Anak-anak tetap diutamakan |
26 April, 2014
Sedia Berkhidmat Walau Sedar Bukan Yang Terbaik
AbuAqil aka AbuSakeena
“Abah ada kelas ke malam ni?”
Soalan ini silih berganti ditanya oleh putera dan
puteri kesayangan Aqil dan Sakeena hampir setiap hari selepas solat maghrib
berjamaah. Kerana kalau tiada kelas malam mereka tahu abah akan lepak bersama dan
bergurau senda di dalam bilik sambil menonton berita. Sayangnya jarang dapat bersama mereka seperti itu. Sebab itu saya
nekad membawa keluarga bersama kalau
bermusafir untuk berceramah di kawasan berdekatan seperti di Terengganu. Famili
diutamakan di samping ilmu dikongsikan.
Sejak akhir-akhir ini agak sibuk sikit kerana banyak
menerima jemputan mengajar dan berceramah teknik menjawab walaupun baru bulan
April. Saya akan menerima sahaja jemputan untuk berkongsi ilmu. Sangat malu dan
tidak tergamak untuk mengatakan ‘tidak boleh ‘ atau memberi alasan selain
mengiyakan sahaja sebarang jemputan.
Saya sedar saya bukan yang terbaik dan tidak layak
sebenarnya untuk menjadi penceramah dan mengajar sana sini. Namun sikit ilmu
dan pengalaman yang ada akan dimanfaatkan. Saya sentiasa berpegang dan ingin
letakkan diri saya di dalam doa dua Malaikat :
اللهم أعط منفقا خلفا اللهم أعط ممسكا تلفا
Ya Allah, berikanlah ganti kepada orang yang memberi. Ya
Allah berikanlah kerosakan kepada orang yang kedekut.[Imam al-Bukhari dan
Muslim]
Jemputan berceramah, kelas tuisyen peribadi, mengajar
tuisyen malam di sekolah sendiri dan sekolah lain serta di pusat tuisyen
semuanya saya terima. Tuisyen sendiri pada setiap hujung minggu masih
diteruskan walaupun kadang-kadang ada dan kadang-kadang tiada kerana kekangan
masa. Asalkan dapat berkongsi ilmu, In Sya Allah saya sanggup. Program terdekat
ialah menerima kunjungan rombongan lawatan sambil belajar dari SMK Ahmad,
Pekan, Pahang untuk program ceramah teknik menjawab B. Arab kertas 2 pada 30
Aril ini.
Sehingga hari ini saya telah berceramah di MRSM UlulAlbab Kota Putra, Besut. Minggu lepas di SMAASZA, Kuala Terengganu dan masa
terdekat di SMA Maarif Besut kalau tiada aral. Telah ada jemputan ke Sabah,
Sarawak dan pertanyaan dari Sahabat di Perak. Semuanya saya terima dengan hati
yang terbuka.
Saya mengharapkan rahmat Allah dan kasih sayangNya
agar diberkati masa agar tiada pertembungan dengan program lain di sekolah
sendiri. Itu yang saya takut. Khuatir prestasi kerja terjejas dan dinilai
negatif bila sibuk dengan urusan luar.
Satu perkara yang agak membimbangkan saya juga ialah
masalah kesihatan. Bila sibuk melanda otomatik badan akan sentiasa letih kerana
kekurangan rehat. Lebih-lebih lagi akhir-akhir ini amat jarang beriadah. Tidak seperti
dulu, setiap hujung minggu akan joging masa ada di Taman Tengku Anis atau di
Pantai Irama, Bachok. Dulu ada juga bermain futsal dan badminton sekali
seminggu. Ditambah pula tabiat pemakanan yang tidak terjaga seperti awal-awal
selepas angiogram. Harap masalah jantung tidak berulang. Bukan tidak ingin
bersenam namun masalah masa yang sangat terhad.
Saya mengharapkan rahmat Allah agar diberikan
kesihatan yang sempurna, masa yang diberkati serta kekuatan untuk terus
berbakti melalui berkongsi ilmu yang ada. Saya juga sebagai hamba yang sangat
daif dan kerdil mengharapkan Allah memberi hakikat ikhlas kepada hati ini agar
segala penat lelah tidak sia-sia.
Jangan lupa doakan saya sahabat-sahabat, ihkwah dan
akhawat!
0 comments:
Catat Ulasan