24 Januari, 2013
Hakikat Dan Makna Cinta Kepada Rasulullah S.A.W
Muhammad Hanief Awang Yahaya
www.darulkautsar.net
Setiap orang yang beriman dituntut untuk menyintai Rasulullah s.a.w.,
sunnahnya, ajarannya dan perjuangannya. Keimanan kepada Allah s.w.t. tidak akan
sempurna melainkan dengan menyintai Rasulullah s.a.w. Keimanan kepada
Rasulullah s.a.w. disebut secara beriringan dengan keimanan kepada Allah s.w.t.
dalam banyak ayat al-Qur`an dan sunnah baginda. Persoalannya apakah cinta Rasul
itu, bagaimanakah jalan untuk menyintai dan cinta yang mana diakui sebagai
benar.
Hakikat menyintai Rasulullah s.a.w.
ialah mengikuti dengan patuh Sunnah baginda, mempertahankannya, mengutamakannya
dalam setiap keadaan dan gerun untuk menyalahi sunnahnya. Kesemua di atas akan
tercapai apabila seseorang itu mempelajari sunnah Rasulullah s.a.w. dan
mempraktikkannya dalam kehidupan.
Seseorang yang mengakui cinta kepada
Rasulullah s.a.w. akan zahir padanya beberapa tanda dan alamat kecintaannya
kepada baginda. Pertama, mengikuti sunnah, beramal dengannya, menuruti ucapan
dan perbuatannya, menjunjung perintahnya, menjauhi larangannya dalam keadaan
senang atau susah, berat atau ringan, cergas atau malas.
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ
فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ
غَفُورٌ رَحِيمٌ
Katakanlah (wahai
Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah
mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Ali ‘Imran: 31)
Kedua, mengutamakan sunnah Rasulullah
s.a.w. daripada menuruti akal fikiran dan hawa nafsu. Tidak ada kebaikan dalam
menyalahi Rasulullah s.a.w. walaupun akal mengatakan baik.
Ketiga, menyebarkan sunnah Rasulullah
s.a.w. dalam masyarakat, sama ada melalui pengajaran, pendidikan, penerbitan
serta membersihkan sunnah baginda daripada hadis-hadis palsu.
Keempat, selalu menyebut Rasulullah
s.a.w. dengan berselawat kerana cinta kepada seseorang akan membuat pencinta
itu sering menyebut-nyebut namanya. Begitu juga sentiasa berdoa selepas azan
supaya baginda dikurniakan maqam yang tertinggi di akhirat.
Kelima, menyintai mereka yang dikasihi
oleh Rasulullah s.a.w. iaitu isteri-isteri baginda, anak cucu baginda dan para
sahabat, memusuhi mereka yang dimusuhi baginda, membenci mereka yag dibenci
oleh baginda kerana cinta kepada seseorang merangkumi apa yang dicintai
olehnya.
Keenam, cinta kepada Rasulullah s.a.w.
yang paling utama ialah menyintai al-Qur`an yang diturunkan kepada Rasulullah
dan pada diri bagindalah al-Qur`an terzahir dalam bentuk praktikal. Hal inilah
yang telah diriwayatkan daripada ‘Aishah bahawa akhlak baginda itu ialah
al-Qur`an. Kata Sahl bin Abdullah: “Alamat cinta kepada Allah ialah cintakan
al-Qur`an, alamat cinta kepada al-Qur`an ialah cinta kepada Rasulullah s.a.w.,
alamat cinta kepada Rasulullah s.a.w. ialah cinta kepada sunnah dan alamat
cinta kepada sunnah ialah cinta kepada akhirat, alamat cinta kepada akhirat
ialah bencikan dunia dan alamat benci dunia ialah tidak menyimpan harta dunia
melainkan sebagai bekalan dan alat penyampai kepada akhirat.” (Qadhi ‘Iyadh,
al-Syifa`, hal. 571)
Ketujuh, cinta kepada Rasulullah dapat
dilihat dengan kasihnya seseorang kepada sunnah dan bencinya kepada bid’ah. Dia
tidak akan senang diri apabila berhadapan dengan bid’ah dan berusaha untuk
memeranginya. Bid’ah merupakan ancaman yang terbesar kepada sunnah kerana ia
akan menghilang wajah asal sunnah dan mengubah keaslian agama kerana agama itu
hanya diketahui melalui sunnah. Apabila berleluasa bid`ah dalam masyarakat maka
sunnah akan lenyap dan natijahnya agama tidak akan dikenali dalam bentuknya yang
asal sebagai yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat.
Melihat kepada konteks masyarakat
Malaysia hari ini khususnya, perayaan Maulidur Rasul setiap kali bulan Rabi’u
Awwal dianggap sebagai manifestasi kecintaan kepada Rasulullah s.a.w. Acara dan
aktiviti utama yang diadakan ialah membaca selawat dengan cara berarak di
sepanjang jalan dan dengan berdiri dalam masjid dan rumah, mengadakan jamuan
kesyukuran sempena keputraan baginda, berselawat dengan suara yang kuat setiap
lepas Juma’at sepanjang bulan Rabi’u Awwal, membaca zanji burdah serta sirah
Rasul yang bercampuk aduk sahih dan mawdu’ serta pelbagai acara lagi yang
sentiasa ada yang baru saban tahun.
Sekiranya cara ini diredai oleh
Rasulullah s.a.w. pasti baginda akan mengajarkan umat.
Di dalam al-Mustadrak, Al-Hakim
meriwayatkan sebuah hadis:
عن بن مسعود أن رسول الله صلى الله عليه
وسلم قال ليس من عمل يقرب إلى الجنة إلا قد أمرتكم به ولا عمل يقرب إلى النار إلا
قد نهيتكم عنه
Daripada Ibn Mas`ud
bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda tidak satu amalan yang mendekatkan kepada
syurga melainkan aku telah menyuruh kamu melakukannya dan tidak ada amalan yang
mendekatkan kepada neraka melainkan aku telah melarang kamu dari melakukannya.
(Al-Mustadrak, no: 2136)
Walaupun para sahabat dan para tabi’in
serta para ulama soleh yang mengikuti mereka mempunyai kecintaan yang tinggi
dan kasih kepada baginda, namun mereka tidak pernah menganggap sebagai elok
mengadakan pelbagai acara untuk menyambut kelahiran baginda termasuklah jamuan
kesyukuran ataupun berpuasa secara khusus pada hari tersebut. Ini kerana
sambutan sebegini merupakan sesuatu yang tidak dituntut oleh sunnah Rasulullah
s.a.w. Masyarakat yang keliru akan menurut sahaja apa yang telah diputuskan
oleh pihak yang mereka percayai. Sepatutnya dalam perkara seperti ini mereka
perlu merujuk kepada al-Qur`an dan al-Sunnah serta apakah yang telah
dipraktikkan oleh para sahabat.
0 comments:
Catat Ulasan