29 Oktober, 2010

Kisah Abu Hurairah Berdakwah Kepada Ibunya




AbuAqil

Abu Hurairah r.a merupakan tokoh sahabat yang tersohor kerana sumbangannya dalam meriwayatkan hadis nabi saw. Beliau merupakan sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis. Abu Hurairah menceritakan pengalamannya menyeru bondanya kepada Islam. Beluai menceritakan :

 “Dulu aku berdakwah kepada ibuku agar masuk Islam ketika dia masih memeluk agama musyrik. Suatu hari aku berdakwah kepadanya namun dia memperdengarkan kepadaku cacian-cacian terhadap Rasulullah saw yang tentu merupakan kalimat-kalimat yang tidak aku sukai.

Akhirnya aku pergi menghadap Rasulullah sambil menangis. Ketika telah berada di hadapan Rasulullah saw aku berkata, “Ya Rasulullah, sesungguhnya aku berusaha untuk mengajak ibuku agar masuk Islam namun dia masih saja menolak ajakanku. Hari ini kembali beliau aku berdakwah namun dia mencaci dirimu. Oleh itu berdoalah kepada Allah agar Dia memberikan hidayah kepada ibu Abu Hurairah”. 

Rasulullah saw lantas berdoa, “Ya Allah, berilah hidayah kepada ibu Abu Hurairah”.

Aku berangkat meninggalkan Rasulullah saw dalam keadaan gembira kerana Nabi sudi mendoakan untuk  ibuku. Setelah aku sampai di depan pintu rumahku ternyata pintu dalam keadaan terkunci. Ketika ibuku mendengar langkah kakiku, beliau mengatakan, “Tetaplah di tempatmu, hai Abu Hurairah”. 

Aku mendengar bunyi cebokan air. Ternyata ibuku mandi. Setelah selesai mandi beliau memakai jubahnya dan segera mengambil kain tudungnyanya lantas membukakan pintu. Setelah pintu terbuka beliau mengatakan, “Hai Abu Hurairah, aku bersaksi bahwa tidak ada yang disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah hamba dan utusannya”.

Mendengar hal tersebut aku bergegas kembali menemui Rasulullah saw. Aku menemui beliau dalam keadaan menangis kerana sangat gembira. Aku berkata kepada baginda saw, “Ya Rasulullah, bergembiralah. Sungguh Allah telah mengabulkan doamu dan telah memberikan hidayah kepada ibu Abu Hurairah”. Mendengar hal tersebut beliau memuji Allah dan menyanjungnya lalu berkata, “Bagus”. 

Lantas kukatakan kepada beliau, “Ya Rasulullah, doakanlah aku dan ibuku agar menjadi orang yang dicintai oleh semua orang yang beriman dan menjadikan kami orang yang mencintai semua orang yang beriman”.

Beliau pun mengabulkan permintaanku. Beliau berdoa, “Ya Allah, jadikanlah hambaMu ini iaitu Abu Hurairah dan ibunya orang yang dicintai oleh semua hambaMu yang beriman dan jadikanlah mereka berdua orang-orang yang mencintai semua orang yang beriman”. Kerana itu tidak ada seorang pun mukmin yang mendengar tentang diriku ataupun melihat diriku kecuali akan mencintaiku ( Imam Muslim )
Pengajaran :

1. Harus muslim tinggal bersama ibunya yang masih syirik.

2. Hendaklah berusaha mengajak ahli keluarga memeluk Islam.

3. Diharuskan meminta orang soleh berdoa untuk kita.

4. Hendaklah terus berdoa kepada sesiapa yang mengharapkan doa untuknya.

5. Doa Rasulullah saw makbul.

6. Jangan mudah berputus asa dalam melakukan dakwah ke arah kebaikan.

7. Berusahalah untuk mencintai saudara seislam.

8. Sentiasa meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share