Hari ini menjejakkan kaki ke tahun baru dengan penuh semangat dan keazaman yang padu. Pengalaman yang dilalui pada tahun 2011 telah menjadi lembaran sejarah hidup. Pahit manis, suka duka dan pengalaman lalu akan dijadikan panduan untuk tahun 2012 ini yang pastinya semakin mencabar.
Azam saya tahun baru ini ialah untuk lebih fokus kepada keluarga tercinta dan anak-anak yang semakin membesar terutama anak sulung Muhammad Haziq Amsyar yang akan menduduki PMR diikuti Nur Aqilah Ahla akan belajar di tingkatan dua. Cabaran mendidik anak ternyata lebih sukar dari mendidik anak orang lain. Macam-macam ujian dan dugaan yang mencabar iman dan kesabaran.
Semoga mereka berdua akan mencapai kejayaan yang cemerlang dalam sahsiah diri dan akademik dan mampu menjadi perintis kecemerlangan kepada adik-adik.
Tahun 2011 agak mengabaikan anak-anak disebabkan tugas sebagai pendidik dan warden di sekolah SMKDP yang mengutamakan kecemerlangan. Peletakan jawatan sebagai warden diharap berjalan lancar sebagai salah satu usaha untuk memberi perhatian kepada keluarga. Semoga Allah mempermudahkan semua urusan.
Azam saya juga untuk lebih menguasai kemahiran dalam ilmu Bahasa Arab SPM memandangkan tahun ini akan membimbing anak-anak didik seramai 14 orang yang memilih untuk meneruskan kecemerlangan B Arab peringkat SPM dengan format baru. Masih menanti keputusan anak didik sulung B Arab SPM 2011 yang akan diumumkan Mac nanti. Semoga keputusan nanti akan mengembirakan semua pihak.
Sekiranya berkelapangan saya juga berazam untuk meluaskan sumbangan ilmu kepada semua pelajar yang ingin menguasai ilmu B. Arab sama ada akan mengajar di sekolah lain sekiranya dijemput atau akan mengadakan kelas tuisyen B arab di Pusat Bimbingan Qiraati Jelawat. Semoga ilmu yang sedikit di dada akan dapat dimanfaatkan kepada pelajar-pelajar yang berminat dengan bahasa al-Quran.
Tugas-tugas di sekolah pasti akan lebih padat memandangkan sekolah SMKDP telah mencapai keputusan PMR yang luar biasa pada akhir Disember lepas. Pihak sekolah pasti akan mengadakan pelbagai program kecemerlangan untuk meningkatkan kecemerlangan. Saya yang memikul tugas sebagai SU disiplin juga pasti akan sibuk untuk mendisiplinkan pelajar. Kerana kecemerlangan tidak akan dicapai tanpa memiliki tahap disiplin yang tinggi.
Tahun 2012 ini juga diharap akan dapat meningkatkan ketakwaan, keimanan dan amal soleh memandangkan usia yang semakin bertambah dan ajal kematian yang bakal tiba bila-bila masa sahaja. Semoga kesibukan dengan kehidupan di dunia tidak melalaikan diri ini dengan kehidupan yang hakiki kelak.
Harapan agar diri ini akan menjadi lebih baik, lebih cemerlang, lebih aktif dan lebih berdedikasi daripada sebelumnya dalam usaha untuk memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara. Semoga Allah merahmati dan membimbing kita semua ke jalan yang diredaiNya.
0 comments:
Catat Ulasan