15 Oktober, 2010

Berpada-padalah Bergurau, Ketawa dan Melawak



AbuAqil

Secara umumnya manusia suka dan perlu kepada gurauan dan melawak untuk menghiburkan hati. Tawa hilai kita akan menyenangkan hati dan dapat menghilangkan tekanan perasaan. Begitulah fitrah kejadian manusia. Bergurau dan melawak merupakan hiburan kehidupan yang tidak dapat dipisahkan dalam jiwa manusia.

Namun perlu diingatkan bahawa gurauan dan lawak perlu ada batasan. Jangan sampai bergurau atau melawak yang mengundang dosa seperti menghina orang lain, berbohong, lawak lucah dan tidak senonoh dan seumpamanya. Amalan sebegini perlu dihindari kerana akan mendapat kemurkaan Allah.

Islam tidak melaang kita berhibur atau ketawa kegembiraan, namun ketawa yang melampau-lampau tanpa batasan akan mendapat keburukan sebagaimana sabda Rasulullah saw yang
bermaksud:

“Janganlah kamu membanyakkan ketawa. Sesungguhnya banyak ketawa itu mematikan hati”
[ Ibn Majah, al-Tirmizi.Dihasankan oleh Ibn Hajar, disahihkan oleh al-Albaniy]


Berpada-padalah kalau ketawa kerana berlebihan akan menyebabkan hati menjadi mati yang boleh mengakibatkan sukar menerima kebaikan dan cenderung kepada keburukan.

Bergurau dan melawak tidak diharamkan sama sekali dalam Islam. Rasulullah saw juga ada ketikanya bergurau dengan para sahabat r.a. namun gurauan Baginda saw masih dalam lingkungan kebenaran. Sebagaimana hadis riwayat Abu Hurairah r.a menceritakan, bagaimana pada suatu ketika para sahabat tersentak dengan gurauan Nabi saw. Lalu mereka bertanya, “Ya Rasulullah, sesungguhnya kamu bergurau senda dengan kami?”

Baginda saw menjawab:

Ya,aku juga bergurau tetapi aku tidak berkata melainkan perkara yang benar sahaja
[Hadith riwayat al-Tirmizi dan Ahmad, Dihasankan oleh Ibn Hajar, disahihkan oleh al-Albaniy]

Antara hadis yang menerangkan gurauan Rasulullah saw ialah :

“Wahai Utusan Allah, doakanlah buatku agar aku masuk ke Syurga” kata seorang wanita tua kepada baginda saw.

“Wahai ibu fulan bin fulan, orang tua tidak masuk ke Syurga!” jawab Rasulullah saw, bergurau.

Wanita tua itu terkejut dengan jawapan Nabi saw lalu menangis dan meninggalkan majlis.

Baginda saw memberitahu sahabat, “beritahulah kepadanya bahawa beliau tidak akan masuk ke Syurga sebagai seorang tua, kerana Allah SWT berfirman: Sesungguhnya Kami telah menjadikan perempuan-perempuan itu istimewa. Yang Kami jadikan mereka itu gadis dara semuanya [al-Waaqi'ah 56: 35-36]“

Kisah ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan dinilai hasan.

Kerana itu, baginda saw boleh mengajak isterinya Aishah radhiyallaahu ‘anha berlumba lari.
Baginda juga bergurau dengan kanak-kanak seperti gurauan baginda dengan Abu ‘Umayr yang bermain dengan Nughair.

Terdapat juga riwayat Rasulullah saw mengajak Aisyah r.a berlumba lari. Ini menunjukkan bahawa bergurau, melawak dan berhibur diharuskan dalam Islam. Islam bukan bermaksud kita serius 24 jam dan menjalani kehidupan dengan penuh tekanan. Itu bukan tabiat agama. Agama seiring dengan fitrah kejadian manusia yang gemarkan hiburan, suka ria dan tawa hilai. Namun masih dalam lingkungan kebaikan dan kebenaran.

Berdusta, membuat lawak bodoh, menghina orang lain, berkata lucah, mencarut dan seumpamanya  supaya orang lain gelak dan ketawa dilarang oleh Islam. Malah diancam dan dilarang keras oleh Rasulullah saw dalam hadis :

“Celakalah orang yang berbicara lalu dia berdusta kerana mahu orang ramai ketawa. Celakalah baginya. Celakalah baginya” [Abu Daud, Tirmizi. Bertaraf hasan]

Sesiapa yang sanggup melakukan pendustaan semata-mata untuk mengundang tawa hilai kawan-kawan adalah mereka yang bodoh dan tidak mengerti sabda Nabi saw ini.

Oleh yang demikian kita diharuskan ketawa, bergurau  dan melawak dalam batasan yang dibenarkan. Kita juga hendaklah menghindari ketawa yang berlebihan dan berusaha menjauhi bergurau yang boleh mengundang dosa seperti sanggup berbohong dan seumpamanya.

Semoga Allah SWT membimbing kita semua ke jalan yang diredaiNya.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share