26 November, 2010

Adakah solat anda menepati Cara Solat Nabi saw?




AbuAqil Adnan

Ketika menghadiri solat maghrib berjemaah di masjid baru-baru ini, saya perasan seorang ahli jemaah yang sujud dengan menghamparkan lengannya ke lantai. Usia ahli jemaah tersebut lebih kurang 50-an. Bayangkan walaupun telah berumur separuh abad namun masih belum mengetahui cara sujud yang betul. Sedangkan cara sujud yang sebenar ialah :
Cara sujud yang betul iaitu tidak menghamparkan lengan ke lantai.

1- mengangkat lengan dan siku dari lantai (tidak menghamparkan di lantai) berdasarkan hadis :

 “Apabila kamu sujud, letaklah dua tapak tanganmu di atas lantai dan angkatlah dua sikumu (yakni jangan menghamparnya di atas tanah)” (Riwayat Imam Muslim dari al-Barra’). Sabda Nabi s.a.w. juga; “Sempurnakanlah sujudmu. Dan janganlah seseorang kamu menghamparkan dua tangannya (dari tangan hingga siku) seperti hamparan anjing (iaitu  meletakkan kedua-dua tangan dan siku di atas tanah/lantai umpama anjing tidur)” (Riwayat Imam Muslim dari Anas r.a.).


2- merenggangkan siku dari rusuk.

 “Nabi semasa menunaikan solat tatkala sujud, baginda memisahkan antara dua tangannya (dari rusuknya) hingga nampak putih dua ketiaknya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim/Bulugul-Maram).

Bagaimana dengan anda? Adakah anda solat berpandukan cara-cara yang ditunjuk oleh Baginda saw ? Atau anda solat berdasarkan meniru perbuatan orang lain, solat ikut sesuka hati dan sebagainya? Ingat! Solat merupakan perkara yang mula-mula sekali dihisab di akhirat. Sekiranya solat diterima ,semua amal yang lain akan diterima. Namun sekiranya solat ditolak, semua amal yang lain turut akan di tolak.

Solatlah sebagaimana tunjuk ajar Nabi saw dengan mengikuti panduan yang terdapat dalam buku-buku yang menerangkan solat cara Rasulullah saw. Hentikan solat mengikut cara anda sendiri atau meniru perbuatan orang lain yang tidak diketahui adakah betul atau salah. Sabda Nabi saw :
“Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat” ( Imam al-Bukhari dan Muslim)

Belajarlah solat dengan cara yang betul. Inginkah solat yang kita lakukan selama ini ditolak mentah-mentah di akhirat akibat solat cara kita sendiri? Na’uuzubillah..

Sabda Nabi saw :

Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang bukan dari perintah kami maka ia adalah tertolak( tidak diterima).( Imam Muslim)

Antara buku yang sesuai untuk dijadikan rujukan belajar solat ialah buku yang dikarang oleh al-Fadhil Ustaz Zaharuddin  bin Abd. Rahman dengan tajuk : “Formula Solat Sempurna”. Buku ini sangat baik kerana setiap perbahasan dilengkapi dengan gambar dan dinyatakan pendapat ulama pelabagai mazhab.

Antara buku lain yang boleh dijadikan rujukan ialah buku “ Sifat Solat Nabi” karya Nasruddin al-Albaniy edisi terjemahan.

Dapatkan buku di atas dan perbaikilah solat anda agar menepati solat Nabi saw. Mudah-mudahan solat kita semua akan diterima oleh Allah SWT  di akhirat nanti. Semoga Allah merahmati kita semua dan membimbing kita ke jalan yang diredaiNya.

1 comments:

Unknown berkata...

Salam tuan..sy mohon copy gmbr sujud diatas di blog sy..TQ

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share