-Quran, apa yang ditemui saya sendiri tidak pernah menjangkakannya," akui Dr. Miller.

18 Mac, 2011

Khat bawa Karima kepada Islam


Susunan SITI AINIZA KAMSARI

SAYA duduk di dalam Masjid Al Hambra, Sepanyol sambil menatap tulisan yang terukir indah di dinding-dindingnya. Iaitu tulisan yang paling indah, dengan keindahan yang sukar untuk diungkap melalui kata-kata.

"Walaupun saya tidak memahami walau sepatah pun tapi hati saya benar-benar sudah terpaut pada keindahan dan keunikan tulisan tersebut.

"Lalu saya bertanya asal usul bahasa dan tulisan tersebut dari mereka yang berada di masjid tersebut, lalu mereka menjawab bahawa tulisan itu adalah perkataan-perkataan dari Bahasa Arab," cerita Karima Burn ketika pertama kali beliau mengenal tulisan dan bahasa Arab.

04 Mac, 2011

Mustafa Wong ‘wakafkan’ diri untuk agama Islam


Oleh ZUARIDA MOHYIN

BERDAKWAH, ramai melihat bidang atau pekerjaan ini dilakukan dengan penyampaian ceramah secara formal atau informal sama ada di institusi agama atau premis seperti rumah, pejabat dan sebagainya.

Di samping, kebiasaannya kerja-kerja ini dilakukan oleh mereka yang bergelar ustaz dan ustazah.
Hakikatnya, anak kelahiran Bachok, Kelantan, Muhammad Mustafa Wong Abdullah, 45, melihat hal ini dari sudut yang berbeza dan lebih global sekali gus berusaha membawa istilah ikram ke dalam 
kehidupan agar menjadi budaya umat Islam di negara ini.

“Ikram yang bermaksud menghormati dan memuliakan orang lain adalah istilah bahasa Arab. Istilah ini tidak ada dalam kamus orang bukan Islam.

27 Februari, 2011

Dulu Daphne Kini Dahlia


"NAMA saya kini Dahlia," si cantik Daphne Eleanor Iking membuka bicara. Sebuah ikrar bahawa dirinya kini sudah bergelar Muslim dan memeluk Islam. Dahlia melafazkan dua kalimah syahadah pada tarikh bersejarah, 8 Januari 2011. Tarikh itu juga menyaksikan dia sekali lagi menyarung status isteri.
"Jangan segan untuk terus menggunakan nama Daphne," sambungnya.
Wanita keturunan Kadazan ini sudah lali apabila dirinya menjadi bahan bualan. Kisah rumah tangganya yang terdahulu terbuka luas, umpama buku yang dibuka lembar demi lembar.
Dia mahu menakluk privasi. Mahu menjadikan kehidupan peribadinya tidak terlalu terbuka. Dia seolah-olah mahukan segala ketenangan yang dulu seperti tidak melekat pada dirinya. Kini dia membuka buku baru, bergelar isteri dan rusuk kiri buat lelaki bernama Azmi.

18 Februari, 2011

Nyaris jadi pendeta


KERANA terlalu ingin mendalami agamanya sendiri, hajat seorang pembantu paderi Kristian menjadi seorang pendeta terbantut dan tidak kesampaian.

Sebaliknya, ia memaksa beliau mencari agama lain sebagai pengganti lantas menemukannya dengan Islam yang kemudian dipilih sebagai agama untuk dianuti dengan penuh keikhlasan tanpa paksaan 
mana-mana pihak.

Apabila memeluk Islam hampir lima tahun lalu, iaitu pada 24 Mac 2006, warga Kanada ini mahu dikenali sebagai Abdullah DeLancey (gambar).

Di zaman kanak-kanak sehinggalah dewasa keluarganya membesarkan Abdullah dalam ajaran agama Gereja Pantekosta.

16 Februari, 2011

Dari Rocker Kepada Pendakwah


KUALA LUMPUR: “Kehidupan saya kini jauh lebih baik, semakin tenang dan mempunyai hala tuju hidup berbanding zaman muda dulu,” kata vokalis kumpulan rock Melissa, Radzi Abd Hamid mengenai penghijrahan sebagai pendakwah bebas.

Radzi, 47, bersama tiga anggota lain, Kefli Ramli (Kef) bermain gitar, Mohd Nor Razak (Ajak - bass) dan Fauzi Shah (Ozy - dram) pernah popular pada rock zaman 90-an menerusi lagu Cinta Untuk Nabila, masih terus menyanyi ketika ini walaupun berjubah, berserban dan berjanggut sejak 18 tahun lalu.

“Saya tidak pernah menyesal bersama Melissa, tetapi saya bertaubat dengan perlakuan saya dulu. Saya reda dengan perjalanan hidup yang pernah saya lalui.

12 Februari, 2011

Peserta Konvoi Kemanusiaan ke Gaza Peluk Islam


 Istanbul- Ahad 23 mei 2010. Jam 10 malam waktu Istanbul, di hadapan pejabat IHH Insani Yardim Vakfi di Fateh, bersempena dengan keberangkatan konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza, telah diadakan acara kesyukuran sempena kemasukan Peter Veana, 63 tahun, ke dalam agama Islam.

Peter yang merupakan seorang berasal daripada Isle of Wights di Selatan England, kemudiannya menukar nama beliau kepada Muhammad Fatih.

Acara tersebut berlangsung sederhana dan sangat mengharukan, di antara anggota rombongan ada yang memberikan hadiah spontan berupa kopiah, baju jubah dan tasbih.

Turut hadir memberikan ucapan tahniah dan doa selamat kepada Peter termasuklah Dr. Nawaf Takruri Ketua Persatuan Ulama Palestina di Syria, Syekh Abdul Ghani Atamimi Ketua Persatuan Ulama Palestina di Luar Negeri, dan juga hadir Ust Ferry Nur, ketua KISPA Indonesia.

Laungan takbir bergema di depan pejabat IHH pada malam itu sebagai ungkapan haru atas hidayah dan anugerah yang telah diberikan Allah kepada Muhammad Fatih. Beliau pernah menyertai rombongan Viva Palestina ke-3 pada bulan Januari tahun 2010 yang lalu, sekarang dengan penuh kesedaran yang tinggi masuk ke dalam agama Islam.

11 Februari, 2011

Yvonne Ridley Perjuang Nasib Umat Islam


Ketika masih remaja lagi, Yvonne Ridley bercita-cita untuk melaporkan berita secara professional.

Dorongan itu bermula ketika berumur 14 tahun apabila surat yang dihantar beliau kepada Evening Chronicle, di Newcastle telah disiarkan.

Sejak dari itu beliau bertekad untuk menjadi wartawan.

Ketika berumur 16 tahun, beliau telah menulis kepada semua syarikat akhbar di United Kingdom dan seterusnya mengambil jurusan kewartawanan di Kolej Percetakan London.

Ilmu yang diperoleh itu dimanfaatkan sebaiknya.

10 Februari, 2011

Christina mahu jelaskan Islam sebenar


Susunan ZUARIDA MOHYIN

KETIKA dua pesawat melanggar bangunan Pusat Dagangan Dunia di New York dalam insiden 11 September 2001, Christina Rountree masih di sekolah menengah rendah. Seperti sebahagian masyarakat Amerika Syarikat (AS) lain pada masa itu, dia hanya mampu tercengang dan marah.

“Apabila keluar di berita-berita mengatakan serangan tersebut dilakukan oleh orang Islam. Lantas, saya bertanya kepada teman yang beragama Islam... mengapa mereka sanggup melakukannya atas nama Islam? Islam itu agama awak, bukan?

Christina masih ingat jawapan balas teman-temannya yang mengatakan: “Mereka itu orang gila. Mereka tidak menghormati agama Islam. Islam adalah agama kedamaian”.

05 Februari, 2011

Kagum Pada Ajaran Islam, Profesor Yahudi Bersyahadat


Khadija ialah nama yang digunakannya setelah masuk Islam. Ia seorang profesor keturunan Yahudi yang menemukan cahaya Islam setelah menyaksikan kematian seorang sutradara bernama Tony Richardson akibat penyakit AIDS. Khadija mengagumi Richardson sebagai sutradara filem yang profesional, bijak dan diakui kalangan seniman antarabangsa.

Kehidupan Richardson sebagai homoseks menularkannya penyakit AIDS yang mematikan. Dari situlah Khadija mulai memikirkan gaya hidup masyarakat Barat dan masyarakat Amerika terutama dalam masalah moralitas. Khadija pun mulai melirik ajaran Islam.

03 Februari, 2011

17 Orang Masuk Islam Kerana Iklan Bas


“Gain Peace, sebuah organisasi dakwah di Chicago yang berdakwah dengan menggunakan papan iklan seperti berdakwah dengan cara memasang iklan di badan bas. Kegiatan yang mereka lakukan ternyata membuahkan hasil, bukan hanya mampu meluaskan pandangan masyarakat Barat yang bersifat negatif kepada Islam tapi setelah melihat iklan di badan bas tersebut, 17 orang yang menyatakan ingin memeluk agama Islam."

Salah satu darinya adalah Leslie C. Toole, seorang guru di Chicago yang sudah sepuluh tahun mempunyai niat masuk Islam. Tekadnya menjadi seorang Muslim akhirnya terlaksana setelah ia melihat iklan GainPeace di badan bas.

29 Januari, 2011

Mustafa Davis: Lima Huruf yang Mengubah Kehidupanku


dari kiri: Mustafa, Khadim dan Canon
Pertemuan Mustafa Davis dengan Usama Canon bukan "kebetulan". Kerana dari pertemuan yang serba kebetulan itu, mengantar Mustafa menjadi seorang muslim. Sekarang, 15 tahun sudah Davis menjadi muslim dan peristiwa "kebetulan" itu tak pernah dilupakan.

Davis secara tak sengaja bertegur sapa dengan Usama lima belas tahun yang lalu, saat sedang menuju ke tempat kuliahnya. Usama mengomentari t-shirt yang dikenakan Davis dan menyalaminya. Pertemuan selanjutnya di kelas bahasa Spanyol, karena ternyata mereka sama-sama mengambil kelas bahasa itu dan kerap duduk bersisian di dalam kelas. 

Keduanya akhirnya tahu bahwa mereka sama-sama menyukai musik dan seni. Oleh sebab itu, Davis dan Usama--yang jago main piano--kadang menyelinap ke aula kampus karena ada piano di sana. Mereka menghabiskan waktu berjam-jam untuk bermain musik, dan kadang diselangi dengan perbincangan tentang spiritual. Itu mereka lakukan hampir setiap hari selama satu semeste kuliah.

Related Posts with Thumbnails
 
Share