31 Disember, 2011

2012 : Apa Perlu Buat?





AbuAqil aka AbuSakeena

Hari ini tahun 2011 akan melabuhkan tirainya, esok kita akan melangkah ke tahun baru 2012. Sungguh pantas masa berlalu. 


Melangkah ke tahun baru menunjukkan usia kita juga semakin bertambah. Dengan bertambahnya usia sepatutnya  semakin  bertambah juga kematangan, keinsafan dan kesedaran dalam diri. Kerana umur kita semakin pendek, rezeki semakin berkurangan, masa semakin singkat dan ajal  kematian semakin hampir.

Kita baru sahaja menempuh tahun baru Hijrah pada bulan lepas. Banyak lagi azam baru yang dipasang belum terlaksana, datang pula tahun baru masihi. Tidak salah kita memasang niat baru demi berubah ke arah kebaikan walaupun pengalaman sebelum ini perubahan itu hanya bersifat sementara. Perbanyakkanlah niat untuk berubah ke arah kebaikan kerana setiap amalan bergantung kepada niat. Niat yang baik akan mendapat pahala walaupun belum melaksanakannya. Sabda Nabi saw :

Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada niat. Dan setiap seseorang berdasarkan apa yang diniatkan. ( Imam al-Bukhari dan Muslim)

Manusia paling teruk ialah langsung tidak mahu berubah. Malah untuk berniat untuk  berubah pun tiada dalam hatinya. Jangan jadi manusia seperti ini. Berazamlah untuk melakukan kebaikan walaupun kelemahan diri kita menyebabkan azam itu tidak terlaksana. Anda beruntung kerana setiap niat baik anda pasti akan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah. Perhatikan hadis Nabi saw ini.

“ Sesiapa yang berniat untuk melakukan  kebaikan tetapi  tidak melakukannya maka dituliskan untuknya satu hasanah ( kebaikan ). Dan sesiapa yang berniat untuk melakukan kebaikan kemudian dia melakukannya maka ditulis untuknya sepuluh kebaikan sehingga tujuh ratus kali ganda.” ( Riwayat Imam Muslim)

Apa Aku Perlu Buat Tahun Ini?

Berikut beberapa garis panduan yang boleh dijadikan pedoman untuk memasang niat sempena tahun baru ini :

1. Berazam untuk menjadi hamba Allah yang bertakwa, beramal soleh dan berusaha untuk mendekatkan diri kepadaNYa.

2. Berazam ingin sempurnakan kewajipan sebagai hamba. Akan solat fardu lima waktu dan berpuasa Ramadan dengan sempurna. Ingat! Solat fardu adalah tiang agama. Jangan runtuhkan agama dalam diri anda. Jangan sesekali mengabaikannya. Satu waktu anda abaikannya, bayangkan nama anda tertulis di pintu neraka dan akan memasukinya satu masa nanti. Bertaubatlah sekiranya sebelum ini anda pernah tinggalkan solat. Pohonlah keampunan dengan bersungguh-sungguh dan berazam tidak akan mengulanginya.

3. Berazam untuk solat pada awal waktu sekiranya anda suka melengah-lengahkan solat. Antara perkara yang paling disukai oleh Allah ialah solat pada awal waktu sebagaimana hadis Nabi saw.

4. Berazam akan menutup aurat dengan sempurna. Kehebatan dan keunggulan seorang wanita terletak pada maruah dirinya. Maruah diri seorang wanita terpelihara bila auratnya ditutup dengan sempurna.

5. Berazam ingin membaca al-Quran setiap hari agar mendapat syafaatnya dan terselamat daripada didakwa olehnya di akhirat nanti.

6. Berazam untuk lebih rajin berzikir sama ada zikir pagi, petang atau zikir selepas solat fardu atau sebagainya.

7. Berazam untuk memperbanyakkan solat sunat untuk menampung kekurangan solat fardu.

8. Berazam untuk menjadi anak yang lebih bersopan dan dapat berbakti kepada ibubapa lebih baik daripada sebelum ini.

9. Berazam untuk menjadi pelajar yang beradab dan memuliakan guru lebih baik daripada sebelum ini.

9. Berazam untuk mencipta kecemerlangan dalam akademik pada tahun ini untuk membalas jasa dan pengorbanan orang tua dan guru-guru.

10. Berazam untuk menjadi pelajar yang rajin dan tekun serta akan mengikis sifat malas dalam diri. Malas merupakan musuh nombor satu pelajar untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran.

11. Berazam menjadi rakan yang baik dan disenangi oleh semua kawan-kawan. Jangan ada sebarang permusuhan dengan orang lain. Memutuskan silaturahim merupakan penghalang untuk rahmat dan syurga Allah.

12. Berazam untuk menghindari perbuatan yang dilarang oleh agama. Setiap dosa yang dilakukan menyebabkan anda jauh dengan rahmat dan kasih sayang Allah malah anda lebih hampir kepada dikuasai oleh syaitan.

13. Berazam untuk menghindari perbuatan yang sia-sia dan membuang masa. Banyak terlibat dengan perkara yang membuang masa menyebabkan anda menjadi seorang yang pasif, malas dan da’if.

14. Berazam untuk menjadi individu yang cintakan kebersihan sama ada kekemasan diri atau persekitaran anda. Ubah penampilan anda agar menjadi lebih kemas dan bersih kerana Allah sukakan perkara yang cantik dan elok pada pandangan zahir.


15. Berazam untuk memperbaiki pelbagai kekurangan, kelemahan dan keaiban diri. Berazam akan menjadi lebih baik dan cemerlang dari semua sudut.

Demikian beberapa contoh azam baru yang boleh dijadikan panduan untuk menempuh cabaran tahun baru 2012. 


Mudah-mudahan tahun 2012 kita akan mencapai lebih banyak kejayaan dan kecemerlangan dalam semua bidang. Semoga Allah merahmati kita semua dan membimbing kita ke jalan yang diredaiNya.

1 comments:

Tanpa Nama berkata...

boleh

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share