Sila klik pada imej untuk mendapatkan imej lebih besar kemudian klik kanan dan pilih ‘save image as’. |
26 Oktober, 2011
Zikir Nabi saw Pagi dan Petang (Ringkasan)
AbuAqil aka AbuSakeena
Alhamdulillah pada awal pagi ini saya masih diberi
kesempatan oleh Allah untuk bersama 46 orang pelajar program Kem Pecutan Kecemerlangan
SPM di Sri Pantai Resort, Melawi. Ini kali kedua ke kem ini. Sebelum ini telah hadir untuk slot ceramah maghrib pada dua hari lepas.
Pagi yang sangat sejuk kerana hujan semalam menyebabkan pelajar bangkit agak
lambat. Maka solat subuh pun agak lewat kerana menunggu pelajar. Saya berpesan
kepada pelajar agar amalkan bangkit sebelum subuh agar sempat solat tahajjud
atau sempat menempatkan diri dalam golongan yang dimakbulkan doa berdasarkan
hadis Nabi saw bahawa janji Allah akan menerima doa, mengampunkan dosa dan
memberi kepada orang yang meminta pada 1/3 akhir malam. Apatah lagi ketika saat
‘kecemasan’ kepada calon-calon SPM yang semakin dihambat masa.
Pelajar juga diingatkan agar jangan meninggalkan solat
sunat subuh walaupun bangun lewat. Inilah solat sunat yang sangat diambil berat
oleh Rasulullah saw. Baginda tidak pernah meninggalkannya walaupun semasa
musafir. Kelebihannya sangat besar iaitu lebih baik daripada dunia dan
seisinya. Sangatlah rugi siapa yang mengabaikannya.
Selepas solat subuh saya berkongsi amalan Rasulullah
saw selepas subuh iaitu zikir Nabi saw yang saya ringkaskan untuk kemudahan
pelajar. Semoga diri ini yang sangat lemah dan semua pelajar dapat
mengamalkannya sampai bila-bila. Mudah-mudahan zikir tersebut akan menjadi
bekalan terbaik untuk memperoleh reda Rabb bila kita mengadapNya kelak.
Tiada harapan menggunung seorang guru melainkan ilmu
yang dikongsikan dapat diamalkan oleh anak-anak didik. Begitu jugalah harapan
saya. Semoga ilmu yang diajar dapat diterjemahkan dalam kehidupan mereka. Walaupun
hanya seorang sahaja daripada 46 orang yang mengamalkannya sudah memadai bagi saya dan berasa sangat bersyukur kepada Allah
kerana tergolong dalam hadis nabi saw
yang menerangkan salah satu amalan yang bermanfaat untuk anak Adam selepas
kematiannya ialah ilmu yang dimanfaatkan. Alhamdulillah.
Sesungguhnya doa dan zikir Nabi saw selepas subuh
sangat banyak. Sehingga para ulama dapat menghasilkan buku yang menghimpun doa
dan zikir Nabi selepas subuh dan Asar. Namun saya meringkasnya untuk kegunaan
diri sendiri dan pelajar yang mungkin dikekang masa pada awal pagi. Doa tersebut
dipetik dari buku ‘Hisnul Muslim’ karya said bin Ali al-Qahtaniy (gambar). Buku yang
mengumpulkan doa dan zikir nabi saw berdasarkan hadis-hadis sahih yang patut
dimiliki oleh setiap muslim dan muslimat.
Semoga Allah membimbing kita semua ke jalan yang
diredaiNya…Aamin.
1 comments:
sebaik-baik zikir ialah apa yang diajar oleh rasulullah s.a.w!!!!
Catat Ulasan