18 November, 2011
Jangan Sia-siakan Cuti Anda !
AbuAqil Adnan
Cuti panjang akhir tahun selama sebulan setengah tiba lagi. Pelbagai perkara yang terlintas di fikiran masing-masing untuk dilakukan dalam cuti tersebut.
Ada yang berangan untuk bercuti bersama keluarga atau pulang ke kampung melawat datuk dan nenek. Ada individu yang merancang untuk menghabiskan masa depan komputer melayan laman sosial seperti facebook, twitter dan sebagainya.
Sebenarnya banyak aktiviti yang boleh dilakukan sepanjang cuti ini. Terdapat ibubapa yang prihatin menghantar anak mereka mengikuti kursus-kursus kerohanian seperti kem solat, kelas al-Quran dan tajwid, kursus kemahiran komputer, kursus B. Inggeris dan lain-lain.
Bagi individu yang mempunyai kemudahan komputer dan internet gunakanlah ke arah kebaikan seperti menambah ilmu dengan melayari laman-laman ilmiah untuk meningkatkan ilmu sama ada ilmu agama atau ilmu keduniaan. Jangan hanya leka dan lalai c’chatting’ di laman sosial, ‘game’ atau melayari web-web yang tidak berfaedah.
Perlu diingatkan bahawa masa yang terluang itu adalah ‘modal’ untuk kita mencari kebaikan sama ada untuk kehidupan dunia atau akhirat. Jangan dibuang ‘modal’ itu dengan perkara yang boleh merugikan kita. Kita pasti akan menyesal bila kembali ke akhirat nanti bila melihat kekurangan pahala akibat masa yang dibuang begitu sahaja. Lebih buruk lagi digunakan masa itu untuk melakukan perkara yang dilarang oleh agama.
Maksud firman Allah SWT:
Sesungguhnya golongan yang membazir adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.( Surah al-Isra’ : ayat 27)
Berdasarkan ayat di atas, Allah telah mempersaudarakan sesiapa melakukan pembaziran dengan syaitan. Ayat ini tidak terhad melakukan pembaziran harta benda dan kewangan semata-mata. Malah ia juga merangkumi pembaziran masa bila diisi dengan perkara yang sia-sia. Apatah lagi diisi dengan perkara yang mengundang kemurkaan Allah.
Seseorang yang bergelar pelajar tidak sepatutnya menghabiskan sebahagian besar masa terluang dengan membaca novel dan majalah hiburan,menonton tv, melayari internet tanpa hala tujuan, mendengar muzik, lepak dan sebagainya.
Manfaatkan masa yang ada dengan perkara yang berfaedah untuk pelajaran anda seperti membuat nota, mengulangkaji topik yang telah dipelajari, menghafal, membaca buku-buku ilmiah atau melayari laman-laman ilmu di internet untuk menambah ilmu pengetahuan.
Sabda Rasulullah SAW :
Dua nikmat yang dipersia-siakan oleh kebanyakan manusia iaitu kesihatan dan MASA YANG TERLUANG.( Riwayat Imam al-Bukhari )
Memang benar dan tepat sabdaan Nabi saw. Masa sihat dan waktu lapang dibiarkan berlalu begitu sahaja. Inilah penyakit umat Islam pada masa kini. Dengan cabaran kehidupan yang semakin mencabar, mereka tidak pernah berusaha untuk memajukan diri berbanding dengan bangsa lain. Terdapat pelajar bila ditanya apa yang dilakukan sepanjang cuti. Selamba sahaja dia menjawab tidak buat apa-apa. Hanya baca novel, menonton tv dan lepak-lepak.
Alangkah rugi sekiranya nikmat masa lapang tidak digunakan dengan sebaik-baiknya apatah lagi nikmat ini akan disoal dan dihisab di akhirat kelak sebagaimana firman Allah :
Kemudian kamu benar-benar akan disoal ( di akhirat) tentang nikmat ( kurniaan ) Allah. Surah al-Takasur :ayat 8)
Sabda Rasulullah saw :
Tidak akan berganjak kedua kaki seorang hamba ditanya tentang empat perkara : tentang umurnya dimana ia habiskan, Masa mudanya bagaimana digunakan, hartanya dari mana sumber dan bagaimana dipergunakan dan ilmunya apakah yang diamalkan.( Riwayat al Tabarani dan al-Bazzar; disahihkan oleh al-Albaniy)
Berdasarkan hadis ini berkaitan dengan masa dua perkara yang akan disoal iaitu : umur dan masa muda.
Allah juga bersumpah dengan masa dalam surah al-Asr. Surah ini kita sering baca bila berakhir sesuatu majlis namun isi kandungan diabaikan begitu sahaja. Di dalamnya Allah bersumpah bahawa manusia berada dalam kerugian melainkan empat golongan iaitu orang yang beriman, beramal soleh, golongan yang berpesan dengan kebenaran dan kesabaran.
Terdapat satu ungkapan yang menerangkan keburukan mensia-siakan masa. kata-kata hikmah tersebut ialah :
الوقت كالسيف إن لم تقطعه قطعك
Masa itu ibarat pedang. Sekiranya kamu tidak memotongnya, ia akan memotong kamu.
Ungkapan ini menerangkan seolah-olah akibat buruk akan menimpa seseorang yang tidak tahu menggunakan masanya. isikanlah masa lapang dengan perkara yang bermanfaat untuk anda pada masa akan datang. Jangan disia-siakan baki cuti yang masih ada. Masa depan anda untuk menggapai kejayaan yang cemerlang dan gemilang bermula dari sekarang. Masa sentiasa berjalan, masa tidak pernah berehat dan masa tidak pernah menunggu kita.
Masa yang telah berlalu telah menjadi sejarah hidup, masa yang mendatang akan merencanakan hala tuju hidup anda. Sama ada kegembiraan atau tangisan yang akan menemui anda kelak, semuanya bergantung kepada bagaimana anda manfaatkan masa anda. Masa adalah masa depan anda.
MANFAATKAN MASA ANDA!!!
0 comments:
Catat Ulasan