25 April, 2014
Panduan PdP Menggunakan Modul Abu Sakeena
AbuAqil aka AbuSakeena
Alhamdulillah saya sangat bersyukur kepada Allah
kerana diberi ruang dan peluang untuk berkongsi ilmu Bahasa Arab melalui Modul
Abu Sakeena. Modul ini dibuat asalnya untuk memudahkan diri saya dan anak-anak
didik memahami dan menguasai Bahasa Arab SPM. Saya panjangkan kebaikan yang
manfaat yang ada dengan semua guru dan pelajar agar dapat mengikis salah faham
yang mengatakan B Arab adalah ‘killer subject’. Salah tanggapan yang besar
terhadap bahasa al-Quran.
Setinggi-tinggi penghargaan dan berbanyak terima kasih
kepada asatizah yang menggunakan modul tersebut dan menempah untuk semua
anak-anak didik. Modul Abu Sakeena di gunakan lebih 30 buah sekolah di seluruh
malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Saya tidak
pernah menyatakan modul itu yang terbaik namun saya cuma berharap ia
dapat memberi sumbangan kepada asatizah dan pelajar dalam memahami ilmu B Arab.
Di sini saya ingin berkongsi tips menggunakan modul
Abu Sakeena agar PdP lebih berkesan.
1- Guru menggunakan modul Abu Sakeena dalam memberi
kefahaman tajuk qawaid, sorf dan balaghah. Manfaatkan nota dalam B. Melayu dan
saya yakin pelajar akan memahaminya. Manfaatkan nota dan peta minda yang disediakan
dan memberi penerangan yang berkaitan.
* Guru yang menggunakan kemudahan LCD dalam proses
PdP, digalakkan menggunakan ebook modul tersebut agar penerangan lebih berkesan
[ Pembeli modul Abu Sakeena untuk semua pelajar akan diberikan ebook modul Abu
Sakeena secara percuma, sila maklumkan sekiranya asatizah memerlukannya]
2- Setelah pelajar memahami tajuk yang dipelajari,
mereka dikehendaki menjawab soalan di dalam modul. mereka boleh merujuk nota
dan peta minda sebagai rujukan. Manfaatkan tips dan teknik menjawab yang
disertakan di tepi soalan.
3- Guru menyemak dan berbincang jawapan pelajar dan
perbaiki kesalahan mereka. Beri penerangan ulangan sekiranya pelajar belum
menguasai sepenuhnya.
4- Pelajar hendaklah membuat pembetulan beberapa kali
bagi setiap jawapan yang salah bersama kata kunci jawapan. Perbaiki kesalahan dengan
memberi perhatian dan tumpuan sepenuhnya agar kesilapan tersebut tidak berulang
lagi.
5. Guru membuat refleksi secara umum dengan mengadakan
ulangkaji ringkas tajuk yang dipelajari dengan bertanya secara umum atau
individu tertentu. Pelajar menyebut dengan kuat agar diambil manfaat untuk
pelajar lain.
6. Sebelum PdP berakhir guru dan pelajar membuka buku
teks dan merujuk penerangan yang terdapat di dalam buku teks. Walaupun agak
sukar untuk memahami sesuatu tajuk kerana penerangan dan contoh yang terhad di
dalam buku teks namun diingatkan agar guru jangan abaikan buku teks.
7. Guru memberi kerja rumah kepada pelajar dan
menyuruh mereka menjawab soalan-soalan yang terdapat di dalam buku teks. Buku teks
menyediakan banyak latihan untuk pengukuhan dan memantapkan kefahaman pelajar.
8. Jangan lupa ingatkan pelajar agar menghafal setiap
contoh mudah bagi setiap tajuk dan jenis yang dipelajari. Ini sebagai persiapan
untuk menjawabsoalan kertas 2 iaitu bahagian bina ayat dan contoh.
9. Pelajar sendiri hendaklah sedar pentingnya membuat
pembetulan bagi setiap kesalahan. Jangan hanya bergantung kepada arahan guru. Cari
dan kenalpasti kelemahan diri, perbaiki dan tutup kelemahan dengan bertanya
guru atau rakan serta buat pembetulan berulang kali. Pembelajaran paling
berkesan ialah belajar daripada kesalahan yang lalu.
Sekiranya asatizah perlukan soalan-soalan percubaan tahun-tahun
lepas, maklumkan dan In Sya Allah saya akan emelkan segera. Soalan-soalan ini
sangat penting untuk menguji kemampuan pelajar terutama setelah guru
menghabiskan semua sukatan pelajaran tingkatan 4 dan 5.
Berdasarkan pengalaman saya sendiri alhamdulillah cara
yang dipraktikkan di atas baik dan berkesan untuk mebantu pelajar memahami
sesuatu tajuk. Pelajar digalakkan kerap bertanya guru atau pelajar lain
sekiranya tidak faham. Jangan malu dan segan untuk ilmu dan pelajar yang
dikurniakan kefahaman hendaklah membantu pelajar lain, anda akan ditambah
kefahaman oleh Allah In Sya Allah.
Asatizah hendaklah membuat ujian penilaian selepas 2
atau 3 tajuk untuk menguji tahap pemahaman pelajar. Jangan belajar semata-mata
tanpa menilai. Pelajar tidak akan dapat manfaat sebaik mungkin tanpa diuji. Biar
mereka berpenat lelah dan berkorban akal dan minda untuk menghafal. Tiada jalan
pintas untuk peroleh ilmu Allah.
Kena usaha dan bersusah payah. Pelajar jangan merungut
dan beralasan bila disuruh oleh guru. Penat lelah, letih dan beban yang anda
pikul tidak sia-sia kerana ada ganjaran di sisi Allah apatah lagi ilmu untuk
memahami kalamNya.
Semoga Allah permudahkan semua urusan asatizah dan
anak-anak pelajar untuk memahami ilmuNya dan doakan saya agar diberi kesihatan
yang sempurna dan keberkatan masa untuk bersama berkongsi ilmu.
# Asatizah yang ingin bantuan ilmu teknik menjawab Bahasa
Arab SPM untuk dikongsikan dengan anak-anak didik, boleh maklumkan kepada saya.
Sekiranya masa sesuai In Sya Allah saya penuhi. Pasal bayaran tidak perlu
ungkitkan. Saya bantu kerana Allah.
“ Hidup Lebih Bermakna Bila Perkongsian Terlaksana”
0 comments:
Catat Ulasan