07 Mei, 2011

Hari Ibu Wajar Disambut




Diulang siar sempena sambutan Hari Ibu

Sambutan Hari Ibu pada tahun ini jatuh pada 8 Mei 2011. Timbul persoalan, bolehkah menggembirakan ibubapa dengan meraikan Mother’s Day dan Father’s Day? Sebahagian tokoh melarang sambutan Mother’s Day dan Father’s Day. Hujah mereka adalah:

1. Hari perayaan dalam Islam hanya dua, iaitu ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha. Apa-apa perayaan yang lain adalah bid’ah yang dilarang oleh agama

2. Seandainya Mother’s Day dan Father’s Day adalah baik, sudah tentu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam akan menganjurkannya kepada para sahabat pada zaman baginda.

3. Mother’s Day dan Father’s Day adalah perayaan orang bukan Islam dan kita umat Islam dilarang daripada mengikuti mereka.

4. Berbuat baik kepada ibu dan ayah adalah tuntutan sepanjang tahun dan bukannya pada satu dua hari tertentu dalam setahun. Sekalipun tokoh-tokoh yang melarang adalah mereka
yang dihormati, itu tidaklah bermakna hujah-hujah mereka tidak boleh dibuka untuk analisa.
Dalam menganalisa hujah-hujah mereka berkenaan sambutan Mother’s Day dan Father’s
Day, saya dapati ianya adalah lemah. Sebabnya:

1. Perayaan bid‘ah yang dilarang adalah perayaan yang bersangkutan dengan agama. Aidul Fitri dan Aidul Adha adalah hari perayaan keagamaan, kerana itulah pada hari tersebut kita dituntut untuk bertakbir dan melaksanakan solat sunat. Adapun hari Mother’s Day dan
Father’s Day, maka ia adalah perayaan yang bersangkutan dengan adat manusia, sepertimana
perayaan Hari Guru, Hari Warga Tua dan sebagainya. Tidaklah termasuk dalam perbincangan bid‘ah atau sunnah apa yang bersangkutan dengan adat manusia.

2. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak menganjurkan Mother’s Day dan Father’s Day pada zaman baginda kerana suasana yang memerlukannya tidak wujud. Di kalangan sahabat, ada yang ibubapa mereka memusuhi Islam. Maka sememangnya tidak perlu berbuat baik kepada mereka. Bagi sebahagian sahabat yang lain, mereka tinggal bersama atau berhampiran ibubapa sehingga tidak memerlukan hari yang istimewa untuk berbuat baik kepada ibubapa.

Berbeza dengan masa kini, kebanyakan kita (anak-anak) berada jauh daripada ibubapa, sama ada kerana pembelajaran atau kerjaya. Suasana ini menyebabkan kita perlu mencari ruang untuk berbuat baik kepada ibubapa semampu boleh sambil meneruskan kehidupan
sendiri. Meraikan ibubapa pada Mother’s Day dan Father’s Day adalah salah satu daripada ruang tersebut.

3. Tidaklah semua yang berasal daripada kaum bukan Islam adalah dilarang. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sendiri pernah meminta para tawanan Perang Badar untuk mengajar umat Islam membaca dan menulis. Baginda juga pernah beberapa kali menggunakan strategi peperangan bangsa lain dalam ekspedisi jihadnya. Justeru larangan mengikuti kaum bukan Islam sebenarnya ditujukan kepada sesuatu yang merupakan ciri-ciri keagamaan mereka yang masih dipraktikkan. Merujuk kepada hari perayaan, kita umat Islam dilarang
untuk turut serta merayakan atau meniru hari keagamaan mereka, seperti Hari Easter, Hari Thaipusam, Hari Wesak dan sebagainya. Mother’s Day dan Father’s Day bukanlah hari keagamaan kaum bukan Islam.

4. Hujah “Berbuat baik kepada ibu dan ayah adalah tuntutan sepanjang tahun dan bukannya pada satu dua hari tertentu dalam setahun” adalah bukti bahawa yang berhujah tidak berpijak di atas bumi yang nyata. Bahkan ia boleh digunakan untuk bertanya kembali kepada
mereka: “Jika begitu kenapakah anda saat ini tidak berada dan sentiasa berada di sisi ibubapa anda?” Berbuat baik kepada ibubapa tidaklah bererti duduk di sebelah mereka sepanjang masa.

Akan tetapi ia adalah mengimbangi dengan adil antara berbuat baik kepada
mereka dan meneruskan kehidupan sendiri. Salah satu daripada perimbangan tersebut ialah meraikan ibubapa pada hari Mother’s Day dan Father’s Day. Sudah tentu adalah lebih baik jika anak-anak dapat mewujudkan ruang yang lebih kerap untuk berbuat baik kepada ibubapa
mereka.

Oleh itu meraikan Mother’s Day dan Father’s Day adalah harus, terbuka kepada kedudukan setiap anak-anak. Sesiapa yang mendapati ianya dapat menggembirakan ibubapa mereka, maka teruskanlah. Namun sesiapa yang dapat mewujudkan ruang lain untuk menggembirakan ibubapa mereka tanpa terhad kepada Mother’s Day dan Father’s Day, sudah tentu ia adalah lebih baik. Penjelasan yang sama juga ditujukan kepada
beberapa hari-hari yang lain seperti sambutan Hari Jadi.

Disunting daripada buku Wahai Ibu Wahai Ayah :oleh Hafiz Firdaus Abdullah.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share