01 Januari, 2013
Bila Usia Menjelang Empat Puluh
Hampir genap usiaku 40 tahun berkelana di bumi Rabb. Semoga rahmat, hidayah,inayah dan pimpinan Allah akan aku perolehi di usia ini. Artikel khas diri sendiri dan yang sebaya denganku yang lahir pada tahun 1973.
-------------------------------
Oleh : Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Waktu berlari dengan pantas. Detik, jam, hari,
minggu, bulan dan tahun terus beredar dalam kealpaan insan atau sedar. Waktu
yang berlalu tidak pernah menunggu persetujuan kita, atau menunggu sambutan
tahunan. Samada ia disambut, atau ia tentang tiada siapa dapat menghalang
perjalanannya. Ia terus datang dan pergi. Berlari tanpa henti. Dalam setiap
nafas insan yang disedut atau dihembus keluar, waktu terus beredar.
Waktu tidak pernah hirau yang mati atau yang hidup.
Waktu terus datang tanpa diundang, dan ia akan berlalu tanpa dihalang. Waktu
adalah makhluk makhluk Tuhan yang paling ajaib. Berulang kali dalam al-Quran
yang suci, Allah bersumpah dengannya; Demi masa! Demi waktu fajar! Demi waktu
malam! Demi waktu dhuha! Demi waktu subuh dan seterusnya. Ciptaan yang maha
ajaib.
Tiada raja, tiada penguasa yang mampu menghalang
waktu dari beredar. Kita adalah makhluk Allah yang dipenjara dalam ikatan
waktu. Tidak mampu keluar dari sistemnya walaupun sedikit, melainkan dengan
izin Allah jua. Jika Allah mahu, nilaian dan kadar waktu kita akan berbeza atas
kurniaan keberkatan dari Pencipta waktu iaitu Allah Yang Maha Agung!
Saya menulis tulisan ini ketika melihat tanpa mampu
menghalang usia sendiri yang makin bergerak menuju 40 tahun. Tak berapa lama
lagi, angka itu akan menjelang. Ramai orang berfalsafah tentang usia empat
puluh. Ada yang berkata ia permulaan ‘kenikmatan hidup’, ada pula
yang berkata ia adalah permulaan tarikh luput kehidupan. Ada yang berkata ia
detik untuk mula berpesta dengan hidup. Ada yang kata usia empat puluh mula
jadi ‘orang tua’. Ya! empat puluh juga menamatkan usia ‘pemuda’ dalam
banyak organisasi.
Usia 40 Dalam Al-Quran
Jika kita kembali kepada Allah, Tuhan yang mencipta
usia insan, Yang menentukan panjang atau singkatnya, maka kita dapati Al-Quran
memberikan ingatan tentang usia 40 tahun dengan penuh makna dan menusuk jantung
hati. Demikian Allah berfirman: (maksudnya)
“dan Kami berpesan kepada insan agar berbuat baik
kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan kepayahan dan
melahirkannya dengan kepayahan, dan tempoh mengandung beserta menceraikan
susunya ialah tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat matang
yang sempurna dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, maka dia berdoa:
“Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang
Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap
mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah untuk kebaikan dalam
zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu, dan sesungguhnya aku
dari orang-orang Islam (yang menyerah kepadaMu)” (Surah al-Ahqaf: 15)
Bagi yang dapat memahami bahasa Arab, dapat merasai
keindahan bilah-bilah ayat di atas. Ia tersusun dengan cantik, indah dan penuh
kerohanian. Ia menusuk kalbu, menusuk rohani yang lesu lantas mengheret insan
ke dataran Tuhan. Ia mengingatkan tentang perjalanan insan; dari hari dia dalam
kandungan ibunya, sehingga dilahirkan, sehingga matang, sehingga berusia empat
puluh.
Lalu dia diajar agar berdoa untuk dirinya, untuk
keturunannya dan agar dia bertaubat atas segala dosa yang dilalui sebelum
menjelang empat puluh. Maka dia pun menjadi insaf yang benar-benar menyerah
diri atau muslim. Dengan ayat ini, insan yang insaf tersentuh jantung hatinya,
perasaannya tersentak, rohaninya sebak lalu dia terduduk insaf, taubat, ibadat
dan terus membasahi perjalanan hidupnya dengan linangan airmata takwa sehingga bertemu
Allah.
Keinsafan
Allah dalam ayat di atas mengingatkan insan tentang
sejarah hidupnya yang pernah dikandung ibu, agar dia tidak lupa setelah lama
hal itu berlalu. Insan diingat tentang payahnya pengorbanan tersebut. Setelah
dia dilahir dalam keadaan yang sukar itu, dia mula melalui perjalanan hidup
sehingga ke usia matang. Al-Quran tidak pula menyebut tentang berapakah usia
matang tersebut. Para mufassirin berbeza pendapat. Namun, ia barangkali sekitar
antara 30an ke 40an. Ada yang lebih awal, dan ada pula yang mungkin terlambat.
Apapun, insan apabila sampai usia empat puluh maka itu adalah tarikh yang wajib
untuk dia mengingati dan menginsafi hakikat kehidupan yang dilaluinya selama
ini.
Perjalanan hidup; pahit manis, suka duka, cubaan
dan kurniaan, halangan dan laluan kesemuanya menjadi bekal untuk dia meneliti
dan memahami ‘apakah makna sebuah perjalanan hidup dan ke mana jalan
yang hendak dituju?’. Dalam suasana keinsafan itu, dia lantas berdoa dengan
penuh harap agar Allah memberikannya kurnia perasaan ‘kesyukuran’ atas
segala nikmat yang diperolehi selama ini. ‘Syukur’ adalah
tanda atas keinsafan terhadap hakikat diri bahawa segala nikmat ini hanyalah
dari Allah. Maka, hilanglah bongkak, hilanglah sombong, hilanglah bangga diri
dan terasa kerdil atas segala yang dinikmati.
Kesombongan
Kesombongan atau bongkak adalah musuh insan.
Kesombonganlah yang menimbulkan pemusuhan antara Iblis dan Adam, kesombonganlah
yang menjadikan Iblis dilaknat. Kesombongan juga yang menyebabkan Firaun dan
Qarun menolak dakwah. Kesombonganlah yang menyebabkan ada insan yang dihina
kerana kekurangan yang ada padanya. Kesyukuran membunuh kesombongan. Usia 40
tahun, usia yang menghalau kesombongan, bukan usia untuk mendabik dada dengan
menyatakan ‘aku, aku dan aku..’ tetapi usia yang mengingatkan
insan untuk berkata ‘segalanya nikmat Allah’. Hilang bongkak, lalu
nikmat ibadah pun menjelang dan insan memohon kurnia agar dia dapat terus
beribadah dengan cara yang diredhai Allah. Pada usia ini, teringat pula tentang
zuriat yang bakal muncul dalam kehidupan, lantas insan pun berdoa untuk
zuriatnya seperti yang Allah ajar dalam ayat di atas.
Selepas itu, menginsafi perjalanan hidup selama
empat puluh tahun, insan pun berkata “Sesungguhnya aku bertaubat
kepadaMu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang menyerah
kepadaMu)”.Bergabunglah keinsafan, taubat dan penyerahan. Maka berdasarkan
ayat dalam Surah al-Ahqaf ini, kita diajar untuk bertaubat apabila menjelang
usia 40 tahun. Kata al-Imam Ibn Kathir (w. 774H):
“Ayat ini memberikan petunjuk bahawa insan apabila
menjelang usia 40 tahun hendaklah memperbaharui taubat dan kembali kepada
Allah, serta bersungguh-sungguh mengenainya” (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran
al-‘Azim, 7/281. Saudi: Dar al-Tibah).
Ganjarannya..
Apabila itu berlaku menjelang usia 40 tahun, maka
Allah memberikan janjiNya dalam ayat selepas itu: (maksudnya)
“mereka (yang bersifat seperti itu) itulah
orang-orang yang Kami (Allah) terima dari mereka amalan yang baik yang mereka
telah amalkan, dan Kami ampunkan kesalahan-kesalahan mereka; (mereka akan
dimasukkan) dalam ahli syurga, sebagai memenuhi janji yang benar, yang telah
dijanjikan kepada mereka”. (Surah al-Ahqaf: 16).
Indahnya janji dari Yang Maha Benar. Diterima
segala kebaikan, diampun kesalahan dan dimasukkan ke dalam syurga. Alangkah
indahnya. Soalnya, mampukah diri memulakan azam baru dan beristiqamah atasnya?!
Berikanlah pertolonganMu Ya Allah!
Kematangan
Usia 40 tahun adalah usia yang mengajakkan kita
untuk bersungguh dalam hidup. Mengumpulkan pengalaman, menajamkan hikmah dan
kebijaksanaan, membuang kedangkalan ketika usia muda yang lepas, lebih santun,
lebih berhati-hati, melempar jauh kegopohan lepas, melihat sesuatu dengan
hikmah dan penuh penelitian. Usia 40 adalah usia matang yang berbekalkan
pengalaman empat dekad. Maka tidak hairan tokoh-tokoh pemimpin muncul secara
matang pada usia ini. Bahkan Nabi s.a.w, seperti yang disebut oleh Ibn ‘Abbas:
“Dibangkitkan Rasulullah s.a.w pada usia 40 tahun”
(Riwayat al-Bukhari).
Usia 40 usia adalah tanda aras usia insan yang
insaf, syukur, merendah diri, ibadah, harapan, taubat dan penyerahan. Usia 40
adalah usia bersungguh-sungguh dalam memikul amanah, membuang kedangkalan,
mengambil iktibar dari pengalaman dan bertindak dengan hikmah dan
kebijaksanaan. Ya Allah! Selamat kami pada usia ini sehingga kami bertemuMu!
1 comments:
artikel yang berguna..terima kasih..
Collagen Powder
ESP – Soy Protein Isolate Powder
GLA Complex
Omega Guard
Vita-E Complex
B-Complex
Catat Ulasan