03 Februari, 2011

Cakap Perkara Baik Atau Lebih Baik Diam




Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:

 "Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia bercakap yang baik-baik ataupun diam sahaja, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah ia memuliakan jirannya, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah ia memuliakan tetamunya".( Imam al-Bukhari dan Muslim)

Nabi S.A.W telah memberi pengajaran yang terbaik kepada umatnya, iaitu dengan melakukan kebaikan sama ada untuk diri sendiri dan juga kepada orang lain.

Antara perkara yang jelas dalam akhlak seseorang ialah tentang percakapannya seperti mana yang dibincangkan dalam hadis ini.


Percakapan boleh menimbulkan pelbagai reaksi, sama ada positif dan negatif. ia dapat membuat seseorang itu gembira, sedih, ketawa, menangis, takut, benci dan sebagainya. Oleh yang demikian kita harus pandai menggunakan percakapan dan pertuturan agar tidak membawa kesan negatif kepada pendengar.

Imam as-Syafie Rahimahullah berkata : "berfikir sebelum bercakap tentang sesuatu perkara, jika tiada kesan buruk, bercakaplah. Sekiranya terdapat kesan buruk atau keraguan padanya jangan kamu bercakap".

Disebutkan dalam 'hilyatul auliya' "bahawa bagi seseorang insan tidak patut keluar dari perkataannya melainkan atas perkara yang perlu sahaja, seperti mana dia berbelanja atas apa yang patut sahaja daripada wangnya".

Kehidupan seharian kita tidak terlepas daripada bercakap, sama ada dalam berjual beli, bekerja, dan sebagainya. Kadang-kadang cakap kita menjadi hukuman yang yang boleh memudaratkan, kadang-kadang cakap kita boleh menyelamatkan seseorang dari bahaya. Kadang-kadang cakap kita boleh jadi ibadat, kadang-kadang cakap kita jadi maksiat. Kadang-kadang cakap menjadi fakta dan dirujuk oleh orang lain, kadang-kadang percakapan kita hanya pembohongan semata-mata.

Oleh yang demikian jagalah lidah kita agar menjadikan kita insan mulia di sisi Allah dan manusia. Dan dapat membawa keharmonian dan perpaduan bukannya persengketaan dan perbalahan.

Disunting dari Sumber

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share