19 November, 2010

Hakim Tennessee tidak larang bina masjid




Gambar hiasan
TENNESSEE 18 Nov. - Hakim sebuah mahkamah menolak permohonan agar dikeluarkan arahan supaya dihentikan pembinaan masjid di sini, walaupun menerima bantahan penduduk yang mendakwa terdapat usaha untuk melaksanakan undang-undang Islam yang ekstrem di Amerika Syarikat (AS).

Mereka yang membantah pembinaan masjid itu memfailkan tuntutan di mahkamah kerana mendakwa pegawai perancang bandar Rutherford County telah mencabuli persetujuan yang dibuat pada pertemuan terbuka dengan penduduk yang bersetuju Pusat Islam dibina di Murfreesboro yang terletak 50 kilometer ke tenggara Nashville.


Dalam penghakimannya, hakim Rutherford County, Robert Corlew berkata, beliau berpendapat pihak berkuasa tempatan tidak melanggar mana-mana undang-undang ketika meluluskan pelan pembinaan itu.

Katanya, pihak berkuasa tempatan membuat keputusan itu berdasarkan keperluan penduduk tempatan dan mahkamah juga tidak melihat sebarang niat jahat dari ahli Pusat Islam Murfreesboro yang didakwa cuba membawa masuk fahaman agama yang ekstrem.

Jawatankuasa masjid mahu ia dibesar dan dibaiki memandangkan jumlah jemaah yang semakin bertambah tetapi sehingga kini, projek pengubahsuaian itu masih belum dimulakan.

Ketika memberi hujah pendakwaan, peguam bagi pihak plaintif, Joe Brandon Jr. mempersoalkan sama ada Islam layak dikategorikan sebagai agama yang diiktiraf.

Dalam testimoni yang diadakan sejak penghujung September itu, Brandon menjelaskan teorinya yang mendakwa komuniti Islam di AS mempunyai hasrat untuk melaksanakan undang-undang Islam yang ekstrem di negara ini.

Selepas hakim membaca penghakimannya, Brandon menunjukkan reaksi marahnya dengan menghentak meja serta meninggalkan dewan mahkamah dan enggan menemui media.

Sementara itu, seorang wanita beragama Islam yang mengikuti perkembangan perbicaraan itu sejak dari awal, Layla Hantouli, 22, berkata, dia gembira dengan keputusan hakim berkenaan.

"Pusat Islam Murfreesboro bukanlah tempat untuk melakukan sebarang aktiviti keganasan dan melanggar undang-undang seperti yang didakwa," katanya. – AP

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share