Memaparkan catatan dengan label Kembara ilmu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kembara ilmu. Papar semua catatan

28 April, 2015

Rehlah Ilmiah 2015 dan Santai Famili

AbuAqil aka AbuSakeena


Teruk berhabuk blog ini. Malas betul nak update blog sekarang ini kerana banyak komitmen lain. Post ini pun paksa diri juga.

Pada tahun ini saya telah beberapa kali bermusafir untuk berkongsi ilmu dengan anak-anak pelajar tingkatan 3 dan 5.

Tahun ini banyak menghadiri ceramah teknik di bumi semenanjung sahaja dan mungkin terpaksa menolak sekiranya ada jemputan dari Sabah dan Sarawak kerana kekangan masa dan ingin berehat.

Semua rehlah ilmiah tahun ini saya bermusafir bersama famili. umpama peribahasa 'Menyelam sambil minum air'. Berkongsi ilmu dan bercuti sambil santai dengan famili.

Alhamdulillah dengan kemudahan nikmat kenderaan baru yang Allah kurniakan, kami bermusafir ke Terengganu dan Pahang dengan lancar dan selesa. Saya kuat kerana bermusafir dengan famili. Sangan teruja bila dapat bermusafir bersama dan sangat senang hati melihat anak-anak ceria dan gembira. Hilang rasa letih dan penat walaupun tiada cuti pada setiap hujung minggu.

SMK Seksyen 18 Shah Alam Selangor [ 27 dan 28 Februari 2015]

Berbanyak terima kasih kepada ustazah Hafizah yang sudi menjemput saya. ustazah hafizah merupakan guru yang banyak memberi sokongan kepada saya semasa awal-awal membina ebook dan buku b arab. Syukran kathiran ustazah. dapat juga bertemu dengan ustazah yang merupakan ketua bidang di SMK Seksyen 18, Shah Alam. 

Ini merupakan Rehlah ilmiah pertama tahun ini. Ceramah kali ini untuk anak-anak pelajar PT3 dan SPM mengambil masa selama  dua hari. Terima kasih juga kepada Abang Mir dan Kak Nah kerana sudi beri kemudahan menginap selama dua malam di Bukit Jelutong serta jadi driver ke sana ke sini :)
calon-calon PT3 2015


bersama pelajar SPM
SMK Lembah Bidong Merang Terengganu [ 28 Mac 2015]

Bersama famili termasuk ibu dan adik perempuan menginap di Sutra Beach Resort. Gembira betul anak-anak bila dapat mandi kolam. Yang dewasa pun turut tumpang sekaki ). Setinggi-tinggi penghargaan kepada ustazah Azlin, jadi juga tahun ini hadir ceramah setelah tertangguh sejak tahun 2014.



Mandi kolam di Sutra Beach Resort
SMKA  Durian Guling di Prinzpark Hotel [ 11 April 2015]

Minggu berikutnya saya bergerak pula ke Kuala Terengganu untuk memenuhi jemputan cermah teknik PT3 dan kemahiran mengarang Insyak jemputan dari SMKA Durian Guling yang diadakan di Prinzpark Hotel. Ini kali kedua hadir ke hotel ini. Terima kasih kepada ustazah Fatmawati atas jemputan.

Bersama pelajar SMKA Durian Guling 

Mandi kolam lagi


SMAP Bentong (SUPERB) [18 APRIL 2015]

Musafir kali ini bersama keluarga termasuk bonda tersayang kerana destinasi berikutnya akan ke Cukai Kemaman untuk pendaftaran anak sulung Haziq Amsyar menyambung pengajian di Ranaco Education Training Institute dan menziarahi ahli keluarga di sana. Ceramah di sini untuk teknik SPM. Pelajar SUPERB memang super : hebat dan komited. Terima kasih kepada ustazah Kamilah dan ustazah Rozielah. 

Menginap di Zack Homestay di Mempaga selama semalaman. Homestay bertaraf 4 bintang. Halaman yang cantik dan rumah yang selesa.

Berhenti seketika di RNR Gua Musang

Homestay yang indah di Felda Mempaga

Selfie dengan bonda tercinta di halaman homestay yang penuh dengan bunga-bunga

Pelajar SUPERB menghayati video
SMK Clifford Kuala Lipis [24 April 2015]

Ceramah teknik PT3 untuk lima buah sekolah SRK dan SABK di Daerah Kuala Lipis. Terima kasih kepada sepasang guru bahasa Arab ustaz Salahuddin dan ustazah Solah Makkiyah atas jemputan serta semua ustaz dan ustazah yang bersama saya. Dapat juga hadir setelah dua kali tertangguh sejak tahun lepas.



Menerima cenderamata dari Pegawai PPD K. Lipis, Ustaz Husin [pernah bersama di maktab Batu Rakit pada 2003]

Foto kenang kenangan bersama guru dan pelajar daerah K. Lipis

Destinasi berikutnya selepas selesai tugasan ialah sesi santai dan merasai hawa dingin di Cameron Highlands. Anak-anak teruja kerana pertama kali datang ke tempat sejuk. sudah lama saya tidak datang ke sini. Saya pernah berkhidmat di Tanah Rata iaitu di SMK Sultan Ahmad Shah selama setahun setengah sebelum dapat masuk ke Kota Bharu.

Jalan-jalan cari makan di pasar malam di Brinchang

muka-muka teruja dapat tengok ladang teh

Semoga Allah sentiasa merahmati kami
Hanya tidur semalaman dan bertolak pulang keesokannya. Saya sangat bersyukur kerana dikurniakan kesihatan yang sempurna dan famili yang sempurna yang sentiasa sanggup menemani ke mana sahaja. Semoga terus dikurniakan nikmat sihat dan masa terluang untuk famili dan perkongsian ilmu.

Bulan April yang memenatkan namun kepenatan hilang bila lihat ahli keluarga gembira dan ceria.

اللهم بارك حياتنا وارحم اهلنا

24 Ogos, 2014

Menagih Kesihatan Yang Sempurna & Keberkatan Masa

AbuAqil aka AbuSakeena

Sejak akhir-akhir ini amat berat  + malas untuk update blog kerana masa yang terluang saya lebih gemar bersama anak-anak. Jadual selepas Raya Aidil Fitri yang lepas agak padat. Bermula dengan ceramah teknik kertas 2 SPM untuk anak-anak pelajar SMK Agama Kuala Abang, Dungun yang diadakan sebuah resort di Besut. Ruang masa selama 2 jam diamnfaatkan sebaik mungkin untuk menjawab soalan insyak dan soalan pemahaman, insyak pendek dan kata hikmah. Pelajar memberi respon yang sangat baik dan bersemangat. Terima kasih keapda al-fadhil ustaz firdaus di atas jemputan. ini merupakan ceramah pertama setelah berehat sepanjang Ramadan.


Para pelajar SMKA Kuala Abang sedang berbincang menjawab soalan pemahaman

Kembara ilmu berikutnya ialah bermusafir kali ketiga ke negeri di bawah bayu dan kali kedua ke SMK Agama Tun Said, Kota Belud, Sabah pada 7 Ogos 2014 atas jemputan sahabat baik rakan sekolah di Maahad Muhammadi Lelaki satu masa dulu, al-Fadhil ustaz Abdul Aziz Ghaffar.
Bersama Ustaz Aziz

Perkongsian ilmu di sini agak padat dengan 5 slot khas untuk calon SPM. Kebetulan pada waktu itu kesihatan terjejas dengan selsema yang berlarutan dan batuk. Namun segala puji bagi Allah yang memberi kekuatan  ‘Bermarathon’ lebih kurang 10 jam berceramah dan berbengkel. Memenatkan tapi memuaskan hati bila dapat berkongsi ilmu dengan anak-anak pelajar.

Minggu berikutnya iaitu pada 14 Ogos 2014 ‘terbang’ pula ke Putrajaya untuk bersama anak-anak Putrajaya dari 5 buah sekolah KAA di JPN Putrajaya untuk sesi ceramah teknik menjawab dan bengkel PT3 yang berlangsung di SMK Presint 8 (1).  Program sepanjang 4 jam terus menerus berjalan dengan lancar dan baik. Kerja saya menjadi mudah kerana semua pelajar telah mempunyai modul PT3 di mana semua slide Power point berpandukan modul tersebut.

Anak-anak SMKA Tun Said, Kota Belud  yang sentiasa ceria berbengkel
Setinggi-tinggi penghargaan kepada ustazah Suryani bt Mohamad yang sudi menjemput saya dari jauh untuk berkongsi ilmu. Dapat juga bertemu dengan sahabat lama al-fadhil ustaz Zulkifli bin Nawawi yang sekarang berkhidmat di SMKA Putrajaya. Beliaulah insan yang bertanggung jawab menjemput saya ke Sabah pada tahun 2012.
Urusan saya di Putrajaya menjadi mudah kerana kebetulan adik saya menetap di putrajaya dan tidak menyusahkan orang lain untuk mengambil dan menghantar saya dari lapangan terbang. 

Para pelajar SMKA dan  KAA Putrajaya 
Di samping itu kembara ini juga saya dapat berjumpa dengan dengan abang yang tinggal di Bukit Jelutong, Shah Alam. Beliau sanggup datang untuk bersarapan bersama pada keesokkannya.

Menerima cenderahati daripada wakil JPN Putrajaya

Ketika berada di Putrajaya saya menerima WhatsApp daripada ustazah Solah makkiyah (kak Solah) menjemput saya berceramah PT3 di sekolahnya SMK Clifford, Kuala Lipis pada hujung minggu berikutnya dengan tawaran musafir dengan keretapi ekspress wau. Ini pengalaman baru walaupun akan meletihkan kerana perjalanan mengambil masa 4 jam setengah.  Saya menerima sahaja kerana  tidak sanggup untuk berkata ‘tidak boleh’ untuk berkongsi ilmu Allah yang sedikit di dada.

Pekena Nasi kerabu di Presint 9 bersama adik (kiri) dan abang.
Namun rancangan ini terpaksa dibatalkan kerana keretapi pulang pada tengahari Jumaat ke Wakaf Bharu tidak disediakan buat sementara waktu. Allah belum izinkan saya untuk berkongsi ilmu di sana. In Sya Allah satu hari nanti saya akan ke sana juga. Semoga Allah permudahkan.

Ekoran itu hujung minggu ini baru dapat saya berehat dan dapat manfaatkan masa bersama keluarga tercinta. Hujung minggu ini iaitu pada 23 Ogos 2014 dimanfaatkan bersama dengan anak-anak didik SMKA Tok Bachok selama 2 jam berceramah teknik menjawab PT3 yang diadakan di dewan Abu bakar as-Siddiq, SMKA Tok Bachok. Terima kasih kepada guru kanan al-fadhil Che Ayuk, ustaz Faizol, ustazah Zurainah dan ustazah Mahfuzah  di atas jemputan padahal mereka ini jauh lebih berilmu dan berpengalaman daripada diri ini.


Para pelajar SMKA Tok Bachok sedang menikmati video 

Pada minggu hadapan iaitu pada 29 Ogos 2014 akan bersama pula anak-anak pelajar SMKA Melor untuk ceramah teknik PT3 juga yang akan diadakan di D’Muara Tok Bali. Peluang ini akan diambil peluang bercuti dan santai bersama keluarga di Sweet Beach Resort, Tok Bali. Program 2 dalam 1. Semoga Allah permudahkan semua perancangan.

Namun saya terkilan juga kerana tidak dapat memenuhi  jemputan al-fadhil ustaz Hisyam dari SMKA Melor untuk bersama pelajar 40 orang lebih untuk ceramah teknik SPM. Ini kerana saya ketika itu masih berada di Sabah dan berlaku sedikit masalah komunikasi. Semoga Allah mengampunkan dosa saya kerana gagal berkongsi ilmu di sana.

Beraktiviti pada setiap hujung minggu memang memenatkan kerana bekerja 7 hari seminggu dengan bermusafir jauh namun saya berasa puas dan berbaloi kerana dapat memberi sumbangan ilmu kepada anak-anak didik muslim yang berminat belajar Bahas Arab. ganjaran Ilahi dan redaNya jua yang diharapkan sebagai balasan.
Saya sangat mengharapkan agar  Allah mengurniakan kesihatan yang sempurna kepada diri ini ekoran pertambahan usia yang tidak lagi segagah waktu muda. 

Keberkatan masa juga diharapkan agar kembara ilmu saya tidk mengganggu ‘hardcore business’ saya sebagai pendidik. Mohon sahabat dan saudara sekalian mendoakan saya juga. Doa kalian lebih baqbul daripada hamba yang kerdil ini.

Di dalam kesibukan berkongsi ilmu dengan berceramah sana sini namun penjualan buku tetap berjalan dengan baik. Hasil bantuan adik perempuan Amalia Aisya yang bertanggung jawab membungkus dan mengepos ke seluruh negara. Tanpa bantuannya sangat sukar. Tanpa disedari sehingga hari ini (24 Ogos 2014) buku modul PT3 telah dijual lebih 4400 naskhah. Baki buku lebih kurang 600 buah daripada 5000 cetakan pertama. In Sya Allah cetakan kedua akan menyusul untuk memenuhi permintaan pembeli pada masa akan datang in Sya Allah.


Semoga Allah terus mempermudahkan semua urusan kembara ilmu keseterusnya…aamiin ya Musta’an.

15 Julai, 2014

Ambang Ramadan & Ramadan Yang Berbeza

AbuAqil aka AbuSakeena

Dah lama tak update blog ini sampai dah naik sesawang. Sibuk sangat. artikel ini sepatutnya di post 2 minggu yang lalu namun kesuntukan masa dan tenaga tidak mampu melakukannya. Ditambah lagi bila bertamunya ramadan aktiviti online sangat terhad. 

Bermula sejak seminggu sebelum raya diuji dengan kesibukan dan ujian yang pelbagai. Pada 23 Jun 2014 saya bersama pelajar Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah untuk berkongsi ilmu teknik menjawab kertas 2 dan perbengkelan. Sepatutnya sampai ke malam, namun terpaksa menguzurkan diri kerana keesokan akan ke Sarawak sedangkan belum melakukan persiapan.


Bersama ahli al-Quran Maahad Tahfiz Sains tanah Merah

Kunjungan ke Sarawak sangat sulit kerana diadakan pada pertengahan minggu, hari persekolahan. Berdepan masalah tidak dilepaskan oleh pihak sekolah. Sangat sukar. Saya membuat keputusan mengambil cuti sakit kerana tidak sanggup mengecewakan pihak sekolah SMKA Matang, Kuching kerana program tersebut telah dirancang sejak bulan April lagi.

Terbang terus dari airport Pengkalan Chepa ke Kuching sangat menjimatkan masa dan memudahkan. Disambut bagaikan VIP oleh pak Ngah dan dibawa terus ke lokasi Mukhayyam Bahasa Arab di Pulat Latihan Sarawak, Telaga Air. Mukhayyam ini melibatkan semua calon SPM SMKA Matang yang dikhabarkan kurang bermotivasi dengan subjek Bahasa Arab.

Sesi bergambar bersama semua pelajar dan guru B. Arab

Saya banyak menyelitkan unsur motivasi agar mereka dapat mengubah sikap dan persepsi terhadap Bahasa Arab. Tiga slot ceramah diikuti dengan bengkel diharap dapat memberi semangat baru kepada semua pelajar. Ada juga slot bersama muzakarah bersama guru-guru Bahasa Arab. Terbang pulang ke Kota Bharu pada 26 Jun hari Khamis. semoga kembara ilmu ke Sarawak dapat memberi faedah dan kebaaikan untuk anak-anak pelajar SMKA matang dan dapat meningkatkan rekod Bahasa Arab SPM sekolah tersebut. Tawakkalna Ala Allah.

Menerima cenderamata daripada Guru Kanan Ustazah Hasliza binti Hanafi

Dalam perjalanan pulang dari airport, saya menerima panggilan daripada Cikgu Fauzi dari SMK Salor menjemput berceramah untuk calon PT3 di asramanya pada keesokannya, Jumaat 27 Jun 2014. Saya tidak tergamak dan agak sukar untuk berkata ‘maaf, tidak boleh’. Saya  menerima sahaja walaupun agak keletihan.

Keesokannya pula iaitu pada hari Sabtu, 28 Jun 2014 sekali lagi berkunjung ke MRSM Kota Putra bersama anak-anak calon SPM memantapkan teknik menjawab kertas 1. Ini kali ketiga hadir ke sini pada tahun ini. Respon pelajar sama seperti dulu, sangat memberangsangkan walaupun dalam keadaan kepanasan kerana diadakan waktu tengahari. Ceramah ini merupakan yang terakhir sebelum berehat sepanjang Ramadan.

Kesibukan tidak terhenti setakat itu sahaja. Pada 30 Jun 2014 menerima panggilan daripada Mega Harmony memaklumkan bahawa buku PT3 yang dicetak telah siap. Sangat teruja. Kegembiraan berganda dengan ketibaan Ramadan dan karya ketiga siap serentak.

Pada 1 Julai 2014 buku-buku mula dipos ke serata tempat terutama yang membuat tempahan awal sebelum siap dicetak lagi. Alhamdulillah sehingga 14 Julai iaitu dalam masa 2 minggu jumlah 1529 buah buku PT3 telah dijual dan dipos ke seluruh malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Jazakumullah khairal jaza’ kepada asatizah dan talabah di atas kepercayaan dan kesudian memanfaatkan ilmu yang dikongsikan. Semoga Modul Abu Sakeena PT3 akan dapat membantu pelajar minat dan memahami bahasa al-Quran.
 
Timbunan buku di tangga depan. tidak sempat dan tidak larat untuk dipindah masuk ke dalam rumah.

Memang memenatkan, menambah beban kepenatan Ramadan dengan memikul kotak-kotak 20-25 kg dan berulang alik ke pejabat pos. Ramadan kali ini sangat berbeza dengan sebelumnya namun saya mengharapkan kasih sayang dan rahmat Allah sentiasa bersama saya setiap masa. Segala puji bagi Allah yang sentiasa mempermudahkan hambaNya ini setiap masa dan ketika. Semoga kesibukan ini dibalas dengan keampunan dariNya dan balasan terbaik di sana.

27 Mei, 2014

Kembara Ilmu : Kembali ke MRSM Ulul Albab Untuk Ceramah PT3


AbuAqil aka AbuSakeena

Hujung minggu yang lepas, Sabtu 24 Mei 2014 saya kembali ke MRSM Ulul Albab, Besut Terengganu untuk berkongsi ilmu ceramah teknik PT3 serta perbengkelan untuk pelajar tingkatan 3. Bulan lepas bersama pelajar tingkatan 5. Tarikh tersebut asalnya akan berceramah teknik SPM di SMK Lembah Bidong, Setiu namun dibatalkan kerana masalah yang tidak dapat dielakkan. Saya mengesahkan jemputan ke Kota Putra sekali lagi kepada ustazah Nadiah dari MRSM Kota Putra.


Ceramah diadakan ditempat yang sama dengan dulu iaitu di dewan kuliah. Pelajar memenuhi ruang dewan kerana jumlah pelajar kalau tidak silap lebih 170 orang.Saya menyelitkan sedikit motivasi  kepentingan Bahasa Arab kepada para pelajar agar mereka sedar tanggung jawab mereka sebagai ahlil Quran. Semoga mereka mendapat semangat dan minat untuk mendalami ilmu bahasa al-Quran ini.


Ceramah diselang-seli dengan bengkel untuk mengelakkan pelajar boring dengan interaksi satu hala. Sesi pertama ceramah pada pukul 11.00 pagi hingga 1.00 petang. Slot ini sempat menghabiskan soalan 1 dan 2 iaitu bahagian Qawaid dan pemahaman. Alhamdulillah para pelajar memberi respon positif dan dapat menjawab soalan dengan baik melainkan beberapa soalan aras tinggi.

Sesi ceramah yang kedua disambung semula selepas makan tengahari dan solat iaitu pada pukul 2.30 petang hingga 4.30 petang. Slot ini diadakan ceramah teknik diikuti dengan bengkel untuk soalan 3 ( Ibarah/ ucapan), soalan 4 (bina ayat berdasarkan rangkai kata), soalan 5 (susun kalimah) dan soalan 6 (insyak). Semua berjalan dengan baik dan lancar walaupun masa yang sangat singkat.

Kebanyakan pelajar menguasai tajuk qawaid dengan baik, mereka Cuma lemah bahagian bina ayat berdasarkan rangkai kata. Semoga perkongsian ini akan dapat membantu mereka dalam menjawab soalan PT3 bulan Oktober nanti.


Ustaz doakan anda agar kalian akan mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan PT3 dan akan menjadi ahlil Quran yang cemerlang di dunia dan akhirat.

02 Mei, 2014

Kembara ilmu 2014: Ke SMA Maarif Besut

AbuAqil aka AbuSakeena

1 Mei 2014 tahun ini tidak bercuti kerana saya bersama dengan anak-anak pelajar SMA Maarif  berjumlah 110 orang dan SM Imtiyaz Besut seramai 54 orang. Saya menerima jemputan daripada ustazah Anizawati  4 hari sebelumnya bertanyakan adakah pergi bercuti mana-mana dengan keluarga pada 1 Mei nanti sebab ingin menjemput untuk berceramah. Tanpa berfikir panjang, saya terus menerimanya. Kerana ruang dan peluang yang diberikan oleh Allah tidak wajar dihabiskan dengan rehat semata-mata tanpa pengisian bermanfaat.


Sebenarnya saya masih kepenatan kerana sehari sebelumnya menerima kunjungan daripada SMK Ahmad, Pekan Pahang. Ditambah pula kesakitan di belakang dan pinggang masih berlarutan walau telah mengambil ubat tahan sakit. Namun demikian alhamdulillah Allah masih kurniakan kekuatan untuk berceramah selama 4 jam lebih dan dipermudahkan semua urusan.


SMA Maarif merupakan sebuah sekolah SABK dan calon SPM pada tahun 2014 seramai 2014 dengan kesemuanya mengambil kertas Bahasa Arab. satu cabaran besar bagi asatizah yang mengajar tingkatan 5. Mereka kelihatan bersemangat sepanjang ceramah dan sesi perbengkelan berlangsung. Semoga perkongsian ilmu dan motivasi dapat memberi kekuatan baru kepada anak-anak pelajar yang lemah dan TOV yang kurang memuaskan sebelum ini.

Bersama dengan ahli Quran SM Imtiyaz Besut
Difahamkan terdapat 54 orang ahli Quran dari SM Imtiyaz Besut menyertai sama ceramah saya. Mereka kebanyakkannya telah dapat menguasai Bahasa Arab dengan baik berdasarkan respon semasa soal jawab bengkel. Alhamdulillah kali ketiga dapat bersama dengan ahli Quran.

Ceramah selama lebih 4 jam untuk dua slot kertas 1 dan 2 berjalan dengan lancar dan baik. Mendapat respon yang memberangsangkan daripada semua pelajar. Mudah-mudahan mereka mendapat kebaikan walaupun sedikit daripada perkongisian ilmu tersebut.

Ustaz doakan agar Allah mengurniakan kejayaan yang cemerlang kepada semua anak-anak didik SMA Maarif dan SM Imtiyaz salam peperiksaan SPM terutama Bahasa Arab, Amiin Ya Rabbal Alamin.

26 April, 2014

Sedia Berkhidmat Walau Sedar Bukan Yang Terbaik

AbuAqil aka AbuSakeena

“Abah ada kelas ke malam ni?”

Soalan ini silih berganti ditanya oleh putera dan puteri kesayangan Aqil dan Sakeena hampir setiap hari selepas solat maghrib berjamaah. Kerana kalau tiada kelas malam mereka tahu abah akan lepak bersama dan bergurau senda di dalam bilik sambil menonton berita. Sayangnya jarang dapat  bersama mereka seperti itu. Sebab itu saya nekad membawa  keluarga bersama kalau bermusafir untuk berceramah di kawasan berdekatan seperti di Terengganu. Famili diutamakan di samping ilmu dikongsikan.

Anak-anak tetap diutamakan
Sejak akhir-akhir ini agak sibuk sikit kerana banyak menerima jemputan mengajar dan berceramah teknik menjawab walaupun baru bulan April. Saya akan menerima sahaja jemputan untuk berkongsi ilmu. Sangat malu dan tidak tergamak untuk mengatakan ‘tidak boleh ‘ atau memberi alasan selain mengiyakan sahaja sebarang jemputan.

Saya sedar saya bukan yang terbaik dan tidak layak sebenarnya untuk menjadi penceramah dan mengajar sana sini. Namun sikit ilmu dan pengalaman yang ada akan dimanfaatkan. Saya sentiasa berpegang dan ingin letakkan diri saya di dalam doa dua Malaikat :
اللهم أعط منفقا خلفا اللهم أعط ممسكا تلفا
Ya Allah, berikanlah ganti kepada orang yang memberi. Ya Allah berikanlah kerosakan kepada orang yang kedekut.[Imam al-Bukhari dan Muslim]

Jemputan berceramah, kelas tuisyen peribadi, mengajar tuisyen malam di sekolah sendiri dan sekolah lain serta di pusat tuisyen semuanya saya terima. Tuisyen sendiri pada setiap hujung minggu masih diteruskan walaupun kadang-kadang ada dan kadang-kadang tiada kerana kekangan masa. Asalkan dapat berkongsi ilmu, In Sya Allah saya sanggup. Program terdekat ialah menerima kunjungan rombongan lawatan sambil belajar dari SMK Ahmad, Pekan, Pahang untuk program ceramah teknik menjawab B. Arab kertas 2 pada 30 Aril ini.

Sehingga hari ini saya telah berceramah di MRSM UlulAlbab Kota Putra, Besut. Minggu lepas di SMAASZA, Kuala Terengganu dan masa terdekat di SMA Maarif Besut kalau tiada aral. Telah ada jemputan ke Sabah, Sarawak dan pertanyaan dari Sahabat di Perak. Semuanya saya terima dengan hati yang terbuka.

Saya mengharapkan rahmat Allah dan kasih sayangNya agar diberkati masa agar tiada pertembungan dengan program lain di sekolah sendiri. Itu yang saya takut. Khuatir prestasi kerja terjejas dan dinilai negatif bila sibuk dengan urusan luar.

Satu perkara yang agak membimbangkan saya juga ialah masalah kesihatan. Bila sibuk melanda otomatik badan akan sentiasa letih kerana kekurangan rehat. Lebih-lebih lagi akhir-akhir ini amat jarang beriadah. Tidak seperti dulu, setiap hujung minggu akan joging masa ada di Taman Tengku Anis atau di Pantai Irama, Bachok. Dulu ada juga bermain futsal dan badminton sekali seminggu. Ditambah pula tabiat pemakanan yang tidak terjaga seperti awal-awal selepas angiogram. Harap masalah jantung tidak berulang. Bukan tidak ingin bersenam namun masalah masa yang sangat terhad.

Saya mengharapkan rahmat Allah agar diberikan kesihatan yang sempurna, masa yang diberkati serta kekuatan untuk terus berbakti melalui berkongsi ilmu yang ada. Saya juga sebagai hamba yang sangat daif dan kerdil mengharapkan Allah memberi hakikat ikhlas kepada hati ini agar segala penat lelah tidak sia-sia.

Jangan lupa doakan saya sahabat-sahabat, ihkwah dan akhawat!

21 April, 2014

Kembara Ilmu 2014 : SMAASZA & Santai Famili

AbuAqil aka AbuSakeena

Pagi Jumaat lepas, 18 April 2014 saya bertolak menuju ke bandar Kuala Terengganu bersama famili tercinta. Musafir kali ini mempunyai dua tujuan. Tujuan utama ialah perkongsian ilmu ceramah teknik kertas 1 dan 2 B Arab SPM dengan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin [SMAASZA] dan yang kedua ialah edisi santai-santai bersama keluarga. ‘Menyelam sambil minum air’ memandangkan destinasi tidak terlalu jauh.

Prinzpark yang terletak berhampiran dengan Masjid terapung di Kuala Ibai

Perjalanan lebih kurang 2 jam setengah sahaja, anak-anak pun tidak sempat ‘boring’. Menginap di  Prinzpark Resort yang telah ditempah seminggu yang lalu. Hotel ini dipilih kerana berdekatan dengan SMAASZA dan ia menyediakan potongan 20% untuk kakitangan kerajaan.

Kompleks sukan TER yang terletak betul-betul di depan prinzpark
Anak-anak berpuashati berada di sini kerana dapat mandi kolam di Komplek Sukan Terengganu Equestrian Resort (TER) yang terletak di depan hotel. Kolam renang ini bukan di bawah pengurusan Prinzpark sebab itu kemasukan ke kompleks dicas RM5  bagi kanak-kanak dan RM8 bagi dewasa [yang nak mandi sahaja dikenakan bayaran]. Terdapat juga di sini Dewan Badminton, Bowling, Squash, Gymnsium untuk kemudahan beriadah.
Sampai je terus terjun kolam tiga beradik ni

Selesai bersarapan dengan famili di hotel, saya bersegera ke SMAASZA pada pagi sabtu 19 April 2014. Hanya 10 minit sahaja perjalanan. Sesi ceramah teknik yang diatur selama 4 jam dengan 2 slot untuk kertas 1 dan 2 diadakan di asrama ASPURI. Saya berdepan dengan pelajar-pelajar hebat di sekolah hebat dan dibantu oleh ustaz dan ustazah yang hebat juga. Saya dimaklumkan sekolah ini adalah sekolah kluster kecemerlangan. Pasti pelajar-pelajar juga cemerlang.

Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar dan mendapat perhatian yang terbaik daripada semua pelajar walaupun mereka hanya duduk di atas lantai kerana berada di musalla. Masa selama 4 jam dirasakan terlalu pantas walaupun berdiri sepanjang ceramah namun tidak meletihkan saya kerana respon positif para pelajar. Barakallahu fikum. Anda layak mendapat A Bahasa Arab dalam SPM kelak kerana komtimen dan ketekunan anda yang luar biasa.
 
Wajah-wajah ceria pelajar selepas ceramah
Ceramah teknik diselang-seli dengan perbincangan pelajar dalam perbengkelan untuk mengelakkan pelajar rasa mengantuk. Ternyata umumnya mereka cemerlang dalam menjawab soalan. Tahniah kepada seorang pelajar perempuan yang mendapat hadiah 1 set modul B Arab SPM kerana mampu menjawab soalan aras tinggi [I’rab]. Lupa nak tanya nama.
 
Menerima cenderamata daripada Ustaz Syed
Setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak SMAASZA dan ustaz Syeikh Syed, ustazah Wan Mailan dan ustazah Azizah kerana sudi bersama saya sepanjang perbengkelan. Juga kerana sudi menerima modul saya untuk digunakan oleh semua pelajar di sana. Jazakumullah khairal jaza’.

In sya Allah kalau berkelapangan dan diberi peluang saya berazam akan hadir lagi ke sekolah hebat ini pada masa akan datang. Saya juga tidak akan lupakan pelajar-pelajar dan guru-guru di SMAASZA dan berusaha  membantu mereka dalam ilmu Bahasa Arab selagi diperlukan.

13 April, 2014

Kembara Ilmu 2014 : MRSM Ulul Albab Kota Putra Destinasi Pertama

AbuAqil aka AbuSakeena

Dua minggu yang lepas saya menerima sms dari seseorang (Ustaz Hisyam) menjemput saya berceramah teknik di MRSM Kota Putra, Besut. MRSM ini sangat istimewa kerana ia merupakan salah satu daripada MRSM Ulul Albab di Malaysia di mana sistem pendidikannya menggabungkan pendidikan akademik dan tahfiz al-Quran.



Saya berasa sungguh bertuah kerana berpeluang berkongsi ilmu dengan ahli-ahli al-Quran yang hebat  walaupun saya bukanlah yang paling layak untuk mereka. Peluang keemasan ini tidak disia-siakan. Ini kali kedua bersama para huffaz,tahun lepas bersama Pelajar Tahfiz Sains Tanah Merah.

Tarikh 12 April 2014 dipilih dan segala puji bagi Allah yang telah memudahkan urusan saya. Tarikh tersebut asalnya akan berceramah di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin ( SMAZA) Kuala Terengganu tapi ditunda pada minggu berikutnya kerana pelajar asrama pulang pada minggu tersebut.

Sesi Soal Jawab Soalan

Peluang yang ada memberi ruang kepada saya untuk bersama pelajar-pelajar MRSM Kota Putra.  Pada minggu lepas saya dihubungi pula oleh ustaz Abdul Hanan untuk mengesahkan kehadiran saya. Saya bersetuju tanpa alasan kerana sukar untuk menolak peluang bersama pelajar hebat.

Kehadiran saya disambut oleh ustaz Abdul Hanan setelah memandu lebih kurang 45 minit dari kediaman saya di Bachok. Nasib baik tidak jauh. Ceramah diadakan di dewan kuliah. Berasa macam pensyarah di universiti pula. Jumlah pelajar lebih 160 orang memenuhi dewan.

Ceramah sepanjang dua jam mengupas secara terperinci teknik menjawab Bahasa Arab kertas 2 SPM diselang seli dengan perbengkelan menjawab soalan sebenar SPM 2013. Memang tepat jangkaan saya, saya berdepan dengan pelajar yang hebat dan pintar. Cuma mereka perlu pendedahan dan latih tubi untuk meningkatkan penguasaan seterusnya mencapai A+.


Ceramah menjadi lebih mudah kerana pelajar telah dibekalkan modul Abu Sakeena Khas kertas 2 [gambar kiri]. Semua bahan slide dan teknik telah ada di dalam buku tersebut. terima kasih kepada ustaz-ustaz kerana sudi menggunakan buku tersebut untuk semua pelajar.
In Sya Allah modul tersebut akan banyak membantu pelajar dalam menjawab soalan kertas 2.

Mereka beruntung kerana al-Quran berada di dalam kepala masing-masing. Tidak timbul sangat masalah kurang kosa kata sekiranya mereka menghafal al-Quran bersama maksudnya. Saya memanfaatkan teknologi moden iaitu menggunakan Sony Vaio Tap 11 sepanjang pembentangan yang dapat memaparkan slide powerpoint serta lakaran, contengan untuk memudahkan pelajar faham. Cuma berasa kesal juga tertinggal pen khas dan pada akhir-akhir Tap agak ‘kepeningan'. Namun semuanya berjalan lancar.


Alhamdulillah, respon pelajar sangat positif, bersemangat dan beradab dengan guru. Masa dirasakan sangat pantas berlalu kerana tumpuan sepenuhnya pelajar serta respon yang baik sepanjang sesi soal jawab.

Saya yakin barisan pelajar yang hebat ini akan mencipta kejayaan cemerlang dalam kertas Bahasa Arab nanti.  Saya doakan anda akan mendapat A+.

Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak MRSM Kota Putra kerana sudi menjemput saya untuk berkongsi ilmu. Tidak dilupakan juga berbanyak terima kasih kepada al-Fadhil Ustaz Abdul Hanan, ustaz Hisyam dan dua orang ustazah yang sudi bersama saya sepanjang ceramah tersebut. komitmen anda semua sangat mengkagumkan.

Dengan izin Allah saya akan kembali lagi selepas ini sekiranya diberi peluang untuk terus berkongsi ilmu dalam sesi berikutnya.


# Minggu depan akan ke SMAZA, Kuala Terengganu. Doakan saya agar dipermudahkan semua urusan, dirahmati dan diberkati masa.
Related Posts with Thumbnails
 
Share