14 April, 2012

Alhamdulillah, Aku Hanya Berselisih Dengan Maut




Bersama isteri selepas dimasukkan ke dalam wad CCU
AbuAqil aka AbuSakeena

Ya Allah, Ya Allah sakitnya….! Aku mengeluh kesakitan yang amat sangat. Hanya Allah yang tahu. Sakit yang menyucuk-nyucuk di ulu hati berpanjangan bermula pukul 6.30 petang Sabtu ( 17 Mac 2012) hinggalah pada  pagi keesokannya.

“Tak boleh jadi ni. Kena suruh abang Ki mari check”, Kata Mak. Kebetulan abang saya, Dr Azaki baru pulang semalam dari Kajang. Balik bercuti hujung minggu. Adik saya Anizan balik bercuti untuk mengambil isteri dan anaknya pulang ke Putrajaya kebetulan ada di rumah. Dia terus menghubungi abang saya. Dalam masa 10 minit beliau tiba. Saya yang terbaring kesakitan hanya mampu mengalirkan airmata menahan kesakitan. Lemah, lesu. Beliau bertanya beberapa soalan dan memeriksa nadi di pergelangan tangan.


“Nan, kena pergi hospital nih, buat ECG”, katanya. Aku hanya reda. Reda diperbuatkan apa sahaja asalkan hilang rasa penderitaan ini. Kesakitan selama lebih 12 jam amat menyeksakan.

Rasa sakit bermula setelah selesai bermain badminton. Ketika bermain pandangan menjadi gelap beberapa ketika. Lalu saya terus keluar dan berehat di tepi gelanggang. Peluh keluar bercucuran, tubuh rasa seram sejuk dan terasa kebas di tangan kiri. Bermula rasa sakit di dada dan ia berterusan. Sakit yang tidak dapat dijelaskan dengan kata-kata. Rasa tidak puas bernafas pun ada. Tak tahu apa punca dan macamana cara untuk menghilangkannya. Buntu, gelisah, rimas.

Adik saya, Anizan yang turut sama bermain badminton perasan kepenatan luar biasa saya.  Saya menyuruh dia yang memandu kereta kerana saya berasa sangat tidak selesa. Dia pun tidak sangka apa-apa yang teruk berpesan agar  selepas solat maghrib terus pergi buat pemeriksaan doktor.


Selesai solat maghrib yang serba ringkas, saya maklum kepada isteri untuk  ke klinik kerana sakit dada. Saya pergi bersendirian ke klinik swasta  di pekan Jelawat untuk mendapat rawatan.

“Awak merokok ke?Ada keturunan yang sakit jantung? aktif beriadah?. Inilah tiga soalan yang sering diajukan kepada saya oleh setiap doktor yang merawat. Saya bukan perokok .Keturunan saya tiada yang sakit jantung dan saya seorang yang aktif bersukan. Jawapan ini menguatkan fakta yang sakit di dada itu bukan masalah jantung. Doktor suspek saya mungkin diserang gastrik sebab banyak angin dalam perut saya, kata doktor. Lalu beliau memberi suntikan dan memberi tiga jenis ubat gastrik untuk dimakan. Penyakit yang saya tidak pernah alami pun sebelum ini.

Bila pulang saya terus memakan ubat agar rasa sakit terus hilang. Malangnya sakit berterusan walau pun kadang-kadang berkurangan sikit. Langsung tidak dapat tidur.  Semalaman terpaksa menahan sakit dan terlelap seketika kerana kepenatan dan terlalu mengantuk.

Tanpa bercakap panjang abang saya terus membawa ke hospital HUSM. Setelah tiba di wad kecemasan saya baring sambil menunggu panggilan untuk mendapat rawatan. Agak lama juga menunggu menyebabkan abang saya naik berang.

“Adik saya ni mungkin sakit jantung, takkan nak tengok dia mati terbaring kat situ”. Katanya kepada petugas.  Kemudian petugas itu masuk ke dalam dan tidak lama kemudian dia keluar memaklumkan saya dapat masuk.

Saya disuruh baring di atas katil dan jururawat terus memasang peralatan untuk melakukan  ECG dan scan. Tidak lama kemudian datang beberapa orang doktor bersilih ganti dan bertanya beberapa soalan. Adakah merokok, ada keturunan yang sakit jantung, aktif bersukan, bila lagi rasa sakit, sakit kat mana dan banyak lagi soalan yang diajukan.

Kemudian mereka berbincang sesama mereka. Doktor  mengarahkan  saya diberikan beberapa jenis ubat termasuk morfin untuk menghilangkan rasa sakit. Setelah itu saya berasa  loya,sangat mengantuk dan berasa sedikit lega. Doktor tidak memaklumkan apa-apa.

Abang saya datang memberitahu ‘ Nan, kena masuk wad. Masalah jantung dan kena buat hari ini juga”.  “Ya Allah!!!. Itulah ucapan yang mampu saya katakan. Air mata laju mengalir. Sangat terkejut. menjadi kelu. Aku diambang maut.Tergambar dalam fikiran wajah anak-anak, isteri, ahli keluarga dan macam-lagi. Aku menjadi pasrah. Tiada daya dan upaya. Hanya bergantung kepada Allah semata-mata.

Aku beristighfar tidak henti-henti. Laa ilaha illa anta subhanaka inni kuntu mina zalimin”. Doa Nabi Yunus a.s  ini sentiasa diucap tanpa henti.

Kali ini aku menangis bukan lagi kerana sakit. Tapi kerana terbayangkan maut. Terbayangkan sakaratul maut. Terbayangkan alam kubur dan kehidupan selepasnya. Sangat pasrah. Bersediakah aku? Amalanku mencukupikah? Selamatkah aku nanti di alam sana? Ya  Allah…rahmatilah aku. Perasaan takut kerana dosa yang sangat banyak menguasai diri diselangi dengan rasa mengharapkan rahmat Allah terlintas di hati.

Saya dibawa ke bilik persediaan sebelum dilakukan angiogram dan angioplasti. Ketika itu aku hanya berserah sepenuhnya kepada Allah. Ucapan dua kalimah syahadah sentiasa terlekat dibibir. Tidak lalai.

Kes saya ini perlu dibuat segera kerana telah melebihi 12 jam saluran jantung tersumbat. Pesakit yang sedang berada di bilik operasi yang sepatutnya lebih awal dilakukan angiogram terpaksa dikeluarkan untuk memberi laluan kepada saya. Tambahan pula kehadiran Dr Azaki dikenali oleh beberapa orang doktor yang terlibat memudahkan lagi urusan. Alhamdulillah Allah permudahkan.

Setelah dibawa masuk ke bilik operasi seorang jururawat bertanya dah berapa jam sakit. Saya memberitahu sejak 6.30 petang semalam. Lantas dia memukul lembut dengan fail di tangannya marah-marah sambil berkata : “ Awak ni…biasa dalam masa dua jam tidak mendapat rawatan memang habis laa..”. namun Allah Maha berkuasa, Maha Bijaksana.

Setelah ditanya beberapa soalan doktor ingin memulakan angiogram. Dimulakan dengan bius diikuti dengan menebuk dua urat kaki berdekatan pangkal paha. Saya sentiasa sedar dengan apa yang dilakukan kerana  bius hanya pinggang ke bawah. Semasa operasi saya juga dapat melihat di kaca tv apa yang dimasukkan ke dalam dada saya, pergerakan yang berlaku cuma tidak mengerti apa-apa. Tidak berasa apa-apa melainkan rasa lenguh kerana dua tangan perlu diletakkan atas kepala. 

Tekanan darah tinggi sentiasa diperiksa secara otomatik di lengan kanan. Proses berjalan selama sejam setengah. Doktor sempat bertanya dan berbual sepanjang proses agar saya tidak lalai atau tertidur. Masa saya rasakan sangat lama berjalan. Sekejap saya memandang jam di dinding.

“Ok..siap. ujar doktor . lafaz alhamdulillah terucap lagi. Sangat lega. Tidak terkata. Doktor menunjukkan kepada saya saluran yang tersumbat. Kelihatan satu urat yang terkumpul padanya darah beku. Proses angioplasti terpaksa dilakukan iaitu meletakkan ‘stent’ untuk memastikan darah lancar mengalir di tempat saluran yang tersumbat. Semua berjalan dengan lancar. Alhamdulillah sekali lagi.

Kemudian abang saya sendiri yang lebih memahami situasi yang berlaku mendapatkan informasi  daripada doktor tersebut yang merupakan sahabatnya.

“Nan, kena bersyukur sangat-sangat. Saluran arteri kanan tersumbat 100%. Namun masih ada saluran dari kiri yang menghantar darah dan oksigen sebagai back-up”. Ujar Abang saya. Saya hanya mampu mengalirkan airmata sangat berterima kasih kepada Allah. Rahmat Allah semuanya.

Ujian yang satu ini sangat memberi kesan kepada hati ini. Diri ini sendiri pun tidak pernah menjangkakan akan mengalami masalah jantung kerana langsung tiada asbab ke arah itu. Tidak merokok, tiada keturunan yang pernah mengalaminya, aktif bersukan dan usia baru menghampiri 39 tahun. 

Namun itulah ujian Allah. Ujian Allah tidak mengenal dan perlu kepada asbab. Bila Allah kehendaki, pasti akan berlaku. Ini adalah amaran awal dariNya untuk hambaNya yang lalai ini, seorang pendosa.
Lafaz ‘alhamdulillah’ yang dilafazkan sejak kecil tidak sama dengan alhamdulillah selepas berselisih dengan maut ini. Tahu dan mengerti nilai ‘hidup’. Modal untuk bekalan ke sana.


Dihantar ke  wad CCU untuk proses pemulihan. Rehat secukupnya. hanya mampu berbaring dan tidak dibenarkan mengangkat kaki kanan. Hanya boleh menggerakkan kaki kiri. Kedudukan ini perlu berterusan sehingga pukul 4 petang keesokan. Akur dengan arahan doktor. Asalkan semua baik.

Yakin semua yang menerima khabar tentang diri ini pasti tidak mempercayainya. Mereka pasti menafikannya. Kerana saya pada zahirnya sihat, cergas dan aktif. Tapi itulah ketentuan ilahi. Kun fayakun.

Pelawat pertama yang masuk menjenguk ialah Dr Azaki dan adik saya Anizan yang berada di tempat kejadian mula-mula kena serangan sakit di dada. Kami semua menangis. Airmata kesal kerana lambat merujuk ke hospital. Airmata bersyukur kepada Rabb kerana masih sediakan rezekiku di bumi ini. 

Kemudian masuk mak tersayang, isteri dan Aqilah Ahla dan keluarga terdekat. ALHAMDULILLAH  masih sempat menemui kalian.

Kemasukan pelawat ke wad tersebut terhad untuk dua orang sahaja untuk satu masa. Tidak boleh berada terlalu lama kerana ramai sedang menunggu untuk melawat.

Di sebelah petang datang beberapa orang sahabat. Yang paling awal ialah en Zaini, penyelia asrama yang membawa GL diikuti dengan en. Syarifuddin Murni, Sharil dan Mohamad Yunus. Pengetua, puan Khatimas dan suami hadir pada pukul 10.00 malam. Petang keesokan lebih ramai hadir. Menerima lawatan anak sulung Haziq Amsyar yang sempat diambil sekejap dari sekolahnya kerana tinggal di asrama. Menerima  kunjungan ‘istimewa’ anak-anak didik lelaki tingkatan 4 dan 5 Ibnu Sina seramai 9 orang. Diikuti dengan beberapa orang guru, adik-beradik dan kakak-kakak ipar.

Pada petang ketiga saya dipindahkan pula ke wad 7 selatan kerana telah stabil. Tidak lagi kebosanan kerana dapat berbual dengan pesakit lain. Semua yang berbual dengan saya hanya mampu mengelengkan kepala setelah saya ceritakan apa yang berlaku. Seolah-olah tidak percaya. Kunjungan ke wad tersebut tiada had. Sangat terharu dapat memeluk Sakeena dan Aqil setelah 3 hari tidak bersua. Anak bongsu,  Syameel tidak bersama. Rindu sangat kepadanya.

Petang itu juga menerima lawatan anak-anak didik istimewa yang pernah dididik selama 3 tahun di  SMK Putri Saadong Nur Khuza Asyikin, Zuraifa, Ainza,Hafizatul Adawiyah dan ibunya. Entah dari mana mereka dapat tahu berita dengan pantas. Keesokannya hadir pula rakan mereka Nurul fatihah Shaari, Atikan Abdullah dan Syuhada Daud.

Doktor mengatakan akan dapat pulang pada hari khamis. Alhamdulillah sangat teruja  dan gembira.  Sahabat baik, Asri berjanji akan datang untuk mengambil. Dialah yang menguruskan bayaran,beratur mengambil ubat dengan susah payah kerana bersamanya 3 orang anak. Terima kasih tidak terhingga untuk sahabat. Tiba di rumah bonda tepat jam 3 pukul petang.

Terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua rakan pendidik, anak didik sama ada sempat melawat atau tidak kerana sokongan dan keprihatinan anda serta doa yang dipanjatkan untuk diri ini. Saya yakin ramai lagi anak didik yang ingin melawat ustaz namun tidak dapat. Tidak mengapa. Yang penting doakan ustaz selalu agar segera sembuh dan dapat kembali mengajar seperti biasa. Ustaz sangat rindukan kalian untuk mengajar Bahasa Arab. Insya allah akan jumpa nanti.


Tidak dilupakan juga terima kasih kepada bonda tersayang, Abang Ki, Jer, adik beradik dan keluarga terdekat dan berterusan memberi sokongan dan semangat. Para doktor, jururawat dan petugas…

JAZAAKUMULLAH KHAIRAL  JAZAA’

Hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa baik kalian.

Saya  Akan berehat panjang selama 6 minggu. Berasa kesal dan terkilan juga kerana tidak mampu untuk mengajar anak didik dalam tempoh yang agak lama. Insya Allah ustaz akan kembali bila sihat nanti.

Diri yang lemah dan kerdil ini pasrah. Semua yang berlaku bukan kebetulan. Akur…itulah kehendak Rabbku yang sangat menyayangiku, sangat merahmatiku. Memberi teguran awal, amaran awal. Aku kembali kepadaMu ya Rabb…ampunkanlah semua dosaku. Aku terima ujian ini dengan reda.

11 comments:

ImimaysroN berkata...

ayah nan.. baru baca artikel ni.. hari tu papa ada bagitahu along dia hantar ayah nae g hospital sbb sakit dada, along tak ingat pulak nak update ngan papa camana keadaan ayah nae, maaf.. alhamdulillah, selamat semuanya.. semoga terus diberi kekuatan dan kesihatan.. semoga juga sentiasa berbahagia di dalam perlindungan dan rahmat Allah.. ameen.. :)

AbuAqil aka AbuSakeena berkata...

aamiin..syukran along..doakan ayah nae sokmo ye.smg along pon lulus final exam dan dpt keje dgn segera

anis berkata...

alhamdulillah..allah masih sayangkan ustaz..
semoga cepat sembuh yee ustaz..
kami sep kelas 4 ibnu sina rindu doh koe ustaz nih..
sekolah tu , bnyok doh jadi ta dop ustaz,,
tanpa ustaz sedari , kehadiran ustaz di sekolah tu amat diperlukan....
harap ustaz cepat sembuh dan dapat kembali berkhidmat..bulan 5 nih ad mid year exam pulop..insyaallah kami akan buktikan yang terbaik kepada ustaz.. :D

AbuAqil aka AbuSakeena berkata...

Syukran anis,,insya Allah ustaz akan kembali nanti dgn lebih bersemangat utk teruskan perjuangan memartabatkan b. arab esp utk 4 dan 5 ibnu sina

thdotcom berkata...

semoga cepat sembuh ustaz...Alhamdulillah..x sia2 sep2 dp buat smayang hajat...dipimpim oleh Muhd Syazani...

AbuAqil aka AbuSakeena berkata...

Syukran mieyzah...berkat doa anak2 didiklah,Allah permudahkan semua urusan...alhamdulillah

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaukim ustaz,
Terserempak blog ustaz dan membaca kisah menarik ini. Itulah yang dikatakan ujian dari ALLAH. Tak tahu bila, di mana dan bagaimana rupanya. Semuga kita sentiasa redha walau dalam payah.
Ana, bermuhasabah diri.
Semuga ustaz cepat semboh dah didalam kasih dan rahmat ILLAHI.

Tanpa Nama berkata...

* Assalamualaikum .

AbuAqil aka AbuSakeena berkata...

wa alaikumussalam,
ameen...syukran ya akhi/ukhti? krn sudi singgah d blog ustaz

Unknown berkata...

Assalamualaikum...
wah...hebat sekali ujian yang telah ustaz terima...
ternyata ustaz sabar dan tabah menghadapinya...
Saya di sini berdoa semoga ustaz menjadi salah satu penghuni syurga..
yang merasai nikmat yang telah dijanjikanNya...

AbuAqil aka AbuSakeena berkata...

sykran aina...aamiin.ustaz kenal ke aina nie?aasif x cam

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share