13 Disember, 2010

Anda Pemegang Kunci Kebaikan Atau Keburukan?



AbuAqilAdnan

Setiap insan mempunyai kecenderungan yang tersendiri dalam dirinya. Sama ada kecenderungan kepada kebaikan dan mengajak orang lain juga untuk melakukan kebaikan atau kecenderungan kepada keburukan dan mempengaruhi orang lain agar melakukan keburukan. Anda golongan yang mana satu?

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud :

“Sesungguhnya di kalangan manusia ada yang menjadi kunci-kunci pembuka kebaikan dan penutup keburukan. Dan di kalangan manusia ada pula yang menjadi kunci-kunci pembuka keburukan dan penutup kebaikan. Maka beruntunglah orang yang Allah jadikan kunci-kunci kebaikan di tangannya dan celakalah bagi orang-orang yang Allah jadikan kunci-kunci keburukan di tangannya”.[ Ibnu Majah, dihasankan oleh Al-albani]


Jadilah pemegang kunci kebaikan kerana ia akan mendapat keredaan Allah dan balasan syurga. Jadilah hamba Allah yang soleh dengan menunaikan kewajipan dan menghindari kemungkaran serta mengajak orang lain juga menjadi sepertinya. Golongan ini sentiasa mempromosi kebaikan dan perkara yang diredai oleh Allah SWT. Orang ramai akan mencarinya bila mempunyai sesuatu keperluan berupa kebajikan malah dia bersedia untuk membantu orang lain dengan senang hati tanpa upah dan ganjaran. Memadailah ganjaran di sisi Allah di akhirat kelak.

Jangan jadi golongan yang kedua iaitu pemegang kunci keburukan. Golongan ini melakukan kejahatan malah turut mendorong orang lain untuk melakukannya. dia mempromosi perbuatan maksiat dan dosa. Dia mendapat dosa malah turut memikul dosa orang yang mengikutinya. Sebagaimana sabda Nabi saw yang bermaksud :

“Sesiapa yang memulakan satu sunnah yang baik di dalam Islam dia akan memperolehi ganjarannya dan ganjaran orang yang melakukannya selepasnya dengan tidak kurang sedikitpun ganjaran mereka. Dan sesiapa yang memulakan satu sunnah yang buruk di dalam Islam dia akan menanggung dosanya dan dosa orang yang melakukannya selepasnya dengan tidak kurang sedikitpun dosa-dosa mereka. ( Imam Muslim )

Hindarilah diri dari menjadi pemegang kunci kejahatan ini kerana dosa yang bertimbun-timbun terpaksa dipikul akibat menjadi ikutan oleh orang lain.

Era IT yang serba canggih pada masa kini ramai benar pemegang kunci keburukan boleh dilihat di laman blog-blog dan laman sosial. Terdapat individu muslim yang menjadikan blog peribadi mereka sebagai sumber dosa dan maksiat. Dia meletakkan gambar-gambar yang mendedahkan aurat, separuh bogel, promosi filem dan video lucah, cerita-cerita berunsurkan fitnah dan gosip yang tidak berasas malah turut mempromosikan artis-artis kafir dan musyrik serta memujanya secara melampau-lampau. Bukan sedikit pengunjung blognya. Entah berapa ‘bukit’ dosa yang terpaksa dia pikul akibat memegang kunci kejahatan itu.

Namun Alhamdulillah tidak kurang juga mereka yang ‘celik hati dan akhirat’ memilih untuk memegang kunci kebaikan. Mereka berkongsi ilmu agama dan ilmu keduniaan yang bermanfaat yang boleh dikongsi oleh orang lain. Sungguh beruntung mereka ini. Mereka mendapat pahala dengan sebab orang lain mengambil faedah dari blog-blog mereka.  golongan ini akan terus mendapat pahala selagi ilmunya dimanfaatkan walaupun telah meninggal dunia sebagaimana maksud hadis  nabi saw.

Semoga Allah merahmati dan membimbing kita agar menjadi pemegang kunci kebaikan dan menjauhkan kita dari menjadi pemegang kunci keburukan. Mudah-mudahan Allah membimbing kita ke jalan yang diredaiNya.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share