01 Januari, 2013
2012 : Pahit dan Manis Perjalanan Hidupku
AbuAqil aka AbuSakeena
Hari ini 1 Januari 2013 muncul setelah tahun 2012 melabuhkan tirainya semalam. Tahun baru ini pasti akan terus mewarnai kehidupan
kita sekiranya kita masih diberi peluang oleh Allah.
Terasa rajin pula untuk update blog pada hari ini
setelah sekian lama blog dipenuhi dengan sesawang ekoran tiada posting baru.
Wallahu a’lam, agak ketiadaan idea untuk menulis disebabkan banyak fokus
kepada perkara lain. Semoga Allah mengurniakan kekuatan dan idea untuk kembali
aktif berkongsi ilmu pada tahun 2013 nanti Insya Allah.
Posting kali ini saya ingin berkongsi pahit manis kehidupan
saya sepanjang tahun 2012. Bermula dengan pembukaan sesi persekolahan 2012
sebagai guru yang bertanggungjawab terhadap disiplin pelajar. Tugas yang amat
berat ini dipikul dengan penuh bebanan dan tekanan. Kerap kali jiwa tidak
tenteram, naik darah dan hilang sabar dengan sikap pelajar yang entah apa-apa.
Namun alhamdulillah semuanya terkawal dengan rahmat Allah.
Tugas sebagai guru disiplin menjadikan diri ini
terpaksa menjadi lebih garang dan digeruni oleh pelajar. Ramai pelajar yang
rapat dengan saya komplen mengatakan ustaz sudah tidak seperti dulu dan berubah
watak. Antara katanya : “Dulu asyik senyum dan peramah sekarang muka
sentiasa serius dan garang.” Entah betul entah tidak. Saya rasa tiada
perubahan watak pun. Mungkin diri empunya badan tidak sedar perubahan tersebut.
Tarikh 18 Mac 2012 pasti akan terpahat di ingatan saya
sampai bila-bila. Tarikh tersebut yang membuatkan cara hidup saya berubah sama
sekali. Ini adalah teguran dan ujian Rabb Yang Maha Penyayang. Saya sangat
bersyukur kerana mendapat ujian ini. Tarikh tersebut saya terpaksa dibuat
‘operate’ angiogram kerana satu saluran arteri kanan tersumbat 100%. Saya
berselisih dengan maut. Detail sila klik berselisih dengan maut
Sejak itu cara hidup saya berubah dari sudut pemakanan
dan lebih aktif beriadah. Sekadar berusaha untuk lebih sihat. Kerap kali bersenam
dengan jogging di Taman Perbandaran Tengku Anis dan kadang-kadang di Kompleks
Sukan Panji dan terkini di tali air di kampung sendiri. Semoga berkesinambungan
hingga tahun 2013.
Ketika keputusan SPM 2011 diumumkan saya masih berada di dalam wad. Saya menerima
khabar gembira daripada Penolong Kanan Pentadbiran memaklumkan Bahasa Arab
mendapat kedudukan pertama di peringkat Negeri. Hanya seorang pelajar sahaja
mendapat B+ sementara pelajar lain mendapat A termasuk 2 orang mendapat A+. Alhamdulillah,
segala penat lelah dan pengorbanan kami terbalas dan mendapat hasil terbaik. Kenangan
manis ini terencat sedikit kerana tidak dapat diraikan bersama anak-anak didik.
Tahniah dan syabas kepada anak-anak didik 5 Ibnu Sina 2011.
Kecemerlangan mereka akan terus diwarisi oleh
adik-adik mereka pelajar 5 Ibnu Sina 2012. Inilah antara fokus utama saya pada
tahun ini. Dengan pertambahan calon seramai 3 orang daripada 9 orang kepada 12
orang calon setelah 2 orang pelajar membuat keputusan menarik diri dan ‘drop’
subjek bahasa Arab dengan alasan masing-masing. Keputusan mengejut ini diterima
dengan berlapang dada. Namun perasaan kecewa dan bersedih tidak dapat
disembunyikan. Sejarah pahit 2011 berulang. Allah Ta’ala lebih tahu apa yang
terbaik untuk saya dan untuk mereka.
Setelah bercuti selama 6 minggu saya kembali ke sekolah
dengan penuh motivasi.Tugas SU disiplin terus dipegang walaupun ramai yang
menasihatkan agar lepaskan jawatan tersebut demi kesihatan. Itulah kehendak dan
impian saya namun ditolak oleh pengetua dan saya kasihankan rakan-rakan guru
disiplin sekiranya saya abaikan unit penting di sekolah ini. Bantuan, sokongan
dan komitmen mereka sangat dikagumi dan menyebabkan saya membuat keputusan
terus kekal bersama mereka untuk bersama-sama mendisiplinkan pelajar-pelajar
demi kebaikan pelajar itu sendiri.
Tahun 2012 juga tahun saya aktif berkongsi ilmu bahasa
Arab. Tuisyen intensif B. Arab Bestari milik sendiri di Pekan Jelawat untuk
tingkatan 3 diteruskan namun untuk tingkatan 5 terpaksa dihentikan kerana ketiadaan
pelajar. Insya Allah akan diteruskan pada tahun 2013. Selain menumpukan
perhatian kepada anak-anak didik sendiri pelajar 5 Ibnu Sina saya juga membantu
pelajar tingkatan 3 untuk B Arab PMR mereka. Saya juga dijemput untuk mengajar
kelas tambahan di SMU(A) Darul Iman, Beris Lalang dan mengajar juga pelajar
tingkatan 2 di SMKA Tok Bachok selama sebulan.
Pada tahun ini merupakan pertama kali saya berceramah
teknik menjawab Bahasa Arab SPM untuk pelajar sendiri dan SMKA Wataniah
Machang. Paling mengejutkan saya menerima jemputan untuk berceramah kepada
pelajar-pelajar SMKA dan KAA di Sabah. Salah satu program di bawah seliaan JPN
Sabah. Alhamdulillah saya ke sana selama 2 hari bersama Guru Cemerlang Bahasa
Arab Ustaz Abdullah. Klik untuk baca kembara ke Sabah
Tahun ini kerap juga kembara jauh. Selain ke Sabah, 3
kali bermusafir ke Kuala Lumpur. 2 kali kerana urusan keluarga dan sekali untuk
urusan kerja yang baru tamat 22 Disember lepas. Sempat bertandang di rumah
abang dan adik bongsu di Bukit Jelutong
dan Putrajaya. Abang dan adik saya terkesan dengan ‘sakit’ yang telah menimpa
saya. Mereka juga mula ‘berpantang’ dalam diet dan cakna menjaga kesihatan.
Alhamdulillah, itu di antara hikmah rabb. Masing-masing berkongsi ilmu yang ada
untuk hidup sihat dan banyak saya mendapat manfaat. Semoga kami istiqamah sampai
bila-bila.
Tarikh sambutan hari guru pada tahun ini mendapat
khabar ceria bila
dinaikkan pangkat ke DG44 selepas berkhidmat selama 8 tahun.
Rezeki ini disyukuri dan saya nekad untuk menjadikan tempat tinggal yang sempit
menjadi lebih besar dan selesa. Alhamdulillah baikpulih rumah yang bermula
selepas raya Aidil Fitri lalu hanya tinggal 10% lagi untuk siap sepenuhnya.
Penambahan sebanyak 783 kaki persegi yang melibatkan ruang tamu baru, sebuah
bilik study dan ibadat serta tambahan dapur. Semoga rezeki ini akan lebih
mendekatkan diri dan keluarga kepada Allah dan diberkati kehidupan kami sekeluarga
sepanjang masa.
Allah juga mengurniakan rezeki kepada isteri yang mendapat
tunggakan KWSP. Beliau membuat keputusan membeli kereta yang lebih selesa iaitu
daripada perodua kancil kepada Myvi terpakai. Kereta Kancil diberikan kepada
adik perempuan untuk kemudahan mereka sekeluarga.
Di antara detik manis padan tahun ini ialah mendapat
khabar gembira keputusan B. Arab PMR
2012 dengan mencatat 100% A. ini merupakan rekod cemerlang bagi tahun
kedua berturut-turut. Namun sayangnya rekod cemerlang PMR SMK dato Perdana
tahun lepas gagal diteruskan apabila jatuh mendadak namun masih tempat pertama
di Bachok…klik untuk baca PMR 2012
Ditambah dengan khabar gembira anak sulung, Muhammad
Haziq Amsyar mendapat 5A 3 B dan 1C dalam peperiksaan yang sama. Cukup
cemerlang bagi dirinya. Anak kedua Nur Aqilah Ahla juga membuat kejutan dengan
memperoleh 6A 2B 1C dalam peperiksaan akhir tahun dan akan naik ke kelas 3 Aked
tahun depan. Semoga Aqilah lebih bersemangat untuk membuat persiapan bagi
menghadapi peperiksaan PMR 2013.
Begitulah kehidupan insan. Suka dan Duka, tangis dan ketawa sentiasa
silih berganti. Allah Yang Maha Bijaksana sentiasa mentarbiah kita untuk
kebaikan diri kita. Sangat sedikit Allah
memberikan ujian pahit kepada kita. Selebihnya kita dikurniakan banyak nikmat
dan berita mengembirakan. Sentiasalah berbaik sangka dengan Rabb sama baik atau
buruk yang menimpa kita.
Semuanya adalah untuk kebaikan kita. Tiada satu pun
untuk keburukan kita kerana Allah tidak pernah menzalimi hambaNya sama sekali. Kita
sendirilah yang menzalimi diri sendiri dengan melakukan dosa dan pendurhakaan
kepada Rabb.
Tahun ini juga pengunjung ke blog laman ilmu ini
semakin bertambah dari semasa ke semasa. Kebanyakan mereka singgah untuk
mengambil manfaat ilmu bahasa arab terutama insyak. Sangat dialu-alukan. Semoga
perkongsian percuma ini akan mendapat balasan terbaik daripada Allah. Insya
Allah tahun 2013 akan lebih aktif update ilmu Bahasa Arab sama ada untuk SPM
atau PMR. Semoga Allah permudahkan.
Semoga Allah mengampunkan semua dosa kita semua dan
terus memacu kita ke jalan yang diredaiNya pada tahun 2013 dan pada masa-masa
yang akan datang.
0 comments:
Catat Ulasan