22 Januari, 2013

Diriku & Bahasa Arab




AbuAqil aka AbuSakeena


Amirul Mukminin Saidina Umar bin al-Khattab r.a berkata : "Pelajarilah bahasa arab kerana bahasa arab adalah bahagian penting daripada agamamu".


Sungguh indah huraian Ibn Kathir ketika beliau mentafsir ayat : "Dan kami telah menurunkan al-Quran berbahasa arab agar kalian memahaminya". [Surah Yusuf, ayat 2]


Beliau menyebut : "Oleh yang demikian itu, ini disebabkan bahasa arab adalah bahasa yang paling fasih, jelas, luas dan makna lebih mengena jiwa manusia. oleh kerana itu, kitab yang paling mulia(al-Quran), diturunkan kepada rasul yang paling mulia( Rasulullah saw), dengan bahasa yang paling mulia, melalui perantaraan malaikat yang paling mulia (Jibril), di bumi yang paling mulia ( Mekah) serta permulaan turunnya pun pada bulan yang paling mulia( Ramadan) sehinggalah al-Quran menjadi sempurna segala isi kandungannya".

Kita mengaku kita bermazhab imam yang mulia al-Syafi'e r.a. Apa komentar beliau mengenai mempelajari ilmu Bahasa Arab. Beliau berkata :  "Allah telah pilih bahasa arab sebagai untuk kitabNya dan menjadikan bahasa penutup para Nabi. oleh itu kami katakan sebaiknya setiap orang yang mampu belajar bahasa arab untuk mempelajarinya dan mencintainya tanpa harus melarang orang berbicara dengan bahasa lain".

Imam Ahmad berkata : "Tanda keimanan orang 'ajam ( bukan arab) adalah kecintaan mereka terhadap bahasa arab" [ iqtida' Sirat al-Mustaqil, Ibn Taymiyyah]


Alahmdulillah, Segala puji bagi Allah yang telah memilih hambaNya yang sangat lemah ini tahu dan faham bahasa arab walaupun hanya sedikit. Allah telah permudahkan diri ini ke arah mempelajari bahasa kalamNya. Diri ini sendiri yang  memilih untuk belajar di sekolah Arab berdekatan iaitu sekarang dikenali dengan Maahad Yaakubiah, Nipah, Bachok. Adik-beradik yang lain semuanya mendapat pendidikan di sekolah menengah harian melainkan adik bongsu yang saya usahakan agar ikut jejak saya namun  setakat pertengahan jalan.

Semasa bersekolah di peringkat menengah masih terkapai-kapai ilmu Bahasa Arab seperti pelajar-pelajar lain. Keputusan peperiksaan sekadar cukup makan hasil tekun menghafal. Tamat SRP saya menyambung pengajian di Maahad Muhammadi Lelaki, Jalan Pengkalan Chepa sehingga SPM.


Minat terhadap Bahasa Arab semakin subur bila menyambung pengajian di Akademi Islam Universiti Malaya, Nilam Puri selama 2 tahun. Kehebatan ilmu Bahasa Arab dan karisma yang ada pada al-Fadhil Ustaz Muhamad Mustafa (gambar) mengubah diri ini kepada minat, komited dan tekun mendalami Bahasa Arab. Sekarang beliau merupakan ahli dewan rakyat DUN Demit. Cara pengajaran, sebutan kalimah arabnya yang fasih dan jelas menarik perhatian menyebabkan saya mencintai bahasa pilihan Allah ini.

Bermula di situlah ilmu bahasa Arab semakin diminati hingga melanjutkan pengajian di Universiti Malaya KL jurusan Usuluddin selama 4 tahun yang menggunakan silibus bahasa arab. Menuntut pula dengan al-fadhil Ustaz Munif. Seorang ustaz yang segak, cool dan mantap ilmu bahasanya. Beberapa orang lagi guru yang telah lupa nama dan tidak dilupakan insan yang bernama Dr Rosdi Ismail. Sempat berkhidmat dengan beliau sebagai fasilitator di sebuah syarikat konsultan bahasa Arab miliknya iaitu ALC yang berpusat di Nilam Puri. Banyak ilmu Bahasa Arab yang dikutip di sana hasil bimbingan Dr Rosdi Ismail yang memperoleh Phd dalam bidang bahasa arab. Beliau masih aktif mengembangkan ilmu bahasa arab kepada orang awam.

Tidak lama menjadi fasilitator di ALC kerana mendapat tawaran KPLI pada tahun 2003 di MP Batu Rakit, KT opsyen Pendidikan Islam & Bahasa Arab.

Bidang pendidikan yang dipilih telah memberi ruang kepada saya untuk memperkembangkan ilmu yang ada kepada anak-anak bangsa. Posting pertama di SMK Taman Johor Jaya, JB saya mengajar Pendidikan Islam  sehingga berhijrah ke SMK Sultan Ahmad Shah, Cameron Highlands sebelum dapat masuk ke negeri kelahiran di SMK Penambang pun masih mengajar subjek yang sama.

Pertukaran ke SMK Putri Saadong pada januari 2008 telah memberi peluang kepada saya untuk mengajar subjek Bahasa Arab. Saya sendiri yang meminta izin dengan pengetua untuk mengajar subjek itu kerana cinta saya kepada Bahasa Arab tidak pernah terpadam. Ilmu yang dikongsikan di sana bersama 2 generasi PMR 2009-2010 membuahkan hasil yang mengejutkan. Majoriti anak didik mendapat keputusan cemerlang.

Saya membuat keputusan untuk berhijrah lagi ke sekolah sekarang iaitu SMK Dato' Perdana untuk mencari dan menimba ilmu baru bahasa arab peringkat SPM. Tambahan pula sekolah tersebut lebih dekat dengan kediaman saya di Kg Seneng, Jelawat.

Tidaklah mahir sangat dengan bahasa ini tapi sangat penting bagi saya. Saya tidak dapat bayangkan diri saya yang muslim, berpegang dengan al-Quran yang berbahasa arab dan merujuk hadis Nabi saw dalam bahasa arab, bersolat pun dengan menggunakan bahasa arab tetapi tidak mampu berbahasa arab. Sungguh tidak dapat dibayangkan. saya sangat bersyukur diberi nikmat ini. Bahasa ini dipelajari di bumi kelahiran bukan di Timur tengah atau bumi anbiya'. Tiada alasan untuk gagal mengertinya. nak seribu daya, tak nak seribu dalih.

Bukan pandai mana pun, bertutur tidak fasih mana pun , sekadar tahu serba sedikit, merangkak-rangkak dalam memahami kitab arab dan bertemankan kamus. Masih belajar, akan terus belajar dan menuntut ilmu agama yang sumber asalnya adalah bahasa arab.

Ilmu yang bermanfaat ini akan terus dikongsikan bersama untuk anak-anak didik sama ada di sekolah sendiri atau dijemput untuk mengajar di sekolah lain. Semoga usaha yang sedikit ini akan memperoleh reda Allah di akhirat sana.

Ya Rabb, Ampunkanlah dosa semua guruku dan rahmatilah mereka setiap masa serta kurniakanlah sebaik-baik ganjaran kepada mereka.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share