04 Mac, 2011

Mustafa Wong ‘wakafkan’ diri untuk agama Islam




Oleh ZUARIDA MOHYIN

BERDAKWAH, ramai melihat bidang atau pekerjaan ini dilakukan dengan penyampaian ceramah secara formal atau informal sama ada di institusi agama atau premis seperti rumah, pejabat dan sebagainya.

Di samping, kebiasaannya kerja-kerja ini dilakukan oleh mereka yang bergelar ustaz dan ustazah.
Hakikatnya, anak kelahiran Bachok, Kelantan, Muhammad Mustafa Wong Abdullah, 45, melihat hal ini dari sudut yang berbeza dan lebih global sekali gus berusaha membawa istilah ikram ke dalam 
kehidupan agar menjadi budaya umat Islam di negara ini.

“Ikram yang bermaksud menghormati dan memuliakan orang lain adalah istilah bahasa Arab. Istilah ini tidak ada dalam kamus orang bukan Islam.


“Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya ikram ini dimulakan oleh orang Islam sendiri, barulah imej Islam yang sebenar muncul. Di samping, orang Islam hari ini perlu ada penglibatan dalam apa juga aktiviti ke arah agama walaupun ia adalah sesuatu yang mudah,” katanya kepada Mega, baru-baru ini.
Beliau berkata demikian kerana merasakan orang Islam tidak memadai dengan mengikuti ceramah agama semata-mata. Ditambah, persekitaran kini yang sangat mencabar dan terlalu mengejar duniawi sehingga alpa dengan tanggungjawab mereka sebagai khalifah di muka bumi ini.

“Pengalaman dua kali mengikuti ibu berkunjung ke rumah jiran bangsa Melayu di mana kami dihidangkan sekadar teh kosong dan biskut.

“Sungguhpun perbuatan jiran itu nampak mudah tetapi ia menusuk hati dan saya ingat sehingga kini, biarpun ia berlaku semasa saya berusia antara tujuh hingga lapan tahun dahulu,” kata Muhammad Mustafa.

Beliau lebih selesa menggelarkan dirinya pekerja agama bebas yang menyasarkan kumpulan bukan Islam dan orang Islam yang ‘jauh’ dalam kerja-kerja dakwahnya.

Akui anak keenam daripada sembilan adik-beradik ini lagi, simpati dengan nasib orang bukan Islam yang akan kekal diazab di neraka memberi semangat kepadanya membuat kerja-kerja yang masih baru kepada masyarakat Islam negara ini.

Kata beliau, sebagaimana mengambil berat soal kehidupan duniawi maka alam kerohanian juga perlu menjadi keutamaan.

Seseorang pesakit yang menderita penyakit yang membawa maut akan tamat penderitaannya selepas dia meninggal. Namun seseorang yang tidak mengenali Penciptanya akan sentiasa menerima azab.

Secara luarannya, antara seorang bukan Islam dengan Islam, tidak ada bezanya. Mereka makan, minum, berkeluarga dan sebagainya.

“Tetapi kenyataannya, kedua-dua kumpulan insan ini jauh perbezaan umpama langit dengan bumi iaitu satu kekal dalam api neraka dan satu lagi merasai hidup di syurga. Yang membezakannya ialah iman di dada.

“Lantaran itu, konsep dakwah mestilah dilihat secara menyeluruh dan menjadi tanggungjawab setiap manusia mengetahui kelebihan memperoleh iman sebelum ajal tiba,” jelasnya.

Selain itu, adalah menjadi tanggungjawab Muslim menjelaskan perbezaan antara iman yang teguh dengan iman yang lemah serta mencapai kehebatan di dunia setara dalam bidang kerohanian.
Kemanusiaan

“Selain itu, menerangkan kepada manusia tentang kehidupan selepas kematian, mempraktikkan ‘amar maaruf nahi mungkar’, memiliki jiwa kemanusiaan kepada semua makhluk di dunia ini dan mencari jalan paling berhikmah mengajak umat Islam yang ‘jauh’ supaya kembali kepada Din Islam,” katanya yang berusaha mengubah persepsi mengatakan agama adalah isu sensitif.

Sungguhpun diakui terdapat banyak pertubuhan bukan kerajaan yang menjalankan dakwah Islamiah kepada sasaran tertentu, namun kata Muhammad Mustafa kebanyakan daripadanya lebih menumpukan kepada umat Islam.

Lantaran itu, apa yang lebih menjadi fokusnya ialah mendekati orang awam sama ada yang berminat kepada Islam atau tidak dan umat Islam yang ‘jauh’ malah sehingga sanggup melalui pelbagai kaedah dan jalan.

Apa yang pasti, adalah menjadi tanggungjawab Muslim menunjukkan gambaran sebenar tentang Islam kepada golongan ini.

Berkongsi kisah awal yang membawa kepada penghijrahan akidah, cerita Muhammad Mustafa semasa zaman persekolahan menengah rendah, beliau suda mula dan sentiasa memikirkan tentang kejadian alam, manusia dan makhluk di muka bumi ini apatah lagi, dengan kisah yang diajarkan oleh ustaz di sekolah.

“Pantai Irama, Bachok menjadi saksi kepada semua itu.

“Apa tidaknya, memandangkan rumah saya tidak sampai 50 meter dari pantai maka boleh dikatakan banyak masa saya dihabiskan di tepi pantai ini,” katanya.

Namun yang menjadi titik-tolaknya ialah selepas memperoleh keputusan baik dalam LCE (sekarang Penilaian Menengah Rendah). Ini kerana beliau berniat sekiranya lulus dengan baik, akan mengabdikan diri untuk agama Islam.

“Malah acap kali mendengarkan takbir raya, semacam ada satu perasaan syahdu dan menusuk kalbu serta saya suka dengan pembersihan diri seperti berwuduk. Menyedari pada masa itu dari segi undang-undang, saya masih belum layak bertukar agama, tetapi saya telah mewakafkan diri kepada agama Allah itu,” tambahnya.

Menurut Muhammad Mustafa, semasa menuntut di tingkatan enam di Kolej Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu, meskipun kepercayaannya kepada Islam tidak berbelah bahagi tetapi beliau pernah mendekati agama Kristian secara serius.

“Namun ia sekadar penuhi keinginan dalaman agar menambah keyakinan kepada Islam,” katanya yang berdakwah ke seluruh dunia dengan memulakan ekspedisi di Eropah memandangkan abangnya menetap di Sweden.

Jemaah tabligh

Sambung Muhammad Mustafa, selepas tamat peperiksaan HSC (kini STPM) beliau berangkat ke Frankfurt, Jerman dan dua minggu selepas itu barulah menjumpai masjid bangsa Turki dan di situlah beliau membuat mengucap syahadah iaitu pada 20 Mei 1982 dan menggunakan nama Ali Osman.

“Bermula dari situlah saya mengenali jemaah tabligh dari Kuwait dan bermulalah diari bergelar ahli tabligh. Selepas mengikuti jemaah dari Kuwait saya menyertai pula jemaah tabligh dari India sebelum pulang sekejap ke tanah air sebelum ke New Delhi, Calcutta melalui Pulau Pinang dan Bangkok,” katanya lagi.

Namun, hasratnya tidak kesampaian kerana dinasihatkan agar tidak belajar sepenuh masa sebaliknya belajar sambil bertabligh. Sebelum pulang ke Malaysia, beliau sempat ke Bangladesh, Pakistan selain India.

“Kebetulan pada masa saya balik ke tanah air, ada perhimpunan seluruh dunia bagi tabligh di Terengganu. Saya sekali lagi mengucap syahadah di Jabatan Agama Islam Kota Bharu dan menggunakan nama sekarang atas pemberian seorang teman dalam tabligh yang bermimpi nama tersebut,” jelasnya.

Beliau juga pernah menjadi guru sementara di sebuah sekolah swasta di Kota Bharu selama tiga bulan sebelum sekali lagi berhasrat meneruskan cita-cita berdakwah bermula di Eropah.
Alhamdulillah, dengan bantuan ibu, Muhammad Mustafa berjaya ke Eropah dari Bangkok, Thailand setahun kemudian.

“Oleh kerana masih terikat dengan jemaah tabligh, saya tidak berani keluar daripada jemaah untuk meneruskan hasrat awal iaitu berdakwah sendirian.

“Selama lebih kurang dua tahun setengah di Eropah saya berdakwah ke Sweden, Norway, Jerman, Austria, Czechoslovakia, Hungary, Belgium, England,” kata bapa kepada empat anak berusia antara 15 hingga 21 tahun ini.

Akhirnya, Muhammad Mustafa yang ‘mewakafkan’ dirinya kepada agama Islam memberanikan diri meneruskan cita-cita berdakwah kepada bukan Islam bermula pada awal 1990-an dan menggelarkan dirinya pekerja agama.

Kesungguhannya membawa kejayaan kepada beberapa projek kelolaannya antaranya pengedaran poskad kepada pelancong asing di Masjid Negara, Kuala Lumpur dan projek mendekati remaja lepak dengan kerjasama Perpustakaan Kuala Lumpur di Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Beliau sekali lagi menyeru terutamanya kepada umat Islam supaya menghayati kaedah ikram lebih-lebih lagi kepada umat akhir zaman.

Prinsipnya, keyakinan yang cukup kuat menyebabkan dia masih bertahan sehingga kini walau apa juga cabaran melanda.

Muhammad Mustafa boleh dihubungi di talian 012-6241 418 untuk sebarang pertanyaan berkaitan saham akhirat.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share