04 Julai, 2010

Ahli Syurga : Kenapa Kamu Menghuni Neraka Saqar ?



Tidak Solat Penyebab Menghuni Neraka Saqar


Generasi masa kini terutama remaja amat mudah mengabaikan kewajipan solat fardu. Mereka meninggalkan solat dengan mudah dan dengan alasan yang remeh-temeh. Tiada rasa bersalah di wajahnya bila telah melakukan dosa terbesar ini. Inilah musibah paling besar yang menimpa umat Islam pada masa kini. Mereka tidak sedar bahawa apa yang mereka lakukan sebenarnya telah menempah neraka dan sebelah kakinya telah berada di dalam neraka sekiranya maut datang menjemput tanpa sempat taubat.

Adakah mereka tidak sedar meninggalkan solat itu adalah dosa paling besar? Lebih besar dari dosa berzina, membunuh. Mencuri dan sebagainya.

Ibnu Qayyim mengatakan, “Kaum muslimin bersepakat bahwa meninggalkan solat lima waktu dengan sengaja adalah dosa besar yang paling besar dan dosanya lebih besar dari dosa membunuh, merampas harta orang lain, berzina, mencuri, dan minum minuman keras. Orang yang meninggalkannya akan mendapat hukuman dan kemurkaan Allah serta mendapatkan kehinaan di dunia dan akhirat.” (Al- Solah)

Tidak menunaikan solat fardu juga akan menyebabkan seseorang itu akan menghuni neraka Saqar.
Allah SWT berfirman, “’Apa yang memasukkan kamu ke dalam (neraka) Saqar ?’ Mereka menjawab, ‘Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan shalat, dan kami tidak (pula) memberi makan orang-orang miskin, Adalah kami membicarakan yang batil bersama orang-orang yang membicarakannya, dan kami mendustakan hari pembalasan, hingga kematian mendatangi kami.’”(al-Muddatstsir: 42-47)

Ayat ini Allah menceritakan peristiwa yang akan berlaku di akhirat kelak untuk renungan kita. Allah menyatakan pertanyaan penghuni syurga terhadap ahli neraka saqar, apa yang menyebabkan mereka memasuki neraka tersebut. Ahli neraka saqar menjawab salah satu sebab mereka memasukinya ialah kerana tidak menunaikan solat semasa hidup di dunia dahulu.

Dalam ayat yang lain Allah berfirman yang bermaksud :

“Maka datanglah sesudah mereka, pengganti yang menyia-nyiakan solat dan memperturutkan hawa nafsunya, maka mereka kelak akan menemui al ghoyya, kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal saleh.” (Surah Maryam: 59-60)
Ibnu Mas’ud r.a mengatakan bahwa ‘ghoyya’ dalam ayat tersebut adalah sungai di Jahannam yang makanannya sangat menjijikkan, yang tempatnya sangat dalam. (Al- Solah)

Begitulah ancaman-ancaman kepada sesiapa yang mensia-siakan solat fardu. Kepada sesiapa yang pernah mengabaikannya, maka bertaubatlah dengan bersungguh-sungguh dan berazam untuk tidak mengulanginya sampai bila-bila. Jagalah  solat fardu dengan sebaik-baiknya agar kita terselamat dari dicampakkan ke dalam neraka saqar.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share