17 September, 2010

Jangan Sekali-kali Menzalimi Orang Lain




Abuaqil Adnan

Dalam menjalani kehidupan seharian sementara menunggu ajal menjemput janganlah sekali-kali kita menzalimi sesiapapun sama ada dengan menggunakan kuasa, harta, tangan mahupun lidah. Setiap kejahatan yang dilakukan kepada orang lain pasti akan dibalas dengan seadil-adil walaupun mangsa tersebut tidak sempat membalasnya semasa hidup di dunia.

 Sesiapa sahaja yang menzalimi orang lain, maka akan ada pembalasan Allah ke atasnya. Sesungguhnya Maha Suci Allah dari sifat lupa atau terlepas pandang terhadap kezaliman yang dilakukan. Akan ada hari di mana si zalim akan tetap dibalas oleh Allah dengan cara yang dikehendakiNya. Percayalah hal ini. Jika tidak pun di dunia, pembalasan akhirat tetap menanti. Dosa itu akan tetap ditanggung oleh si zalim. Akan tetap tiba hari yang maha adil untuk semua. Sabda Nabi s.a.w:

“Segala hak akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk” (Riwayat Muslim).


Sekiranya kita ada melakukan kesalahan atau menzalimi seseorang maka bersegeralah memohon kemaafan dengan bersungguh-sungguh dengan orang tersebut sebelum kita dihakimi di mahkamah Allah kelak. Sabda Nabi s.a.w:

“Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tidak ada dinar dan dirham (Hari Kiamat). Sekiranya baginya kebaikan (amalan soleh) maka akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tiada baginya kebaikan, maka akan diambil dosa orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya” (Riwayat al-Bukhari)

Jangan sampai kita termasuk golongan yang bankrap atau muflis disebabkan kezaliman yang dilakukan semasa hidup di dunia sebagaimana sabda nabi saw :

Tahukah kamu siapa orang yang muflis(bankrap) ? Para sahabat menjawab : Orang yang muflis di antara kami adalah mereka yang tidak memiliki dirham dan harta. Kemudian Baginda bersabda: Orang muflis yang sebenar dari umatku adalah mereka yang datang pada hari kiamat kelak dengan pahala salat, puasa, dan zakat. Akan tetapi  dia pernah mencela orang ini, menuduh orang itu, makan harta ini, membunuh orang itu, memukul orang itu. Maka diambil amal kebaikannya dan diberikan kepada orang-orang yang dizalimi olehnya. Jika kebaikan miliknya telah habis sedangkan perkaranya belum selesai, maka diambil kesalahan-kesalahan (orang yang dizalimi) kemudian dicampakkan ke atasnya. Kemudian dia dicampakkan ke dalam api neraka. ( Riwayat Imam Muslim)
Kita hendaklah sentiasa bimbangkan doa orang yang kita zalimi. Akan ada masanya Allah memustajabkan doa insan yang dizalimi lalu membalasnya kepada si zalim.

Sabda Nabi:

“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tiada sebarang hijab (penghalang)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat Ahmad, baginda bersabda:
“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya itu bagi dirinya” (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).

Dalam riwayat Imam Ahmad yang lain:

“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ia tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya). (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).

Ini bermaksud kita tidak berlaku zalim termasuk kepada orang bukan Islam berdasarkan hadis di atas. Kerana dosa individunya dengan Allah adalah urusan antara dirinya dengan Allah. Dosanya itu tidak memberi ‘lesen’ kepada orang lain untuk melakukan kezaliman kepada orang bukan Islam.

Sesungguhnya orang mukmin yang sejati sentiasa berusaha agar lidah dan tangannya tidak menyakiti saudaranya sedikitpun. Semoga Allah membimbing dan memelihara kita daripada melakukan sebarang kezaliman kepada orang lain.

4 comments:

naniE berkata...

Selalu rasa diri dianiaya..adakah sama seperti dizalimi..?

nurun najwa berkata...

have high patience when we are persecuted kan ustaz !

Tanpa Nama berkata...

ytu

Muhammad Amir Fahmi berkata...

ytu

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share