08 Disember, 2010

Stesen TV Islamik Pertama Dilancarkan



Saluran TV yang dinamakan TV AlHijrah mula beroperasi semalam namun hanya boleh diikuti di Lembah Klang, Terengganu, Johor, Sarawak dan Sabah…Kelantan belum sampai  ….AbuAqil Adnan

--------------------------------

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan stesen televisyen terbaru, TV AlHijrah yang menyediakan pelbagai program bercirikan Islam di Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah di Kompleks Pusat Islam di sini malam ini.

Najib melepaskan sebilah anak panah dari busar kepada sasaran logo besar TV AlHijrah sebagai simbolik pelancaran yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen itu bermula pukul 8.15 malam.


Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Bukhari Che Muda.

Najib berkata, stesen televisyen percuma terbaru itu boleh mengisi ruang kosong bagi menyediakan program bercorak Islam yang amat diperlukan oleh masyarakat berikutan stesen sedia ada terlalu menumpukan kepada program bercorak hiburan.

“Saya yakin TV AlHijrah boleh mencapai objektifnya untuk memperkenalkan ajaran Islam yang sebenarnya.

“Kita turut berharap ia dapat merapatkan hubungan persaudaraan sesama Islam dan dalam masa sama masyarakat bukan Islam dapat membuang perasaan prejudis dan buruk sangka terhadap Islam.

“Bukan Islam tidak lagi fobia apabila disebut perkataan Islam sebaliknya akan menganggap masyarakat Islam sebagai rakan yang baik,” katanya.

Beliau juga berharap, TV AlHijrah menjadi wahana perpaduan ummah dan saluran pendidikan tidak formal dalam memperkenalkan ajaran Islam yang betul, harmoni dan membawa kesejahteraan.

TV AlHijrah bersiaran secara penuh mulai hari ini bermula pukul 3 petang hingga 12 tengah malam dari Isnin hingga Khamis manakala Jumaat hingga Ahad pula dari pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.

Ia adalah stesen televisyen pertama di Malaysia yang menawarkan program berdasarkan perspektif Islam dengan sasaran golongan belia Islam sebagai penonton utamanya.

Langkah itu selaras dengan matlamat kerajaan untuk mewujudkan stesen televisyen yang 
mampu menjadi sumber ilmu bukan sahaja kepada umat Islam, bahkan kepada orang bukan Islam bagi membantu mereka mengenali dengan lebih dekat agama suci itu.

TV AlHijrah dikendalikan oleh Al Hijrah Media Corporation, syarikat yang diletakkan di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri.

Siaran televisyen itu boleh diikuti di Lembah Klang melalui frekuensi lampau tinggi (UHF) di Saluran 55 (743.25 MHz) sementara Terengganu di Saluran 41 (631.25 MHz), Johor di Saluran 40 (623.25 MHz) serta Sarawak dan Sabah di Saluran 37 (599.25 MHz).

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share