01 Januari, 2013

2012 : Pahit dan Manis Perjalanan Hidupku



AbuAqil aka AbuSakeena

Hari ini 1 Januari 2013 muncul setelah tahun 2012 melabuhkan tirainya semalam. Tahun baru ini pasti akan terus mewarnai kehidupan kita sekiranya kita masih diberi peluang oleh Allah.

Terasa rajin pula untuk update blog pada hari ini setelah sekian lama blog dipenuhi dengan sesawang ekoran tiada posting baru. Wallahu a’lam, agak ketiadaan idea untuk menulis disebabkan banyak fokus kepada perkara lain. Semoga Allah mengurniakan kekuatan dan idea untuk kembali aktif berkongsi ilmu pada tahun 2013 nanti Insya Allah.

Posting kali ini saya ingin berkongsi pahit manis kehidupan saya sepanjang tahun 2012. Bermula dengan pembukaan sesi persekolahan 2012 sebagai guru yang bertanggungjawab terhadap disiplin pelajar. Tugas yang amat berat ini dipikul dengan penuh bebanan dan tekanan. Kerap kali jiwa tidak tenteram, naik darah dan hilang sabar dengan sikap pelajar yang entah apa-apa. Namun alhamdulillah semuanya terkawal dengan rahmat Allah.

Tugas sebagai guru disiplin menjadikan diri ini terpaksa menjadi lebih garang dan digeruni oleh pelajar. Ramai pelajar yang rapat dengan saya komplen mengatakan ustaz sudah tidak seperti dulu dan berubah watak. Antara katanya : “Dulu asyik senyum dan peramah sekarang muka sentiasa serius dan garang.” Entah betul entah tidak. Saya rasa tiada perubahan watak pun. Mungkin diri empunya badan tidak sedar perubahan tersebut.

Tarikh 18 Mac 2012 pasti akan terpahat di ingatan saya sampai bila-bila. Tarikh tersebut yang membuatkan cara hidup saya berubah sama sekali. Ini adalah teguran dan ujian Rabb Yang Maha Penyayang. Saya sangat bersyukur kerana mendapat ujian ini. Tarikh tersebut saya terpaksa dibuat ‘operate’ angiogram kerana satu saluran arteri kanan tersumbat 100%. Saya berselisih dengan maut. Detail sila klik berselisih dengan maut


Sejak itu cara hidup saya berubah dari sudut pemakanan dan lebih aktif beriadah. Sekadar berusaha untuk lebih sihat. Kerap kali bersenam dengan jogging di Taman Perbandaran Tengku Anis dan kadang-kadang di Kompleks Sukan Panji dan terkini di tali air di kampung sendiri. Semoga berkesinambungan hingga tahun 2013.

Ketika keputusan SPM 2011 diumumkan  saya masih berada di dalam wad. Saya menerima khabar gembira daripada Penolong Kanan Pentadbiran memaklumkan Bahasa Arab mendapat kedudukan pertama di peringkat Negeri. Hanya seorang pelajar sahaja mendapat B+ sementara pelajar lain mendapat A termasuk 2 orang mendapat A+. Alhamdulillah, segala penat lelah dan pengorbanan kami terbalas dan mendapat hasil terbaik. Kenangan manis ini terencat sedikit kerana tidak dapat diraikan bersama anak-anak didik. Tahniah dan syabas kepada anak-anak didik 5 Ibnu Sina 2011.

Kecemerlangan mereka akan terus diwarisi oleh adik-adik mereka pelajar 5 Ibnu Sina 2012. Inilah antara fokus utama saya pada tahun ini. Dengan pertambahan calon seramai 3 orang daripada 9 orang kepada 12 orang calon setelah 2 orang pelajar membuat keputusan menarik diri dan ‘drop’ subjek bahasa Arab dengan alasan masing-masing. Keputusan mengejut ini diterima dengan berlapang dada. Namun perasaan kecewa dan bersedih tidak dapat disembunyikan. Sejarah pahit 2011 berulang. Allah Ta’ala lebih tahu apa yang terbaik untuk saya dan untuk mereka.

Setelah bercuti selama 6 minggu saya kembali ke sekolah dengan penuh motivasi.Tugas SU disiplin terus dipegang walaupun ramai yang menasihatkan agar lepaskan jawatan tersebut demi kesihatan. Itulah kehendak dan impian saya namun ditolak oleh pengetua dan saya kasihankan rakan-rakan guru disiplin sekiranya saya abaikan unit penting di sekolah ini. Bantuan, sokongan dan komitmen mereka sangat dikagumi dan menyebabkan saya membuat keputusan terus kekal bersama mereka untuk bersama-sama mendisiplinkan pelajar-pelajar demi kebaikan pelajar itu sendiri.

Tahun 2012 juga tahun saya aktif berkongsi ilmu bahasa Arab. Tuisyen intensif B. Arab Bestari milik sendiri di Pekan Jelawat untuk tingkatan 3 diteruskan namun untuk tingkatan 5 terpaksa dihentikan kerana ketiadaan pelajar. Insya Allah akan diteruskan pada tahun 2013. Selain menumpukan perhatian kepada anak-anak didik sendiri pelajar 5 Ibnu Sina saya juga membantu pelajar tingkatan 3 untuk B Arab PMR mereka. Saya juga dijemput untuk mengajar kelas tambahan di SMU(A) Darul Iman, Beris Lalang dan mengajar juga pelajar tingkatan 2 di SMKA Tok Bachok selama sebulan.

Pada tahun ini merupakan pertama kali saya berceramah teknik menjawab Bahasa Arab SPM untuk pelajar sendiri dan SMKA Wataniah Machang. Paling mengejutkan saya menerima jemputan untuk berceramah kepada pelajar-pelajar SMKA dan KAA di Sabah. Salah satu program di bawah seliaan JPN Sabah. Alhamdulillah saya ke sana selama 2 hari bersama Guru Cemerlang Bahasa Arab Ustaz Abdullah. Klik untuk baca kembara ke Sabah

Tahun ini kerap juga kembara jauh. Selain ke Sabah, 3 kali bermusafir ke Kuala Lumpur. 2 kali kerana urusan keluarga dan sekali untuk urusan kerja yang baru tamat 22 Disember lepas. Sempat bertandang di rumah abang  dan adik bongsu di Bukit Jelutong dan Putrajaya. Abang dan adik saya terkesan dengan ‘sakit’ yang telah menimpa saya. Mereka juga mula ‘berpantang’ dalam diet dan cakna menjaga kesihatan. Alhamdulillah, itu di antara hikmah rabb. Masing-masing berkongsi ilmu yang ada untuk hidup sihat dan banyak saya mendapat manfaat. Semoga kami istiqamah sampai bila-bila.

Tarikh sambutan hari guru pada tahun ini mendapat khabar ceria bila 
dinaikkan pangkat ke DG44 selepas berkhidmat selama 8 tahun. Rezeki ini disyukuri dan saya nekad untuk menjadikan tempat tinggal yang sempit menjadi lebih besar dan selesa. Alhamdulillah baikpulih rumah yang bermula selepas raya Aidil Fitri lalu hanya tinggal 10% lagi untuk siap sepenuhnya. Penambahan sebanyak 783 kaki persegi yang melibatkan ruang tamu baru, sebuah bilik study dan ibadat serta tambahan dapur. Semoga rezeki ini akan lebih mendekatkan diri dan keluarga kepada Allah dan diberkati kehidupan kami sekeluarga sepanjang masa.

Aqil & Syamil posing depan rumah yang belum siap sepenuhnya.

Allah juga mengurniakan rezeki kepada isteri yang mendapat tunggakan KWSP. Beliau membuat keputusan membeli kereta yang lebih selesa iaitu daripada perodua kancil kepada Myvi terpakai. Kereta Kancil diberikan kepada adik perempuan untuk kemudahan mereka sekeluarga.

Di antara detik manis padan tahun ini ialah mendapat khabar gembira keputusan B. Arab PMR  2012 dengan mencatat 100% A. ini merupakan rekod cemerlang bagi tahun kedua berturut-turut. Namun sayangnya rekod cemerlang PMR SMK dato Perdana tahun lepas gagal diteruskan apabila jatuh mendadak namun masih tempat pertama di Bachok…klik untuk baca PMR 2012 

Ditambah dengan khabar gembira anak sulung, Muhammad Haziq Amsyar mendapat 5A 3 B dan 1C dalam peperiksaan yang sama. Cukup cemerlang bagi dirinya. Anak kedua Nur Aqilah Ahla juga membuat kejutan dengan memperoleh 6A 2B 1C dalam peperiksaan akhir tahun dan akan naik ke kelas 3 Aked tahun depan. Semoga Aqilah lebih bersemangat untuk membuat persiapan bagi menghadapi peperiksaan PMR 2013.

Begitulah kehidupan insan.  Suka dan Duka, tangis dan ketawa sentiasa silih berganti. Allah Yang Maha Bijaksana sentiasa mentarbiah kita untuk kebaikan diri kita.  Sangat sedikit Allah memberikan ujian pahit kepada kita. Selebihnya kita dikurniakan banyak nikmat dan berita mengembirakan. Sentiasalah berbaik sangka dengan Rabb sama baik atau buruk yang menimpa kita. 

Semuanya adalah untuk kebaikan kita. Tiada satu pun untuk keburukan kita kerana Allah tidak pernah menzalimi hambaNya sama sekali. Kita sendirilah yang menzalimi diri sendiri dengan melakukan dosa dan pendurhakaan kepada Rabb.

Tahun ini juga pengunjung ke blog laman ilmu ini semakin bertambah dari semasa ke semasa. Kebanyakan mereka singgah untuk mengambil manfaat ilmu bahasa arab terutama insyak. Sangat dialu-alukan. Semoga perkongsian percuma ini akan mendapat balasan terbaik daripada Allah. Insya Allah tahun 2013 akan lebih aktif update ilmu Bahasa Arab sama ada untuk SPM atau PMR. Semoga Allah permudahkan.

Semoga Allah mengampunkan semua dosa kita semua dan terus memacu kita ke jalan yang diredaiNya pada tahun 2013 dan pada masa-masa yang akan datang.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share