Jadual kehidupan semalam sangat sibuk. Turun dari rumah seawal pukul 7.30 pagi untuk menghantar Haziq Amsyar ke sekolahnya di SMI Aman, Binjai. Kemudian terus ke asrama KKSP, ada mesyuarat pengurusan asrama hari bersama pentadbir dan warden-warden.
Amat terkejut kerana terdapat beberapa kes disiplin yang dilakukan oleh pelajar yang sedang menghadapi peperiksaan SPM dan STPM. Saya berasa sungguh pelik dan tidak faham dengan sikap pelajar. Ada juga yang melakukan vandalisme mentang-mentanglah mereka akan menamatkan persekolahan di sini. Itu bukanlah lesen untuk mereka merosakkan atau menjahanamkan harta benda asrama. Mereka ingin menutup persekolahan mereka selama lima tahun dengan dosa jariah, dosa yang menyebabkan mereka sering disumpah seranah oleh pihak sekolah atau adik-adik pada sesi akan datang.
Mesyuarat berlangsung lebih kurang 3 jam setengah. Saya berasa sangat rimas kerana jam 1.00 masih belum berkesudahan untuk mendaftar Haziq ke Pusat Tuisyen al-Amin, Kubang Kerian. Terus bergegas ke pusat tuisyen tersebut dan terus mendaftar Kelas intensif dalam cuti untuk Haziq. Pakej Tingkatan 3 2012 dikenakan bayaran sebanyak RM190.00 untuk pengajian 6 subjek selama 140 jam dalam masa lima minggu.
Mujur juga ada seorang lagi kawan sekolahnya, Syazani yang turut sama menyertai kelas tersebut. Sekurang-kurangnya ada kawan yang menemani sepanjang belajar di situ. mereka berdua terus memasuki kelas pertama.
Pusat tuisyen yang terkenal ini juga menyediakan kelas intensif cuti bagi semua peringkat iaitu sekolah rendah bermula tahun 1-6 ( RM160.00). Tingkatan 1-3 ( RM190.00) dan tingkatan 4-5 ( RM260.00). Saya amat menggalakkan semua pelajar agar memanfaatkan cuti ini dengan persiapan untuk menghadapi sesi persekolahan 2012. Antaranya ialah mengikuti kelas tuisyen terutama pelajar yang bakal menduduki PMR dan SPM.
Jangan disia-siakan cuti anda hanya tidur, menonton tv, online, lepak-lepak dan seumpamanya. Masa yang sangat pantas berlalu menyebabkan kita akan menyesal satu masa nanti. Gunalah masa yang ada untuk perkara yang bermanfaat untuk kehidupan dunia dan akhirat anda.
0 comments:
Catat Ulasan