03 November, 2012
Kembara ke Sabah Untuk Berkongsi Ilmu
AbuAqil aka AbuSakeena
Pukul 11.30 semalam tiba di rumah setelah 2 hari 2
malam berada di ‘Negeri di Bawah Bayu’. Hadir atas tiket jemputan SPI JPN Sabah
bersama seorang guru cemerlang B. Arab al-Fadhil Ustaz Abdullah dari SMKA
Falahiyah. Beliau diamanahkan untuk slot bersama pelajar STPM. Program ini
dinamakan “Kem Pecutan Akhir B. Arab SPM dan STPM”.
Bertolak pada pukul 3.00 petang dari Kota Bharu Rabu
lepas dan tiba pada pukul 9.30 malam di KKIA Kota Kinabalu. Kami dibawa
menginap di Tang Dynasty Hotel. Program bermula
pada hari Khamis bermula 9.00 pagi hingga 4.00 petang melibatkan 200 lebih
pelajar dari SMKA dan sekolah KAA di Sabah yang mengambil subjek Bahasa Arab
SPM. Program diadakan di dewan utama ILP, Kota Kinabalu.
Saya diamanahkan untuk membantu pelajar SPM dalam
kategori ‘galus’ agar lulus dengan mendedahkan teknik menjawab dan teknik
pembelajaran yang mudah bagi tajuk-tajuk tertentu. Alhamdulillah kedua-dua slot
ceramah berjalan dengan lancar. Diharap pelajar dapat memahami penerangan saya
yang kadang-kadang terkeluar loghat Kelantan dan saya tidak tahu bercakap
loghat Sabah.
sesi perbengkelan
Sesi perbengkelan dibuat pada waktu petang dan mendapat
respon positif dari pelajar terutama sesi kuiz yang menyediakan 20 hadiah berbentuk
mushaf dan buku ilmiah. Pelajar berebut-rebut untuk menjawab bagi mendapat
hadiah istimewa.
Yang menariknya kembara ke Sabah ini dapat bertemu
dengan sahabat lama iaitu ustaz Abdul Aziz Abdul Ghaffar [gambar] setelah berpisah lebih
20 tahun yang lalu iaitu selepas SPM 1991. Saya ke pra Akademik Islam, Nilam
Puri sementara dia menamatkan STPM dan menyambung pengajian di al-Azhar, Mesir.
Waktu malam mengambil kesempatan untuk membeli sedikit
cenderamata di Pasar Philipina dan makan makanan tradisi orang sana bermenu
makanan laut yang dibakar dan berulamkan rumpai laut yang dicicah dengan sos
kicap. Boleh tahan juga rasanya sehingga lupa berpantang seketika. Habis ‘dibedal’
sehingga licin.
Pada hari kedua diadakan sesi muzakarah bersama
guru-guru Bahasa Arab SPM dan STPM di SPI JPN Sabah. Banyak manfaat yang
diperolehi dalam sesi ini bila guru-guru berkongsi ilmu dan pengalaman
masing-masing untuk meningkatkan pencapaian B. Arab SPM dan STPM. Sesi tersebut
selesai pada pukul 11.30 pagi. Solat Jumaat di Masjid Universiti Malaysia Sabah
dan disapa oleh 2 orang bekas anak didik dari SMK Penambang dan Putri Saadong
yang menyambung pelajaran di sana.
Sahabat lama Ustaz Abdul Aziz bersetuju untuk
menghantar saya ke airport untuk mengambil penerbangan pada pukul 4.20 petang.
Berborak panjang dengan beliau dan berjanji akan bertemu semula bila beliau
pulang ke kampung pada akhir bulan ini nanti. Insya Allah.
Segala puji bagi Allah yang memberi peluang kepada
diri ini yang sebenarnya tidak layak
untuk menjadi penceramah dalam program sebesar ini. Semoga peluang perkongsian
ilmu ini mendapat manfaat untuk saya, semua pelajar serta guru.
Alhamdulillah Allah juga mempermudahkan semua urusan
termasuk sepanjang perjalanan walaupun inilah kali pertama meninggalkan bumi
semenanjung dan inilah kali pertama bermusafir seorang diri dengan penerbangan.
Pengalaman yang diperolehi dalam kembara ke Sabah ini
sangat bernilai dan sukar diperolehi. Semoga kembara ini akan mendapat balasan
pahala yang terbaik dan memperoleh reda Rabb serta diampunkan dosa hamba yang
daif ini.
Jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan
kepada pihak SPI JPN Sabah, ustaz Zulkifli dari SMKA Kota Kinabalu selaku
penyelaras program merangkap ‘pengurus’ tetamu yang melayan kami dengan
sebaik-baiknya dan kepada semua sahabat
para asatizah dari Sabah yang sangat inovatif dan komited untuk
mencemerlangkan anak-anak didik
seterusnya memartabatkan bahasa al-Quran. Jazakumullah khairal Jazaa’.
2 comments:
نشاطات مميزة، شكرا على المدونة الرائعة
salam,wah, bestnya ! dpt tips2 bahasa arab SPM!ustaz, x kongsikan dkt blog ustaz ke.... cara2 nak skor bahasa arab dan soalan spot bahasa arab ???
Catat Ulasan