30 Oktober, 2010

Kejarlah Cinta Sejati, Cinta Ilahi




AbuAqil Adnan

Pada masa kini kebanyakan manusia sibuk mengejar cinta palsu yang akhirnya terperangkap  dalam jerangkap samar yang dipasang oleh syaitan sehingga terlibat dengan dosa dan maksiat yang menjijikkan.

Alangkah beruntungnya kepada sesiapa yang mengejar cinta abadi yang menenangkan jiwa, menyejukkan hati dan mendapat jaminan kebahagiaan dunia dan akhirat. Cinta apakah itu? cinta sejati ini ialah mencintai Rabb Yang Maha Penyayang, Maha Pengasih dan Maha Kaya.

Bagaimana cara untuk mendapat cinta Rabb? Amat mudah kerana ia telah dijelaskan oleh kekasihNya iaitu Rasulullah saw dalam satu hadis Qudsi  yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman –: “Barangsiapa yang memusuhi kekasihKu, maka Aku memberitahu kepadanya bahawa ia akan Kuperangi – Kumusuhi. Tidaklah seseorang hambaKu itu mendekat padaKu dengan sesuatu yang amat Kucintai lebih daripada apabila ia melakukan apa-apa yang telah Kuwajibkan padanya.

Tidaklah seseorang hambaKu itu mendekatkan diri  kepadaKu dengan melakukan hal-hal yang sunnah, sehingga akhirnya Aku mencintainya. Apabila Aku telah mencintainya, maka Akulah telinganya yang dia guna untuk mendengar, Akulah matanya yang ia guna untuk melihat, Akulah tangannya yang ia pakai untuk mengambil dan Aku pulalah kakinya yang ia pakai untuk berjalan. Jikalau ia meminta sesuatu padaKu, pasti Kuberi dan jikalau ia mohon perlindungan padaKu, pasti Kulindungi.” (Riwayat Imam Bukhari)

Mudah sahaja untuk menjadi kekasih Allah iaitu dengan mengamalkan isi kandungan hadis Qudsi ini. Dengan kata lain kekasih Allah ialah sesiapa sahaja yang bertakwa kepada Allah SWT sebagaimana firman Allah :

Ingatlah, sesungguhnya wali wali Allah itu, tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati (yaitu) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa) bagi mereka berita gembira didalam kehidupan didunia dan akhirat, tidak ada perubahan bagi kalimat kalimat atau janji-janji Allah, yang demikian itu adalah kemenangan yang besar.” ( Surah Yunus : ayat 62– 64)

Antara inti pati hadis yang perlu diamalkan agar mendapat cinta Allah ialah :


1- Menyempurnakan amalan fardu sebaik mungkin. Solat fardu pada awal waktu atau secara berjamaah. Menyempurnakan ibadat puasa serta menggantikannya dengan segera sekiranya puasa ramadan ditinggalkan kerana uzur.

2- Memperbanyakkan amalan-amalan sunat ebagai usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah. Bacalah al-Quran setiap hari dengan meneliti isi kandungannya. istiqamah melakukan solat-sunat sunat seperti solat sunat rawatib ( sebelum dan selepas solat fardu), solat sunat tahajud,taubat, dhuha dan sebagainya. Berzikirlah kepada Allah setiap masa dengan  kalimah-kalimah zikir yang dianjurkan oleh Rasulullah saw.

Setelah dua perkara ini dilaksanakan dengan sempurna, pasti akan mendapat cinta Allah sebagaimana yang dijanjikan. Bila Allah mencintai seseorang maka semua aktiviti anggota badannya mengikut pimpinan dan bimbingan Allah. Allah juga akan memakbulkan doanya bila dia memohon dan melindunginya bila dia memohon perlindungan.

Allah juga akan mengistiharkan kepada para malaikat bahawa Dia Mencintai hamba tersebut. Sabda Nabi saw yang bermaksud :

“Jikalau Allah Ta’ala itu mencintai seseorang hamba, maka Dia memanggil Jibril untuk memberitahu bahawa Allah mencintai si Fulan, maka cintailah olehmu (hai Jibril) si Fulan itu. Jibril lalu mencintainya, kemudian ia mengundang kepada seluruh penghuni langit memberitahu bahawa Allah mencintai si Fulan, maka cintailah olehmu semua (hai penghuni-penghuni langit) si Fulan itu. Para penghuni langit pun lalu mencintainya. Setelah itu diletakkanlah penerimaan baginya (yang dimaksudkan ialah kecintaan padanya) di kalangan penghuni bumi.” (Muttafaq ‘alaih)

Sungguh beruntung dan bertuah kepada sesiapa yang berusaha untuk mendapat cinta agung dan cinta sejati ini. Kebahagiaan dan ketenangan pasti akan menjadi miliknya baik di dunia mahu pun di akhirat. Marilah kita berusaha untuk memperolehi cinta ini. Semoga Allah merahmati kita semua dan membimbing kita ke jalan yang diredaiNya.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share