|
Sulaiman al-Rajhi (kiri) sedang ditemubual |
AbuAqil
aka AbuSakeena
Anda
pernah dengar atau lihat Bank Islam al-Rajhi yang semakin bertambah cawangan di
Malaysia? Kenalkah anda siapa pengasas bank tersebut?
Nama
al-Rajhi tersebut dinisbahkan kepada pengasasnya iaitu Sulaiman al-Rajhi. Saya sangat
kagum bila membaca biodata dan temubual dengan beliau. Insan yang sukar untuk
ditemui pada zaman ini. Mengumpul harta untuk ‘dihabiskan’ dengan menderma
sebagaimana kata-kata beliau : “saya masih lagi bekerja keras untuk
mendapatkan lebih derma”.
------------------------------------------
Jutawan
Arab Saudi yang berjaya mengubah hidup beliau daripada seorang rakyat miskin
hingga berjaya mengumpul kekayaan, Sulaiman Al-Rajhi, merupakan seorang
dermawan yang terkenal di dunia.
Beliau
adalah pengasas Bank Al-Rajhi, bank Islam terbesar di dunia, dan salah satu
daripada syarikat terbesar Arab Saudi.
Sehingga
2011, kekayaan beliau telah dianggarkan oleh majalah Forbes, bernilai sebanyak
AS$ 7.7 bilion sekali gus disenaraikan sebagai orang ke-120 yang terkaya di
dunia.
Yayasan
Saar milik beliau adalah sebuah organisasi amal yang terkenal di negara
tersebut.
Keluarga Al-Rajhi dianggap sebagai salah satu daripada
keluarga kaya yang BUKAN daripada keluarga diraja, dan mereka adalah antara
dermawan terkemuka di dunia.
Walaupun Al-Rajhi adalah seorang jutawan, tetapi beliau
memilih untuk menjadi ‘miskin’ sehinggakan beliau tidak mempunyai sebarang wang
dan juga saham yang dimiliki beliau sebelum ini.
Keadaan
tersebut terjadi apabila beliau memindahkan kesemua aset yang dimiliki kepada
anak-anak beliau dan mendermakan aset-aset yang selebihnya.
Bagi menghargai jasa beliau terhadap dunia Islam, termasuk mengasaskan bank
Islam terbesar dunia dan juga segala usaha yang dijalankan untuk membasmi
kemiskinan, Al-Rajhi telah dipilih untuk menerima Anugerah Antarabangsa Raja
Faisal atas jasa beliau kepada Islam.
Dalam
satu wawancara yang dibuat oleh Muhammad Al-Harbi dari Al-Eqtisadiah Business Daily, Al-Rajhi menceritakan tentang bagaimana beliau mampu
meyakinkan ketua-ketua bank di dunia, termasuk Bank of England, hampir 30 tahun
lalu, bahawa bayaran ‘faedah’ adalah sesuatu yang haram bagi kedua-dua agama
iaitu Islam dan Kristian, dan bank secara Islam adalah penyelesaian yang
terbaik bagi menaikkan taraf ekonomi dunia.
Kisah
Al-Rajhi berkisarkan tentang bagaimana seseorang itu meraih kekayaan dari
bawah.
Beliau
terpaksa melalui kesusahan ketika beliau kecil sebelum menjadi kaya, dan
kemudiannya meninggalkan segala harta yang ada setelah mengecapi kejayaan.
Al-Rajhi
masih lagi aktif dalam bekerja walaupun usia beliau telah mencecah lebih
daripada 80 tahun.
Beliau
memulakan tugas harian sejurus selepas solat Subuh dan terus bekerja hingga
selepas solat Isyak.
Beliau
kini sedang memberikan tumpuan terhadap Yayasan SAAR, dengan berulang-alik di
negara-negara Arab bagi menguruskan segala hal-hal yang berkaitan dengan
yayasan tersebut.
Beliau
sering membawa diari kecil untuk mencatatkan aktiviti harian beliau dan
sentiasa memastikan tidak akan terlepas dari satu aktiviti pun.
Al-Rajhi
juga merupakan seorang yang amat berjaya dalam apa jua bidang yang beliau
ceburi.
Selain
daripada mengusahakan bank Islam terbesar dunia, beliau juga telah mengasaskan
ladang binatang ternakan yang terbesar di Timur Tengah.
Daripada
segi perladangan, beliau telah menjalankan banyak eksperimen ternakan secara
organik di negara-negara Arab, termasuk perladangan udang Al-Laith. Beliau juga
turut mengasaskan perniagaan hartanah dan juga beberapa lagi pelaburan.
Temubual:
Sheikh Suleiman, adakah anda kini telah menjadi miskin
semula?
Ya. Kini apa yang saya miliki hanyalah pakaian-pakaian saya. Saya telah
membahagikan harta saya kepada anak-anak dan juga mendermakan selebihnya untuk
menjalankan projek-projek amal. Ini bukanlah sesuatu yang aneh bagi saya.
Kedudukan kewangan saya kini telah menjadi kosong sebanyak dua kali dalam hidup
saya. Jadi, saya amat faham akan keadaan ini. Namun, kini perasaan itu dipenuhi
dengan kegembiraan dan juga ketenangan. Sememangnya saya yang memilih untuk
menjadi miskin.
Mengapa berbuat begitu?
Segala kekayaan dimiliki oleh Allah s.w.t, kita hanyalah ditugaskan untuk
menjaga kekayaan tersebut. Ada beberapa sebab mengapa saya memilih untuk
memilih jalan ini. Antara sebab-sebab utamanya adalah saya perlu menjaga
sahabat-sahabat Islam dan juga anak-anak saya. Ia adalah antara perkara yang
paling penting dalam hidup. Saya juga tidak suka untuk membuang masa di
mahkamah hanya kerana ada antara mereka yang tidak bersetuju dengan jumlah
harta yang diwariskan kepada mereka. Terdapat banyak contoh di mana anak-anak
mula berpecah hanya kerana harta yang kemudiannya menghancurkan syarikat.
Negara ini telah banyak kehilangan syarikat-syarikat besar kerana perbalahan
harta yang boleh diselesaikan jika kita mencari jalan penyelesaian yang lebih
berkesan. Selain daripada itu, setiap umat Islam perlu bersedekah sebagai
bekalan pahala di akhirat kelak, Jadi, saya lebih suka jika anak-anak saya
mencari kekayaan sendiri daripada bergantung dengan saya.
Adakah Sheikh mempunyai banyak masa terluang setelah
membahagikan kesemua harta?
Seperti yang telah saya maklumkan tadi, saya masih lagi bekerja keras untuk
mendapatkan lebih derma. Saya telah bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi
menjayakan projek ini. Secara kebiasaanya, umat Islam sering membahagikan satu
per tiga ataupun suku daripada kekayaan mereka untuk bersedekah yang hanya akan
diberikan setelah mereka meninggal dunia. Namun, bagi saya, saya mahu mula
bersedekah ketika saya masih hidup. Jadi, saya telah membawa anak-anak saya ke
Mekah pada hujung bulan Ramadhan dan memberitahu mereka idea saya. Mereka
bersetuju terhadap idea tersebut. Saya telah meminta bantuan daripada
agensi-agensi yang berkaitan untuk membahagikan kesemua harta saya termasuk
saham dan juga hartanah kepada anak-anak dan juga untuk didermakan. Kesemua
anak-anak saya berpuas hati terhadap inisiatif saya dan mereka kini sedang
menguruskan segala harta yang saya berikan kepada mereka.
Berapa banyak harta yang dibahagikan kepada anak-anak dan
juga untuk didermakan?
Beliau tergelak tanpa memberi sebarang jawapan.
Apakah perasaan Sheikh terhadap kesemua projek yang sedang
dijalankan?
Saya ingin menegaskan bahawa terdapat beberapa faktor yang saya ambil sebelum
melakukan sebarang pelaburan. Eksperimen yang saya lakukan terhadap pertukaran
wang adalah salah satu daripada sebab mengapa saya mengasaskan bank. Ketiadaan
bank Islam juga menjadi antara sebab mengapa saya mula mengasaskan Bank
Al-Rajhi, yang kini merupakan bank Islam terbesar di dunia. Saya mulakan
eksperimen saya dengan membuka pejabat di Britain dimana kami mula
memperkenalkan sistem perbankan Islam ke peringkat yang lebih besar. Eksperimen
tersebut kemudiannya mula berkembang dan ia mula mendapat sokongan daripada
ulama-ulama Saudi pada ketika itu. Saya masih ingat lagi bagaimana permohonan
saya untuk mendapatkan lesen untuk membuka bank tidak diterima pada mulanya.
Ini adalah kerana pihak British tidak memahami apa-apa pun tentang sistem
perbankan Islam.
Saya kemudiannya pergi ke London dan berjumpa dengan Pengurus
Bank of England dan dua daripada pegawai kanan beliau. Saya memberitahu mereka
bahawa penggunaan faedah adalah haram bagi Islam dan juga Kristian dan
kebanyakan daripada mereka sanggup menyimpan wang mereka di dalam kotak di
rumah daripada menyimpan di dalam bank. Saya cuba untuk meyakinkan mereka
bahawa (jika mereka mula membuka bank Islam) ini mampu menaikkan taraf ekonomi
dunia. Mereka akhirnya bersetuju untuk mula membuka bank-bank Islam. Saya
kemudiannya mula mengembara ke serata dunia di bahagian Timur dan Barat, dan
berjumpa dengan ketua-ketua bank negara di beberapa buah negara dan memberitahu
mereka bagaimana ciri-ciri yang terdapat dalam dunia ekonomi Islam. Kami mula
bekerja dan mencapai kejayaan di negara-negara Arab dan melaksanakan perbankan
Islam di London, saya kemudiannya berjumpa dengan Mufti Besar Sheikh Abdul Aziz
bin Baz dan Sheikh Abdullah bin Humaid, dan memberitahu mereka tentang
rancangan saya bahawa : ‘Kita mampu, dengan izin Allah, memajukan perbankan
Islam. Mereka memuji saya atas inisiatif yang saya jalankan. Dari situlah kami
mula mengusahakan Bank Al-Rajhi seperti mana yang anda dapat lihat hari ini.
Bagi projek Ladang Ternakan Al-Watania pula, saya mula mendapat inspirasi untuk
menjalankan projek tersebut apabila melawat ladang ternakan di luar negara.
Saya dapati bahawa cara mereka menyembelih adalah salah.
Saya kemudiannya
mengambil keputusan untuk melabur dalam bidang ternakan atas nama Islam dan
negara. Saya tetap menjalankan projek tersebut walaupun membuat pelaburan dalam
industri ternakan adalah sesuatu yang agak berisiko pada masa tersebut. Kini,
Al-Watania telah menjadi salah satu daripada projek mega di Saudi. Syarikat
tersebut mendapat 40 peratus daripada saham di negara-negara Arab, dan
ayam-ayam Al-Watania diberikan makanan yang cukup dan disembelih dengan cara
yang halal menurut undang-undang syariah.
Walaupun dengan semua kekayaan yang dimiliki, mengapa syeikh
tidak mempunyai satu pun kapal terbang sendiri?
Saya ada banyak kapal terbang, tetapi kesemuanya dimiliki oleh
syarikat-syarikat penerbangan tertentu. Saya memilikinya setiap kali saya
membayar tiket penerbangan untuk ke satu-satu destinasi (gurauan). Saya sering
terbang dengan kadar kelas ekonomi kerana Allah tidak memberikan kita harta
untuk ditunjuk-tunjuk.
Bagaimana pula dengan hobi syeikh?
Saya tidak mempunyai sebarang hobi yang khusus. Bagaimanapun, saya suka
mengembara di padang pasir. Saya tidak pernah mengambil pakej percutian di
negara-negara lain selain dari Saudi.
Ketepatan masa Al-Rajhi
Wawancara ini telah menunjukkan bagaimana disiplin Al-Rajhi dalam menepati
masa. “Pada awal karier saya dalam industri, saya mempunyai beberapa perjumpaan
dengan beberapa syarikat besar di Eropah. Saya masih ingat lagi kisah dimana
saya terlambat selama beberapa minit dalam satu perjumpaan dengan salah seorang
pegawai besar sebuah syarikat. Walaupun hanya beberapa minit, beliau tidak mahu
meneruskan perjumpaan tersebut. Selepas kejadian tersebut, setelah projek kami
mula berkembang, pegawai yang sama pula lambat untuk berjumpa dengan saya,
jadi, saya pula yang tidak mahu meneruskan perjumpaan tersebut. Saya sering
membawa kertas untuk menulis segala perjumpaan dan urusan dan sentiasa
memastikan agar saya sering menepati masa walau apa pun.”
Al-Rajhi berkata lagi: Saya amat menepati segala perkara yang diterapkan dalam
Islam sepanjang hidup saya. Saya pernah mendapat undangan daripada kerajaan
Arab untuk menghadiri satu persidangan yang berkaitan dengan pelaburan.
Kemudiannya, dalam persidangan yang sama, saya dijemput untuk mengambil
bahagian dalam majlis makan malam mereka, saya dapati bahawa antara aktiviti
yang dijalankan ketika majlis tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam.
Saya kemudiannya keluar dari majlis makan malam tersebut. Kemudian, Abdul Aziz
Al-Ghorair dari UAE turut serta bersama saya. Tidak lama selepas itu, menteri
yang bertanggungjawab terhadap persidangan tersebut datang kepada kami dan kami
mula menerangkan kepada beliau bahawa aktiviti yang dijalankan di majlis
tersebut adalah bertentangan dengan budaya Islam. Beliau kemudiannya berkata
bahawa aktiviti-aktiviti di majlis tersebut akan dibatalkan. Apabila mereka
membatalkan aktiviti tersebut, kami kembali menyertai majlis tersebut.
Penyelesaian Masalah
Al-Rajhi berkata: Pada satu masa, salah satu daripada kilang yang diuruskan
oleh anak saya habis dijilat api. Apabila dia datang untuk memaklumkan perkara
tersebut kepada saya, saya memberitahu: Sebut Alhamdulillah. Saya meminta anak
saya supaya tidak membuat sebarang laporan tentang kerugian yang dialami bagi
meminta pampasan daripada pihak berkuasa. Sebaliknya, pampasan yang diberikan
oleh Allah adalah lebih penting bagi kita. Assam Al-Hodaithy, Pengurus Kewangan
bagi syarikat Ternakan Al-Watania berkata: “Apabila kilang tersebut terbakar,
kami telah membuat keputusan untuk tidak menyakiti hati Al-Rajhi dengan
memberitahu beliau tentang apa yang terjadi. Kami kemudiannya berjumpa dengan
beliau keesokan harinya dan memberitahu akan perkara yang terjadi, beliau
mengarahkan kami untuk berpindah ke tempat lain dan membersihkan segala
kerosakan sehingga semuanya dibaiki.” Perkara yang sama terjadi di satu lagi
projek Al-Watania di Mesir. Syarikat tersebut kerugian kira-kira SR10 juta
Pound Mesir. Apabila pegawai projek tersebut menghubungi Al-Rajhi untuk
memberitahu perkara tersebut, beliau terkejut apabila Al-Rajhi menjawab dengan
menyebut: “Alhamdulillah.”
– Mynewshub.my
0 comments:
Catat Ulasan