19 Disember, 2010

Doa Diampunkan semua Jenis Dosa



AbuAqil A.K.A AbuSakeena

Doa merupakan senjata dan kekuatan sebenar orang mukmin. Doa juga merupakan ibadat yang paling mudah untuk dilaksanakan tetapi mempunyai manfaat yang besar. Banyak sungguh petunjuk Rasulullah saw yang mengajar kita agar memperbanyakkan doa. Doa Rasulullah saw hanya ringkas namun mempunyai makna yang padat dan merangkumi semua urusan kehidupan.

Doa Rasulullah saw kali ini ialah doa agar semua jenis dosa diampunkan. Sebagai hamba yang lemah dan kadang-kala kita terlanjur melakukan dosa sememangnya amat digalakkan membaca doa ini. Mudah-mudahan semua jenis dosa yang kita lakukan akan diampunkan oleh Allah SWT  yang amat menyukai hambaNya memohon keampunan kepadaNYa.
Nabi saw sentiasa membaca doa ini sebagaimana hadis diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي خَطِيئَتِي وَجَهْلِي وَإِسْرَافِي فِي أَمْرِي وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي جِدِّي وَهَزْلِي وَخَطَئِي وَعَمْدِي وَكُلُّ ذَلِكَ عِنْدِي

Maksud : “Ya Allah ampunkanlah kesalahanku, kejahilanku, sikapku yang melampaui batas dalam urusanku dan segala hal yang Engkau lebih mengetahui hal itu dari diriku. Ya Allah, ampunkanlah aku, kesalahan yang aku lakukan secara serius maupun saat bergurau dan ampunkanlah juga kesalahanku yang tidak sengaja dan sengaja, ampunkanlah segala kesalahan yang kulakukan”.

Amalkanlah doa ini dan bacalah ia setiap hari. Aktiviti harian kita tidak terlepas dari melakukan dosa sama ada dosa besar, kecil, sengaja, tidak sengaja, zahir, tersembunyi, seorang diri, beramai-ramai, serius dan suka-suka. Ada dosa yang dilakukan kerana jahil dan kerap juga kita melampaui batas dalam urusan-urusan seharian yang kita lakukan.

Pengakuan kita tentang kelemahan diri dan memohon taubat merupakan perkara yang sangat digalakkan kerana Allah sangat menyukai mereka yang bertaubat dan membersihkan diri dari noda dan dosa.

Semoga Allah mengampuni semua kesalahan kita semua dan membimbing kita semua ke jalan yang diredaiNya.

1 comments:

Awanama berkata...

nak share part of this article..minta dihalalkan ye.

Catat Komen

Related Posts with Thumbnails
 
Share