25 Disember, 2010

Pertemuan semula setelah lama berpisah



Ustaz Sabri takde dalam gambar kerana jadi jurugambar. Yang baju merah tu tak payah perkenalkan...hehe

AbuAqil aka Abu Sakeena

Pagi ini aku sungguh gembira kerana dapat bertemu semula dengan rakan-rakan lama yang belajar bersama-sama semasa di UM satu masa dulu. Walaupun hanya dengan enam orang sahabat,namun pertemuan semula itu amat menyeronokkan. Terkenang kembali saat suka dan duka ketika ‘berjuang’ bersama-sama menuntut ilmu di Ibukota. Berpisah setelah membawa haluan masing-masing bila berada di alam pekerjaan. Pertemuan yang penuh dengan tawa-hilai, gurauan, suasana ceria dan meriah menggamatkan suasana di restoran berhadapan dengan Universiti Malaya Cawangan Nilam Puri ( tempat aku menuntut  selama 2 tahun sebelum ke KL).


Kesempatan cuti sekolah ini, kami berpeluang berjumpa memandangkan kebanyakan adalah pendidik dan pensyarah. Ramai yang tidak dapat dihubungi, ada yang terpaksa pulang awal ke tempat kerja masing-masing dan ada juga yang bertugas bukan sebagai pendidik. Terima kasih kepada Ustaz Aman Daiman kerana merancang dan mengatur perjumpaan ringkas ini.

Aku dan Ustaz Hilmi tiba awal dan sempat ke Masjid Kg Laut,melawat tempat beribadat dan menuntut ilmu secara tidak rasmi semasa belajar di Pra Akademi Islam satu masa dulu. Ustaz Hilmi  Mohamed merupakan guru cemerlang yang bertugas di SM Teknik Keningau, Sabah. Aku kagum dengan semangatnya untuk sambung belajar ke peringkat Master. Semangat yang tiada pada diri aku.

Diikuti dengan ketibaan Ustaz Azmi ( Satar) dan Ustaz Che Fadli yang lebih dikenali dengan nama Pok ce’. Kedua-duanya mendidik anak bangsa di bumi Sandakan.  Ustaz Sabri Ibrahim tiba tidak lama kemudian. Beliau merupakan sahabat yang paling rapat dengan aku. Makan, minum, ke kelas, study, lepak, bermain, tidur semuanya bersama-sama kerana tinggal di rumah sewa yang sama di Pantai Indah, dekat Pantai Dalam. Beliau bertugas di salah sebuah pulau di Semporna.

Tidak lama kemudia tiba Ustaz Aman Daiman iaitu individu yang mengatur pertemuan ini ( tapi tiba agak lewat…;) ). Beliau merupakan seorang pensyarah di Unisza, Kuala Terengganu. Sedang menunggu giliran untuk menyambung pelajaran ke peringkat Phd. Hebat..hebat.

Sahabat yang paling akhir tiba ialah Ustaz Lokman Ibrahim, pensyarah di KIAS. Juga seorang yang hebat kerana beliau memiliki Phd dan konvo pada bulan Ogos lepas. Beliau merupakan seorang Hafiz al-Quran dan imam solat Tarawih yang tersohor kerana kelunakan suaranya dan alunan tarannum yang mengasyikkan. Beliau menjadi rebutan msjid-masjid utama di sekitar Kota Bharu pada bulan Ramadan. Ustaz Lokman merupakan guru al-Quran dan aku juga sempat belajar hukum tajwid dengannya tetapi tidak lama kerana sambung KPLI.

Macam-macam yang dibualkan.  Bertanya khabar, berkongsi cerita dan pengalaman dan perkembangan terkini masing-masing dan macam-macam lagi.

Berasa sungguh ‘daif’ dan kerdilnya diri ini bila bertemu dengan rakan-rakan yang hebat-hebat belaka.

Ketika rancak berbual, Ustaz Hilmi terpaksa pulang awal kerana urusan keluarga yang tidak dapat dielakkan.

Pertemuang selama hampir dua jam itu cukup menyenangkan hati  kerana dapat mengeratkan semula hubungan yang lama terpisah. Mudah-mudahan pertemuan seperti ini dapat diadakan setiap akhir tahun pada masa akan datang. Nilai sebuah persahabatan sangat mulia dan hebat. Persahabatan kerana Allah akan menjamin naungan ilahi di padang mahsyar sebagaimana hadis Nabi saw. Semoga Allah sentiasa memelihara tali persahabatan kami semua sampai bila-bila.

0 comments:

Catat Komen

Related Posts with Thumbnails
 
Share