18 Mei, 2010

Sambutan Hari Guru SMKPS 2010: Sederhana Tetapi Meriah







SMK Putri Saadong telah mengadakan sambutan hari guru peringkat sekolah pada 17 Mei 2010 sehari selepas tarikh sebenar hari guru. Sambutan tahun ini diadakan dengan serba sederhana tetapi tetap meriah.

Hujan turun renyai-renyai sejak awal pagi menyebabkan majlis terpaksa diadakan di dewan terbuka dan bermula agak lewat. Majlis dimulakan dengan nyanyian tiga buah lagu, bacaan doa, ucapan perutusan yang dibaca oleh pihak pentadbir dan diikuti oleh perasmian oleh tuan pengetua Tuan Hj Pi Remli bin Che Ishak. Kemudian para pendidik membaca ikrar dan diikuti dengan nyanyian lagu ‘Kami Guru Malaysia’.


Majlis diteruskan dengan persembahan oleh pelajar dan guru. Persembahan dikir barat, bacaan sajak dengan penuh semangat mewarnai perjalanan majlis pada hari tersebut. Setelah berehat seketika, program diteruskan dengan permainan sukaneka antara guru dan pelajar turut menceriakan sambutan hari guru. Pelbagai aksi dan kerenah guru dapat dilihat sepanjang permainan tersebut.

Terdapat juga para pelajar yang mengambil kesempatan untuk memberi hadiah kepada guru kesayangan mereka. Penulis sendiri mendapat pelbagai hadiah daripada pelajar yang dikasihi walaupun guru tidaklah mengharapkan hadiah tersebut. Komitmen dan kesungguhan pelajar yang dituntut dan diharapkan.

Penulis agak terharu bila menerima banyak sms daripada para pelajar dan bekas pelajar  termasuk  SMK Sultan Ahmad Shah Tanah Rata, Cameron Highlands dan SMK Penambang, Kota Bharu. Terima kasih kerana masih ingat lagi kepada ustaz. Doakan ustaz selalu dalam doa kalian. Ustaz doakan kalian semua sentiasa dirahmati oleh Allah dan menjadi insan yang cemerlang di dunia dan di akhirat.
Doa kalian adalah kekuatan kami guru-guru untuk meneruskan agenda mendidik anak bangsa menuju kecemerlangan. Semoga permudahkan semua urusan kami…amin.


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share