11 April, 2010

Wahai Saudaraku Bacalah al-Quran



Sebentar tadi penulis baru sahaja khatam al-Quran entah kali ke berapa. Alhamdulillah, segala puji hanya kepada Allah kerana memberikan kekuatan, petunjuk dan bimbingan sehingga hamba yang lemah ini dapat istiqamah tilawah al-Quran. Ya Allah, Kekalkanlah petunjukMu ini hingga rohku dicabut oleh malakul maut.

Bermula dari awal surah al-fatihah, al-baqarah dan seterusnya sehingga surah al-nas. Bukan sekejap untuk sekali khatam. Ia memakan masa berbulan-bulan malah boleh jadi bertahun. Bukan banyak pun yang dibaca, memadailah dengan satu hizb atau semuka lebih setiap kali baca. Kerana amalan yang paling disukai oleh Allah ialah yang berkekalan walau pun hanya sedikit. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

Amalan yang paling disukai oleh Allah ialah yang berkekalan walau pun sedikit. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)


Setiap insan sememangnya sibuk dengan urusan masing-masing dan mereka mempunyai cara yang tersendiri untuk merehatkan minda daripada kepenatan setelah sehari suntuk bekerja.

Ada orang menggunakan masa yang ada dengan bersukan, membaca akhbar, majalah, novel, melayari internet, bersosial di alam maya menggunakan facebook yang merupakan kegilaan ramai pada masa kini dan lain-lain aktiviti.

Namun perlu diingatkan jangan kerana kesibukan dan keasyikan kita dengan hobi tertentu menjadikan kita lupa untuk membaca dan memahami isi kandungan al-Qur’an. Sesungguhnya ketenangan dan ketenteraman dapat diperoleh dari Al-Qur’an.

Hal ini berdasarkan firman Allah, “Ingatlah hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram.” (Qs. ar-Ra’d: 28)

Dari Abdullah bin Mas’ud radiallohu ‘anhu Rasulullah saw bersabda,

“Barang siapa yang membaca satu huruf dari Al-Qur’an maka baginya kebaikan sepuluh kali lipat, aku tidak mengatakan Alif Lam Mim satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf, Mim satu huruf.” (Shahih HR.Tirmidzi)

Dan bahkan, iri terhadap mereka yang telah mengamalkan Al-Qur’an, dibolehkan. Dari Ibnu Umar radiallohu ‘anhu yang meriwayatkan dari Nabi shallallahu ‘alaihi wassallam bahwasannya beliau bersabda,

“Tidak berlaku iri kecuali terhadap dua orang, seseorang yang dianugrahi Alloh Al-Qur’an lantas dia mengamalkannya sepanjang malam dan sepanjang siang dan seseorang yang dianugerahi Allah harta lantas dia menginfakkannya sepanjang malam dan sepanjang siang.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Selain itu terdapat permisalan yang baik bagi yang membaca Al-Qur’an, karena Rasululloh pernah bersabda, “Permisalan seorang muslim yang membaca Al-Qur’an bagaikan buah jeruk, baunya wangi dan rasanya lezat, sedangkan orang mukmin yang tidak membaca al-Qur’an bagaikan buah kurma yang tidak ada baunya dan rasanya manis. Permisalan orang munafik yang membaca Al-Qur’an bagaikan kemangi yang baunya wangi rasanya pahit, sedangkan orang munafik yang tidak membaca al-Qur’an bagaikan labu yang tidak ad wanginya dan rasanya pahit.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Begitu banyak dan besar kelebihan yang disediakan untuk sesiapa yang membaca al-Quran berdasarkan beberapa hadis di atas.

Wahai saudaraku, bacalah al-Quran setiap hari sebagaimana anda dapat berikan masa kepada hobi kesukaan anda. Jangan sampai waktu kita tidak ada sedikitpun ruang untuk membaca Al-Qur’an. Berusahalah, walaupun hanya sekejap. Jangan kita menyesal tak sudah bila usia kita yang pendek ini berakhir dengan dijemput Malakul maut. Semoga Allah memberi kekuatan iman dan bimbinganNya agar kita semua dapat melaksanakan amal soleh yang utama ini...amiin.

Abu Aqil Adnan

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share