07 Januari, 2012

Muhasabah : Mesti Berubah!




AbuAqil aka AbuSakeena

Ketibaan tahun baru ini diharap akan mengubah diri dan cara hidup kita semua. Kita mesti berubah. Tiada pilihan lain. Berubah menjadi lebih baik dan lebih cemerlang. Dari semua sudut sama ada sebagai seorang hamba Allah, seorang anak, seorang pelajar atau seorang pekerja.

Tiada siapa yang mampu mengubah diri kita melainkan diri kita sendiri sebagaimana firman Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud :

Sesungguhnya Allah tidak mengubah Keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. ( Surah al-Ra’d :11)

Berubahlah menjadi hamba yang soleh dan bertakwa. Berubahlah menjadi anak yang soleh, berbakti dan sentiasa menceriakan mereka. Berubahlah menjadi pelajar yang komited dan berdisipilin tinggi serta berusaha sedaya-upaya untuk mencipta kecemerlangan dalam akademik dan ko-kurikulum.

Jadilah mukmin yang bermotivasi, berdedikasi, komited dan cemerlang dalam semua aspek. Sesungguhnya mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah. Sebagaimana sabda nabi saw riwayat Imam Muslim. Mantapkan keazaman, tingkatkan iman dan istiqamah beramal soleh, anda akan melihat perubahan dalam diri anda.

Perubahan boleh mulakan dengan sentiasa merapatkan hubungan dengan Allah. Jaga solat berjamaah, lakukan solat-solat sunat sebelum dan selepas solat fardu serta sola-solat sunat yang lain terutama  solat  tahajjud. Lakukan dengan istiqamah. Membaca dan menghayati makna al-Quran setiap hari, sentiasa panjatkan doa, mengadu dan merintih kepada Rabb yang Maha Mendengar dan Menerima doa hambaNya.

Bila hubungan dengan Allah mantap maka syaitan tiada ruang untuk menguasai. Sikap malas, lemah, cepat berputus asa dan semua sikap negatif akan dapat dikikis dalam diri. Hati akan bersih, minda akan cerdas dan fizikal akan cergas seterusnya akan menjadi pelajar yang cemerlang dalam semua bidang.

Semuanya tidak mustahil. Sesiapa sahaja mampu berubah. Cuma nak atau tak nak sahaja. Berubahlah! Maut sentiasa mengintai kita dan malakul maut bila-bila masa sahaja akan hadir menjemput kita.

Semoga Allah SWT membimbing kita semua ke jalan yang diredaiNya.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share