13 Disember, 2011

Pesanan : Jangan Berhenti Berdoa!



AbuAqil aka AbuSakeena

Hari ini merupakan hari terakhir anak-anak didik 5 Ibnu Sina menduduki peperiksaan SPM 2011 iaitu kertas Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah. Petang ini mereka akan ‘merdeka’. Istilah yang digunakan oleh pelajar yang tamat peperiksaan. Hari inilah sesetengah pelajar akan menconteng baju, seluar dan tudung mereka dengan macam-macam contengan.

Bukan itu sahaja malah terdapat segelintir pelajar melakukan perkara yang sangat bodoh seperti memusnahkan harta-benda sekolah dan asrama, menconteng dinding dengan kata-kata lucah dan sumpah seranah dan seumpamanya. Sungguh singkat dan dangkal akal golongan ini. Mereka ingat perbuatan mereka itu akan terlepas. mungkin terlepas tindakan oleh pihak sekolah tapi tidak akan terlepas pembalasan oleh Allah SWT.

Saya berpesan kepada semua pelajar  bahawa tamat menjawab peperiksaan bukan bermakna anda telah selamat dan bebas melakukan semua perkara. Semua jadi halal. Tidak sama sekali. Teruskan berdoa, mengharapkan rahmat Allah agar kertas jawapan anda akan selamat tiba ke destinasi, ditanda dengan cermat dan telus oleh pemeriksa, tidak leka semasa menanda, tidak tersilap memberi dan mengira markah, tidak tersalah memindahkan markah dan seumpamanya. Kerana mereka hanyalah insan biasa yang terdedah kepada salah dan silap. Semoga semua itu tidak berlaku kepada anda.

Jangan melakukan perkara yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT. Setiap dosa dan kesalahan akan mengakibatkan kita di’kaffarah’  sama ada di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Firman Allah yang bermaksud :

“ Dan apa-apa musibah yang menimpa kamu maka semua itu disebabkan oleh tangan-tangan kamu dan Allah memaafkan (kebanyakan) kesalahan kamu. ( Surah al-Syura ayat 30)

Ini adalah satu peringatan yang jelas daripada Allah. Ingat! Setiap dosa yang kita lakukan akan  dibalas dengan perkara yang kita tidak ingini.

Jangan ‘over-confident’ dengan apa yang telah anda jawab walaupun yakin. Semua pelajar berkata soalan Bahasa Arab Tinggi yang lalu mudah. Alhamdulillah. Namun saya nasihatkan jangan terlalu yakin. Berdoalah setiap masa agar anda akan mendapat keputusan sebagaimana yang anda impikan. Keputusan yang akan menceriakan anda, membanggakan ibubapa dan guru-guru anda.

Teruskan hubungan baik dan pergantungan sepenuhnya kepada Allah sebagaimana keadaan anda sepanjang peperiksaan. Begitulah keadaan anda selepas peperiksaan atau setipa masa. Sentiasa bergantung harap kepadaNya dan tidak mengingkari perintahNya. Sesungguhnya orang mukmin sentiasa mentaati perintah Allah dan berusaha sedaya-upaya menjauhi laranganNya. Sekiranya terlanjur melakukan dosa maka cepat-cepat bertaubat dengan bersungguh-sungguh.

Semoga Allah SWT merahmati kita semua dan membimbing kita ke jalan yang diredaiNya.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share