04 November, 2011

Akal pintar Tapi Tiada Harga Diri



AbuAqil aka AbuSakeena

“Sungguh tidak sangka , pandai rupanya pelajar ini. Tapi semasa P&P biasa je, tidak menonjol sangat”.
Begitulah dialog seorang guru yang kagum dengan markah anak didiknya yang mendapat markah yang cemerlang dalam peperiksaan.

Perasaan bangga dan gembira pasti terdetik di hati guru tersebut kerana itu membuktikan pengajarannya difahami oleh pelajar. Namun apakah  perasaan guru tersebut bila dia mendapat tahu pelajar ini mendapat markah tinggi disebabkan meniru semasa peperiksaan?
Pasti si guru akan kecewa yang amat. Dirinya telah ditipu.

Memang ramai pelajar yang pintar.  Tapi tidak ramai pelajar pintar yang jujur atau yang mempunyai integriti. Sikap jujur semakin pupus dalam diri pelajar masa kini.

Mereka memilih untuk menipu diri sendiri, menipu rakan-rakan, menipu guru, menipu pihak sekolah dan lebih teruk mereka menipu ibubapa mereka sendiri.

Implikasi lebih besar di dunia ini ialah hilang harga diri. Malah implikasi di akhirat pula seolah-olah menempah neraka. Sebagaimana sabda Nabi saw yang bermaksud :

Hendaklah kamu sentiasa berlaku jujur, kerana sesungguhnya kejujuran itu  membawa pada kebaikan dan sesungguhnya kebaikan akan membawa kepada syurga. Jika seseorang sentiasa berlaku jujur dan berusaha untuk jujur, maka dia akan dicatat di sisi Allah sebagai orang yang jujur. Hati-hatilah kamu dari berbohong, kerana sesungguhnya pembohongan akan membawa  kepada kejahatan dan kejahatan akan membawa kepada neraka. Jika seseorang suka berbohong  dan berupaya untuk berdusta, maka ia akan dicatat di sisi Allah sebagai seorang pembohong.” [Imam  Muslim]

Atau terkeluar dari umat Nabi Muhammad saw “ :

“ Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari golongan kami”.[ imam al-Bukhari]

Kenapa terdapat pelajar sanggup gadaikan harga diri dan menempah neraka semata-mata untuk mendapat markah tinggi?

Kenapa mereka tidak mahu berusaha untuk cemerlang? Kenapa tidak gunakan kepintaran yang ada untuk mendapat kecemerlangan hasil usaha sendiri?. Jalan pintas pilihan syaitan yang dipilih. Mungkin mereka berasa bangga selepas berjaya meniru tanpa diketahui oleh sesiapapun. Walhal Allah, malaikat dan syaitan dalam dirinya mengetahui. Di manakah harga diri golongan ini?

Pening kepala dan buntu bila memikirkan perkara ini. Sungguh pelik. Apakah mereka tidak yakin Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui? Mereka sebenarnya menghina diri sendiri.

Kalimah ‘jujur’ memang senang dilafaz  namun amat sukar untuk dipraktikkan dalam kehidupan sebenar. Berusahalah untuk bersikap jujur kerana itulah kita akan memperoleh reda Rabb kelak.
Jadilah pelajar yang jujur. Biar tidak pandai tapi berintegriti daripada berotak pintar tapi tiada harga diri dan menghina diri sendiri.

“Sesungguhnya kejujuran itu menenangkan jiwa, sedangkan penipuan  akan menggelisahkan jiwa.[ Hadis riwayat al-Tirmizi dan Imam Ahmad]

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share