26 Oktober, 2011

Zikir Nabi saw Pagi dan Petang (Ringkasan)



Sila klik pada imej untuk mendapatkan imej lebih besar kemudian klik kanan dan pilih ‘save image as’.

AbuAqil aka AbuSakeena

Alhamdulillah pada awal pagi ini saya masih diberi kesempatan oleh Allah untuk bersama 46 orang pelajar program Kem Pecutan Kecemerlangan SPM di Sri Pantai Resort, Melawi. Ini kali kedua ke kem ini. Sebelum ini  telah hadir untuk slot ceramah maghrib pada dua hari lepas.

Pagi yang sangat sejuk kerana hujan semalam menyebabkan pelajar bangkit agak lambat. Maka solat subuh pun agak lewat kerana menunggu pelajar. Saya berpesan kepada pelajar agar amalkan bangkit sebelum subuh agar sempat solat tahajjud atau sempat menempatkan diri dalam golongan yang dimakbulkan doa berdasarkan hadis Nabi saw bahawa janji Allah akan menerima doa, mengampunkan dosa dan memberi kepada orang yang meminta pada 1/3 akhir malam. Apatah lagi ketika saat ‘kecemasan’ kepada calon-calon SPM yang semakin dihambat masa.

Pelajar juga diingatkan agar jangan meninggalkan solat sunat subuh walaupun bangun lewat. Inilah solat sunat yang sangat diambil berat oleh Rasulullah saw. Baginda tidak pernah meninggalkannya walaupun semasa musafir. Kelebihannya sangat besar iaitu lebih baik daripada dunia dan seisinya. Sangatlah rugi siapa yang mengabaikannya.

Selepas solat subuh saya berkongsi amalan Rasulullah saw selepas subuh iaitu zikir Nabi saw yang saya ringkaskan untuk kemudahan pelajar. Semoga diri ini yang sangat lemah dan semua pelajar dapat mengamalkannya sampai bila-bila. Mudah-mudahan zikir tersebut akan menjadi bekalan terbaik untuk memperoleh reda Rabb bila kita mengadapNya kelak.

Tiada harapan menggunung seorang guru melainkan ilmu yang dikongsikan dapat diamalkan oleh anak-anak didik. Begitu jugalah harapan saya. Semoga ilmu yang diajar dapat diterjemahkan dalam kehidupan mereka. Walaupun hanya seorang sahaja daripada 46 orang yang mengamalkannya sudah memadai bagi  saya dan berasa sangat bersyukur kepada Allah kerana  tergolong dalam hadis nabi saw yang menerangkan salah satu amalan yang bermanfaat untuk anak Adam selepas kematiannya ialah ilmu yang dimanfaatkan. Alhamdulillah.


Sesungguhnya doa dan zikir Nabi saw selepas subuh sangat banyak. Sehingga para ulama dapat menghasilkan buku yang menghimpun doa dan zikir Nabi selepas subuh dan Asar. Namun saya meringkasnya untuk kegunaan diri sendiri dan pelajar yang mungkin dikekang masa pada awal pagi. Doa tersebut dipetik dari buku ‘Hisnul Muslim’ karya said bin Ali al-Qahtaniy (gambar). Buku yang mengumpulkan doa dan zikir nabi saw berdasarkan hadis-hadis sahih yang patut dimiliki oleh setiap muslim dan muslimat.

Semoga Allah membimbing kita semua ke jalan yang diredaiNya…Aamin.


1 comments:

DAQWAH berkata...

sebaik-baik zikir ialah apa yang diajar oleh rasulullah s.a.w!!!!

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share