18 September, 2010

M Rajoli meninggal dunia



Pelakon serba boleh dan sering melakonkan watak lebai,orang alim kembali ke rahmatullah selepas setahun terlantar sakit. Semoga Allah mengampunkannya dan merahmati arwah...Abuaqil Adnan

--------------------------

Jenazah dikebumikan di Datuk Keramat sebelum Zuhur

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak, M Rajoli ( gambar ) 64, yang terlantar sakit lebih setahun lalu, meninggal dunia di Hospital Ampang, di sini jam 10.45 malam tadi akibat sesak nafas.

Turut berada di sisi ketika beliau menghembuskan nafas terakhirnya ialah isteri, Hashimah Md Din dan anak bongsunya, Muhd Arif.


Adik ipar M Rajoli, Mohlis Md Din, ketika mengesahkan berita itu berkata, jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Datuk Keramat, di sini sebelum Zuhur hari ini.

Pelakon yang nama sebenarnya Mohd Rajoli Mohamed Zain itu menderita barah otak sejak tiga tahun lalu dan melarat hingga ke bahagian urat saraf, sekali gus lumpuh seluruh badan dan terpaksa menggunakan sistem bantuan pernafasan.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” kata Mohlis yang turut berada di hospital bersama sanak saudara.

Allahyarham terkenal dengan kebolehannya memegang pelbagai peranan dengan berkesan sama ada dalam drama atau filem menyebabkan peminat sentiasa senang dengan kemunculan pelakon kelahiran Kelantan itu. 

Rajoli yang berasal dari Pasir Mas mula berlakon sejak 1964 menerusi Ibu Ayam arahan Allahyarham Salleh Ghani. Dalam filem itu, wataknya kecil saja sebagai penggesek biola.

Imejnya sebagai orang alim bermula apabila Allahyarham diberi peranan oleh Tan Sri Dr Jins Shamsuddin sebagai pembaca talkin dalam filem Esok Untuk Siapa (1985).

Perkahwinan M Rajoli dan Hashimah dikurniakan empat anak, Siti Dzaleha, Nur Muhammad, Siti Nazirah dan Muhd Arif dan tujuh cucu. Cucu terbaru pasangan itu dilahirkan 12 tengah hari semalam.

Allahyarham yang terkenal dengan sikap ranggi dan sporting kerana gemar menunggang motosikal berkua-sa tinggi turut meninggalkan seorang lagi isteri, Wan Chik Daud, bekas juruhebah dan pelakon veteran.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share