Posting ini dituju khas kepada semua pelajar yang telah mencapai kecemerlangan dalam PMR. Sekalung tahniah kepada anda kerana membanggakan ibubapa dan semua guru anda.
Pasti pada masa kini anda dalam dilema dan fikiran melayang berkhayal akan belajar di sekolah baru yang lebih cemerlang. Kebiasaannya pelajar akan teruja untuk pindah ke sekolah lain untuk bertukar angin dan ingin mencuba suasana baru. Kebiasaannya pelajar yang cemerlang akan mendapat tawaran sama ada SBP, MRSM, SMKA atau sekolah kawalan Jabatan pendidikan. Ingat, pilihan yang salah akan menggugat kecemerlangan SPM dan masa depan anda.
Di sini saya ingin memberi beberapa nasihat sebagai panduan kepada para pelajar supaya keputusan anda nanti adalah yang terbaik untuk kecemerlangan anda pada masa depan.
1. Kepada pelajar yang belajar di sekolah harian dan belum pernah tinggal di asrama, tanya diri anda adakah anda bersedia untuk menginap di asrama. Sekiranya anda mempunyai masalah kesihatan, budaya belajar anda secara bersendirian, tidak boleh beramai-ramai atau bising, pemakanan yang cerewet, tidak dapat berenggang dengan keluarga dan seumpamanya anda dinasihatkan agar tidak memilih untuk belajar di sekolah yang mewajibkan tinggal di asrama.
Berdasarkan pengalaman anak-anak didik saya sendiri terdapat ramai juga pelajar berpindah ke sekolah asrama akhirnya pulang ke sekolah asal kerana sebab-sebab di atas. bukan senang untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru, kawan baru, guru baru, cara belajar baru dan pendekatan P&P yang berbeza dan seumpamanya.
2. Pastikan sekolah pilihan anda lebih baik dari sekolah asal anda dari segi semua sudut sama kurikulum, ko-kurikulum dan sahsiah diri pelajar. Atau sekurang-kurangnya bandingkan pencapaian akademik sekolah tersebut dengan sekolah anda. Kalaulah pencapaian sekolah asal anda lebih baik dari sekolah yang ditawarkan lebih baik lupakan sahaja kerana anda telah berada di tempat yang betul. Bertukar ke sekolah baru bukan jaminan anda akan lebih cemerlang. Semuanya bergantung kepada diri anda sendiri. Pelajar yang membudayakan cara belajar yang cemerlang akan memperoleh kejayaan walau di mana saja dia berada.
3. Sekiranya anda mengambil subjek B Arab PMR dan berminat menyambungnya ke peringkat SPM, maka anda digalakkan memohon ke sekolah SMKA atau mana-mana sekolah yang menawarkan subjek B. Arab SPM. Perbetulkan niat belajar B. Arab untuk memahami al-Quran dan hadis Nabi saw. Jangan dibiarkan ilmu bahasa arab anda hilang begitu sahaja sedangkan ia amat penting untuk kehidupn dunia dan akhirat.
4. Setelah anda berpindah dan belajar di sekolah baru kemudian anda rasakan tidak sesuai dan menghadapi pelbagai masalah dan tekanan maka jangan malu untuk kembali ke sekolah asal, Jangan membuang masa kerana masa untuk persiapan SPM sangat singkat iaitu bermula ketika tingkatan 4 lagi. ketepikan perasaan malu dan segan. Fikirkan masa depan anda yang sangat penting iaitu SPM.
Itulah beberapa nasihat yang boleh dijadikan panduan untuk pelajar semua. Semua nasihat di atas berdasarkan pengalaman anak-anak didik saya sendiri dan pemerhatian saya dalam alam pendidikan.
Buatlah pilihan sebaik-baiknya. Tanyalah orang yang pernah melaluinya dan buat research serta jangan lupa memohon pimpinan Ilahi dengan melaksanakan solat istikharah. Jangan sampai anda menjadi mangsa pepatah ' indah khabar dari rupa' bila berada di sekolah baru dan menyesal tidak sudah.
2 comments:
syukran ustz atz nasihat tu . huhu .
afwan anis..semoga bermanfaat
Catat Ulasan