Memaparkan catatan dengan label adab sesama islam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label adab sesama islam. Papar semua catatan

09 Mac, 2013

Inginkah Anda Berada di Taman Syurga?

Setiap insan tidak dapat lari daripada ditimpa sakit


AbuAqil aka AbuSakeena

Antara perkara yang menenangkan jiwa kita dan menyejukkan mata memandang ialah bila kita berada di taman yang menghijau penuh dengan bunga yang berwarna warni, pohon yang rendang serta buah-buahan yang masak ranum. Sungguh indah pemandangan sedemikian.

Rasulullah saw ada menjelaskan bahawa terdapat satu amalan yang menyebabkan seseorang akan berada dalam taman syurga dalam keadaan memetik buah-buahan . Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam bab kelebihan menziarahi orang sakit.

عَنْ ثَوْبَانَ مَوْلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:"مَنْ عَادَ مَرِيضًا لَمْ يَزَلْ فِي خُرْفَةِ الْجَنَّةِ، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا خُرْفَةُ الْجَنَّةِ؟قَالَ:" جَنَاهَا

Daripada Tsauban Maula Rasulullah saw bahawa baginda bersabda : Sesiapa yang menziarahi orang sakit maka dia sentiasa berada di “khurfatul Jannah”( taman syurga). Rasulullah saw ditanya : Wahai Rasulullah apakah ‘Khurfatu Jannah’. Baginda saw menjawab : dia memetik buah-buahannya.”
Imam al-Nawawiy mensyarahkan maksud hadis di atas : “ Iaitu amalan tersebut akan membawanya ke syurga dan memetik buah-buahnya”.

Dalam hadis riwayat lain Nabi saw bersabda yang bermaksud :

“Orang yang Menziarahi orang sakit berada di taman syurga sehingga dia pulang”[Imam Muslim]

Sungguh besar ganjaran kepada sesiapa yang mengamalkan sunnah menziarahi orang sakit. Kita sentiasa mendapat khabar seseorang yang sakit sama ada ahli keluarga sendiri, sahabat-handai atau jiran sekampung namun kita tidak mengambil kesempatan untuk letakkan diri kita di taman syurga kerana alasan sibuk dan tiada masa. Sungguh rugi kerana kita menolak tawaran besar dan isitimewa daripada Allah swt.

Semoga selepas ini kita tidak lepaskan peluang keemasan untuk berada di taman syurga bila mendapat khabar sesiapa sahaja yang sakit dengan melawat mereka dengan menjaga adab-adab melawat orang sakit.

Semoga Allah membimbing dan memudahkan kita semua untuk mengamalkan amal soleh yang diredaiNya.

08 Mac, 2013

Video : Cara Berbakti kepada ibubapa selepas mereka meninggal dunia

AbuAqil aka AbuSakeena

Pagi Jumaat hari ini selepas bergotong-royong dengan anak-anak menceriakan halaman rumah saya diberi kekuatan oleh Allah untuk menyunting video ceramah agama iaitu kuliah Maulana Asri Yusof yang diikuti dua tiga hari yang lepas. Saya tertarik mengenai dengan huraian Maulana Asri Yusof mengenai cara membuat kebaikan kepada ibubapa yang telah kembali mengadap Allah.

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah kerana dipermudahkan untuk menyunting video ini dan semoga selepas ini akan diberi kekuatan untuk berkongsi ilmu melalui youtube sebagai usaha untuk menyebarkan ilmu Allah dan memperolehi redaNya. Semoga semua usaha yang sedikit ini akan menjadi asbab diri yang berdosa dan lemah ini dirahmati Allah di akhirat kelak.




20 Mei, 2012

Insan Sentiasa Diuji

AbuAqil aka AbuSakeena

Jumaat lepas saya berada dalam dua situasi yang berbeza. Pada waktu pagi saya berada dalam situasi suka dan sebelah petang situasi duka.

Situasi  Gembira

Dr Norsyamimi disamping papanya ketika majlis menyarungkan cincin

Pagi  semalam saya dijemput menghadiri majlis pertunangan anak saudara saya Dr. Norsyamimi bt Dr. Azaki. Anak Saudara saya ini bakal bertugas sebagai doktor dan sedang menunggu masa untuk ditempatkan di mana-mana hospital. Dia bertunang dengan pilihan hatinya juga bakal doktor yang berasal dari Kg. Penambang, Kota Bharu.

Semoga Allah mempermudahkan urusan mereka berdua  untuk disatukan dengan segera kerana pesanan Nabi saw anak gadis yang telah ada jodoh sebaik-baiknya disegerakan pernikahan.
 Adik-beradik saya yang berada di Kelantan semua berkumpul meraikan peristiwa gembira ini. Agak lama juga tidak berkumpul dan berborak bersama-sama kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri.

Situasi  Duka

Beginilah kelihatan rumah yang hangus terbakar

Pada sebelah petang pula saya bersama keluarga dan bonda tersayang pergi menziarahi sepupu, Kak Zah dan keluarga yang ditimpa musibah. Tempat kediaman mereka yang baru diduduki tidak sampai setahun hangus dijilat api pada pagi khamis lepas.
inna lillah wa inna ilaihi Raji'uun..

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Hanya tinggal sehelai sepinggang. Sekali lagi 4 orang adik-beradik saya berkumpul di tempat kejadian di Cabang 4 Limbat, Peringat untuk memberi sokongan kepada mangsa sekeluarga. Semoga dengan kehadiran ahli keluarga terdekat akan meringankan beban yang dipikul.

Sangat bersimpati. Tiada apa yang tertinggal melainkan pakaian yang dipakai oleh 6 orang ahli keluarga mereka semasa kejadian berlaku, 2 buah kereta, beberapa pasang selipar dan kasut yang sempat dikuis oleh ahli bomba atau jiran-jiran.

Ramai saudara-mara, sahabat handai dan jiran datang untuk memberi sumbangan. Ada yang datang membawa pakaian, makanan dalam tin dan paling ramai memberi wang untuk kegunaan mangsa.

Semoga mereka tabah dan bersabar menghadapi ujian ini dan semoga Allah memberi ganjaran yang terbaik untuk mereka dan menggantikan apa yang hilang dengan gantian yang lebih baik satu masa nanti.

Realiti kehidupan

Begitulah kehidupan. Ada ketika kita mendapat nikmat Allah, lalu kita berasa sangat gembira. Ada ketika kita menerima musibah yang membuatkan kita menangis dan susah hati. Kita adalah ‘bahan’
ujian Allah sama ada ujian berupa nikmat atau musibah. 

Ujian musibah hadir untuk menyucikan diri kita daripada dosa. Teguran Rabb agar kembali kepadaNya. Bukan kerana benci atau dendam tapi kerana kasih dan sayangnya Allah kepada hambaNya. Kasih sayangnya tidak berbelah bagi. Kasihnya melebihi kasih seorang ibu kepada anaknya sendiri.

Hanya Allah Yang Maha Bijaksana memahami hikmah di sebalik ujian. Kita sebagai hamba hanya mampu bersabar dan sentiasa bersangka baik kepadaNya.

Sesungguhnya beruntung dan hebat sesiapa yang dapat mengamalkan pesanan nabi saw :

“Sungguh mengkagumkan urusan seorang mukmin. Sesungguhnya semua urusannya adalah baik. Dan hal itu tidak akan diperoleh kecuali oleh seorang mukmin. Apabila dia mendapatkan kesenangan, maka dia bersyukur. Maka hal itu merupakan kebaikan baginya. Dan apabila dia ditimpa kesusahan maka dia bersabar. Maka itu juga merupakan kebaikan baginya.” (Imam Muslim)


31 Mac, 2012

Jangan Ada Hasad Dengki di Hati


AbuAqil akan AbuSakeena

Hasad bermaksud perasaan inginkan agar nikmat atau kelebihan atau kebolehan atau keistimewaan yang ada pada insan lain terhapus. 

Penyakit hasad ini sangat sinonim dengan orang Melayu. Mereka yang berasa tidak senang, benci dan tidak puashati bila seseorang mendapat kebaikan atau kelebihan dijangkiti virus hasad. Penyakit ini menyerang sesiapa sahaja sama ada orang alim, ahli ibadat, orang kaya,orang miskin, terpelajar atau si jahil.

Seseorang yang hasad selalu gelisah dan tidak tenang melihat apa yang dimiliki oleh pihak yang dihasadnya. Mereka tidak akan duduk diam malah akan bertindak jahat sama ada mengeji, mencela, mengumpat atau menyebar fitnah untuk memburuk-burukkan orang tersebut.

Nabi saw telah memberi amaran bahawa penyakit ini akan menimpa umatnya dan akan merosakkan agamanya. Rasulullah saw Nabi s.a.w bersabda: 

“Akan menjalar kepada kamu penyakit umat-umat yang terdahulu; hasad dan benci membenci. Itu sebenarnya pencukur. Aku tidak menyatakan pencukur rambut, tetapi ia mencukur agama” (Riwayat

 Allah juga mengingatkan kita dengan firmannya: (maksudnya) apakah patut mereka itu dengki kepada manusia disebabkan kelebihan yang Allah berikan kepada mereka? (Surah Ali ‘Imran: 54)

Bagi si pendengki atau kaki hasad ini, berita gembira untuknya bukan ajaran al-Quran atau sunnah, tapi kisah keburukan lawannya. Jika ada isu buruk orang dihasadnya, ceria dan tersenyum wajahnya. Jika ada kebaikan orang yang dihasadnya pula maka bermasam mukalah dia. Amat berbeza watak seperti ini dari ajaran Allah dan RasulNya yang menyuruh kita bergembira dengan berita baik dan berdukacita dengan berita jahat yang menimpa saudara muslim.


Justeru itu Nabi s.a.w bersabda:

Manusia ini terus berada dalam kebaikan selagi mereka tidak dengki-mendengki (Riwayat al-Tabarani, disahihkan oleh al-Albani).

Sabdanya juga:

“Tidak akan terhimpun dalam jiwa hamba Allah iman bersama dengan hasad” (Riwayat Ibn Hibban dihasankan oleh Al-Albani).

Semoga Allah memelihara hati kita daripada penyakit hasad dengki ini.

10 Mac, 2012

Baginda Menyantuni Murid Yang Hilang Motivasi Diri


ABU SAIF @ www.saifulislam.com
“Hoi!” jerkah Cikgu Mamat.
Syafiq tersentak.
“Apa yang kamu termenung melangut tengok ke luar tu? Kamu nak balik tidur ya?” Cikgu Mamat mengherdik dari depan.
Pen marker dibaling tepat mengena dahi Syafiq!
Murid-murid lain ketawa.
Lucu melihat Syafiq yang mukanya kemerah-merahan menahan malu. Biar pun ini bukan kali pertama beliau disergah sebegitu, masalah pergaduhan antara ibu dan ayahnya di rumah amat merungsingkan diri. Syafiq sering termenung. Dan sekali lagi, menungannya mengundang malu.
“Kalau kamu tidak berminat hendak belajar, ambil beg kamu ini dan balik ke rumah. Peluk bantal busuk. Jangan serabutkan kelas ini!” sindir Cikgu Mamat.
Cikgu Mamat amat tersinggung dengan sikap Syafiq. Perbuatannya melabuhkan pandangan ke luar tingkap amat  mencabar dirinya. Puas segala persiapan dilakukan untuk mengemaskan proses mengajar, anak muridnya yang satu itu tidak memberi perhatian. Lebih berminat dengan pemandangan luar bilik darjah. Rama-rama terbang? Kucing bergaduh? Siput babi? Entah apa yang si Syafiq perhati.
Kekecewaan Cikgu Mamat itu memang berasas.
Bukan sedikit masa yang diperuntukkannya untuk menyiapkan bahan mengajar.
Sekurang-kurangnya berilah perhatian. Masakan ia permintaan yang terlalu sulit untuk ditunaikan.
Namun kekecewaan Cikgu Mamat itu mungkin boleh dirawat bukan pada mengubah Syafiq, tetapi mengubah apa yang paling boleh diubah, yakni diri Cikgu Mamat sendiri. Syafiq perlu dibantu mengubah dirinya, namun Cikgu Mamat perlu membantu Cikgu Mamat mengubah Cikgu Mamat.
Bagaimana?
SECEBIS KISAH LIPATAN SIRAH
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam juga seorang pendidik.
Baginda gemar memperkenalkan dirinya sebagai seorang pendidik.
Baginda bukan hanya berperanan mengajar, tetapi baginda juga mendidik. Pendidikan baginda, sebahagian daripada uswah teladan yang baik buat Cikgu Mamat dan kita semua.
عن مالك بن الحويرث قال أتينا رسول الله صلى الله عليه وسلم ونحن شببة متقاربون فأقمنا عنده عشرين ليلة وكان رسول الله صلى الله عليه وسلم رحيما رقيقا فظن أنا قد اشتقنا أهلنا فسألنا عن من تركنا من أهلنا فأخبرناه فقال ارجعوا إلى أهليكم فأقيموا فيهم وعلموهم ومروهم فإذا حضرت الصلاة فليؤذن لكم أحدكم ثم ليؤمكم أكبركم
Daripada Malik bin al-Huwairith radhiyallahu ‘anhu bahawa beliau berkata: Kami telah datang kepada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam (untuk belajar secara intensif daripada Baginda). Kami ketika itu adalah anak-anak muda yang hampir sebaya dan kami tinggal bersama Baginda selama 20 malam. Kami dapati Baginda adalah seorang yang amat penyayang lagi santun. Suatu ketika, Baginda telah merasakan bahawa kami dilanda rasa rindu kepada ahli keluarga. Lalu Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bertanya kepada kami tentang keluarga yang telah kami tinggalkan di rumah. Maka kami pun menceritakannya kepada Baginda. 
Lalu Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda: “Pulanglah kalian kepada keluarga semua, tinggallah bersama mereka, ajari mereka, anjurkan mereka untuk berbuat kebajikan dan melaksanakan solat sebagaimana kalian melihatku mengerjakan solat. Apabila telah tiba waktu solat, hendaklah salah seorang daripada kalian melaungkan azan dan hendaklah yang paling besar (tua) daripada kalian bertindak sebagai imam” [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Baginda seorang yang peka.
Peka dengan kemerosotan motivasi anak muridnya.
Peka yang disambut bukan dengan andaian sendiri tetapi menyantuni si anak murid dengan bertanya sendiri kepada mereka. Menyediakan ruang yang kondusif untuk murid-murid itu memberitahu. Mereka bukan hilang minat kepada kelas ‘Ustaz Muhammad’, tetapi mereka sebagai manusia biasa, rindu kepada keluarga.
Baginda bukan sahaja peka. Baginda juga berminat untuk tahu. Bertanyakan hal ahli keluarga di rumah, dan mendengar dengan setia apa yang diceritakan oleh anak-anak muridnya. Baginda bukan guru sepenuh masa. Baginda adalah ketua kampung, ketua tentera, hakim, ketua polis, suami kepada beberapa orang isteri, dan ada banyak kelas lain yang dikendalikannya. Baginda seorang yang amat sibuk. Tetapi sibuk bukan alasan untuk tidak mengambil tahu perihal anak-anak murid baginda.
Masalah peribadi.
Masalah ibu bapa.
Apa sahaja.
Bukan sahaja mendengar, jauh sekali mengejek, menyindir atau memperlekeh ‘lemah semangat’ si anak muda, baginda bertindak realistik pada memenuhi keperluan anak muda itu. Mereka disuruh pulang. Tetapi bukan pulang sebagai manusia yang sama seperti sebelum datang. Sebaliknya pulang dengan misi mendidik, mengajar, menyampai, namun dalam suasana yang terbaik untuk mereka berperanan, di rumah mereka sendiri.
SELINGAN NASIHAT DALE CARNEGIE
Demikianlah Dale Carnegie mengulas di dalam bukunya How to Win Friends and Infuence People.
Ketika semua orang hakikatnya berminat hanya dengan diri masing-masing, bagaimana mungkin kita menjadi manusia yang boleh memenangi hati orang dan mempengaruhi mereka apabila kita memaksa mereka berminat dengan kita? Apa yang menjadikan kita outstanding ialah apabila kita berkongsi minat yang sama dengan mereka, iaitu berminat dengan diri mereka!
Sekali lagi, MENYANTUNI MANUSIA DENGAN WALYATALATTHOF, menuntut tadabbur kita selaku pendidik, pendakwah, ibu bapa, majikan dan pemimpin.

05 Mac, 2012

Peroleh Keampunan Berkat Sikap berlapang Dada

AbuAqil aka AbuSakeena


Kisah muktabar kali ini ialah mengenai seorang lelaki yang bersikap pemaaf dan mempermudahkan urusan pembayaran hutangnya yang menjadi asbab Allah mengampunkan dosa-dosanya. Hadis tersebut ialah :


Dari Abu Hurairah, bahawa Nabi saw bersabda, "Sesungguhnya terdapat seorang lelaki yang tidak pernah sekalipun berbuat baik, hanya saja dia biasa memberi pinjaman hutang kepada orang lain. Suatu hari dia berkata kepada pesuruhnya, 'Ambillah berapapun yang disimpan, jangan mempersulit orang dan sering-seringlah memberi maaf, mudah-mudahan Allah berkenan mengampuni kita.' 

Setelah lelaki itu meninggal dunia Allah ta'ala bertanya, 'Apakah kamu pernah berbuat baik.' Laki-laki itu dengan jujur menjawab, 'Tidak, hanya saja aku mempunyai seorang pembantu dan aku biasa memberikan pinjaman kepada orang lain, ketika aku meminta pembantuku untuk mengutip hutang, selalu saja aku berpesan kepadanya, 'Ambillah berapapun yang dia berikan, jangan mempersulit orang dan sering-seringlah memberi maaf, mudah-mudahan Allah mengampuni kita.' 

Kemudian Allah berkata, 'Cukup, aku telah mengampunimu'."
 [ Imam al-Bukhari dan Muslim]



Semoga kita semua dapat mengambil pengajaran daripada kisah ini.

24 Januari, 2012

Persahabatan Yang Peroleh Reda Allah



Jazaakallahu Khaira ya Hilmi Hashim ala Ziaratik al-Hilwah.
 AbuAqil aka AbuSakeena

Semalam ketika sedang beriadah dengan anak-anak didik bermain badminton di dewan Lundang saya menerima satu panggilan telefon yang tidak pernah terima sebelum ini.  Panggilan daripada seorang sahabat yang bekerja di Dubai.

Dia terkejut kerana saya dapat menyebut namanya sebelum dia memperkenalkan diri. Sebenarnya namanya tertera di skrin hp saya ‘hilmidubai’.  Nombor yang diperolehi ketika chat dengan di FB. Nama penuhnya Hilmi Hashim. Anak kelahiran Kuala Lumpur yang membina kerjaya di Dubai dan akan berhijrah ke Riyadh. Satu-satunya rakan sependidikan bekerja di bumi Arab.

Dia memaklumkan sedang berada di Kuala Krai dalam perjalanan ke Kota Bharu. Alhamdulillah ini peluang untuk bertemu dengan setelah putus selama 13 tahun. Terakhir jumpa semasa sama-sama menuntut ilmu di Akademi Pengajian Islam UM Kuala Lumpur. Itupun sekadar bertembung di tengah jalan kerana fakulti yang berbeza. Saya Usuluddin, dia Syariah.

Saya terus memanggil anak-anak didik kerana terpaksa pulang. Ada kes kecemasan, kata saya. Setelah menghantar mereka semua, solat zohor saya terus bergegas ke Masjid Muhammadi. Kami berpelukan setelah bertemu. Saya sangat terharu dapat menemuinya. Tanpa berbual panjang saya terus menjemputnya naik kenderaan saya untuk ke Restoran Sham untuk makan tengahari. Semua menu telah ditempah lebih awal.

Kami sempat berbual pelbagai topik sambil makan. Dari cerita diri-sendiri, kerjaya masing-masing hingga perkembangan rakan-rakan sekuliah. Ternyata dia ambil tahu hampir semua rakan-rakan yang telah membina kerjaya masing-masing. Sungguh hebat hamba Allah seorang ini.

Kehadirannya ke KB tiada niat lain melainkan untuk menziarahi sahabat-sahabat lama. Namun agak malang kerana hanya sempat berjumpa dengan saya. Sahabat-sahabat yang lain tidak berada di kampung kerana ramai yang bertugas di perantauan.

Niat murni sahabat ini mengingatkan saya kepada hadis nabi saw :

Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah radhiyallahu’anhu, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam menceritakan, “Ada seorang lelaki yang mengunjungi saudaranya di suatu daerah lain. Maka Allah mengirim malaikat untuk memerhati perjalanannya. Ketika lelaki itu bertemu dengan penjelmaan malaikat tersebut, malaikat itu bertanya kepadanya, “kamu hendak ke mana?”. 

Lelaki itu menjawab, “Saya ingin menemui seorang saudara –seagama- saya yang ada di daerah ini.” Malaikat itu bertanya, “Apakah anda mengharapkan tambahan nikmat (dunia) dengan menemuinya?”. Dia menjawab, “Tidak. Hanya saja saya ingin mengunjunginya kerana saya mencintainya kerana Allah ‘azza wa jalla.” Malaikat itu pun berkata, “Sesungguhnya aku dikirim oleh Allah untuk menemuimu dan memberitahu kepadamu bahwa Allah mencintaimu sebagaimana kamu telah mencintainya kerana diri-Nya.”(Imam Muslim)

Juga hadis yang menyebut tujuh golongan yang akan mendapat naungan Arasy Allah di padang mahsyar. Salah satu daripadanya ialah : Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, dimana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah.

Walaupun pertemuan sekitar 2 jam, namun saya agak bersyukur dan bangga dengan sikapnya yang sangat prihatin dengan ukhuwwah fillah. Persahabatan kerana Allah. Sikap yang jarang ada dalam dalam diri muslim pada masa kini dengan alasan sibuk dengan keluarga, kerjaya dan lain-lain.

Selepas berpisah dengan saya dia akan bertemu dengan rakannya seorang lagi di KB sebelum meneruskan musafirnya ke Kuala Terengganu dan Kuantan atas nawaitu yang sama…Ukhuwwah fillah.

Semoga Allah membalas anda dengan sebaik-baik balasan dan menjaga anda sepanjang masa di dunia dan akhirat. Semoga kita perolehi naungan Ilahi kelak.

 Jazaakallahu Khaira ya Hilmi Hashim ala Ziaratik al-Hilwah.

Ucapkanlah ‘Jazaakallahu Khaira’


AbuAqil aka AbuSakeena

Mungkin anda pernah mendengar seseorang mengucapkan ucapan ‘Jazaakallahu Khaira’.

Ucapan ini sebenarnya menepati ajaran sunnah Rasulullah saw. Iaitu ucapan yang dilafazkan bila seseorang melakukan kebaikan kepada kita. Sebagaimana hadis Nabi saw yang bermaksud :

Sesiapa yang melakukan kebaikan kepadanya maka hendaklah dia berkata kepada orang tersebut : Jazaakallahu Khaira’. Maka dia telah memenuhi segala pujian.[al-Tirmizi dan al-nasa’i]

Maksud ucapan ini ialah Semoga Allah membalas kepada anda dengan kebaikan. Kesilapan yang biasa berlaku di kalangan kita ialah ucapan hanya ; Jazaakallah’ tanpa ‘khaira’. Ini adalah tidak lengkap kerana tidak tahu apa yang hendak dibalas.

Ucapan ini merupakan amalan Nabi saw dalam banyak hadis. Antaranya satu hadis yang panjang lebar di mana  Nabi saw mengucapkan kepada golongan Ansar ( penduduk asal Madinah) dengan sabdanya :

“ Jazaakumullahu khaira’ [semoga Allah membalas kepada kamu dengan kebaikan].Sesungguhnya kamu sangat menjaga maruah diri dan sabar.[al-Hakim dan Ibn Hibban]

Saidina Umar berkata : Sekiranya salah seorang dari kamu mengetahui apa yang akan diperolehi bila diucapkan kepada saudaranya ucapan “jazaakallahu khaira’ nescaya dia akan memperbanyakkan ucapan itu antara satu sama lain.

Ucapan ini merupakan amalan kebiasaan para sahabat dan tabi’in. oleh itu marilah kita bersama-sama mengamalkan sunnah Nabi saw ini. Semoga Allah memberi taufik kepada kita. 

21 Januari, 2012

Carilah Ungkapan Yang Lebih ‘Molek’


Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin 

Antara perkara yang indah yang diajar oleh Islam ialah muslim diperintahkan menggunakan perkataan-perkataan
yang baik atau sekurangnya tidak keji dalam ungkapannya.

Muslim bukan seorang pencarut, atau pemaki hamun orang atau pencerca dengan kalimat-kalimat yang jelik dan keji. Lidah muslim indah, atau selamat dari kalimat-kalimat yang tidak senonoh. Dia mungkin tegas, keras amarannya, tinggi nadanya dan tajam kritikannya, tapi kalimat-kalimatnya itu terpilih; tidak lucah, tidak juga makian dan hamunan. Inilah yang Anas bin Malik ceritakan:

“Bukanlah Nabi s.a.w itu seorang pemaki orang, tidak juga seorang pengucap kekejian dan bukan seorang pelaknat orang lain”. (riwayat al-Bukhari).

Mencerca atau memaki hamun orang lain dalam sesuatu majlis adalah perkara yang tidak baik. Dalam riwayat al-Tabarani dari al-Mu’jam al-Kabir:

bahawa Nabi s.a.w pernah hadir dalam suatu majlis orang Ansar. Padanya ada seorang lelaki yang terkenal dengan suka memaki hamun. Nabi s.a.w pun bersabda: “Memaki orang muslim itu perbuatan fasik dan memeranginya perbuatan kufur”.

29 Disember, 2011

Berterima Kasihlah Kepada Guru

AbuAqil aka AbuSakeena

Ramai insan yang memperolehi kejayaan yang cemerlang dalam dunia akademik dan kerjaya namun tidak ramai yang bersyukur kepada Allah malah tidak tahu berterima kasih kepada golongan yang membimbing mereka sehingga mereka berjaya.

Di antara watak penting yang berperanan sehingga pelajar berjaya ialah guru. Bimbingan, nasihat dan pengorbanan mereka tidak akan mampu dibalas sampai bila-bila. Tanpa ajaran mereka kita pasti akan menjadi buta huruf. Mereka memberi perkara yang ibubapa kita tidak mampu memberikannya iaitu ilmu. Merekalah juga ibubapa kita sejak pagi sampai ke petang, kadang-kadang waktu malam pun mereka datang semata-mata untuk membimbing kita. Tiada tujuan lain melainkan ingin melihat anak didik berjaya dan tersenyum puas satu masa nanti.

Namun sayang sekali jasa bakti dan pengorbanan mereka tidak dihargai oleh insan yang bergelar pelajar. Setelah mereka mengecapi kejayaan tiada sepatah perkataan pun ' TERIMA KASIH' yang diucapkan kepada guru. Begitulah tabiat buruk manusia. Padahal ucapan terima kasih itu jauh sama sekali untuk membalas jasa mereka. Kalau ada pun yang tahu berterima kasih hanyalah beberapa kerat sahaja. begitulah insan akhir zaman.

Tidak susah mana pun untuk berterima kasih pada zaman serba canggih ini. Sekurangnya-kurangnya hanyalah menggunakan hujung jari untuk menghantar sms. Mereka bukanlah ingin pembalasan kerana mendidik adalah amanah. Namun ucapan dua patah perkataan itu pasti akan mengembirakan dan melapangkan dada mereka. Doa dan keberkatan pasti sentiasa akan mengiringi anda yang tahu berterima kasih dan menghargai jasa seorang guru.

Seseorang yang tidak tahu berterima kasih kepada orang yang berjasa kepadanya pasti  dia tidak bersyukur kepada Allah SWT. Sabda nabi saw yang bermaksud :

Sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia nescaya dia juga tidak bersyukur kepada Allah SWT”.
( Riwayat al-Tirmizi )


Tidak kurang juga pelajar yang sengaja mengelakkan diri malah tidak menegur guru bila berjumpa di mana-mana. Mungkin mereka lupa wajah guru mereka atau ego mereka disebabkan kejayaan yang telah mereka kecapi. Amat malang insan seperti ini. Seorang guru akan mengingati wajah anak didiknya sampai bila-bila walau pun kadang-kadang lupa nama. 


Ingat! jadilah manusia yang sentiasa bersyukur di atas nikmat Allah dan berterima kasihlah kepada insan yang berbakti kepada anda. Jangan letakkan diri anda dalam golongan yang sombong, bongkak dan lupa diri dan asal-usul.


Ya Allah, balaslah semua kebaikan guru-guruku dengan keberkatan hidup mereka sekeluarga di dunia dan balasan syurga dan redaMu di akhirat di atas jasa dan pengorbanan mereka mendidikku sehingga aku menjadi insan yang berjaya .. Amin ya Rabb

04 Disember, 2011

7 Pesanan Rasulullah saw


Eratkan ukhuwwah...salah satu wasiat Nabi saw
AbuAqil aka AbuSakeena

Hadis yang akan dibincangkan kali ini menjelaskan 7 wasiat Rasulullah saw agar kita mengamalkannya dalam kehidupan.


Wasiat Rasulullah saw Kepada Abu zar Al-Ghifari :

 Dari Abu zar r.a dia berkata: “Kekasihku (Rasulullah) saw berwasiat kepadaku dengan tujuh perkara :

(1) Supaya aku mencintai orang-orang miskin dan dekat dengan mereka

(2) Beliau memerintahkan aku agar aku melihat kepada orang yang berada di bawahku  dan tidak melihat kepada orang yang berada di atasku ( urusan keduniaan)

(3) Beliau memerintahkan agar aku menyambung silaturahim meskipun mereka berlaku kasar kepadaku

(4) Aku dianjurkan agar memperbanyak ucapan lâ haulâ walâ quwwata illâ billâh (tidak ada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan Allah)

(5) Aku diperintah untuk mengatakan kebenaran meskipun pahit

(6) Beliau berwasiat agar aku tidak takut celaan orang yang mencela dalam berdakwah kepada Allah,

(7) Beliau melarang aku agar tidak meminta-minta sesuatu pun kepada manusia”.


Hadis bertaraf sahih ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Imam ath-Thabrani, Imam al-Baihaqi.

Semoga Allah memberi petunjuk dan kekuatan agar kita dapat mengamalkan kesemua wasiat nabi saw ini dalam kehidupan seharian.

21 November, 2011

Doa Rasul : Memohon Akhlak Mulia


AbuAqil aka AbuSakeena

agak lama juga tidak update blog gara-gara malas dan sibuk dengan perkara lain. Alhamdulillah pada pagi ini diberi kekuatan oleh Allah untuk berkongsi satu doa Rasulullah saw. Iaitu doa memohon agar diberi petunjuk agar dikurniakan akhlak mulia. Lafaz doa tersebut ialah :

اللّهُمَّ اهْدِنِى لأَحْسَنِ الأَخْلاَقِ لاَ يَهْدِى لأَحْسَنِهَا إِلاَّ أَنْتَ

“Ya Allah, tunjukilah padaku akhlaq yang baik. Tidak ada yang dapat menunjuki pada baiknya akhlaq tersebut kecuali Engkau)” [ Imam Muslim ]

Akhlak muli sangat penting kerana ia menunjukkan kesempurnaan iman seseorang. Seseorang yang berakhlak buruk menandakan imannya bermasalah dan tidak sempuna. Sbda nabi saw yang bermaksud :

“Kaum mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya diantara mereka.” [ Imam al-Tirmizi].

Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita semua dan membimbing kita ke jalan yang diredaiNya.



Related Posts with Thumbnails
 
Share