13 Oktober, 2010

Adakah Kita Lebih Baik Dari Seekor Semut?



AbuAqil
Dalam kesibukan menjalani  urusan kehidupan harian kadang-kadang kita tidak sempat untuk berzikir dan memuji  Allah SWT. Padahal makhluk Allah yang lain seperti semut sentiasa bertasbih kepada Allah. Jadi adakah kita lebih baik dari semut atau semut lebih baik daripada kita?
Keadaan semut yang bertasbih ini diceritakan oleh Rasulullah saw dalam hadis sahih yang bermaksud :
Ada salah seorang Nabi yang singgah di bawah pohon, lalu ia digigit oleh seekor semut. Lalu ia membunuhnya dan mencari tempat persembunyian semut tersebut. Setelah itu, ia menyuruh untuk membakar tempat tinggal semut tersebut. Kemudian Allah menanyakan kepadanya : Apakah hanya kerana gigitan seekor semut engkau membakar satu umat yang sentiasa bertasbih, mengapa tidak semut itu sahaja yang engkau bunuh?” ( Imam al-Bukhari ).

Pengajaran dari hadis ini ialah kita yang dibekalkan dengan akal fikiran, masa yang panjang dan dikurniakan pelbagai kenikmatan hidup sepatutnya dapat meluangkan masa untuk berzikir sama ada bertasbih ( subhanallah), bertahmid ( alhamdulillah), bertakbir ( Allahu Akbar) atau mengucapkan kalimah-kalimah zikir yang lain. Dengan kalimah-kalimah zikir inilah akan memberatkan timbangan amal kita di akhirat. Rasulullah saw bersabda ayng bermaksud :
“Terdapat dua kalimah yang ringan di lidah namun berat di dalam timbangan, dan keduanya dicintai oleh ar-Rahman, yaitu ‘Subhanallahi wabihamdihi, subhanallahil ‘azhim’.” ( Imam al-Bukhari dan Muslim)
Setiap hari lidah kita sibuk dengan bercakap perihal keduniaan, gosip sana, gosip sini, bercakap keburukan orang lain atau bercakap perkara yang sia-sia. Namun kita begitu sukar untuk menyebut kalimah-kalimah memuji Allah yang ringan di bibir tetapi berat di timbangan akhirat kelak.
Sesibuk mana sekalipun biarlah ada waktu untuk melafazkan kalimah memuji Allah SWT. Antara petunjuk Nabi saw dalam berzikir ialah selepas solat fardu. Iaitu tasbih, tahmid dan takbir sebanyak 33 kali sebagaimana hadis riwapat Imam al-Bukhari dan Muslim. Zikir ini juga baginda membacanya sebelum tidur.
Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita agar dapat berzikir dengan sebanyak mungkin sebagaimana makhluk yang kerdil itu sentiasa bertasbih memuji Tuhannya.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share